AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 20 June 2016

PELAYARAN KASIH- BAB 26 - ROHANI DERAMAN.



Dua bulan berlalu. Belum ada apa-apa jawapan dari Siti Solehah kepada lamaran Kamaruzaman. Pak Tahir dan Mak Jah pun tidak mendesak dan tidak pernah menyebut lagi mengenai hal itu. Mereka membiarkan  Siti Solehah berfikir dan membuat keputusan sendiri.
Siti Solehah duduk termenung di tangga. Merenung langit yang memutih dengan awan yang bergerak perlahan. Dia seperti sedang merenung nasib dan masa depannya. Dulu, dia selalu memasang impian untuk mengubah kehidupan keluarganya.
“Kalau Siti dah kerja, Siti tak akan izinkan mak dan ayah kerja lagi. Duduk rumah, berehat dan buat amal ibadat.”
Itu janjinya dulu. Namun, janji itu berkubur bersama cita-citanya yang tidak mampu digapai. Ayahnya sakit. Dia harus memikul tanggungjawab sebagai anak sulung. Lalu, dia terpaksa melupakan semua impiannya sendiri.

“Assalamualaikum kak!” ucap Hafiz yang termengah-mengah.
Siti Solehah menoleh. Rintikan peluh di wajah adik bongsunya membuatkan hatinya jatuh belas. Hafiz terpaksa berjalan kaki ke sekolah.
“Kak, kasut Hafiz ni dah terkoyak,” kata Hafiz sambil mengangkat kasut.
Mata Siti Solehah melihat kasut yang putih bersih kerana Hafiz rajin membasuhnya. Namun di hujung kasut itu, sudah berlubang!
Hati Siti Solehah semakin belas.
“Nanti kalau akak dapat duit jualan kuih kita beli kasut baru ya Fiz,” kata Siti Solehah cuba memberi harapan.
“Hafiz nampak Kak Inah?”
“Tak kak. Mungkin dia ke rumah kawannya. Kenapa akak cari dia?”
“Akak baru dengar berita di radio tadi. Hari ini keputusan SPM keluar. Dia tak ke sekolah ke?”
“Oh, mungkin dia ke sekolah. Kak, Hafiz naik dulu ya. Laparlah!”
Siti Solehah angguk. Hafiz naik ke rumah dan meninggalkan kasutnya di tangga. Siti Solehah merenung kasut Hafiz yang berlubang itu. Dia mengeluh sedih. Dia ingin memberikan yang terbaik kepada Hafiz. Namun, dengan pendapatan yang tidak seberapa dia memang tidak mampu.
Dari atas rumah, kedengaran batuk Pak Tahir semakin menjadi-jadi. Ubat yang diberikan oleh doktor sudah tidak mampu meredakannya. Sejak keluar dari hospital, sudah dua kali dia membawa ayahnya ke klinik swasta. Namun, batuknya masih berterusan.

Kalau dia mampu, sudah pasti dia akan menghantar Pak Tahir mendapatkan rawatan pakar. Apa dayanya, dia memang tidak mampu.
Lama dia bermenung. Lama dia cuba mencari jalan dan haluan. Tetapi, fikirannya tetap buntu.
“Kak! Kak!” Tiba-tiba Siti Mukminah muncul di halaman dengan riangnya.
“Kenapa Inah?” Siti Solehah terkejut. Menungannya lerai. 
“Kak, Inah lulus kak. Inah dapat 10A. Inah lulus cemerlang kak!” Siti Mukminah memeluk Siti Solehah dengan gembira.
“Ya ALLAH! Alhamdulillah... ” ucap Siti Solehah, membalas pelukan adiknya. Air matanya menitik. Dia sangat gembira. Kejayaan Siti Mukminah adalah kejayaannya juga.
Kemudian Siti Mukminah meninggalkannya sendirian. Suara riang adiknya itu kedengaran bergema ke seluruh ruang. Ayahnya gembira. Ibunya juga begitu.
‘Aku mesti lakukan untuk Inah dan Hafiz. Inah mesti masuk universiti. Hafiz juga. Mereka mesti dihantar belajar setinggi yang boleh. Aku mesti buat sesuatu. Aku mesti berkorban apa saja demi keluargaku ini…’ bisik hati Siti Solehah.
Tetapi bagaimana? Hasil kebun dan hasil jualan kuih mungkin tidak akan cukup untuk merealisasikan semua impian. Fikirannya menerawang lagi, mencari akal dan jalan. Akhirnya, Siti Solehah mendapat kekuatan dan semangat. Dia tidak boleh berlengah lagi.
Malam itu dia bertindak nekad. Hanya itu jalan yang dia ada. Walaupun nampak mudah dan rakus, namun ia adalah sebuah pengorbanan yang sangat besar.

Dia duduk bersimpuh mengadap Pak Tahir dan Mak Jah. Semua hajatnya diluahkan. Keputusannya segera dikhabarkan. Dia ikhlas. Tidak dipaksa oleh sesiapa melainkan rasa tanggungjawabnya kepada keluarga. Dia tidak mahu adik-adiknya menerima nasib sepertinya, cemerlang tetapi kandas!
Pak Tahir yang uzur itu merenung wajah anaknya dengan dada sebak. Sementara Mak Jah mengesat air mata yang tidak putus-putus mengalir.
“Sudahkah kamu fikir habis-habis Siti?” tanya Mak Jah, di celah esakan.
“Sudah mak. Hanya ini yang mampu Siti buat untuk kebaikan keluarga kita. Inah dapat keputusan yang cemerlang. Dia mesti masuk universiti mak. Hafiz juga akan menduduki PMR tahun ini. Siti tahu dia juga akan berjaya. Ayah dah lama terlantar. Kalau kita ada wang, kita boleh hantarkan ayah ke hospital pakar,” jawab Siti Solehah dengan tenang dan penuh yakin.
Dada Mak Jah semakin retak.
“Siti, ayah harap kamu tak menyesal. Masih ada masa untuk tarik balik keputusan kamu ini, Siti. Ayah tak harapkan pengorbanan sebesar ini dari kamu. Ini soal masa depan kamu. Jangan kau fikir sangat fasal keluarga ini,” kata Pak Tahir pula.
“Tak ayah. Siti ikhlas nak buat semua ni. Siti rela ayah.” 
Pak Tahir terdiam.
“Siti, fikirlah sekali lagi. Mak tak nak Siti terburu-buru. Kamu masih muda. Kamaruzaman tu dah tua. Kamu tak malukah kalau orang mengejek kamu,” kata Mak Jah.


“Mak, tolonglah terima keputusan ini. Siti sayangkan keluarga kita. Masa depan Inah dan Hafiz lebih penting dari nasib Siti sendiri. Siti tak lakukan kesalahan dan menyusahkan orang kampung. Jadi, biarlah mereka ejek. Siti akan terima semuanya,” balas Siti Solehah, bersungguh-sungguh. Pak Tahir dan Mak Jah saling berpandangan.
Jika itulah keputusan Siti Solehah, apa lagi upaya mereka untuk menegahnya.
Siti Solehah bangun dan menuju ke dapur. Dia harus menyiapkan jualan untuk esok. Nasi lemak dan kuih muih perlu dihantar ke warung Kak Muna untuk menambahkan rezeki.
“Kak, betulkah apa yang akak nak buat ni?” tanya Siti Mukminah yang sedang mengelap daun pisang.
“Ini yang terbaik untuk kita.” Siti Solehah tidak menoleh. Dia tidak mahu adiknya melihat keterpaksaan yang ada di matanya.
“Kita kena cari jalan lain,” kata Siti Mukminah lagi.
“Ini saja cara yang kita ada. Ini yang tak menyusahkan orang. Kalau kita berhutang pun, kita kena bayar juga nanti.”
“Tapi akak menggadai masa depan akak sendiri!” Siti Mukminah semakin tidak puas hati.
“Masa depan Inah dan Hafiz lebih penting.”
“Akak nak jual diri akak kepada orang kaya itu kerana kami? Akak nak minta dia biayai hidup kita sementara hidup akak sendiri akan merana?”
“Mana kau tahu akak akan merana?”
“Kak, dia tu sebaya ayah. Bahagiakah akak nanti dengan orang tua tu?”
Siti Solehah tersenyum. Dia menghidupkan api. Kuali segera dipanaskan. Sambal nasi lemak kena disiapkan. Dia membiarkan persoalan itu tergantung di situ.
Biarlah. Biar masa depannya diserahkan kepada urusan ALLAH. Jika ini jalan yang dia ada, dia pasrahkan diri kepada Yang Maha Esa. Hidup dan matinya, bahagia dan deritanya serta suka dan dukanya nanti biarlah ALLAH yang menentukannya.
Yang diharap hanya kesejahteraan keluarga. Biar semua kepayahan hidup keluarganya bertukar menjadi kesenangan.
Keputusan Siti Solehah segera disampaikan kepada Amin dan Rukiyah.
“Kami memang kurang setuju dengan keputusan ini. Tapi, dah itu yang dia nak. Kami ikut sahaja. Kami tak tahu apa yang dia fikir. Tapi, kami amat berharap agar Abang Zaman tak akan sia-siakan dia,” kata Pak Tahir.
“Abang Zaman tu orang baik-baik Pak Tahir. Dia pasti tak akan aniaya Siti,” balas Rukiyah pula.
“Entahlah, aku pun tak tahu apa tujuan sebenar dia. Jadi, aku serahkan kepada ALLAH. Asal anak aku tak dipukul bantai, sudahlah.”
Berita itu menyenangkan hati Kamaruzaman. Dia mengucap syukur dengan perlahan.
Akhirnya hal itu juga terpaksa diceritakan kepada Ahmad Adham dan Kartina.
“Baguslah, sekurang-kurangnya awak ada kawan untuk menemani hari tua awak,” kata Ahmad Adham, dengan segala senang hati.

“Saya nak berkahwin dengan Siti bukan kerana nafsu dan kepentingan diri saya, Adham.”
“Habis tu, kerana apa?” Ahmad Adham, sengaja  menduga. Walaupun dia sudah mengetahui semuanya dari mulut Amin, tetapi dia juga ingin mendengar dari mulut Kamaruzaman sendiri.
Kamaruzaman tidak mahu berselindung apa-apa. Dia menceritakan semua yang dia hajati. Semua yang ada di hatinya.
“Saya bangga dengan niat awak tu, Zaman.”
“Saya tahu kenapa Siti terima lamaran saya sekarang. Bukan kerana dia nak sangat jadi isteri saya,” kata Kamaruzaman lagi.
“Habis tu, kenapa?” Ahmad Adham semakin keliru.
“Dia nak berkorban untuk keluarganya. Adiknya baru mendapat keputusan cemerlang dalam SPM. Mereka pasti perlukan banyak duit untuk kemasukannya ke universiti. Saya kagum dengan pengorbanan Siti,” jawab Kamaruzaman. Dia terima keputusan Siti Solehah dengan penuh syukur. Apapun alasannya, itu tidak penting. Yang penting, dia akan hulurkan bantuannya.


PIHAK  pengantin perempuan dan pihak lelaki bersetuju bahawa urusan pernikahan akan disegerakan. Perkara yang baik usah dilengahkan. Kamaruzaman menyerahkan semua keputusan kepada Ahmad Adham dan Firdaus. Kartina, Amin dan Rukiyah menjadi pembantu yang akan menguruskan majlis dengan baik.
“Fir nak abah bersanding. Kita buat kat hotel,” kata Firdaus.
“Ish, apa yang Fir merepek ni?”
“Betul tu abah. Apa salahnya kita raikan dengan meriah. Kita pun dah lama tak adakan apa-apa majlis,” kata Zurie pula.
“Abah  malulah, Zurie. Buat diketawakan orang sahaja,” Kamaruzaman tersenyum-senyum.
“Apa nak fikir orang ketawa. Lagipun, awak kena ingat. Siti tu anak dara. Ini adalah kenangan sekali saja dalam hidupnya. Dia mesti diraikan,” kata Ahmad Adham pula.
Kamaruzaman diam berfikir. Hatinya memang sangat berat untuk menunaikan permintaan Firdaus. Namun, dia terpikat dengan kata-kata Ahmad Adham. Siti Solehah harus diberi peluang merasakan saat manis menjadi raja sehari.
“Nak ke Siti tu?” tanya Kamaruzaman.
“Hal Siti tu serahkan saja pada Ru dan Tina. Tahulah orang perempuan macam mana nak buat kerja,” balas Ahmad Adham.
Akhirnya Kamaruzaman akur pada keputusan mereka. Kartina dan  Ahmad Adham ikut gembira dan senang hati dengan apa yang sedang berlaku dalam hidup Kamaruzaman.
“Awak tak nak jemput Muhayat?” tanya Ahmad Adham ketika mereka berdua sahaja di ruang tamu.
“Mahukah dia datang? Dia sangat bencikan saya,” jawab Kamaruzaman.
“Kalau awak izinkan, saya akan cuba,” balas Ahmad Adham pula.

“Kalau dia sudi datang, inilah detik paling bahagia dalam hidup saya. Tapi, kalau dia tak sudi saya pun tak akan rasa kecewa dan hampa. Saya tak nak fikir yang buruk dan sedih lagi. Saya nak lalui hidup saya dengan aman dan tenang,” kata Kamaruzaman perlahan.
Ahmad Adham menepuk belakangnya.
“Saya harap dia tak akan sia-siakan peluang ini. Saya dan Tina akan balik semula ke rumah kami kalau Muhayat datang ke sini. Ini janji saya.”
Kamaruzaman hanya mendengar. Dia tidak mahu memberi apa-apa komen. Muhayat anak kandungnya. Ahmad Adham telah menjadi sahabat karibnya. Kedua-dua ada dalam hatinya, dalam kedudukan yang berbeza.
Ahmad Adham segera menghubungi Muhayat. Deringan telefon Muhayat didengarnya jelas. Lama. Namun tidak ada yang menjawab. Ahmad Adham menelefon pula ke nombor telefon rumah. Dia bercakap dengan Bik Suratmi, pembantu rumahnya yang setia sejak lama.
“Bik, Hayat ada kat rumah?”
“Pagi lagi dia sudah keluar, tuan.”
“Dia sihat ke?”
“Nampaknya sihat. Tapi, dia asyik termenung. Dia ada tanya sama saya, ke mana tuan dan nyonya besar pergi? Saya bilang saya memang tak tahu,” jawab Bik Suratmi.
Ahmad Adham diam. Tiba-tiba rindunya mengalir lembut dalam nubari. Dia tidak pernah berpisah jiwa begini dengan Muhayat sebelum ini. Semasa Muhayat berada di luar negeri, mereka hanya berpisah jasad tetapi hubungan hati tetap tidak berpisah. Mereka saling menghubungi. Saling bertukar khabar dan saling pula melepaskan rindu walaupun melalui telefon. Namun kini...
“Ada nak pesan apa-apa, tuan?” tanya Bik Suratmi.
“Tak apa bik. Nanti saya cuba telefon dia. Bibik jaga rumah saya baik-baik ya.”
“Bila tuan dan nyonya besar nak balik?”
“Saya akan balik kalau Hayat datang ke sini menjemput kami,” jawab Ahmad Adham.
“Maksudnya? Tuan memang tak nak berahsia lagi di mana tuan berada sekarang?”
“Saya akan cakap dengan dia sendiri. Bik jangan susah hati ya. Semuanya akan pulih nanti. Bik berdoa saja agar hati Muhayat berubah. Dia anak yang baik. Cuma sekarang dia keliru dengan kasih sayang kami,” jawab Ahmad Adham sebelum mematikan talian.
Lama dia bermenung.
“Bang, kenapa? Muhayat tak nak datang?” tanya Kartina yang datang dari dapur.
“Dia tak jawap panggilan abang pun. Mungkin dia sibuk di pejabat. Abang akan telefon lagi nanti.”
“Habis yang abang termenung ni kenapa?”
“Entahlah Tina. Walau bagaimana marah pun abang pada dia, abang tetap rindukan dia. Sejak kecil, dia manja dengan abang. Sekali pun abang tak pernah marah dia.”
Kartina  mengakui kasih sayang dan belaian Ahmad Adham kepada Muhayat. Itu yang membuatkan dia semakin rasa bersalah.
“Abang, maafkan Tina...” kata Kartina dengan sebak.
“Kenapa pula?” Ahmad Adham segera menoleh. Wajah Kartina yang berubah rona itu menggamit pilunya.
“Muhayat dah hancurkan hati abang.”
“Siapa kata? Hati abang tak pernah hancur. Abang hanya merajuk. Selagi Tina ada bersama abang, hati abang tak akan hancur. Sudahlah. Mari kita doakan agar kali ni Muhayat lembut hati,” ujar Ahmad Adham. Dia menarik Kartina ke dalam pelukannya. Dia cuba menahan gelora di dada Kartina dari pecah menjadi ombak air mata!
Malam itu, selepas balik dari masjid Ahmad Adham tidak terus makan malam.
“Saya nak telefon Hayat. Awak makanlah dulu, Zaman.”
“Tak apalah. Saya tunggu awak. Kalau awak tak makan, tuan puteri pun tak akan makan. Jadi, lebih baik saya tunggu awak. Pergilah, kami tunggu,” kata Kamaruzaman dengan senyum senang.
Ahmad Adham segera menekan nombor telefon Muhayat. Dia tahu waktu begitu biasanya Muhayat sudah berada di rumah.
“Assalamualaikum, Hayat. Abah ni.”
“Abah? Abah kat mana? Bila abah nak balik?” Suara Muhayat kedengaran ceria mengharap.
“Ermm... kami ada di kampung Abang Zaman di Johor. Kami akan balik, tapi kami nak Hayat datang ke sini hujung bulan ni. Boleh?”
“Ada apa?”
“Abah Zaman nak kahwin. Abah nak kita semua berkumpul. Syila dan Syid pun dah setuju nak datang. Datang ya Hayat. Nanti abah berikan alamatnya,” kata Ahmad Adham penuh mengharap.
Diam. Tidak ada jawapan dari Muhayat.
“Hayat...”
“Tengoklah nanti abah. Saya tak nak janji apa-apa. Kerja saya di pejabat tu banyak.”
“Kerja tu boleh tangguh. Syarikat kita tak akan rugi hanya kerana Hayat tak ada sehari. Tapi, Abah Zaman akan gembira kalau Hayat sudi memeriahkan majlisnya.”
“Abah, majlis itu akan meriah walaupun tanpa saya. Sebaliknya, saya malu nak datang dan tengok orang tua macam dia masih ada hati nak kahwin!”
“Hayat! Jangan cakap macam tu. Jodoh pertemuan ALLAH yang tentukan. Apa salahnya dia berkahwin. Sekurang-kurangnya ada orang yang temankan dia,” balas Ahmad Adham meninggikan suara. Dia kurang senang dengan kata-kata Muhayat. Kegembiraan yang cuba dikongsi dengan Muhayat, tiba-tiba tercalar.
“Abah suka dia nak kahwin sebab abah dah tak perlu nak bersaing lagi dengan dia!”
Tut!
Ahmad Adham mematikan talian. Dadanya berdebar. Jantungnya berdegup kencang. Serta merta pula tubuhnya bergetar. Dia dalam keadaan marah!

kartina segera mendekat. Dia tahu suaminya sedang berada dalam situasi yang sangat cemas.
“Abang, sabar bang. Bertenang bang,” kata Kartina memeluk bahu Ahmad Adham.
“Sampai hati dia...” rintih Ahmad Adham.
Kartina hanya mampu memeluk seerat-eratnya. Dia tahu pasti ada perkataan yang telah diucapkan oleh Muhayat yang menyakitkan.
“Adham. Janganlah macam ni. Kan saya dah kata, saya tak akan kecil hati kalau dia tak nak datang. Awak jangan seksa diri awak kerana dia, Adham.” Kamaruzaman yang berdiri tidak jauh dari situ segera mendekat.
Namun ketika itu, Ahmad Adham sudah tidak mampu bernafas lagi. Dia tercungap-cungap.
“Abang, tolong bang. Kita kena bawa dia ke hospital. Tolong bang!” Kartina menoleh kepada Kamaruzaman dan merayu.
Kamaruzaman tidak berlengah.
“Amin! Cepat keluarkan kereta. Kita mesti ke hospital sekarang!” laung Kamaruzaman kepada Amin di dapur.
Amin keluar dan terpinga-pinga.
“Apa tercegat lagi? Cepat keluarkan kereta!”
“Mana kita ada kereta, bang?” tanya Amin yang kebingungan.
Kamaruzaman mengurut dada dan beristighfar. Lantaran panik, dia terlupa bahawa mereka tidak ada kereta. Kereta miliknya tidak dibawa. Ada di rumahnya di Johor Bahru. Dia ke situ dihantar oleh Firdaus.

No comments:

Post a Comment