AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 29 June 2016

USAH MENANGIS LAGI! - BAB 4



Debaran di dada menghenyak rasa duka. Empangan air mata bagaikan pecah dan tidak bertepi, mengalir tanpa henti. Rasa tersusuk duri berbisa, mampu melumpuhkan segenap anggota tubuhnya. Bibirnya bergetar menahan sebak. Hembusan angin dari kipas siling yang berputar, menyamankan seketika tubuhnya yang diulit kepanasan hati yang sedang membara. Mahu terbakar kalbunya, merayap disetiap rasa dan batinnya. Bukan ini yang dipinta, bukan ini yang diharap. Inginkan kehidupan cinta bersulam bahagia, namun kenapa derita yang menyapa? Di mana salah dan silapnya?
Razif,  cinta pertama yang bertahta di hati sekian lama. Kenapa berubah? Sedangkan orangnya sama? Kenapa dia terjebak ke lembah hina? Apakah rasa cinta dan sayang tidak mampu membahagiakan dirinya?
Semakin difikirkan, semakin dia tidak mengerti. Razif yang dikenali amat santun orangnya. Rajin dan berhemah tinggi, sejak bila dia menagih? Riana sendiri tidak pastii? Tahu-tahu sudah ketagih ditahap kritikal yang tidak mungkin dipulihkan lagi, melainkan diri sendiri ingin berubah menjadi manusia kembali. Tubuhnya sudah bagaikan manusia yang tidak cukup zat. Matanya cengkung jauh ke dalam. Bibirnya hitam bak dipukul sehingga lebam. Pada mulanya dia tidak syak, namun sikap suaminya yang begitu ketara berubah membuatkan dia mencari punca masalah, ada kerja diberhentikan. Ada duit, entah ke mana dihabiskan. Hati siapa yang tidak sakit?

Bertambah duka menghimpit diri, ketika melihat suaminya melepaskan gian di dalam kamar tidur sendiri. Disaksikan oleh kedua-dua orang anak yang tidak mengerti apa-apa. Riana mengeluh deras. Siapa yang boleh tahan. Mahu gugur jantung, mahu mati terkejut jika dibiar berlarutan.
Riana mengalihkan pandangan ke arah anak-anak yang lena di ruang tamu. Dia memerhati sekeliling. Sofa yang telah dimamah tahun, bantalnya juga sudah lembik dan tidak gebu lagi. Sarungnya sudah bertukar warna, suram dan muram. Televisyen 14 inci menjadi tempat penghilang duka nestapa. Hanya itu sahaja yang mampu disediakan untuk anak-anaknya. Kereta Toyota Vios terlalu mewah untuknya, diperolehi sewak menjual barang jualan langsung. Syarikat Jualan langsung yang disertai hanya bayar duit muka, dia yang terpaksa menyambung bayarnya. Sudah lama perkara itu berlalu, beberapa tahun yang lalu.
Sakit kepala memikirkan kehidupannya sekeluarga. Tanggungjawab semakin membesar, suami pula tidak boleh diharap. Buntu fikirannya. Tidak tahu di mana harus bermula. Serba tidak kena sahaja.
Ketukan kuat di pintu menyentap khayalannya. Dahinya berkerut. Risau tiba-tiba bertandang. Razif!? Riana serba-salah. Dia tidak mahu Razif kembali ke rumah itu. Pergilah ke mana sahaja suaminya mahu. Bukan di rumah ini. Daun pintu semakin kuat diketuk.
“Rin… Riana…!” sayup-sayup suara memanggil namanya.
“Kau ke Feah?” Riana menghampiri pintu.
“Ya, aku…!” jawab Rafeah di sebalik pintu.

Riana memutar tombol pintu dan membukanya perlahan. Terpacul wajah sahabat dan jirannya. Riana menarik nafas lega.
“Pucatnya muka kau? Kau demam ke Rin?” tanya Rafeah sambil melangkah masuk. Matanya singgah pada anak-anak Riana yang lena tidurnya.
“Ini… aku bawa makan malam untuk kau,” 3 bungkus makanan bertukar tangan.
“Kau ni… buat susah sahaja,” Riana benar-benar serba-salah. Rafeah sudah banyak membantunya. Wajah Rafeah yang asyik memerhati anak-anaknya tidur ditatap seketika. Rafeah berseluar panjang, blaus lengann panjang dan bertudung senada dengan warna baju, biru laut.
“Makanlah…!” suruh Rafeah apabila melihat Riana masih berdiri kaku merenungnya.
“Aku ke dapur sekejap.” Riana berlalu ke dapur.
Rafeah melabuhkan punggung di sisi anak-anak Riana.
“Kau dah makan ke?” tanya Riana yang kembali bersama dua gelas air dan sepinggan nasi goreng yang dibeli oleh Rafeah tadi. Dia duduk menghadap Rafeah.
“Razif mana?” mata Rafeah mencari seseorang.
“Sudah berambus setelah ambil duit simpanan aku!” kata Riana berterus-terang. Buat apa berselindung. Rafeah sudah tahu perangai suaminya. Hilang sudah rasa malu dengan sahabatnya untuk bercerita tentang apa yang berlaku.
“Duit simpanan? Maksud kau?”
“Duit modal untuk aku mulakan perniagaan, dan belanja dapur,” cerita Riana sayu.
“Ya ALLAH, macam mana dia boleh jumpa? Kau sorok di mana?” Rafeah menggeleng kesal. Kalau sudah penagih, begitulah keadaannya. Kehendak sendiri lebih penting dari memikirkan hal keluarga.
Malas hendak bercerita, buat sakit hati sahaja. Hanya keluhan berat dilepaskan menanda apa yang berada di jiwa. Nasi goreng di dalam pinggan langsung tidak disentuh. Biarpun perutnya lapar namun hati yang galau tidak mampu mengamit selera.
“Aku datang ni nak bagi tahu, ada kawan aku nak beli kereta kau tu… esok dia datang tengok. Ini dia bagi duit deposit tanda jadi. Harganya pun aku dah bagi tahu. Dia tak minta kurang bila aku ceritakan tentang masalah kau,” cerita Rafeah. Dia mengambil beg tangannya. Dompet berisi duit di keluarnya. Secekak duit pelbagai warna diserahkan kepada Riana.
Tergamam Riana seketika. Rezeki kurniaan ALLAH di waktu dia sedang susah. Alhamdulillah. Duit tadi bertukar tangan. Subhana-ALLAH RM1000.00, lega rasanya. Dapatlah digunakan untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan. Duit jualan kereta itu nanti, akan digunakan untuk membayar tebus talak terhadap suaminya. Nasib baik duit peguam tidak perlu dibayar kerana dia menggunakan khidmat biro guaman, sudah tentulah percuma. Manalah dia mampu hendak membayar duit upah peguam.
“Terima kasih ya, Feah.” Matanya dilirikkan pada sahabatnya, satu-satunya insan yang sering mendatanganinya dan banyak membantu.
“Hanya ini yang mampu aku bantu Rin, harap kau bersabar dengan ujian yang mendatang. Kau kena kuat ya, jangan putus asa,” nasihat Rafeah.

Malam itu duka yang menyapa, perlahan-lahan reda sendiri. Duit yang ada akan digunakan sebaik mungkin. Janganlah suaminya pulang menganggu lagi. Setelah Rafeah pulang, Riana cuba melelapkan mata. Makanan yang tidak bersentuh disimpan dalam peti sejuk yang telah berkarat di bawahnya. Selagi masih boleh guna, dimanfaatkan sepenuhnya. Matanya berkaca apabila terlihat wajah anak-anak yang masih lena tidurnya.  

No comments:

Post a Comment