AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 13 June 2016

PELAYARAN KASIH- BAB 20 - karya ROHANI DERAMAN



S
ejak keluar dari hospital, Kamaruzaman lebih banyak menghabiskan masa di bilik bacaan. Dia hanya keluar untuk makan, solat dan tidur. Selebihnya dia berterusan membaca.          
            “Abah, boleh Fir masuk?” tanya Firdaus di luar pintu.
            “Masuklah Fir. Pintu tak berkunci pun,” jawab Kamaruzaman dari dalam. Firdaus menolak daun pintu yang cantik berukir kuntuman bunga matahari.
            “Baguslah Fir datang. Abah pun memang nak jumpa Fir.”
                       

           
            “Ada apa abah? Abah sakit ke?” Firdaus mendekati Kamaruzaman dan duduk di hadapannya. Matanya meneliti wajah abahnya yang masih cengkung dan muram.
            “Abah sihat Fir. Cuma abah nak minta sesuatu dari Fir.”
            “Mintalah apa sahaja abah. Kalau Fir tak mampu, Fir akan usahakan. Fir hanya nak abah gembira dan ceria macam dulu, ” kata Firdaus dengan jujur.
            Kamaruzaman tersenyum senang. Hatinya berbuai rasa kagum dan bangga dengan kebaikan budi Firdaus.
            “Boleh tak Fir hantarkan abah ke rumah kita di Benut tu esok?”
            “Abah nak buat apa ke sana?”
            “Abah rasa nak tinggal di sana untuk sementara waktu ini. Abah nak tenangkan hati. Lagipun, dah lama abah tak melihat rumah dan kebun  tu.”
            Firdaus merenung wajah Kamaruzaman. Dia dapat merasakan ada sebuah rasa yang cuba dibuang dari hatinya.
            “Sampai bila abah nak larikan diri dari masalah macam ni? Abah tak kesian ke dengan Abah Adham dan Ibu Tina yang begitu sayangkan abah. Jangan hanya kerana Muhayat, abah membuang semua kasih sayang orang lain.  Mereka tu benar-benar ikhlas dengan abah,” balas Firdaus pula.
            “Abah bukan lari, Fir. Abah cuba nak damaikan keadaan. Abah mesti putuskan hubungan dengan mereka, baru keadaan kembali aman. Abah nak perasaan Muhayat pulih seperti sebelum ini. Abah nak dia rasa bahawa abah ni tak pernah wujud dalam hidupnya,” kata Kamaruzaman, tenang. Dia menutup buku yang ada di tangannya. Matanya merenung wajah Firdaus. Dia terkenangkan arwah Naimah. Kalaulah Naimah masih hidup, tentu dia gembira kerana Firdaus adalah anak yang sangat-sangat baik dan berbudi.

            Namun, dalam masa yang sama dia juga bersyukur kerana ALLAH mentakdirkan Naimah mati awal. Jika tidak, tentu Firdaus membesar dalam keadaan yang kurang sihat. Naimah yang sentiasa kasar dan bengis. Naimah yang sentiasa ingin menang dalam serba hal. Naimah yang selalu celupar dalam berkata-kata.
            ‘SubhanaAllah! Kenapa aku masih nak ungkit perangai buruknya sedangkan dia sudah lama tiada. Ya ALLAH, berikan dia ketenangan di alam barzakh. Lindungi dia dari azab-MU.’ Dia tunduk berdoa dalam hati.  
            “Abah?” Firdaus menepuk lengan Kamaruzaman dengan perlahan.          Kamaruzaman tersentak. Ingatannya kepada Naimah hilang. Dia beristighfar. Matanya digenangi air. Dia cuba menahannya. Janganlah Firdaus melihat air matanya. Janganlah Firdaus tahu ingatan jahatnya terhadap arwah ibunya,  Naimah.
            “Hah? Apa yang Fir cakap tadi?”
            “Abah mengelamun rupanya. Abah ingat siapa? Ingat Muhayat atau ingat Ibu Kartina?” tanya Firdaus, cuba mengusik. Namun usikannya itu tidak membuat Kamaruzaman tersenyum.
            “Abah ingat mama kamu,” jawab Kamaruzaman dengan suara yang sudah ditenggelami sebak. Hasrat menyembunyikan rasa dan perasaannya tidak terlaksana. Dia tidak mahu berbohong kepada Firdaus.
            Firdaus terus memeluk tubuh abahnya. Dia cuba menyelami kerinduan yang ada jauh di sudut hati abahnya.
            “Fir juga kadang-kadang rindukan mama. Sangat singkat masa untuk Fir menerima kasih sayangnya.”
           

            “Abah harap ALLAH berikan dia rahmat yang baik. Abah memang sayangkan dia, tapi ALLAH lebih menyayanginya. DIA Maha Mengetahui..” jawab Kamaruzaman sambil teresak kecil.
            Firdaus membiarkan. Lama.
            “Abah, Fir tak nak abah menyeksa diri sendiri. Kalau abah rindukan Muhayat, abah pergilah ke sana sekali lagi.”
            “Tidak Fir. Abah akan lebih terseksa kalau Abah Adham dan Ibu Tina kamu terpaksa berpisah dengan Muhayat kerana abah. Sepatutnya mereka hidup bahagia. Tapi kerana abah ...”
            “Muhayat yang tak ada hati perut. Muhayat yang celupar. Dia tak sepatutnya berprasangka buruk kepada ibunya. Dia yang... ”
            “Fir, sudahlah. Jangan diumpat dia lagi. Kelak akan semakin bertambah dosa kita. Berdoalah agar ALLAH  tenangkan jiwanya. Biar datang rasa kasih sayangnya kepada ibu yang melahirkannya dan abah yang membesarkannya.”
            “Habis abah kandungnya ini?”
            “Abah ada Fir. Ada Zurie. Ada Dayana dan Haziq. Kita dah bahagia dengan hidup kita selama ni. Kita jangan minta perkara yang bukan hak kita,” jawab Kamaruzaman sambil tersenyum. Dia menepuk-nepuk bahu Firdaus dengan penuh kasih sayang seorang ayah.
            Firdaus membalas dengan menarik tangan Kamaruzaman dan mengucupnya, hormat. Hatinya tidak lagi bergalang duka ketika melihat dan mendengar kata-kata Kamaruzaman itu.
            “Abah baca buku apa?” Firdaus mengalihkan suasana. Dia tahu, lebih baik bertukar topik untuk mengubah suasana.
      
            Kamaruzaman tersenyum dan menunjukkan buku yang ada di tangannya.
            “Novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck?” Mata Firdaus terbeliak. Dia tahu novel itu adalah novel klasik tulisan Prof. Dr. Hamka. Ia dicetak untuk kali pertama pada tahun 1938. Namun ia lebih terkenal  pada tahun 60-an.
            “Inilah novel pertama yang abah baca. Kisah cinta Zainuddin dan Hayati amat meruntun hati. Dah berpuluh kali abah baca, namun tetap juga tidak jemu.”
            Firdaus membelek kulit novel itu yang agak lusuh. Helaian kertasnya mula kekuningan dan ada helaian yang hujungnya mula terkoyak. Pada kulit bahagian dalam, ada catatan tahun novel itu dibeli :  1975  Madani Book Store, Johor Bahru.
            “1975? Dah 43 tahun abah simpan novel ini. Patutlah kertasnya dah lusuh dan kekuningan. Masa tu abah umur berapa?”
            “Dua puluh tahun. Ketika itu abah masih menuntut di universiti. Sedang memburu cinta sejati,” kata Kamaruzaman tersenyum-senyum.
            “Dengan Ibu Kartina?” Firdaus cuba mengorek rahsia.
            Diam. Kamaruzaman tunduk. Dengan perlahan dia menggelengkan kepala. Ketika itu dia memang belum mengenali Kartina. Masih belum bekerja. Namun, sudah dikelilingi ramai gadis. Lalu selepas mula bekerja, dia hanyut dengan perbuatan yang berdosa! Kalau boleh masa silamnya yang penuh noda tidak mahu diimbau lagi.
            ‘Ampuni hamba-Mu yang berdosa ini ya ALLAH..’ bisik nuraninya.
            Ketika itu mata Firdaus leka meneliti tulisan yang ada dalam novel itu. Selepas beberapa helaian, dia menghulurkan novel itu kepada Kamaruzaman.
           
  
            “Sungguh sengsara nasib Zainuddin,” keluh Firdaus perlahan. Dia menatap wajah Kamaruzaman yang muram. Tiba-tiba dia seperti melihat roh Zainuddin ada dalam diri abahnya. Hatinya sayu. Dia menarik tangan Kamaruzaman dan menggenggamnya erat.
            “Dalam novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wicjk, Zainuddin meninggal kerana sengsara rindunya terhadap Hayati. Fir tak nak abah jadi begitu. Abah  kena kuat menghadapi semuanya. Fir sayang abah. Fir tak ada orang lain selain abah.” Dengan cepat Firdaus memeluk Kamaruzaman dengan erat. Rasa kasihnya membuak. Rasa sayangnya memuncak. 
            Air mata Kamaruzaman menitik laju. Dia rasa amat terharu dengan ketulusan kasih sayang Firdaus.
            “Insya-ALLAH  Fir. Abah akan kuat dengan sokongan kasih sayang Fir, Zurie dan cucu-cucu abah. Zainuddin kehilangan Hayati dalam hidupnya, tapi abah tidak. Cinta dan hidup abah ada bersama anak cucu.”
                                   

Parit  Ibrahim, Benut.
Sudah dua hari Kamaruzaman berada di rumah pusaka arwah ibunya, Hajah Rahidah. Rumah itu memang rumah kampung, tetapi sudah diubah suai dengan berbagai kemudahan. Malah Firdaus telah mengupah Amin dan isterinya Rukiyah untuk menjaga rumah itu. Jadi, rumah itu sentiasa bersih dan kemas seperti berpenghuni.
“Abang Min, Kak Ru, tolong jaga makan minum abah saya selama dia tinggal di sini. Ini duit lauk dan ini duit gaji abang dan kakak. Kalau ada apa-apa, tolong telefon saya segera. Pastikan abah makan ubat mengikut masa, ya kak,” kata Firdaus semasa akan meninggalkan halaman rumah itu.
Kamaruzaman tersenyum. Dalam usianya 64 tahun, Firdaus melayannya seperti melayan seorang budak.
“Min, kau tengoklah Firdaus tu. Risau sungguh dia kalau abang kelaparan di sini. Sampaikan duit belanja pun dia beri,” kata Kamaruzaman dengan ketawa kecil.
“Dia tu sayang sangat kat abang,” kata Rukiyah, ikut menyengih.
Kamaruzaman duduk di tangga sambil merenung awan. Sungguh damai hatinya melihat langit yang membiru dengan awan yang berarak tenang. Burung-burung pula berterbangan dengan bebas.
“Abang Zaman nak makan apa hari ni?” tanya Amin.
“Min, janganlah nak susah-susah sangat pasal makan abang. Abang juga besar di sini. Apa yang orang kampung ni makan, itulah juga makanan abang. Jangan ikut sangat arahan Firdaus itu.”
Mata Kamaruzaman tertumpu kepada sebondong sayur yang dikelek oleh Rukiyah.
“Ru, sayur apa yang awak bawa tu?”
“Oh,  ini pucuk meranti bang. Saya petik di belakang rumah tu tadi,” jawab Rukiyah.
“Sedap tu. Saya teringat arwah mak saya suka masak lemak dengan tempe.”

“Kalau macam tu, saya akan masak untuk hidangan abang tengah hari nanti. Tempe pun dah ada dalam peti sejuk tu.” Rukiyah tersenyum senang.
Kamaruzaman juga angguk senang. Tiba-tiba seleranya terbuka.
“Min, boleh temankan saya ke kebun getah tu. Dah lama tak tengok kebun tu. Siapa yang menoreh sekarang, Min?” tanya Kamaruzaman selepas Rukiyah berlalu ke dapur.
“Dulu Pak Tahir. Sekarang Mak Jah dan anaknya Siti Solehah. Pak Tahir dah tak boleh kerja berat. Semputnya tu semakin teruk sekarang,” jawab Amin. Tanpa berlengah dia berjalan ke arah motorsikal yang ada di belakang.
Kamaruzaman pula segera turun dan menyarungkan selipar.
“Naiklah bang,” suruh Amin ketika enjin motor sudah menderum.
“Wah, seronok ni. Lama saya tak naik motor. Kalau Firdaus nampak, mahu dia menjerit sampai terkeluar anak tekak!” Kamaruzaman menyeringai.
Amin ikut ketawa. Kamaruzaman rasa segar. Angin kampung yang menerpa mukanya dirasakan sangat sejuk dan nyaman. Jiwanya terasa kembali kuat dan bersemangat.                                                                                                                                                                                         
                                   

            Matahari sudah hampir tegak di langit.  Namun nyanyian agas dan nyamuk masih berkeriau menyentuh kuping telinga.
            Siti Solehah dan ibunya sedang memungut susu getah. Sekali-sekala dia berhenti untuk mengesat peluh dan kadang-kadang termengah-mengah menahan penat. Sekali-sekala pula menepuk nyamuk dan agas yang menggigit menghisap darah.
          
            “Kalau Siti penat, berehatlah. Biar mak yang habiskan,” kata Mak Jah sambil menyeka peluh.
            “Apa pula? Maklah yang berehat, biar Siti habiskan. Orang muda tenaganya lebih kuat dan staminanya lebih baik,” tingkah Siti Solehah pula.
            Mak Jah terkulat-kulat. Stamina? Apa binatang pula tu?”
            Siti Solehah ketawa melihat wajah Mak Jah yang terkulat-kulat cuba memahami perkataan itu.
            “Stamina tu ialah daya ketahanan dan kekuatan diri kita. Kalau kita cepat rasa letih, maknanya stamina kita tak kuat.”
            Mak Jah angguk perlahan. Kemudian dia mengekek ketawa. Tidak lama dia kembali meneruskan kerjanya. Siti Solehah juga kembali menyambung kutipan susu getah dari dalam tempurung yang ada. Dia melakukan dengan hati yang jujur. Sedikitpun dia tidak menyesal walaupun dia tahu, ketika itu dia sepatutnya berada dalam kelas.
Bunyi deruman enjin motor membuatkan mereka berhenti.
“Assalamualaikum Mak Jah! Belum siap lagi?” sapa Amin selepas sambil menongkat motornya.
Kamaruzaman turun dari motor.
“Sikit lagi Min. Bila Abang Zaman balik?” tanya Mak Jah kepada Kamaruzaman.
“Dah dua hari. Banyak ke susu getah hari ni Jah?”
“Sejak lepas membaja ni, boleh tahan bang. Kalau ditoreh semua, banyak juga. Tapi, kami berdua ni tak larat sangat nak habiskan semua. Terpaksa toreh separuh sahaja. Minta maaflah,  bang.”

“Kenapa pula nak minta maaf?”
“Mungkin kalau abang pawahkan pada orang lain, pendapatannya lebih banyak. Tapi kami ni…” jawab Mak Jah, perlahan.
“Jah, saya bukan datang nak periksa kerja awak. Saya datang kerana dah lama saya tak tengok kebun ni. Saya teringat masa kecil saya bermain-main di kebun ni,” kata Kamaruzaman sambil melilau ke sekeliling kebun. Walaupun kebun itu sudah beberapa kali ditanam semula, ia tetap sama.
Ketika matanya memerhati ke sekeliling, dia terpandang kepada Siti Solehah yang berdiri tidak jauh dari situ. Dia senyum. Siti Solehah membalas senyumannya.
Tidak lama, Kamaruzaman dan Amin meninggalkan Mak Jah dan Siti Solehah. Mereka menghala ke hujung kebun getah itu, di mana terdapat dusun buah-buahan. Durian, rambutan dan langsat memang tengah lebat berbunga dan berputik.
Balik dari menoreh, Siti Solehah terus ke bilik mandi di belakang rumah. Masih banyak kerja yang menanti. Dia tidak boleh berlengah-lengah. Kain baju perlu dicuci. Rumah mesti dikemas. Nasi pula perlu ditanak sebab sekejap lagi adik-adiknya akan pulang dari sekolah.
Mak Jah pula berhenti di tangga untuk melepaskan lelah sambil menyeka peluh yang berjuntaian di wajahnya.
Pak Tahir keluar mendapatkan isterinya ketika terdengar suara Mak Jah dan Siti Solehah.
“Penat Jah?” tanya Pak Tahir sambil duduk di bendul rumah.
Mak Jah  menoleh ke belakang. “Bolehlah tahan bang.”

“Kasihan awak dengan Siti,  Jah.”
“Kenapa bang?” Sambil menyeka peluh, Mak Jah menoleh.
“Sepatutnya tugas mencari nafkah ini tugas saya. Tapi, tengoklah. Awak dan Siti yang jadi korbannya.”
“Abang janganlah cakap macam tu. Dulu, abang dah lama bekerja untuk kami. Sekarang abang sakit. Apa salahnya saya dan Siti membantu,” jawab Mak Jah sambil menepuk-nepuk lengan Pak Tahir.
“Tapi Siti terpaksa berhenti belajar. Dia terpaksa lupakan cita-citanya kerana saya. Kasihan dia, Jah. Bagaimanakah nasib masa depannya nanti?” Mata Pak Tahir mula berkaca. Hatinya berubah pilu. Dia terbayangkan nasib masa depan Siti Solehah yang kelam. Begitu juga nasib Siti Mukminah dan Muhamad Hafiz. 
“Dah nasib dia bang. Kita berserah sajalah kepada ALLAH.”
Sebuah keluhan terlepas dari bibir kering Pak Tahir. Sungguh sedih hatinya bila teringatkan cita-cita Siti Solehah untuk menjadi guru terpaksa dilupakan. Dia sekarang terpaksa bertungkus lumus  mencari rezeki di kebun getah milik Kamaruzaman itu.
“Kalau Siti dah jadi cikgu, Siti akan hantar mak dan ayah ke Mekah. Siti nak ayah jadi Haji Tahir dan mak digelar Hajah Hadijah. Doakan Siti berjaya ya ayah.”
Kata-kata itu terngiang. Seperti baru semalam ia diucapkan oleh Siti Solehah.
“Tadi, Abang Zaman ada datang ke kebun bang,” kata Mak Jah, sengaja menukar cerita.

“Apa dia nak?” Pak Tahir bertanya bimbang.
“Tak ada apa-apa. Dia saja melawat. Katanya nak ingat kenangan masa kecil dulu.”
“Abang bimbang kalau dia tak bagi kita menoreh lagi di kebun dia tu. Yalah, kalau dia beri pada orang lain mungkin dia boleh dapat hasil yang lebih banyak.”
“Tak bang. Dia tadi dah kata, dia takkan tarik kebun tu dari kita.”
“Bolehkah kita yakin dengan cakap dia tu, Jah?”
“Saya yakin dia ikhlas bang. Muka Abang Zaman tu tak nampak muka orang zalim. Lagipun, kita dah lama menoreh di kebun dia. Dah lama kita jaga harta benda dia,” jawab Mak Jah dengan penuh yakin.
Pak Tahir mengeluh perlahan. Kerisauannya beransur hilang. Namun tiba-tiba kekesalannya pula muncul. Dia masih teringatkan nasib dan masa depan Siti Solehah.
“Apa lagi yang abang menungkan?”
“Entahlah Jah. Saya kesian dengan Siti. Kalaulah saya masih sihat...”
Mak Jah terdiam. Hati seorang ibu juga bimbang tetapi dia tidak mahu terlalu memikirkan hal itu. Dia pasrah kepada ALLAH. Dia berserah kepada takdir. Lalu dia berdoa dalam hati agar Siti Solehah diberikan masa depan yang lebih baik dari sekarang.

No comments:

Post a Comment