AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 21 June 2016

PELAYARAN KASIH - BAB 27 - ROHANI DERAMAN



Muhayat pulang dari ofis dengan lesu. Hari itu dia rasa amat penat. Fikirannya pula amat bercelaru. Kenapa sejak akhir-akhir ini, begitu banyak masalah yang tidak dapat diselesaikan dengan baik? Kenapa dia selalu tidak tenang dan sering pula keletihan?
“Bik! Bawakan saya jus oren,” katanya kepada Bik Suratmi yang taat membuka pintu.
Wanita Indonesia itu patuh ke dapur. Tidak lama dia keluar dengan segelas jus oren. Dia meletakkan di hadapan Muhayat.
“Bik, saya dengar Mursyid dah balik. Mana dia, bik?”
“Tuan muda sudah keluar. Dia bilang mungkin dia tidak pulang malam ini,” jawab Bik Suratmi sambil berlalu.
Muhayat meneguk jus oren. Kerongkongnya yang kehausan rasa sedikit lega. Dia menekan remote TV. Kemudian dia menyandar dengan selesa di sofa.
Dia tahu Mursyid dan Marsyila semakin renggang dengannya. Sejak Kamaruzaman keluar dari rumah itu, diikuti dengan Ahmad Adham dan Kartina yang merajuk lalu keluar dari rumah itu semuanya menjadi hambar.
Marsyila sengaja larikan diri. Mursyid pula sering mengelak dari bertembung dengannya. Tidak ada lagi ketawa mesra dan gurau senda. Hilang semuanya. Sekelip mata sahaja, semuanya musnah!
“Awak kena pergi minta ampun dari mereka. Awak kena betulkan semua dan jernihkan keadaan. Hanya awak!” kata Asyikin setiap kali bertemu.
Dia termenung lama. Dia mencari-cari sebab bermula semuanya. Benarkah dia yang bersalah? Benarkah dia yang menghuru-harakan keadaan seperti apa yang diucapkan oleh Asyikin.
Dia tidak pernah menghalau sesiapa. Mereka yang keluar meninggalkannya. Dan malam tadi, abahnya menelefon.
“Abah Zaman nak kahwin. Abah nak kita semua berkumpul. Syila dan Syid pun dah setuju nak datang. Datang ya Hayat. Nanti abah berikan alamatnya.” Itu kata abahnya.
Dia semakin bingung dengan apa yang sedang mereka rancang. Lelaki yang muncul mengaku ayah kandungnya, datang ke rumah itu dan cuba menggoda ibunya. Kemudian sekarang abahnya sanggup tinggalkan rumah itu dan pergi tinggal dengan lelaki itu. Sekarang, lelaki itu akan berkahwin dan mereka menjemputnya untuk memeriahkan majlis.
“Huh! Tak sedar diri betul. Dah tua-tua pun masih nak kahwin!” rungutnya dengan geram.
Dia cuba membuang semua ingatan. Matanya cuba dipejamkan. Dia berharap wajah ketiga-tiganya tidak mengganggu mindanya.
Hampir tengah malam, telefonnya berdering. Panggilan dari Mursyid.
“Assalamualaikum abang. Syid cuma nak beritahu. Abah masuk ICU. Kami dalam perjalanan ke Johor. Terserahlah abang nak datang atau tidak. Tugas Syid hanya menyampaikan, bukan memaksa abang. Abang orang cerdik pandai yang tahu berfikir. Fikirlah,” kata Mursyid tanpa menunggu dia menjawab salam.
Kemudian suara Mursyid hilang!
Muhayat terpinga-pinga. Dia terkedu dan bingung. Persoalan yang muncul dalam fikirannya ketika itu ialah: pergi atau tidak.
“Bik!” panggil Muhayat.
Bik Suratmi terkocoh-kocoh keluar dari biliknya. “Tuan nak makan ke?”
“Tak. Saya nak beritahu. Abah masuk hospital. Ada di wad ICU.”
“Ya ALLAH! Tuan besar sakit lagi?” Wajah Bik Suratmi berubah gusar.
Muhayat tunduk diam. Fikirannya masih bercelaru.
“Tuan tak mahu pergi?” Bik Suratmi cuba menduga. Dia sedia maklum akan krisis yang sedang berlaku di rumah besar itu. Dia juga sedia faham sikap keras hati Muhayat yang tidak mahu mengalah.
“Bik, patutkah saya ke sana?” tanya Muhayat. Dia rasa perlu berkongsi keresahannya dengan wanita itu. Walaupun dia hanya seorang pembantu rumah, tetapi mereka sekeluarga tidak pernah menganggapnya begitu. Bik Suratmi sebahagian dari keluarga itu. Abah dan ibunya sangat sayangkan Bik Suratmi.
“Memang tuan kena pergi. Ajal maut kita tak tahu. Tuan dah selalu sakit, tapi ALLAH belum nak ambil nyawanya. Mana tahu kali ini...” Bik Suratmi tidak berani untuk menghabiskan ayatnya. Dia mula sebak. Semua kebaikan majikannya tidak terucap dengan kata-kata.
“Bik...” Muhayat merintih. Ketika itu air matanya kelihatan mula berlinangan.
Hati Bik Suratmi tersentuh. Akhirnya dia dapat melihat wajah sebenar Muhayat sebagai seorang anak.
“Saya sangat sayangkan ibu dan abah. Saya tak sanggup nak bayangkan saya kehilangan mereka untuk selama-lamanya.”
“Kalau macam tu, tuan harus segera ke sana sebelum terlambat.”
“Bik, saya tahu saya anak yang jahat, bik. Ibu terlalu baik dan banyak berkorban untuk saya. Abah saya pula sangat mengasihi saya hingga saya tak rasa dia tu bukan darah daging saya. Namun, kenapa hati saya begitu kejam melukakan hati dan perasaan mereka. Kenapa bik?” Muhayat menutup mukanya dengan kedua telapak tangannya. Tidak lama tangisan Muhayat pecah seperti deburan ombak memecah di pantai. Sangat menyayat hati.
“Tuan, jangan menangis begini. Sepatutnya tuan menyerah diri kepada ALLAH dan berdoa agar kedua orang tua tuan berada dalam keadaan baik,” kata Bik Suratmi tanpa melihat ke arah Muhayat. Dia tidak sanggup melihat Muhayat dalam keadaan begitu. Dia kenal kebaikan budi Muhayat sebelum berlaku semua perselisihan faham itu.
“ALLAH pun sudah benci kepada saya bik. Saya anak derhaka! Saya anak yang tak mengenang budi... saya anak yang jahat...” rintih Muhayat dengan tangisan yang semakin mendayu.
“Tuan, jangan bilang begitu. Jangan sekali-kali berprasangka buruk kepada ALLAH. Kita ini hanya hamba yang lemah dan tidak berdaya. ALLAH Yang Memiliki segalanya. DIA Yang  Maha Tahu dan Maha Mengasihani. Mintalah ampun pada DIA, tuan.”
Nurani Bik Suratmi amat tersentuh. Rintihan dan air mata Muhayat dilihat amat tulus dan menggugat kerinduannya.
Dia teringat kepada anaknya Agus di Surabaya. Muhayat sebaya Agus. Cuma Agus hanya pemuda desa yang kerjanya bertani. Dari zaman kanak-kanak Agus sudah berkawan dengan matahari. Kini Agus sudah menjadi seorang ayah kepada tiga orang anak.
Melihat air mata Muhayat mengalir kerana merindukan ibunya, Bik Suratmi terasa seolah-olah Agus yang sedang merintih dan memanggilnya pulang.
‘Oh Agus anakku...’ getus hati Bik Suratmi. Namun dia segera sedar. Dia harus memadamkan rindunya. Dia datang untuk mencari rezeki. Dia perlu membantu Agus membina masa depannya.
“Bik, mahukah mereka terima saya selepas derhaka kepada mereka?” Muhayat merenung mata Bik Suratmi, mencari jawapan yang jujur.
“Anak adalah harta ibu bapa. Sejahat mana pun seorang anak, ibu bapa tidak akan membuangnya dari hati mereka.”
Muhayat termenung. Dia memang begitu kebingungan. Dia seperti baru tersedar dari tidur yang lena.


"Belum terlambat untuk tuan pergi minta ampun dari mereka. Tuan Adham, Nyonya Kartina dan Tuan Kamaruzaman itu orang baik dan alim. Mereka tak akan lakukan perkara yang ALLAH tak suka. Sebab itu syaitan sangat bencikan mereka,” kata Bik Suratmi, tulus.
“Apa maksud bibik?”
“Syaitan menghasut tuan agar benci kepada ibu bapa sendiri. Syaitan masuk ke dalam hati tuan agar berdendam dan bermusuhan dengan ibu yang melahirkan tuan. Lalu ALLAH murka kepada tuan dan syaitan ketawa kerana tuan akan bersama-samanya ke neraka.”
Jawapan Bik Suratmi itu seperti menampar pipinya. Muhayat benar-benar rasa kesakitan.
“Istighfarlah tuan. Halau semua iblis dan syaitan yang ada dalam diri tuan. Pergi minta ampun kepada ibu bapa tuan sebelum ALLAH lebih murka dan menjatuhkan hukuman-NYA,” sambung Bik Suratmi, tenang.
Muhayat kagum dengan kata-kata pembantu rumahnya. Bik Suratmi sebaya ibunya, Kartina.  Dia seorang yang rajin, amanah dan beriman. Sebab itu, memandang wajahnya seperti melihat satu cahaya yang menyejukkan mata.
“Saya akan ikut cakap bibik. Saya akan pergi sekarang. Terima kasih bik, kerana menjadi ibu ketika saya perlukan nasihat dan kasih sayang ibu saya,” kata Muhayat. Dia bangun dan membetulkan dirinya. Dia nampak bersemangat.
“Saya doakan tuan dirahmati ALLAH. Kirim salam saya kepada tuan besar dan nyonya. Katakan, saya tunggu mereka balik. Rumah ini sunyi tanpa mereka,” balas Bik Suratmi dengan senyum senang. Dia rasa sangat gembira kerana berjaya memujuk Muhayat. Dia terbayang wajah gembira Kartina kalau tahu Muhayat sudah berubah.
Muhayat segera masuk ke bilik. Tangannya dengan cepat menarik beberapa helai baju dan memasukkan ke dalam sebuah beg kecil. Dia menekan nombor telefon Asyikin.
“Saya nak ajak awak ke Johor malam ini juga,” kata Muhayat.
“Kenapa?”
“Abah saya sakit tenat. Kita perlu segera ke sana. Saya tak berani nak pandu sendirian dalam saat macam ni. Tolong temankan saya.”
“Baiklah. Datang ambil saya. Saya bersiap sekarang!” kata Asyikin memberi kata setuju.
Muhayat mematikan talian. Dia tahu Asyikin gadis yang baik dan tidak akan membiarkan dia  menghadapi semua situasi yang bakal dihadapi, sendirian. Lantaran itu, cintanya kepada Asyikin tidak pernah berubah walaupun berbagai dugaan dan cabaran datang mengganggu hubungan mereka.
Ketika Muhayat dan Asyikin sampai di Hospital Pontian, hari sudah menjelang subuh. Dia tidak mahu berlengah. Tidak mahu menunggu siang.
“Kita tunggu siang,” kata Asyikin.  
“Tidak. Kita mesti masuk sekarang. Saya tak nak bertangguh lagi. Dari jauh saya datang sebab nak ucapkan kata maaf ini. Saya nak bersihkan diri saya dari dosa. Mari, kita masuk sekarang!” Muhayat menarik tangan Asyikin.
Asyikin akur. Dia mengikut langkah kekasihnya itu dengan hati yang senang dan bahagia. Beberapa bulan hubungan mereka menjadi renggang dan tidak keruan kerana sikap Muhayat. Sekarang, semuanya akan berakhir.

Ahmad Adham sedang tidur lena. Kartina juga terlena di sebelah katilnya. Namun ketika pintu ditolak, Kartina segera membuka mata. Kepalanya diangkat. Berkali-kali dia menenyeh mata. Dia seperti tidak percaya dengan matanya.
“Hayat ke tu?” tanya Kartina dengan curiga.
Muhayat tidak menjawab. Sebaliknya dia terus berlari ke arah Kartina dan duduk memegang lutut ibunya.
“Ya ALLAH! Anak ibu... akhirnya kau datang juga!”
“Ibu, ampuni Hayat. Tolong ampuni anak derhaka ini... tolong ibu...” kata Muhayat dengan pilu. Tiba-tiba tangisan mengiringi ungkapan kata-katanya.
Hati Kartina tersentuh. Luluh seluruh rasa kecil hatinya sejak berbulan-bulan. Dengan cepat tubuh anak itu ditarik ke dalam pelukannya. Air matanya menitik.
“Sungguh lama ibu tunggu saat ini. Rindunya hati ibu hanya ALLAH Yang Tahu. Kenapa lambatnya Hayat datang? Ibu hampir putus asa... ibu ingat ibu tak akan jumpa Hayat lagi...”
“Ampuni Hayat...” tangis Muhayat lagi.
Tangisan itu semakin mendayu dan tangisan itu menyentuh kuping telinga Ahmad Adham. Dengan perlahan dia cuba membuka matanya. Walaupun amat berat, namun dia berjaya juga.
“H... Hayat...” bisik Ahmad Adham dengan bibir yang terketar.
Muhayat terus mendekat. Tangan Ahmad Adham dicium dan dia merebahkan dirinya ke dalam pelukan abahnya.
“Hayat minta ampun, abah. Hayat memang anak yang tak mengenang budi! Abah, ampunkan anakmu yang derhaka ini,” rintih Muhayat.
Ahmad Adham membalas pelukan Muhayat dan mengusap-usap kepalanya.
“Abah tahu, Hayat anak yang baik. Abah tahu Hayat pasti akan datang. Abah dah ampunkan Hayat dah. Tak pernah pun abah simpan di hati,” kata Ahmad Adham dengan suara berbisik. 
“Ibu, hukumlah anakmu yang biadap ini,” kata Muhayat mendongak kepada Kartina.
“Abah, ampunkan Hayat... Hayat lalai seketika dalam menilai kasih sayang abah.”
Tangis Muhayat mula reda. Dia mengesat air mata yang merembes dan duduk dengan tenang.
“Abah, kita pindah hospital ya. Kita balik ke Ipoh,” kata Muhayat. Tangannya masih menggenggam tangan Ahmad Adham.
“Hayat, abah akan tetap di sini. Pernikahan Abah Zaman kamu minggu depan. Abah nak hadiri majlis itu. Kita semua akan raikan dia,” balas Ahmad Adham.
Muhayat termenung.
“Hayat, dia akan mulakan hidup baru. Kita kena beri sokongan pada dia,” sambung Ahmad Adham.
Muhayat masih diam, termenung.
“Kenapa Hayat termenung? Hayat tak nak ke majlis tu? Hayat tak nak minta ampun pada Abah Zaman?”
“T... Tak. Bukan macam tu. Tapi nak ke Abah Zaman maafkan Hayat?”
“Dia abah kandung Hayat. Berilah dia peluang untuk merasai kasih sayang Hayat. Dia tak ada anak yang lain selain Hayat. Itu permintaan abah,” ucap Ahmad Adham, perlahan.
Muhayat masih termenung dan berwajah keliru. Kartina menggenggam tangan anaknya. Dia cuba memberikan kekuatan dan menghapuskan semua kekeliruan itu.
Kamaruzaman datang selepas Kartina menghubunginya. Ketika dia menolak pintu, matanya terpaku melihat Muhayat sedang menyuapkan air ke mulut Ahmad Adham sambil rancak berbual. Kartina di sebelahnya kelihatan sangat riang dan gembira. Suasana itu sangat mesra dan sungguh ceria.
Kamaruzaman cuba berundur langkah. Dia tidak mahu mengganggu suasana itu.
“Zaman! Awak nak ke mana? Marilah. Dari tadi saya tunggu awak. Anak kita dah datang ni.” Tiba-tiba suara Ahmad Adham memanggil.
Langkah Kamaruzaman terhenti. Dia menoleh dan melambai tangan.
“Saya tunggu di luar. Maafkan saya,” katanya, cuba tersenyum. Tanpa menunggu lama, dia terus menutup pintu dan berjalan jauh dari bilik itu.
Dadanya sebak. Kerongkongnya perit. Air matanya mula bergenang.
Dia gembira kerana Ahmad Adham dan Kartina gembira bertemu Muhayat. Dia bahagia melihat mereka bahagia. Lalu dia berjanji tidak akan merosakkan kebahagian mereka lagi. Lalu dia mengambil keputusan untuk duduk di ruang menunggu, jauh dari bilik rawatan Ahmad Adham. Dia akan menunggu dan melepaskan sebaknya di situ.
Lama dia tunduk.  Lama dia mencari kekuatan untuk dirinya.
“Assalamualaikum, a... abah...” Satu suara memberi salam. Kamaruzaman segera mengangkat muka. Dia terpaku. Matanya bertembung dengan mata Muhayat. Seluruh tubuhnya kaku. Dia tunduk semula, cuba melarikan resah yang membadai.
“Begitu besar dosa Hayat kepada abah, hingga abah langsung tak sudi memandang wajah Hayat.”
Dada Kamaruzaman bergemuruh. Dia semakin tunduk seolah-olah dia takut untuk mendongak.
“Apakah dalam hati abah, langsung tak pernah ada nama Hayat?”
Hati Kamaruzaman retak pilu.
“Mungkin Hayat ni anak yang tak diharapkan. Sebab itu, sejak lahir sampai kini abah tak mahu memandang Hayat. Abah biarkan Hayat mengasihi orang lain ketika abah perlukan kasih Hayat. Abah relakan orang lain yang membelai Hayat di saat seorang anak perlukan kasih sayang dan belaian ayahnya....” Rintihan Muhayat tenggelam bersama rasa sebaknya.
Tubuh Kamaruzaman mula menggigil. Dia cuba menahan getaran hatinya. Namun, saat itu dia sudah tidak mampu lagi. Akhirnya rasa pilu menjadi badai yang menghempas pantai hatinya. Dia menangis. Dia teresak-esak. Kemudian dia mengongoi.
Muhayat segera memeluk tubuh Kamaruzaman. Dia melepaskan tangisnya di bahu Kamaruzaman. Mereka bertangis-tangisan. Mereka lupa keadaan sekeliling.
“Maafkan ayah yang tak guna ini, Hayat. Maafkan ayah yang tak bertanggungjawab ini...” rintih Kamaruzaman di celah esakannya.

“Ampuni juga anak yang biadap ini. Ampuni anak derhaka ini. Hukumlah anak yang tak guna ini, abah. Hukumlah...” kata Muhayat pula.
Pelukan mereka bertambah erat. Kamaruzaman melepaskan rindunya yang tersimpan lama. Muhayat pula menerimanya dengan rasa bahagia yang melimpah. Air mata menjadi saksi untuk pertemuan itu.
Kamaruzaman melonggarkan pelukannya. Dia menyapu wajah Muhayat yang basah.
“Maafkan abah. Abah nak Hayat percaya pada satu perkara.”
“Apa dia, abah?”
“Bahawa abah memang benar-benar tak tahu Hayat lahir ke dunia ini. Kalau abah tahu, dah lama abah cari Hayat dan ibumu.”
Muhayat tersenyum. Dia menarik  tangan Kamaruzaman dan mengucupnya.  
“Kamu mesti tak percaya dan ingat abah dah tipu kamu kan?” tanya Kamaruzaman, sambil merenung wajah Muhayat.
“Hayat percaya, abah. Syukurlah. Biarpun kita terlambat bertemu tapi tak terlambat untuk kita mulakan hidup baru. Sekali lagi Hayat minta maaf kerana mencurigai abah dan ibu. Hayat dirasuk iblis!” jawab Muhayat.
“Tak apa. Abah tahu kamu tak berniat begitu.” Kamaruzaman mengusap kepala Muhayat. Dia teringat kepada Firdaus. Semasa kecil Firdaus sangat manja dengannya dan sering minta diusap kepalanya.
“Abah, mari kita ke bilik Abah Adham. Dia dah lama tunggu sahabatnya ini,” kata Muhayat sambil memimpin Kamaruzaman bangun.
Dengan senang hati, Kamaruzaman akur.
“Apa khabar awak hari ni Adham?” tanya Kamaruzaman ketika masuk ke bilik Ahmad Adham.  
“Saya dah baik. Saya nak balik hari ni. Banyak benda yang saya nak buat,” jawab Ahmad Adham dengan senyum, ceria dan sangat gembira.
“Eh, awak ni. Rehatlah dulu di sini. Biar awak benar-benar sihat dulu baru kita balik,” balas Kamaruzaman.
“Nanti saya tak sempat nak beli baju baru yang sedondon dengan Tina,” kata Ahmad Adham.
“Nak buat apa baju sedondon tu bang?” tanya Kartina dengan hairan. Rasanya dia tidak merancang apa-apa program.
“Tina, awak lupa ke? Kita kan nak jadi pengapit pengantin minggu depan?”
Kartina ketawa mengekek.
Wajah Kamaruzaman berubah merah padam. Dia rasa sangat malu. Terutama kepada Muhayat yang sedang merenungnya!

No comments:

Post a Comment