AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 16 June 2016

SATU ILUSI - ASMAH HASHIM




Ke manakah sahaja kalian pergi, wahai insan-insan tersayang, detik hati kecilnya .  Tisya mengeluh kesal. Stereng diketuk berkali-kali melepaskan rasa marah di hati.  Hatinya rusuh, kecewa dan dihambat gelisah.  Jiwanya kacau.  Fikirannya berserabut, berbagai perkara bermain  dimindanya.  Sesekali marah menyinggah, sakit hati juga bertamu.  Tetapi kepada siapa dia harus marah dan sakit hati.  Rasa mahu dirobek-robek hatinya.  Mahu disiat-siat perasaannya sendiri.   Biar kembali tenang dan damai.
            Keresahan bagaikan racun memakan diri.  Hatinya benar-benar hancur luluh.  Kebahagian  bagai melarikan diri, lantaran penyinggahan masalah yang bertandang tanpa dijemput.  Kenapa tiba-tiba perlu ada perubahan kepada diri? Di mana kesefahaman selama ini antara mereka?  Sudah hilangkah budi bicara?  Sudah tiadakah ruang untuk bertolak ansur?  Dia terhimpit antara cita-cita dan keluarga.  Bagaimana dia harus menyelesaikan masalah tanpa perlu mengorbankan keluarga dan kerjayanya.  Ah! Berat tanggungan ini.  Ditelan mati emak, diluah mati bapak.
            Perlukah dia berkorban?  Sedangkan selama ini mereka sama-sama sepakat dan menjalani hidup berkeluarga dan saling menyokong antara satu sama lain dalam bekerjaya.  Tidak pernah menjadi masalah di antara mereka berdua.  Tidak pernah terhimpit antara dua pilihan ini, sehingga dia diulit resah berpanjang-panjangan.  Tidak pernah dihimpit rasa bersalah dalam mengapai impian mengejar kejayaan menjadi seorang wanita bekerjaya lantaran suami yang amat memahami dan  mengerti kehendak isteri yang tidak pernah bertepi.
            Kenapa baru kini impiannya tidak direstui?  Sebelum ini dia amat  bahagia apabila di rumah. Dia senang dalam suasana pejabat yang penuh cabaran. Kehidupannya penuh berwarna warni.  Pelangi memayung diri, keceriaan terasa mengalir dalam salur nadinya, terpampang di wajah.  Ketenangan  terasa seperti menjejakkan kaki di syurga Firdausi.
            Dia telah berjaya dan semakin berjaya.  Dari satu anak tangga ke satu anak tangga dia terus mendaki.  Tanpa bertoleh lagi.  Kejayaan yang diperolehi berkat sokongan suami tercinta.  Segalanya digenggaman.   Dunia miliknya itulah yang terasa di hati.  Kegembiraan yang tidak mungkin terlafaz dengan kalimah jiwa.  Kegembiraan yang tiada sempadannya.
            Untuk apa dia belajar sehingga ke peringkat institusi tinggi?  Adakah dia belajar untuk suka-suka?  Dia berjaya atas usaha yang tidak kenal putus asa.  Dia punya impian dan cita-cita.  Menjadi wanita besi dan bersemangat wajah seperti Tan Sri Dr.  Zeti Akhtar Aziz,  Gabenor Bank Negara Malaysia.  Beliaulah idolanya yang menyemarakkan semangatnya untuk memilih bidang  perakaunan setelah habis SPM.  Usai mendapat ijazah dalam  perakaunan dia memohon bekerja di Bank Nasional.  Dia bermula sebagai  Pegawai Penolong Akauantan.  Pekerjaan  yang menyebabkan dia terpaksa bekerja sehingga larut malam setiap hujung bulan.  Mengira, memeriksa dan meneliti akaun pelanggan di bank tempat dia bekerja.  Mengemas kini data peminjam  setiap bulan satu kemestian.
            Setiap hujung bulan adalah  hari yang paling sibuk buat dirinya dan juga orang bawahannya.  Waktu itulah mereka akan sama-sama bertungkus lumus   memeriksa akauan yang dibawa seliaannya.  Tidak boleh berlaku kesilapan waktu mengira.  Tersilap kira kesannya sungguh besar terpaksa ditanggung oleh pelanggan dan pihak bank.  
            Suami pula begitu memahami.  Waktu dia hamil anak sulong sehinggalah yang ketiga ringan sahaja suaminya membantu.  Menunggu penuh setia diwaktu dia tidak mampu memandu sendiri.  Di rumah suami tidak keberatan membantu mana yang perlu, tidak kenal erti jemu.  Setia di sisi setiap masa.  Setelah kejayaan dan impiannya hampir digenggaman.  Setelah dia  berjaya memperolehi master dalam  bidang perakaunan dan lulus dalam peperiksaan untuk dapat taraf sebagai akautan professional, dia mampu merasa bangga atas pencapaian diri.  Dengan sijil dan kelayakan yang ada, jawatan penolong pengurus menjadi miliknya.   
            Tidak tergambar dengan kata-kata, kejayaan idaman kalbu, walaupun langkah baharu bermula, perjalanan  masih jauh dan berliku, dia akan tetap berusaha selagi daya.  Dia ingin pergi jauh lagi.  Dia ingin menyambung pelajaran di peringkat PHD.  Suaminyalah pendorong sejati.  Tanpa suaminya tidak mungkin dia berjaya seperti hari ini.  Dia yakin tentang perkara itu.  Bagaimana mungkin seorang isteri  berjaya dalam hidup tanpa sokongan suami tercinta.   Impian yang dikejar pasti tidak akan berjaya digapai dengan begitu mudah sahaja.
            Kenapa ketika ini nada dan sarikata berlainan bunyinya, sumbang dan tidak sedap didengari.   Iramanya pincang.  Kenapa baharu sekarang   terasa susah dan sukar untuk terus menyokong seperti dahulu?  Ya Tuhan!  Semakin difikir, semakin dia tidak faham.    Semakin difikir semakin berat kepalanya.  Seberat air muka suami yang kelat.  Anak-anak juga begitu.  Bagaikan tidak mahu memahami.  Sedangkan mereka membesar waktu dia masih bekerja.  Sudah mangli sepatutny dengan rutin harian yang tidak menentu waktu dan masa.  Sudah  mampu memahami bahawasanya mama mereka seorang yang produkti dan rajin bekerja dalam mengejar kejayaan dalam bidang yang diceburi.
            Apa yang telah merasuk suaminya?  Apa  yang telah menganggu fikiran suaminya.  Bukan dia tidak pernah pulang lewat.  Sudap acap kali.  Dia meredah kegelapan malam sendirian di waktu insan lain enak dibuai mimpi.. Suami pula dengan rela hati dan sentiasa bersedia membantu menjaga anak-anak di rumah.  Semakin difikir semakin dia tidak mengerti.  Terasa semak dadanya.  Sakitnya menjadi-jadi.  Peritnya bagaikan dihiris sembilu.
            Air mukanya bertukar suram, muram.  Awan mendung berarak lalu, hanya menunggu turunnya hujan membasahi bumi.  Gambar kejadian pada malam itu menerpa di ruangan mata.  Ketika  itu malam kian larut.  Dia masih tertunduk-tunduk sedangn memeriksa akaun-akauan pelanggan bank tempat dia bekerja.  Fail-fail peminjam kereta, perumahan, kad kredit dan yang sam waktu dengannya tersusun kemas di atas meja.    Menunggu untuk diperiksa, disemak satu persatu sebelum dihantar ke meja pengurusnya.   Di skrin komputer semua data akauan pelanggan perlu disemak dan dikemas kini.
            Ketika itulah dia terlihat borang permohonan pinjaman oleh syarikat suaminya.  Segala butiran mengenai syarikat, penyata kewangan diteliti satu persatu.  Dia tersandar di kerusi.    Dia benar-benar hairan.  Apa sebenarnya yang terjadi?  Kenapa syarikat suaminya memohon pinjaman?  Bukankah syarikat suaminya sudah cukup stabil?  Apa yang sedang berlaku sebenarnya?  Apakah  syarikat tempat suaminya bekerja menghadapi masalah?  Kenapa dia tidak diberitahu?  Kenapa suaminya merahsiakan keadaan itu daripadanya?  Bertubi-tubi soalan menembak benaknya.
           
***
Hatinya diulit resah.  Cahaya mentari yang menerangi bumi tidak mampu menerangkan  hatinya yang sedang mendung itu.  Awan yang memutih dan langit membiru tidak langsung memberi ketenangan di hatinya yang berserabut.  Terbayang diruangan mata  waah anak-anak dan suami yang sudah pasti menunggunya di bawah untuk keluar makan malam bersama, bagi meraikan hari ulangtahun suaminya.
Telefon tidak berhenti-henti bordering minta dijawab.  Tertera nama suami tercinta.  Bukan tidak mahu menjawab, sudah tahu soalan daripada suaminya.  Dia hanya mampu  mengeluh.  Matanya memandang ke arah beberapa rakan sekerja yang terpakasa bekerja sehingga larut malam. Mereka juga seperti dirinya, menyiapkan tugasan  masing-masing.  Esok ada mesyuarat dengan semua  bahagian di Bank Nasional tempatnya bekerja.  Takut tidak sempat, dirinya juga yang akan ditimpa masalah.  Tidak mahu dipandang tidak cekap oleh pengurus dan  orang bawahannya.  Bukan itu sikap dia.  Dia tahu dirinya memang terkenal dengan kecekapan bekerja dan mampu menguruskan kerjanya dengan baik dan berjaya.  Setakat ini belum pernah menghampakan.  Dia mahu terus mengekalkan prestasi kerjanya.
            Tisya mengeluh lagi.  Deringan telefon itu menganggu perhatiannya kepada tugas yang sedang dilakukan. Dia melangkah eluar ke tempat letak kereta.  Tercari-cari kereta Nissan X-Trail milik suaminya.  Akhirnya terlihat juga.  Dia melangkah masuk ke dalam perut kereta.  Cuba berwajah manis sedangkan fikirannya berserabut memikirkan kerja dan keluarga.  Beg tangan berwarna krim diletakkan di atas riba.  Dijenguknya anak-anak yang sudah terlena di tempat duduk belakang.  Wajah suaminya yang  kelat dipandang seketika.  Keluhan berat dilepaskan.
            “Tisya tidak boleh balik lagi.  Ada kerja yang belum selesai.  Kena siapkan malam ini juga!” katanya perlahan.  Dadanya berat menahan debar.  Jantungnya berdegup kencang.  Perasaan bersalah menghimpit diri.
“Awak ingat sekarang sudah pukul berapa?  Anak-anak sudah letih menunggu!” jerit Zali.  Tanpa memperdulikan tidur anak-anak yang akan terganggu. 

              Terkejut Tisya apabila beg tangannya direnggut dan dibaling ke mukanya.
            “Keluar!”  jerit Zali dengan muka mencuka.  Membulat matanya memandang wajah Tisya.
            “Abang!”  Hanya itu perkataan sahaja yang keluar daripada bibirnya.  Dia melangkah keluar dari perut kereta.  Sakitnya hati.  Air mata bagaikan tidak mampu ditahan lagi.  Merembas dan mengalir keluar.
            Nyaring bunyi tayar kereta  Zali meninggalkan dia di hadapan tempat kerjanya.  Keadaan sunyi dan sepi, hanya terdapat beberapa buah kenderaan diparkirkan di situ.  Dengan hati yang sarat kecewa dia tercegat di situ.  Terpinga-pinga sendiri.  Sampai hati!  Kenapa kau berubah laku sedingin itum wahai suamiku?  Bukan dia sengaja lewat dan tidak menepati janji yang telah dibuat sejak pagi tadi.   Dia benar-benar terlupa, bahawa esok ada mesyuarat di tempatnya bekerja.
            Dengan penuh kepayahan dia menghayun langkah kembali ke tempat kerja.  Sebak di dada masih berbaki.  Kecewa dengan sikap suami yang tiba-tiba tidak memahami .  Air mata bagaikan air hujan yang tidak tahu bila akan berhentinya.  Wajah teman-teman sepejabat yang masih menunggu dipandang  seorang demi seorang.  Apakah nasib mereka sama spertinya?  Terpaksa berhadapan dengan suami yang  tidak memahami.  Jika tertekan dan terhimpit mahupun di rumah atau di tempat kerja, telanlah sahaja.   Hati yang menangis dan terluka parah tiada siapa yang tahu.  Kepada Yang Esa tempat dia mengadu.
            Pernah terjadi bagi yang tidak tahan, kepada kawan-kawan sepejabat tempat mengadu dan melepaskan geram.  Meluahkan apa yang dirasa.  Tidak berani simpan lama-lama takut memakan diri.  Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia berhenti kerja.  Namun dia tidak sanggup kehilangan pekerjaan yang amat diminatinya itu.  Bukan senang dia berada  sampai ke tahap ini.  Itupun dengan restu suami.  Kenapa  hari ini tidak sama seperti hari-hari sebelumnya.
            Ya ALLAH! Rintihnya dalam diri.  Terlalu pedih, terlalu menyinggung perasaan.  Dia mengharap apa yang berlaku hanyalah mimpi di siang hari.  Bukan kenyataan tetapi mimpi yang menerjah untuk menguji kekuatan dan kesabaran diri.  Namun ia benar belaka.  Hanya air mata yang berbicara menahan rasa sebak dan kecewa.
***
            Dengan pandangan yang kabur lantaran air mata yang masih mengalir dia terus memandu.  Hampir melewati waktu makan tengahari.  Dia mencari suaminya di rumah sahabat dan rakan sekerja suaminyal  Mungkin suaminya bawa anak-anak ke sana.  Tekaannya salah belaka.  Mereka tiada di situ.  Tisya mengeluh lagi.
            “Kenapa Ridzuan?  Apa yang terjadi?” wajah sahabat dan teman sekerja suaminya dipandang lama.  Berita yang disampaikan sememangnya tidak pernah disangka.
            “Syarikat hadapi masalah.  Pengurus akaun syarikat gelapkan duit pelanggan jutaan ringgit.  Projek perumahan kami tertangguh lantaran tidak cukup suntikan modal.  Jadi syarikat kami menghadapi masalah.  Bahan-bahan mentah dipesan, ingatkan sudah selesai dibayar, rupanya tidak.  Di mana kami hendak cekau modal pusingan untuk memulakan projek perumahan sedangkan hampir separuh duit syarikat lenyap begitu sahaja.  Saya ingin ucapkan terima kasih kerana  meluluskan pinjaman kami.  Kami mampu menarik nafas lega."  cerita Ridzuan panjang lebar.
            Tisya terdiam mendengarnya.  Sebagai pengurus syarikat tentu terlalu banyak bebanan yang terpaksa ditanggung, mungkinkah sebab itu maka suaminya merasa tertekan?  Kepada dirinya dilepaskan bebanan.  Aduhai, kenapalah tidak berterus-terang.  Ego seorang lelaki tidak mahu runtuh.
.
            Beberapa minggu yang lalu dia bertungkus lumus di pejabat sehingga balik lewat untuk membantu syarikat suaminya sehingga selesai.  Rakan-rakan sekerja turut membantu memperbaiki kertas kerja yang diserahkan oleh syarikat suaminya untuk memohon pinjaman bagi memulakan projek perumahan yang tertangguh.  Malah pengurusnya juga turut memberi sokongan yang  tidak berbelah bahagi.  Dia sanggup memperjudikan kerjayanya demi suami tercinta, biarpun tindakannya ini adalah salah.  Jika selama ini suaminyalah pembakar semangat untuk dia berjaya sehingga ke tahap ini, kenapa dia tidak boleh membantu suaminya menyelesaikan masalah yang berlaku.  Kelulusan telah diterima.  Sepatutnya tiada lagi kebimbangan di hati suaminya.  Melarikan diri bukan  penyelesai masalah.    Malah memberi masalah baharu dalam hidup mereka.
            Masalah  yang berlaku membelengu fikiran suaminya sehingga menganggu gugat keharmonian rumah tangganya.  Sehingga mengejutkan kerjayanya sendiri.  Dia terus memandu meredah kesuraman malam.  Cahaya lampu jalan yang ada ketika terang dan ada ketika bagaikan hilang cahayanya bagaikan mengerti perasaannya. Hembusan angin malam yang menerpa masuk melalui tingkap kereta yang terbuka menampar pipi gebunya.  Cuba menenangkan hati dan perasaan sendiri.  Dia tidak pernah  berhenti menghangat pesanan ringkas dan menelefon suaminya.  Biarpun tiada jawapan dia tetap terus mencuba.
            Ke manakah mereka pergi?  Balik ke kampungkah?   Suaminya berasal  dari utara tanahair.  Rumah mereka pula terletak di Kuala Lumpur.  Hampir 5 jam memandu baharulah sampai ke kampung mertuanya.  Dia mengeluh.  Malu berhadapan dengan bapa dan ibu mertua yang agak cerewet.  Cerewet tentang pengurusan rumah tangga.  Mereka lebih suka dia duduk di rumah menguruskan anak-anak dan suami.  Jika tidak kerana suami yang berkeras mahu dia bekerja sudah tentu setiap kali ternampak sahaja wajahnya, mereka akan memberi nasihat agar dia berhenti  bekerja.  Begitu juga ipar duai yang rata-rata isteri mereka tidak bekerja.  Tugas isteri adalah di rumah, itulah kata mereka.  Dia hanya mampu mendengar sahaja, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.  Tidak mahu bertekak mempertahankan pendapat sendiri.  Selagi suami di sisi dan merestui, dia sudah cukup bahagia. 
***
            Berkali-kali telefon suami didail.  Mengharap ada jawapan.  Namun hampa.  Dia tidak berputus asa, terus mencuba dan mencuba.  Hati yang bimbang semakin tebal kerisauannya.  Hati yangn marah semakin parah jadinya.  Rindu, geram bercampur aduk.  Marah, tertekan menganggu gugaat.  Dia terus mencuba mengharapkan keajaiban berlaku kepada diri.  Hubungan yang terjalin sekian lama tidak mungkin berakhir.    Salah diri masing-masing yang mengikut kata hati.
            “Ibu, penting.  Segera datang, kami tunggu di kampung!”
            Itulah panggilan telefon yang diterima daripada anak sulongnya, Tiya.  Panggilan itu sekurang-kurangnya melegakan perasaannya.  Dia tahu mereka berada di mana.  Sudah mahu berdamaikah suami dan anak-anaknya yang berumur 9 tahun hingga 4 tahun itu?  Dia mampu menarik nafas lega biarpun belum sepenuhnya.  Bohong kalau dia tidak merindui mereka?  Bohong kalau sudah hilang rasa sayang di hati.  Usai menguruskan apa  yang perlu, dia terus pulang ke kampung suaminya. Hujung minggu akan dihabiskan bersama anak-anak dan suami.  Semoga bahagia menjelma kembali atau ada bala yang menanti.  Dia tidak boleh berfikiran negative.  Tidak boleh berburuk sangka terutama kepada keluarga sendiri. 
            Dia memandu dengan hati yang berdebar, makan tidak lalu, mandi pula tidak basah.  Otaknya  asyik memikirkan apakah yang bakal berlaku. Suara Tiya, anak sulongnya bagaikan bergema, bernyanyi-nyanyi di telinga memintanya pulang ke kampung segera.
            Takut ada, seram juga berbuku di hati.  Sukar untuk mententeramkan diri lantaran kebimbangan menguasai diri.
            “Ibu, penting.  Segera datang, kami tunggu di kampung.”
            Ayat itu bermain-main di benaknya.  Berpusing dan berputar-putar di mindanya.  Hari semakin menganjak ke asar, suasana tenang di lebuhraya Utara- Selatan.  Mentari semakin menganjak ke barat menunggu untuk berlabuh, memanggil bukan menghiasi malam.  Semakin dekat menghampiri daerah kelahiran suami, semakin laju jantungnya berdegup.  Semakin berdebar rasa di hati.  Bagaikan boleh terasa getarannya.  Bagaikan terdengar ditelinga. Jalan ke kampung suami dilalui.  Hatinya tidak keruan.  Tangannya mula sejuk bagaikan ais.   Berdebar-debar lagi.  Takutpun ada.    Macam-macam ada di fikirannya.  Buruk atau baik, biarlah dia menghadapinya.         
             Kereta suami berada di halaman rumah keluarga mertua yang dihiasi dengan bunga-bunga kertas tumbuh subur, berbunga lebat.  Rumah batu setingkat itu tetap teguh berdiri biarpun sudah berusia puluhan tahun.  Semoga hatinya juga seteguh itu menghadapi apa sahaja yang bakal berlaku.  Dia meletakkan kereta Vivanya di sebelah kereta suami.  Langkah dihayun memasuki perkarangan anjung rumah mertuanya. Sunyi dan sepi bagaikan tiada penghuni.  Dahinya berkerut lagi.  Kalau begini hari-hari cepatlah wajahnya berkedut.
            “Assalamualaikum, Tiya! Mak! Ayah!” Menunggu seketika.
            Daun pintu terbuka luas.
“Waalaikumsalam, tahniah!” jerit anak-anak seramai tiga orang. Tiya tinggi lampai menyambutnya dengan penuh riang. Tasya, anak yang tengah sedikit tembam namun pandai bergaya. Talia, anak yang bongsu tetap manja di sisi suaminya. Ruang tamu keluarga mertua tetap kemas seperti selalu.
Dia terharu. Dia melangkah masuk. Anak-anak melemparkan senyuman manis dan memandangnya dengan wajah yang riang. Suami yang berdiri di hadapan kek yang dihias cantik memandang dengan muka manis. Hiba hatinya.
 Air mata mengalir tanpa dipinta, bukan air mata sedih tetapi air mata gembira.  Kesibukan dengan kejer-kerja di pejabat membuatkan dia terlupa.  Rupanya hari ini adalah ulangtahun perkahwinannya yang ke sebelas.  Suaminya tidak pernah melupakannya.  Setiap tahun mereka menyambutnya  bersama.  Cuma kali ini keadaan amat berlainan.  Hampir sahaja rumah tangga mereka hancur kerana sikap masing-masing yang tidak sabar dengan ujian.  Kedua orangtua mertuanya turut tersenyum bahagia.  Tisya terpinga-pinga.  Terkedip-kedip  kelopak matanya melihat Zali mendekati dirinya yang masih  berdiri kaku di ruang tamu.  Masih dalam keadaan tergamam dan terkejut, bertambah terkejut apabila Zali tiba-tiba memeluknya dengan penuh rasa rindu dan sayang.
            “Terima kasih Tisya!”   bisik Zali yang jelas keharuan.
            “Hah?  Terkejut, kehairanan.  Apakah suaminya berfikir, dia sudah berhenti kerja.  Aduhai, tidak pernah terfikir sejauh itu.  Kehadirannya bersebab, keinginannya juga bersebab.  Hatinya benar-benar kecewa jika suaminya menganggap kehadirannya ke situ kerana dia setuju untuk berhenti kerja.  Tiada sebarang reaksi daripada Tisya.  Hatinya kembali suram setelah mekar seketika  disirami air pujukan daripada anaknya sewaktu memandu pulang ke kampung suami.  Jika itulah harapan suaminya, dia benar-benar hampa.  Diulit rasa kecewa yang terus-terusan menghenyak hati dan perasaannya ketika dan saat itu.
            “Abang seharusnya mengucapkan terima kasih kepada isteri abang ini.  Malu untuk abang ucapkan, sayang.  Masalah syarikat abang telah selesai.  Abang tidak sangka Tisya sejauh itu sanggup membantu abang.  Pengurus Tisya menelefon abang pagi tadi memberitahu permohonan pinjaman untuk syarikat abang sudah diluluskan dalam masa yang  begitu singkat.  Alhamdulillah, orang yang menipu dan menggelapkan wang syarikat telahpun ditangkap.”  Kata Zali panjang lebar.
            “Ibu, jangan sesekali ibu berhenti kerja.  Nanti kalau ayah ada masalah di syarikat siapa nak tolong, kan?”  kata anak sulongnya gembira.  Selamba sahaja Tiya menyebutnya.
            “Yaaaa, tepat sekali, Tiya,” sampuk Zali.  Dia tersenyum gembira.
            Dahi Tisya berkerut semula, apakah dia tidak tersalah dengar?  Benarkah kata-kata suaminya.  Dia mencubit lengan sendiri.  Benar, dia bukan berilusi.   Dia sayang kedua-duanya, kerjaya dan keluarga.  Dengan dorongan dan bantuann keluarga baharulah dia mampu berjaya.    Jika tidak, usahanya hanya sia-sia dan tidak ke mana-mana.  Dia tidak mahu cemerlang dalam bidang kerjaya tetapi gagal membina keluarga bahagia.  Kini kedua-dua miliknya, akan dijaga dengan baik agar kehidupan menjadi miliknya di dunia dan akhirat.  Syukur, Alhamdulillah.
            Mata Tisya bersinar cerita.  Bagaikan sang suria di awal pagi menyinari alam di setiap sudut bumi.  Kegembiraan terpancar di wajahnya.  Senyumannya  mekar berkembang bagaikan bunga mawar yang sedang berkembang.  Menambah cantinya alam.  Hatinya menari-nari, kebahagian adalah miliknya kini.

No comments:

Post a Comment