AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 15 June 2016

PELAYARAN KASIH - BAB 22- ROHANI DERAMAN



A
min sedang membersihkan dahan-dahan kayu yang bergelimpangan di bawah pokok buah-buahan. Kamaruzaman ikut membantu walaupun berkali-kali dilarang oleh Amin.
“Berilah peluang saya keluarkan peluh, Min. Tak sihat tubuh saya ni kalau asyik makan tidur sahaja. Jangan takut. Firdaus dan Zurie tak ada di sini. Mereka tak boleh nak marahkan awak,” kata Kamaruzaman dengan ketawa.
Akhirnya Amin terpaksa membenarkan juga.
“Kamu dah cari orang untuk diupah memetik buah-buahan ini, Min?”

“Dah bang. Petang ni ada dua tiga orang budak kampung ni akan datang untuk memetik rambutan dan manggis ni. Banyak buahnya tahun ni,” jawab Amin dengan senyum senang. Dia bersyukur kerana tugasnya menjaga kebun dan rumah pusaka itu dapat dilakukan dengan baik.
“Alhamdulillah, Min. Ini semua rezeki ALLAH. Jangan lupa bahagi-bahagikan kepada orang kampung ni, Min. Selebihnya baru boleh dijual. Saya nak orang kampung merasanya dulu, itu sebagai sedekah saya.”
“Baik bang. Nanti saya akan hantarkan sebakul ke warung Kak Muna.”
“Hantar ke warung tu buat apa? Saya suruh bahagi-bahagikan kepada orang kampung!” Suara Kamaruzaman sedikit meninggi.
“Biasanya saya akan hantar ke situ. Nanti Kak Muna akan tolong agihkan. Bila ada orang lalu atau datang ke warungnya, dia akan beri. Kalau saya nak hantar ke setiap rumah dalam kampung ni  teruk juga saya, bang.” Amin menyengih.
Kamaruzaman mula tersenyum. Dia membayangkan Amin keliling kampung dengan motornya untuk mengagihkan buah-buahan itu.
Tiba-tiba Kamaruzaman berpaling ke arah kebun getahnya di seberang parit. Tidak ada bayang Mak Jah dan anak gadisnya hari itu.
“Mereka tak menoreh ke hari ni, Min?”
“Ada kat sebelah sana agaknya,” tunjuk Amin.
“Tapi, basikalnya tak ada.”
Amin menoleh sekali lagi. Biasanya Siti Solehah akan menongkat basikalnya berdekatan bangsal tempat menyimpan barang-barang.


“Tak pernah pula Siti ponteng. Agaknya Pak Tahir diserang semput lagi.”  Amin mengandaikan dengan perlahan.
“Nanti kita singgah di rumah Pak Tahir, Min. Mungkin ada yang boleh kita tolong,” kata Kamaruzaman. Amin angguk. Memang itu yang ada dalam fikirannya ketika itu. Keluarga Pak Tahir sudah seperti keluarganya sendiri. Susah senang mereka adalah susah senang dia juga.
Selepas selesai membersihkan kawasan kebun itu, Amin memboncengkan Kamaruzaman ke arah rumah Pak Tahir. Sepanjang jalan itu, fikiran Kamaruzaman menerawang dengan rasa simpati dan ingin menolong keluarga itu.
Ketika mereka sampai, rumah itu lengang. Amin menongkat motornya dan memberi salam berulang-kali namun tidak ada yang menjawab.
“Ke mana semua orang pergi ni?” rungut Amin dengan cemas. Biasanya kalau semua orang tiada di rumah, Pak Tahir tetap ada. Ketika mereka tertinjau-tinjau dan menunggu, bunyi tapak kaki dan suara orang berbual kedengaran dari belakang.
Amin dan Kamaruzaman menoleh. Mata mereka singgah pada susuk tubuh Siti Mukminah dan Muhamad Hafiz dalam seragam sekolah berjalan ke arah mereka.
“Tak ada orang di rumah. Kak Siti dan Mak Jah tak menoreh hari ni. Mana mereka, Inah?” tanya Amin kepada Siti Mukminah.
“Ayah masuk wad, bang. Mak menjaganya. Kakak pun mungkin ada di sana,” jawab Siti Mukminah.
“Bila?” Kali ini Kamaruzaman pula yang bertanya.
“Malam tadi.”
“Habis Inah tak pergi hospital?”
“Kakak suruh tunggu di rumah sebab kami mesti ke sekolah,” jawab Siti Mukminah.
“Kalau macam tu mari kita melawat Pak Tahir, Min.”
Dengan perlahan Amin mengangguk. Dia menghidupkan enjin motornya dan terus menghala balik ke rumah. Selepas meninggalkan Kamaruzaman di halaman rumahnya, Amin tergesa-gesa balik ke rumahnya pula.
“Eh, kenapa kelam kabut ni bang?” tanya Rukiyah yang sedang menyapu halaman.
“Pak Tahir masuk wad. Kami nak pergi melawat. Ru nak ikut, cepatlah bersiap.”
“Nak naik apa?”
“Kita naik teksi sajalah.” Amin segera masuk ke rumah untuk bersiap. Rukiyah mengekorinya.
Tidak lama, sebuah teksi berhenti di hadapan rumah. Kamaruzaman sudah ada di dalamnya.
“Cepatnya abang dapat teksi,” kata Amin tersengih malu. Sepatutnya dia yang uruskan mencari teksi.
“Kebetulan abang keluar dari rumah, teksi lalu depan rumah. Rezeki kita,” jawab Kamaruzaman pula.
 
Mereka sampai di hospital tepat pada waktu melawat.
Mata Kamaruzaman terpaku belas melihat kesengsaraan dan penderitaan Pak Tahir berdepan dengan penyakitnya. Amin dan Rukiyah juga ikut bersimpati melihat Pak Tahir yang lemah, pucat dan hanya bergantung kepada alat pernafasan.
“Sabarlah Kak Jah,” kata Amin ketika melihat air mata Mak Jah menitik apabila melihat mereka datang.  
“Jah, beritahulah saya kalau ada apa-apa yang boleh saya tolong,” kata Kamaruzaman pula.
“Kalau Abang Zaman nak tolong, ada satu saja yang saya nak minta,” kata Mak Jah.
“Apa dia Jah?”
“Tolong jangan buang kami dari menoreh di kebun tu. Kami tahu ramai orang yang nak menoreh di kebun abang tu. Untuk sehari dua ni, mungkin kami terpaksa bercuti kerana nak jaga Abang Tahir ni.”
“Ya ALLAH Jah! Takkanlah saya begitu zalim. Jah cutilah berapa lama pun. Jangan fikirkan sangat pasal kebun tu,” balas Kamaruzaman menepuk dahi. Memang dia langsung tidak terniat begitu. Melihat kedaifan keluarga itu, kalau boleh dia tidak mahu ambil langsung hasil jualan getah yang mereka toreh.
Mak Jah menarik nafas lega.
“Mana Siti, Kak Jah?” tanya Rukiyah selepas lama duduk di situ tetapi tidak nampak bayang Siti Solehah.
“Tadi dia kata nak ke surau. Agaknya tertidurlah tu sebab malam tadi dia langsung tak tidur kerana keadaan ayahnya ni.”

Ketika hendak meninggalkan wad itu, Kamaruzaman menghulurkan sekeping wang seratus ringgit kepada Mak Jah.
“Ambillah duit ini buat belanja, Jah. Jangan susah hati pasal budak-budak yang kat rumah tu. Ru boleh uruskan mereka. Bolehkan Ru? Nanti saya beri duit belanja. Awak tolong tengok-tengokan budak berdua tu,” kata Kamaruzaman.
Sekali lagi Mak Jah menitiskan air mata. Kebaikan budi Kamaruzaman yang selama ini didengarnya, kini dirasainya!
Kamaruzaman juga meninggalkan nombor telefonnya kepada pihak hospital. Jika ada apa-apa bayaran untuk rawatan Pak Tahir, dia minta mereka menghubunginya.
“Min, apa jalan kita nak bantu mereka. Terutamanya Siti tu. Sayang kalau dia terus dibiarkan menoreh sahaja sedangkan dia ada peluang yang lebih baik,” katanya kepada Amin ketika dalam perjalanan pulang.
“Entahlah, bang.  Saya pun tak tahu. Kalau saya ni kaya, mungkin saya akan tanggung Siti tu belajar. Tapi, abang tengoklah keadaan saya ni. Manalah saya mampu. Nasib baik juga abang ambil saya kerja dengan abang,” balas Amin dengan jujur.
Kamaruzaman termenung. Kata-kata Amin menjentik tangkai hatinya. Lama dia diam berfikir.
“Min, kalau saya bantu Siti tu macam mana?”
“Maksud abang?”
“Apa pendapat Min kalau abang tanggung dia belajar.” Itu yang terselit di celah hati Kamaruzaman. Dia jujur. Kalau diberi peluang, dia memang ingin sekali melihat Siti Solehah menyambung pelajarannya.

“Cadangan abang tu baik. Ru suka. Tapi...” kata Rukiyah.
“Kenapa Ru?” tanya Kamaruzaman.
“Ru kenal sangat dengan Siti tu. Dia jenis orang yang tak suka nak terima bantuan orang begitu saja. Dia lebih suka berusaha sendiri. Jadi, dia tak akan terima bantuan abang ni,” jawab Rukiyah.
Amin masih berdiam diri. Dia sedang berfikir. Kata-kata isterinya memang benar. Dalam keadaan Pak Tahir yang semakin uzur dan Mak Jah yang selalu kurang sihat, tidak mungkin Siti Solehah akan meninggalkan mereka untuk pergi belajar.
“Hanya ada satu jalan saja bang.” Tiba-tiba Amin bersuara.
Kamaruzaman segera berpaling ke arah Amin. Dia menanti jalan yang dikatakan oleh Amin itu. Namun Amin tidak menjawab. Dia mengulum senyum dan membiarkan Kamaruzaman bertambah bingung!


SEJAK  beberapa bulan terakhir ini, Muhayat rasa gelisah dan resah tidak menentu. Dia sendiri tidak tahu apa puncanya. Walhal, semua urusan di pejabat tidak ada masalah. Pendapatan syarikat semakin melonjak naik sejak dia mengambil alih pentadbiran dari abahnya, Ahmad Adham.                                  
“Saya nampak awak berubah sekarang. Kenapa?” tanya Asyikin, ketika mereka keluar makan bersama.
“Apa maksud awak? Apa yang berubah? Saya tak rasa apa-apa pun?” Muhayat membelek dirinya.

       Ketika itu Asyikin juga sedang meneliti wajah Muhayat. Wajah itu tidak seceria dulu. Dia seperti orang yang sedang susah hati. Malah wajahnya nampak sedikit cengkung.
“Mungkin awak ni terlalu banyak bekerja. Sekali-sekala awak perlukan rehat. Pergilah bercuti.”
“Saya risaukan hubungan kita. Semua rancangan kita tergendala. Semuanya gara-gara ...”
“Bukan salah dia. Mungkin belum masanya kita bersama. Masa masih panjang. Kita selesaikan satu per satu masalah kita,” potong Asyikin dengan cepat. Dia tahu siapa yang dimaksudkan oleh Muhayat.
Sebuah keluhan mendesah dari bibir Muhayat.
“Ibu dan abah saya dalam mood yang kurang baik. Saya tak berani nak bincang hal kita dengan mereka. Saya harap awak faham,” balas Muhayat pula.
“Saya faham. Malah, kalau boleh saya nak awak selesaikan masalah awak tu dulu.”
“Masalah apa? Saya tak ada masalah apa-apa dengan mereka.” Muhayat  berpaling ke arah Asyikin.
“Awak janganlah ikutkan hati awak. Jangan juga ikutkan ego awak. Tak salah kita mengaku salah dan minta ampun. Ibu bapa itu syurga untuk anak-anak.”
“Jadi, awak pun nak salahkan saya? Awak tahu tak apa dosa mereka?”  Muhayat rasa jengkel dengan teguran Asyikin. Sebaliknya Asyikin hanya tersenyum. Wajah Muhayat yang merah padam, ditatap dengan rasa simpati. Dia tahu Muhayat sedang dibelit dendam dan marah yang tidak sepatutnya.
                  
              “Awak tak boleh nak buat hukuman sendiri. Berdosa awak tuduh ibu awak begitu. Bukan awak yang tentukan mereka berdosa atau tidak, tapi ALLAH.”
              Muhayat diam.
“Saya bukan nak masuk campur urusan keluarga awak. Tapi kalau awak anggap saya ni bakal isteri awak, awak kena dengar pendapat saya.”
Muhayat terkebil-kebil. Dia semakin bingung dan resah. Kata-kata Asyikin amat menikam jantungnya, namun dia tidak mahu luahkan kesakitan itu.
“Saya perasan sejak akhir-akhir ni awak sangat tidak tenteram dan sering resah. Awak tahu kenapa?” Asyikin semakin tidak mahu berhenti menilai diri Muhayat.
Geleng.
“Sebab awak tak mendapat keredaan ALLAH. Kenapa awak tak dapat? Sebab awak dah lukakan hati orang tua awak. Awak nak marah saya pun marahlah. Saya tak kisah. Tapi saya memang berkata benar. Awak dah buat air mata seorang ibu menitik!”
Hati Muhayat semakin berdenyut. Asyikin kekasih hatinya, sanggup berkata begitu kepadanya. Alangkah sedihnya.
Tiba-tiba dia bangun. Kakinya melangkah meninggalkan Asyikin. Dia membawa hatinya yang berdarah. Dia melarikan gundah jiwanya yang parah.

No comments:

Post a Comment