AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 1 June 2016

PELAYARAN KASIH- BAB 9 karya Nukilan Rohani Deraman




A
hmad Adham dan Kartina memilih satu hari yang baik untuk mempertemukan ayah dan anak itu. Yang carik perlu dicantumkan. Yang renggang perlu didekatkan. Hubungan kasih yang tidak pernah terjalin itu perlu dijalinkan dengan penuh kasih sayang.
Sekali lagi Kamaruzaman diminta datang ke Ipoh. Dia akur dengan permintaan Ahmad Adham dan Kartina. Kali ini membawa hajat yang besar dan hati yang sangat teruja. Bertemu Muhayat!
            “Fir harap abah gembira bertemu dengan dia, anak kandung abah,” ujar Firdaus ketika menyalami tangan Kamaruzaman.
“Abah sebenarnya dah lama hidup gembira dengan kasih sayang Fir.”
“Abah, Fir juga gembira dan bahagia dengan hidup Fir selama ini. Abah memang bukan abah kandung Fir. Tapi Fir sangat sayangkan abah.”

Kamaruzaman menarik Firdaus ke dalam pelukannya. Hatinya sangat terharu. Bukan tidak pernah mendengar pengakuan  Firdaus itu. Namun setiap kali mendengar kata-kata Firdaus itu, hatinya melara sebak.
Bas mula bergerak. Kamaruzaman melihat lambaian tangan Firdaus dengan pilu. Firdaus anak yang tulus. Kasih sayang Firdaus penuh keikhlasan.
Firdaus dan Naimah, adalah dua jiwa yang sangat berbeza kewujudannya. Lalu semuanya terimbau lagi …
“Yang abang nak termenung ni kenapa? Abang masih ingat bekas bini abang tu ke?” tengking Naimah selepas beberapa hari dia melafazkan talak kepada Kartina.
Dia berdiam diri. Dia bingung memikirkan tindakannya. Talak yang dilafazkan bukan sahaja menggetarkan bibirnya tetapi juga menggetarkan hatinya. Tiba-tiba terselit rasa kesal dan tiba-tiba hatinya dilanda gelisah. Kartina isteri yang tidak pernah bersalah sudah diceraikan dengan mudah!
“Tak payah nak ingat-ingat lagi bang. Abang kan ada saya dan Firdaus? Kenapa masih nak ingat dia?” Naimah menyergah lagi.
Dia buntu. Sungguh akalnya hilang daya fikir. Dia belum pernah rasa seperti itu. Kematian Natasya membuatkan dia banyak dihumban rasa kesal. Kemudian dia membilang kesilapannya kepada Kartina. Rasa simpatinya tiba-tiba melimpah ruah.
“Abang masih sayangkan dia? Atau hati abang ni memang tak nak lupakan dia?” 

Dia hilang arah. Kartina sudah dilepaskan. Kartina sudah pergi meninggalkannya. Segala kenangan manis bersama Kartina pula kerap muncul di hatinya. Kadang-kadang dia menitiskan air mata. Saban malam dia diganggu dengan bayangan wajah Kartina yang tenang. Senyum Kartina yang manis dan layanan Kartina yang amat sopan.
“Abang ni kenapa? Gila talak ke?”
Seminggu selepas melafazkan talak, dia tidak dapat menahan diri dari merindui Kartina. Lalu dia kuatkan diri untuk pulang  ke rumah Kartina. Tidak mengapalah kalau Kartina tidak mahu menjadi isterinya semula, tetapi dia tetap ingin dekat dengan Kartina. Dia tetap ingin menyayangi wanita itu. Itu niatnya.
Namun semuanya tidak berlaku. Rumah Kartina sudah kosong.
“Dia dah pindah tiga hari lepas,” kata Kak Imah, jiran mereka.
“Ada tak dia beritahu dia nak ke mana, kak?”
“Tak pula diberitahu. Dia hanya kata nak merantau jauh,” kata Kak Imah lagi. Ketika itu dia kehilangan kata-kata. Dia terduduk. Dia menangis. Tanpa silu dia teresak-esak di hadapan pintu rumah. Baru terasa dia sudah benar-benar kehilangan Kartina.
“Encik Zaman, Tina ada tinggalkan ini untuk encik.”
Huluran Kak Imah diambil. Sebuah sampul surat dan sebuah kotak kecil.
“Terima kasih kak.”  Dia segera ke kereta. Dengan tangan yang terketar-ketar, dia membuka sampul surat itu. Sepucuk surat tulisan tangan Kartina ditatap dengan hati yang retak dan jiwa yang sangat melara duka.


Buat tatapan abang yang pernah Tina cintai,
Tina mohon ampun kalau selama menjadi isteri abang, Tina tidak menjalankan tanggungjawab dan tugas sebagai isteri dengan baik. Tina juga sudah maafkan semua kesalahan abang kepada Tina. Selebihnya abang mintalah ampun pada ALLAH.
Bersama ini Tina pulangkan semula cincin yang abang pernah belikan untuk Tina. Tina nak pergi jauh dan tinggalkan semua kenangan pahit manis bersama abang.
Semoga abang berbahagia selalu.
Kartina.

Dia melipat surat itu. Dia mengucupnya. Kemudian dia membuka kotak kecil itu. Sebentuk cincin berlian dikeluarkan. Dia masih ingat, cincin itu disarungkan ke jari Kartina ketika mereka menyambut ulangtahun perkahwinan yang pertama.
“Kenapa Tina pulangkan cincin ini? Ini pemberian ikhlas abang kepada Tina. Tina...” Tiba-tiba dia rasa sangat sayu. Dia mengucup cincin itu. Dia menangis sungguh-sungguh kerana amat sedih melihat cincin itu.
Dengan perlahan dia memandu ke rumah ibunya. Dia perlu membawa kesedihan itu ke pangkuan ibunya. Dia tidak akan membawanya pulang ke rumah kerana dia sedia tahu apa yang akan dia dengar dari mulut  Naimah.
“Selepas apa yang kau buat kepada dia. Selepas kau hancurkan hatinya, baru kau nak menangis?” tempelak Hajah Rahidah ketika dia menangis teresak-esak tanpa malu ketika menceritakan kerinduannya terhadap Kartina.
“Mak, saya menyesal dengan perbuatan saya. Saya menyesal mak.”

“Sesal itu tak berguna apa-apa lagi. Kau dah ceraikan dia. Dia dah pergi dari hidup kau. Sekarang, kau hiduplah dengan bini yang kau sayang-sayang itu.”
Dia ingin meraung sekuat hati mendengar kata-kata ibunya.
“Mak, saya mengaku saya bersalah. Tapi saya masih cintakan dia. Saya tak sangka begitu cepat kami berpisah.”
“Cinta? Jangan nak berbohong lagi. Bukankah kau cintakan Naimah? Bukankah kau pilih Naimah kerana Tina itu tidak sesuai dengan jiwa kau. Itu yang kau katakan pada mak tempoh hari kan?” Hajah Rahidah berkata dengan senyum yang sangat sinis.
Akhirnya dia tidak mampu menegakkan benang yang memang sudah basah dengan air mata Kartina dan air matanya juga. Namun, dia bertekad dalam hati. Dia akan menyimpan cinta dan kasih sayang Kartina dalam kotak kenangan hidupnya bersama cincin itu!
Kebahagiaan yang diharapkan selepas ketiadaan Kartina tidak pernah berlaku. Memang tidak pernah. Yang berlaku adalah tekanan dan rasa sakit hati yang bercambah saban hari. Kelakuan Naimah semakin hari bukan menyenangkan hatinya, malah amat menyakitkan.
“Awak tak masak ke? Saya ni lapar,” katanya ketika pulang dari kerja.  Naimah sedang terbaring di sofa.
“Saya penatlah. Awak beli saja nasi bungkus. Saya dan Firdaus dah makan di rumah mak saya tadi.” Naimah langsung tidak berganjak dari situ. Malah matanya semakin dipejamkan.
“Kalau hari-hari nak makan nasi bungkus, matilah saya!” rungutnya sambil berlalu ke dapur.

Dia mencari apa yang boleh mengalas perutnya yang sudah berkeroncong. Dia tidak tahu kenapa Naimah berubah. Sejak dia bercerai dengan Kartina, baru Naimah menunjukkan sikap sebenarnya. Sikap pemalasnya menjadi-jadi.
“Kenapa dengan awak ni? Apa yang tak kena hingga semua urusan rumah tangga awak dah tak peduli lagi?” tanyanya ketika mendapati kain baju berlonggok tidak dibasuh. Yang sudah dibasuh berlonggok tidak berlipat. Yang sudah berlipat, berlonggok tidak disusun dalam almari.
Dia terpaksa mencari kain bajunya dari dalam bakul. Atau kadang-kadang mencucinya sendiri. Dia terpaksa merendam mi segera kalau perut terasa lapar. Dia terpaksa mengacau sendiri minumannya kalau terasa haus. Lalu dia mula bertanya kepada dirinya : Untuk apakah dia berkahwin?
“Kalau awak tak puas hati, terserahlah pada awak. Saya pun dah tak kuasa nak fikirkan.” Itu kata Naimah bila hal ini diungkitkan. Dia bosan dengan kehidupan yang langsung tidak ada kesempurnaan.
“Nak fikirkan apa?” Dia membalas kata-kata Naimah dengan suara yang sengaja ditinggikan nadanya. Seboleh-bolehnya dia akan cuba membuat Naimah faham keinginannya sebagai suami.
“Awak tu memang sedang angau dan gila talak dengan bekas isteri awak. Kalau awak rasa dia memang terbaik untuk awak dan saya ni semuanya tak betul, awak pergilah cari dia. Duduk saja dengan dia!” Suara Naimah memang kasar dan tidak pernah sopan ketika bercakap dengannya.
“Apa yang awak cakap ni? Saya tak pernah pun terfikir macam tu!”

“Awak tak perasan diri awak. Saya ni yang mengadap muka awak siang malam. Awak berubah muram dan pendiam sejak bercerai. Tidur malam pun, awak selalu gelisah. Saya layan awak macam raja pun dah tak guna kalau hati awak melekat kat janda awak tu.”
Dia diam. Dia malas untuk bergaduh. Dia simpan semuanya dalam hati. Benarkah dia merindui Kartina sedangkan Naimah dalam pelukannya?
Hubungannya dengan Naimah semakin renggang. Rasa cemburu Naimah yang melampau telah membuatkan hubungan mereka menjadi dingin sedingin ais. Dia ingin kembali hidup seperti dulu. Namun, dia tidak tahu bagaimana caranya.
“Saya ni bukan orang gaji di rumah ini. Saya ni bekerja. Balik kerja, saya nak rehat. Abang ambillah pembantu rumah. Sekurang-kurangnya saya tak perlu lagi terkejar-kejar menghantar Firdaus ke rumah pengasuh,” kata Naimah sambil bersolek. Langsung tidak menoleh kepadanya.
Kemahuan Naimah  dituruti. Seorang pembantu rumah diambil untuk menguruskan rumah dan menjaga Firdaus.  Dia berharap agar sikap Naimah  akan berubah. Dia berharap Naimah  tahu bahawa dia memang benar-benar ingin menyusun semula corak hidupnya yang porak poranda itu.
Namun, semuanya tidak juga terjadi. Naimah  semakin tidak faham. Dia semakin mencari alasan untuk merenggangkan diri darinya.
Akhirnya, takdir menentukan segalanya.
Selepas tiga tahun menjadi suami isteri. Naimah  meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Ketika itu titik-titik air matanya gugur juga.
“Siapa yang nak jaga Firdaus. Kesian dia masih kecil untuk menerima perpisahan ini,” rintihnya kepada ibunya Hajah Rahidah.

“Pulangkan dia kepada ayah kandungnya,” balas ibunya.
“Tidak mak. Dah tiga tahun dia membesar di hadapan mata saya. Biarlah saya terus menjaganya.”
“Tapi, dia tu bukan darah daging kau. Dulu masa kau ada anak sendiri, kau tak nak sayang. Anak orang pula kau nak sayang!” tengking Hajah Rahidah, geram.
“Mak, yang lepas tu biarlah lepas. Sampai saat ini saya memang menyesal kerana melukakan hati Kartina dan …” Ketika itu tangisannya semakin mendodoi.
Bayangan wajah Natasya yang keletah dan comel menghantuinya. Kasihan Natasya…  kasihan Natasya… kasihan Kartina.
Dia terus membela Firdaus seperti anaknya sendiri. Sungguhpun Firdaus bukan dari benihnya, namun kasih sayangnya kepada anak itu sangat mendalam. Rasa bersalahnya kerana mengabaikan Natasya dulu, digunakan untuk membesarkan Firdaus.
Firdaus dihantar belajar setinggi yang mampu. Kebetulan Firdaus anak yang bijak dan pintar. Jadi dia melalui jalan yang sangat mudah untuk ke menara gading dan pulang membawa segulung ijazah.
Selepas setahun bekerja, Firdaus bertemu jodoh dengan Zurie. Kamaruzaman rasa hidupnya semakin lengkap selepas lahirnya dua cucu, Dayana dan Haziq.
Sungguh dia tidak menduga bahawa dalam meniti hari-hari akhir hidupnya itu, ALLAH membukakan sebuah rahsia hidup masa lalunya.
Kini fikirannya tertumpu kepada Kartina dan Muhayat!






No comments:

Post a Comment