AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 22 June 2016

PELAYARAN KASIH - BAB 28 - ROHANI DERAMAN.




S
uasana majlis akad nikah dan persandingan antara Siti Solehah dengan Kamaruzaman berlangsung dalam suasana yang sederhana tetapi meriah. Jemputan tidak ramai. Hanya saudara dan kenalan dekat.
            Selepas sempurna akad nikah, Siti Solehah bersalam dan mencium tangan Kamaruzaman dengan gugup dan gementar. Diikuti dengan ucapan dan salam tahniah dari semua yang hadir. 
            “Akhirnya, bertemu juga jodoh awak dengan dia. Saya akan doakan awak berbahagia hingga akhir hayat, Zaman.” Ahmad Adham bersalam kemudian memeluk Kamaruzaman dengan gembira.
            “Tina pun macam tu juga, bang. Selamat pengantin baru,” ucap Kartina, ikhlas. Dia menarik tangan Siti dan menggenggamnya erat.
            “Jaga Abang Zaman baik-baik,” bisik Kartina ke telinga Siti Solehah.
            Siti Solehah angguk perlahan dan malu-malu.
            “Abah, selamat pengantin baru. Hayat juga akan doakan agar abah bahagia. Dan...” Muhayat bersalam dengan Kamaruzaman sambil mengenyit mata.
            “Dan apa?” tanya Kamaruzaman.
            “Dan apa lagi, dia nak adik cepat lah tu!” gurau Ahmad Adham pula.         
            Suasana riuh dengan gelak ketawa para tetamu. Siti Solehah tersipu malu. Merah padam wajahnya.
            Persandingan pula berlangsung dengan penuh hilai ketawa. Gurauan dan usikan menjadikan dewan dipenuhi suasana ceria.
            Malam itu, malam pertama untuk Kamaruzaman dan Siti Solehah hidup sebagai suami isteri. Malam itu juga kali pertama mereka menjadi imam dan makmum. Solat maghrib dan isyak, Siti Solehah setia berdiri di belakang seorang suami. Dia rasa tenang dan aman walaupun dia masih gugup dan gementar.
            Selepas solat isyak, Kamaruzaman berdoa panjang. Siti Solehah pula mengaminkan dengan kusyuk. Ketika doa usai, Kamaruzaman berpaling dan menghulurkan tangan kepada Siti Solehah. Dengan tenang, Siti Solehah mengucup tangan suaminya.
            “A... Abang,  mulai hari ini Siti adalah isteri abang. Siti berjanji akan taat kepada abang dan menurut apa jua perintah abang. Tegurlah Siti jika Siti buat silap,” kata Siti Solehah, perlahan tetapi jelas.
            “Siti, abang faham perasaan Siti. Abang tahu kenapa Siti bersetuju untuk kahwin dengan abang. Abang tahu Siti terpaksa. Oleh itu, jika Siti keberatan nak layan abang sebagai isteri yang sebenar-benarnya, abang reda dan akan maafkan Siti. Abang akan berikan Siti masa untuk menerima abang dengan hati dan perasaan yang ikhlas, bukan terpaksa,” balas Kamaruzaman pula sambil mengucup dahi Siti Solehah.         
            Dengan tenang Siti Solehah angguk.
            Kamaruzaman bangun dan mengemaskan sejadah. Siti Solehah ikut berbuat begitu. Tidak lama kedengaran pintu diketuk berkali-kali.
            “Pengantin baru, mari makan. Hidangan dah siap ni!” kata Ahmad Adham di luar pintu bilik.
            Kamaruzaman  menoleh kepada Siti Solehah. Dia tersenyum geli hati. Ahmad Adham melayan dia dan Siti Solehah seperti raja dan permaisuri.
            “Mari kita keluar makan. Selagi kita tak keluar, mereka tak akan makan,” ajak Ahmad Adham.
            Tidak lama, Kamaruzaman dan Siti Solehah keluar beriring-iringan.
            “Silakan duduk paduka tuanku dan permaisuri.” Ahmad Adham dan Kartina menyambut keduanya dengan mesra. Seperti sudah dirancang, Zurie, Firdaus, Muhayat dan Asyikin berdiri untuk menyambut kehadiran mereka.
            “Adham, apa ni? Malu saya!” kata Kamaruzaman, menyengih.
            “Apa nak malu. Awak tak buat salah pun. Kami hanya meraikan awak berdua.”
            “Mama, makanlah kenyang-kenyang. Jangan malu. Zurie masak ni semua untuk abah dan mama,” kata Zurie.
              Siti Solehah semakin tersipu malu. Perkataan ‘mama’ amat menyentuh hatinya. Zurie dan Firdaus lebih tua darinya. Muhayat juga seperti seorang abang kepadanya. Kini semua mereka menjadi anak-anak tirinya! 
            Ruang makan menjadi riuh rendah dengan gurau senda. Sambil menikmati hidangan, mereka makan dengan santai.
            “Kita harap majlis selepas ini adalah majlis perkahwinan Muhayat dan Asyikin pulak. Adham, saya nak awak uruskan utusan peminangan.”
            “Baik tuanku. Patik tahu tuanku dan adinda Kartina memang dah tak sabar nak menjadi nenda. Balik dari sini, patik akan terus mengatur rancangan. Asyikin, ada masalah?” Ahmad Adham berpaling kepada Asyikin.
            Gadis itu tunduk. Kali ini giliran dia pula menjadi sasaran mata mereka. Merah padam wajah Asyikin.
            “Biar Hayat jawab untuk  mewakili Asyikin. Dia ni pemalu sikit,” kata Muhayat pula. Asyikin mencubit  bahu Muhayat dengan mesra.
            “Silakan jawab,” kata Ahmad Adham ikut tersenyum melihat gelagat dua merpati itu.
            “Memang hal ni kami dah bincang lama. Kami dah setuju untuk hidup bersama. Cuma, kami belum ada masa nak bincang secara bersungguh-sungguh. Kali ini, kami serahkan kepada abah dan ibu untuk menguruskannya. Abah Zaman dan Mama Siti, tolong uruskan majlis untuk kami,” jawab Muhayat.        Kartina tersenyum senang. Tidak lama lagi dia akan dapat menantu. Makan malam malam itu dirasakan sangat menyenangkan. Ia bukan sahaja untuk meraikan pengantin baru tetapi juga meraikan keputusan Muhayat dan Asyikin itu.
                 “Syukurlah, keluarga kita akhirnya bercantum semula. Lepas ni kita rancang majlis Muhayat dan Asyikin dengan baik,” kata Ahmad Adham dengan wajah yang sangat ceria.
            Jam 11.00 malam baru mereka meninggalkan meja makan. Masing-masing sudah mula keletihan dan mengantuk.
            Kamaruzaman dan Siti Solehah juga masuk ke bilik pengantin.
            “Siti tidurlah di atas. Biar abang tidur di bawah,” kata Kamaruzaman sambil menarik sebiji bantal dan berbaring di bawah.
            “Abang...” Siti Solehah rasa bersalah.
            “Siti tidurlah. Abang tak akan ganggu Siti. Abang janji.” Kamaruzaman berkata dengan senyum sambil berpusing ke arah dinding. Sekejap sahaja kedengaran dengkuran kecil tanda lelaki itu sudah tertidur, keletihan.         
            Siti Solehah menarik selimut dan segera menyelimutkan tubuh Kamaruzaman. 
            “Terima kasih bang,” kata Siti Solehah dengan terharu. Dalam masa yang sama, dia rasa lega kerana Kamaruzaman teguh pada kata-katanya.  Dia berharap agar semuanya akan kekal begitu.
            Sudah seminggu Kamaruzaman dan Siti Solehah hidup sebagai suami isteri. Hanya mereka berdua yang tahu apa yang berlaku dalam hubungan mereka.
            “Abang harap ia menjadi rahsia kita berdua saja.” Itu kata Kamaruzaman kepada Siti Solehah pada pagi pertama mereka berkahwin. 
             Beberapa hari selepas majlis, Ahmad Adham dan Kartina pun dibawa balik oleh Muhayat ke Ipoh. Ternyata wajah masing-masing ceria walaupun terpaksa berpisah.
            “Saya harap kita tak akan terputus lagi selepas ini, Zaman. Kalau awak dapat anak, jangan lupa bawa ke Ipoh. Kita buat kenduri potong jambul di sana. Kita raikan adik Muhayat pulak,” kata Ahmad Adham dengan ketawa berdekah-dekah.
            “Kalau anak perempuan, Tina akan buat anak angkat. Boleh?” Kartina ikut bergurau.
            Gurauan itu membuatkan Siti Solehah tunduk diam. Bukan hanya malu, tetapi dihantui rasa bersalah kerana terpaksa berpura-pura.
            Kamaruzaman rasa dia juga perlu balik ke Johor Bahru. Firdaus sudah membisikkan bahawa dia ada temujanji dengan doktor pakar jantung pada hujung minggu itu. Tidak boleh tidak, dia mesti pergi.
            “Abang akan balik ke JB petang ni,” kata Kamaruzaman selepas menunaikan solat sunat duha.  Siti Solehah yang sedang mengemas sejadah, membalas kata-kata itu dengan senyuman. Namun, senyuman itu seketika sahaja. Tiba-tiba dia segera tersedar. Kini dia sudah bergelar isteri orang. Sebagai isteri dia wajib mengikut suaminya. Dia wajib tinggal di rumah suami. Itu hukum ALLAH bukan undang-undang rekaan manusia. 
            “Tak apalah kalau Siti nak terus tinggal di sini. Abang tak kisah. Sekali-sekala abang akan balik menjenguk Siti,” kata Kamaruzaman penuh pengertian selepas melihat Siti Solehah termenung.
            “Siti akan ikut ke mana abang pergi selagi abang masih suami Siti,” jawab Siti Solehah dengan jujur.
             “Tapi...”
            “Tidak ada tapinya. Ini keputusan Siti,” tegas Siti Solehah.
            Hati Kamaruzaman tersentuh. Dia seperti pernah mendengar kata-kata sejujur itu semasa mudanya, tiga puluh tahun yang lalu. Ya. Semasa baru berkahwin dengan Kartina, hampir sama ucapan itu keluar dari bibir  Kartina. Terasa sejarah itu menjadi dekat dengannya.         
            “Abang, kenapa? Salahkah apa yang Siti cakap ni?”
            “Kalau macam tu, abang ucapkan terima kasih kerana Siti sanggup hidup dengan abang. Walaupun abang tahu, Siti menjadi isteri abang hanya kerana keluarga Siti tapi abang gembira,” kata Kamaruzaman tanpa menoleh.
            “Kenapa abang gembira?” Siti Solehah beranikan diri  untuk bertanya.
            “Abang gembira sebab dapat isteri yang taat dan berjasa kepada ibu bapa. Siti sanggup berkorban hari depan Siti untuk kesenangan mereka. Susah nak cari gadis macam Siti dalam zaman ini,” jawab Kamaruzaman,  jujur dari lubuk hatinya.
           
           
            SITI SOLEHAH mendengar pujian itu dengan senyuman. Pujian itu amat dihargai. Namun ALLAH sahaja yang tahu betapa beratnya perjuangan batinnya ketika itu.
            “Marilah kita bersarapan dulu. Siti dah siapkan nasi lemak dan kuih rendang kasturi untuk abang,” kata Siti Solehah.
           “Ya. Lepas sarapan, kita ke rumah mak dan ayah Siti. Abang kena beritahu mereka tentang hajat Siti nak ikut abang ni,” kata Kamaruzaman pula.
            Siti Solehah angguk. Memang dia pun ada hajat yang diselesaikan sebelum berangkat meninggalkan kampung. Dia segera mengekori Kamaruzaman keluar dari bilik menuju ke meja makan.          
            Mereka bersarapan tanpa sepatah kata. Masing-masing hanyut melayan fikiran sendiri.
            Selepas bersarapan, tanpa berlengah mereka berjalan kaki ke rumah Pak Tahir yang tidak jauh dari rumah itu. Sepanjang jalan, mereka menjadi perhatian orang kampung. Mereka tersenyum-senyum melihat pengantin baru yang macam anak dengan bapa itu.
            Siti Solehah duduk bersimpuh di hadapan ayah dan ibunya. Kamaruzaman juga duduk dengan tenang. Semua hajatnya diluahkan.
            “Ayah, mak, saya nak balik ke JB petang ini. Ada urusan di sana. Ingatkan nak tinggalkan Siti di sini. Tapi dia pula nak ikut saya balik. Harap tak jadi masalah pada ayah dan mak di sini.” Kamaruzaman cuba membuang kegugupannya. Walaupun agak gementar dan sukar untuk berdepan dengan kedua-dua mertuanya dengan panggilan itu, namun dia paksa diri.  
            Walaupun Pak Tahir dan Mak Jah lebih muda darinya, mereka adalah mertuanya. Usia bukan alasan untuk membuang rasa hormat sebagai menantu.
            “Dia dah jadi milik suaminya. Kami dah tak ada hak apa-apa atas dia. Memang seorang isteri itu wajib mengikut suaminya, bukan keluarganya,” balas Pak Tahir dengan senyum yang dipaksa. Dia tidak mahu Siti Solehah melihat kesedihan yang mula berputik di hatinya.
            Sejak kecil Siti Solehah tidak pernah hilang dari pandangan matanya. Kini, dia akan dibawa pergi. Walaupun tidak jauh, tetapi mereka sudah tidak sebumbung lagi.
            “Siti sedih nak tinggalkan mak, ayah juga adik-adik ...” kata Siti Solehah menahan sebak.
            “Jangan sedih Siti. Kami tetap akan doakan Siti bahagia,” balas Mak Jah.
            “Ayah, mak, saya dah suruh Amin carikan orang lain menoreh di kebun saya itu. Hasilnya nanti, ayah dan mak ambillah. Saya ikhlas. Ayah dan mak tak payah menoreh lagi. Berehatlah. Semua perbelanjaan di rumah ini saya akan tanggung. Amin akan menjaga ayah dan mak ketika kami tiada,” kata Kamaruzaman lagi.
            “Zaman, kenapa susah-susah buat semua ni?” tanya Pak Tahir, sangat terharu.
            “Saya tak ada keluarga yang ramai. Sekarang, keluarga ini dah jadi keluarga saya. Apa salahnya saya menjaga kebajikan keluarga mertua saya.”
            Siti Solehah merenung wajah Kamaruzaman. Dia ikut terharu.  Air mata mula bergenang di hujung mata. Tanpa berlengah, Siti Solehah mengeluarkan sebuah sampul surat. Dia perlu segera selesaikan hajatnya pula.
            “Ayah, ini duit hantaran Siti tempoh hari. Ambillah duit ini ayah,” hulur Siti Solehah kepada Pak Tahir.
            “Eh, kenapa pula? Inikan duit hantaran perkahwinan kamu. Kami tak berhak ke atasnya,” kata Pak Tahir, cuba menolak pemberian itu.
            “Benar kata ayah kamu tu, Siti. Ini hak kamu. Kami tak boleh terima,” sokong Mak Jah pula.
            “Apalah yang ada pada hak itu, jika keluarga Siti hidup susah. Ayah lebih perlukan duit ini. Inah akan ke universiti. Hafiz masih belajar. Ayah dan mak juga perlukan rawatan doktor. Ambillah ayah. Hanya ini yang mampu Siti buat sebagai membalas jasa ayah kepada Siti selama ini,” kata Siti Solehah. Dia menarik tangan ayahnya dan meletakkan sampul surat itu.
            Kamaruzaman hanya diam memerhati. Dia tahu Siti Solehah pasti akan berbuat begitu. Dan dia rasa sangat bangga!    
            “Tapi duit sepuluh ribu ni banyak sangat untuk kami, Siti. Kau simpanlah duit ni. Mungkin satu hari kau pun memerlukannya,” kata Pak Tahir.
            “Sepuluh ribu ni belum cukup untuk membayar budi baik dan jasa mak dan ayah membesarkan Siti. Setitik air susu mak yang Siti minum pun belum mampu Siti bayar. Ini hanya hadiah kecil dari Siti. Terimalah ayah. Hak Siti ini adalah hak ayah dan mak juga.”
            Pak Tahir dan Mak Jah saling berpandangan dengan rasa sangat terharu dan sebak. Mereka mencari jawapan dari kerdipan mata masing-masing.
            “Siti! Kenapalah sebaik itu hati kamu. Kami tak berniat untuk menjual kamu demi kesenangan hidup kami!” Tiba-tiba tangis Mak Jah mengongoi. Dia tidak menahan lagi. Dia melepaskan tangis itu berderaian.
            “Mak, jangan cakap macam tu. Siti tak pernah ingat mak dan ayah menjual Siti. Abang Zaman berkahwin dengan Siti kerana dia benar-benar ingin membantu kita. Dia langsung tak ambil kesempatan terhadap kemiskinan kita,” balas Siti Solehah. Dia segera memeluk ibunya dan melepaskan tangisannya di bahu Mak Jah.
            “Mak, esok Siti akan berada di rumah suami. Siti harap mak dan ayah janganlah risau apa-apa. Doakan Siti dapat jadi isteri yang baik dan taat,” kata Siti Solehah ketika melepaskan pelukannya.
      
            “Mak dan ayah akan sentiasa mendoakan Siti. Pergilah. Taatlah kepada suami,” kata Mak Jah, sambil menyapu air mata Siti Solehah dengan hujung baju kurung Kedah yang dipakainya.
            “Mak, ayah, saya minta izin membawa Siti bersama saya. Saya janji akan jaga dia dengan baik.”
            “Bawalah ke mana saja sebab dia dah jadi hak awak, Zaman. Cuma sekali-sekali tolong izikan dia pulang ke sini menjenguk kami. Kami akan rindukan dia nanti,” balas Pak Tahir.
            “Ayah, saya langsung tak berniat nak putuskan hubungan kasih antara anak dan ibu bapanya. Dia tetap anak ayah dan mak walaupun dia isteri saya.” Kamaruzaman menarik tangan Pak Tahir dan menciumnya penuh hormat.
            Kamaruzaman dan Siti Solehah meninggalkan rumah itu sebelum matahari meninggi. Kepada Amin telah diarahkan mendapatkan sebuah teksi untuk terus dibawa mereka ke Johor Bharu.
            “Amin, Ru, tolong jaga rumah abang ni,” kata Kamaruzaman ketika bersalaman dengan Amin dan Rukiyah.
            “Abang jangan bimbang, ini dah jadi tugas dan tanggungjawab kami. Kami akan menjaga rumah ini dengan penuh amanah,” jawab Amin.
            “Lagi satu, abang tambahkan tugas kamu dan gaji kamu berdua,” kata Kamaruzaman lagi.
            “Abang tambahlah apa tugas pun tapi tak payahlah nak tambah gaji. Seribu ringgit sebulan ni dah cukup untuk kami berdua,” balas Amin, tulus.  Dia berkata jujur dari hati, bukan bermuka-muka.

             Dia selalu bersyukur dengan apa yang ALLAH berikan. Seribu ringgit sebulan untuk belanja makan minum di kampung, sudah lebih dari cukup. Mereka tidak menyewa dan mereka tidak ada anak untuk ditanggung.
            “Abang nak kamu dan Ru jaga keluarga mertua abang. Mereka dah tak menoreh lagi. Kalau mereka nak ke mana-mana, kamu carikan teksi. Pakai duit belanja rumah yang abang letakkan dalam laci almari itu. Kalau mereka sakit pening, tolong hantar ke klinik. Kamu juga pergi belanja dapur untuk mereka. Apa yang kamu beli untuk rumah ini, kamu kena juga beli untuk rumah sana. Ingat Amin, abang tak nak mereka hidup susah lagi. Biarkan mereka tumpukan perhatian buat amal ibadat,” kata Kamaruzaman, berupa arahan.
            Amin angguk perlahan. Dia menahan sebak dan air mata. Rukiyah juga begitu.
            “Lagi satu, kalau mereka nak ke masjid kamu kena bawa mereka. Boleh Min?” tanya Kamaruzaman merenung wajah Amin yang tunduk muram.
            “B... boleh bang.”
            “Kenapa kamu nampak sedih ni? Kamu tak setuju dengan tugas baru ini? Kalau ada yang kamu tak suka, cakap terus terang. Jangan kamu merungut di dalam hati. Itu tak baik untuk hati kamu. Akan sakit nanti!” Kamaruzaman menepuk bahu Amin. Sangat mesra.
            “Abang, saya ikhlas dan tulus dalam menjaga amanah abang. Saya cuma terharu dengan kebaikan abang kepada Pak Tahir dan Mak Jah. Tak sia-sia Siti berkorban untuk keluaganya. Abang memang sangat baik hati,” jawab Amin. Kali ini dia tidak mampu menahan air matanya lagi. Dia menangis!

            “Hei! Apa pula yang kamu tangiskan ni. Sudah, jangan menangis dan jangan banyak memuji abang. Abang buat ini semua kerana ALLAH. Abang jujur dengan kasih sayang abang. Kamu tahu abang tak ada keluarga lagi selain kamu berdua dan sekarang keluarga Pak Tahir tu. Jaga mereka seperti kamu menjaga abang selama ini,” ucap Kamaruzaman lagi.
            Amin dan Rukiyah angguk tanpa mendongak dan memandang ke arah Kamaruzaman. Sangat terharu hati mereka dengan sikap Kamaruzaman.
            “Ru, boleh tolong abang?” tanya Kamaruzaman kepada Rukiyah yang menahan esakan.
            “Cakaplah bang,” jawab Rukiyah sambil mengesat air matanya.
            “Ru tolong kemas dan masak untuk rumah sana juga. Kalau Ru tak ada kerja di rumah ini, Ru tolong jaga rumah sana juga. Boleh Ru?”
            “Insya-ALLAH bang. Ru akan jaga Pak Tahir dan Mak Jah macam keluarga sendiri. Abang jangan bimbang. Abang jagalah Siti baik-baik. Dia memang budak yang baik. ALLAH memang dah jodohkan abang dengan dia. DIA Maha Tahu,” jawab Rukiyah dengan senyum senang.
            Siti Solehah yang mendengar semua pesanan dan amanah Kamaruzaman, ikut menitiskan air mata. Memang dia sangat terharu.
            “Siti, tolong jaga Abang Zaman ya. Jangan peduli apa orang nak kata. Inilah jodoh yang terbaik untuk Siti,” kata Rukiyah, sambil menarik tubuh Siti Solehah ke dalam pelukannya.
            “Terima kasih Kak Ru. Siti akan ingat semua pesan akak. Tolong tengok-tengokkan mak dan ayah Siti. Hanya kepada Kak Ru, Siti letakkan amanah ini,” balas Siti Solehah pula. Mereka bertangisan. 

            Kamaruzaman melangkah masuk ke dalam teksi.
            Siti Solehah mengekorinya dengan mata basah. Kalau Amin dan Rukiyah terharu dengan layanan Kamaruzaman terhadap keluarganya, dia terlebih-lebih lagi.
            ‘Alhamdulillah, aku bersyukur kepada-MU yang ALLAH kerana membayar pengorbananku ini dengan seorang suami yang begitu baik dan berbudi,’ bisik Siti Solehah di dalam hatinya. Tiba-tiba hatinya berdebar!

No comments:

Post a Comment