Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 31 Julai 2016

USAH MENANGIS LAGI - BAB 17 - ASMAH HASHIM.



Hembusan angin pendingin hawa menyapa lembut pipinya. Dia memandang wajah kedua orang kepercayaan yang memandangnya tidak berkedip.  Riana menarik nafas panjang.  Keluhan nipis terlahir di bibirnya.  Dia masih mampu tersenyum.  Segala perancangan sudah ada di dalam kepalanya.  Dia akan aturkan satu persatu hanya untuk Haziq dan Diana yang bakal melangsungkan perkahwinan mereka. 
            “Kau serius ni Rin?” tanya Rafeah seperti tidak percaya.
            Riana bingkas bangun dan mendekati Arman dan Rafeah.
            “Ya, aku serius. Saya nak Arman tolong carikan saya seorang ustazah dan seorang ustaz yang boleh mengajar di rumah. Mampu mengajar Tauhid, Fekah, bab-bab  hukum-hakam, sirah, membaca al-Quran, tasawwur kalau boleh. Apa sahaja asalkan mampu buat manusia menjadi baik, hatinya bersih, tiada cemburu, tiada iri hati, tiada dengki dan khianat,” pinta Riana
            “Kau nak ambil periksa ke?” tanya Rafeah kebingungan.
            “Tadi kau tanya aku serius ke tidak?  Tentulah aku serius nak suruh Haziq belajar agama.  Nama sahaja Islam, niat naik kenderaan pun tak tahu,”  kata Riana, bukan bermaksud memperkecilkan suami sendiri, tetapi itulah hakikat.  Bagaimana hendak jadi ketua keluarga, sedangkan perkara asas dalam kehidupan sebagai orang Islam pun suaminya tidak tahu. 
            “Waktu kau kahwin dengan dia  dulu, kenapa tak tanya?” Rafeah menggeleng kesal.
            “Wakltu itu aku jahil, mabuk cinta,” ujar Riana, dia mengeluh kekesalahan.  Itu sebab dalam mencari pasangan hidup, pastikan calon pilihan hati itu tahu solat dan mengaji al-Quran perkara asas sebagai orang Islam.  Bukan hanya memandang kacak dan berharta sahaja, biarpun keperluan itu perlu, tetapi bab agama haruslah tahu, kalau tidak bagaimana seorang ketua keluarga hendak melindungi keluarganya dari seksaan kubur dan api neraka?  Seperti hidupnya sekarang, Haziq langsung tidak mampu membimbingnya menjadi isteri dan muslimah sejati yang taat pada Allah dan Rasul-NYA. 
            “Mahu ke dia?” Rafeah cuak.
            “Dia pasti mahu.” Riana.
            “Baik puan, nanti saya usahakan,” janji Arman.
            “Oh ya, Arman sebelum saya terlupa.”  Riana menuju ke almari yang tersusun segala fail perniagaannya. Dia mengambil lima fail kotak yang tersusun kemas  di almari tersebut. Langkah diatur mendekati Rafeah dan Arman yang duduk di sofa. Fail-fail tersebut di letakkan di atas meja kopi.
            “Ini fail akaun perniagaan saya yang lain selain dari butik ini,” jelas Riana.
            “Perniagaan lain? Maksud puan?”  Arman kehairanan.  Dia membelek satu persatu fail tersebut.
            “Hartanah, hotel, spa dan kedai emas,” kata Riana.
            “Banyaknya!” Terkejut Arman mendengarnya. 
            “Awak ingat dengan berniaga tudung sahaja, saya boleh jadi seperti ini?  Boleh tu memanglah boleh, tapi sekarang ini persaingan banyak, ada yang jual dalam talian.  Industri tudung terlalu banyak persaingan.  Saya tidaklah boleh bergantung hanya pada satu perniagaan. Kenalah pelbagaikan,” cerita Riana.
            Arman mengangguk perlahan.
            “Bagaimana puan uruskan, sedangkan saya lihat puan jarang ke mana-mana, hanya Kak Feah yang sering tidak ada di pejabat.”  Arman memandang wajah kakak sepupunya yang menyengih di sebelahnya.
            “Kak Feah yang uruskan.  Dia suka buat kerja di lapangan.  Saya pantau dari pejabat ini sahaja,”  kata Riana menjelaskan segala-galanya.
            “Padanlah selalu tidak ada di pejabat.”  Arman tersenyum.
            “Kami sama-sama berkongsi Arman, ini perniagaan akak juga. Kalau akak tidak jaga, siapa yang rugi?”  Rafeah tersenyum lagi. 
            “Saya suka hubungan baik Kak Feah dan puan. Persahabatan yang terjalin atas kepercayaan antara satu sama lain.  Adik beradik pun tidak boleh berniaga macam ni,” kata Arman. 
            “Harta semuanya milik Allah swt Arman, kita hanya alat sahaja, kalau kita terlalu taksub dengan harta yang ada sehingga lupa diri, sanggup khianat, berlaku tidak jujur, sampai bila?  Kita hendak ke mana akhirnya?  Bukankah bertemu Allah juga.  Ketika dan waktu itu agak-agak, ada tak jawapan atau alasan kita hendak diberitahu, ke mana harta yang diberi oleh-NYA kita habiskan? Sumbernya dari mana?  Ke mana perginya?  Hasilnya  bagaimana?  Haram atau halal?  Uh! Tak naklah saya menjawab pertanyaan itu semua.  Fail yang satu lagi itu adalah tempat-tempat yang saya bayar zakat perniagaan setelah cukup haul dan nisabnya.  Nanti awak uruskan juga ya.  Bayaran harus dibuat mengikut waktu yang ditetapkan.  Saya tidak mahu dipertanggungjawabkan sebagai orang yang tidak tahu membayar zakat,” cerita Riana panjang lebar.
            “Puan bayar zakat?  Cukai perniagaan dan pendapatan bagaimana?”  Arman membelek fail tersebut.  Banyak juga tersenarai nama-nama badan-badan kebajikan dan individu yang layak menerima zakat.
            “Cukai pun bayar juga.  Itu tanggungjawab sebagai rakyat. Zakat tuntutan sebagai orang Islam, wajib jika berkemampuan.”
            “Baiklah puan, saya akan uruskan.  Terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menguruskan semua akaun syarikat puan.  Saya harap saya mampu berlaku jujur dan bertanggungjawab terhadap tugas-tugas saya,”  kata Arman perlahan. 
            “Bukan sikit-sikit tu Arman, kalau manusia yang  gelap mata tengok jumlahnya, boleh berlaku khianat,” kata Rafeah. Sebelum ini dia yang uruskan. Memandangkan tugasnya semakin bertambah, kerja mengemaskini akaun boleh diserahkan kepada orang lain.  Arman selayaknya melakukan kerja-kerja tersebut.
            “Saya pun tak nak makan hasil wang haram puan.  Biarlah hidup sederhana di dunia, asalkan tidak dihukum oleh Allah di akhirat nanti.  Tak naklah saya.  Entah-entah di dunia lagi sudah disumpah oleh emak saya.” Arman menggeleng laju. 
            “Itu bagi yang faham, yang tak faham atau buat tak faham pun ramai juga.  Apa yang penting kesenangan di dunia. Akhirat usah dipedulikan.  Bukan nak kiamat esok,”  kata Rafeah pula.
            “Hanya manusia yang tidak takut dengan Allah swt sahaja yang sanggup melakukan pengkhianatan, mencuri wang syarikat sewaktu bekerja.”  Riana mengeluh kesal.  Di dada akhbar terpampang kisah penyelewengan wang syarikat oleh mereka yang bekerja di syarikat tersebut. Sayang, duit itu digunakan untuk menyara keluarga.  Takut memikirkan balasan Allah terhadap orang seperti itu. Tidak amanah, tidak jujur, tidak bertanggungjawab. 
            “Kalau begitu, saya minta diri dulu, segalanya akan saya uruskan secepat mungkin,”  kata Arman sebelum mengepit ke semua fail dan membawanya pergi.
            Riana tersenyum puas.  Arman seorang pekerja yang jujur dan bertanggungjawab.  Rafeah bijak mengajak adik sepupunya itu bekerja di syarikat milik mereka berdua.  Sekurang-kurangnya hati  mereka yakin dan berasa selamat.

TOLONG CARI SUAMIKU!- BAB 26 - ASMAH HASHIM




W
an Kamarudin mengemas apa yang perlu. Barang-barang peribadi dan disayangi akan dibawa bersama, terutama bahan bacaan, koleksi buku yang dibelinya selama tinggal di rumah teres itu. Sudah bertahun-tahun dia menjadi penghuni rumah itu. Beg pakaiannya dikeluarkan. Dibuka zip di bahagian tepi. Sebuah album kecil masih disimpan sehingga ke hari ini. Wajah orang yang sanggup membunuhnya ditatap lama. Orang yang telah diberi kasih dan sayang. Diambil menjadi isteri untuk menyelamatkan ibu muda itu dan anak yang sedang dikandungnya. Anak itu lahir tanpa ayah. Bertemu dengan ibu muda itu di hadapan pejabatnya sedang berduka, menangis lantaran ditipu kekasih hati.
Waktu itu, dia sudah beristeri dan belum mempunyai anak. Dia membawa ibu muda itu pulang ke rumah dan tinggal di rumahnya sehingga melahirkan. Isterinya menemui ajal akibat jatuh di dalam bilik air.
Sejak itu ibu muda itu membantu dia menguruskan dirinya dan dia mengambil keputusan mengahwini ibu muda itu untuk menyelamatkan anak perempuan itu. Dia tidak mahu anak itu membesar di jalanan. Dia tahu perempuan itu tidak punya apa-apa dan tidak tahu hendak ke mana. Anak itu diambil sebagai anak angkat dan berbinkan dengan namanya. Dia beri segala-galanya, akhirnya dirinya juga diracun luka. Madu yang diberi, racun pula dibalasnya.
Jah tak setuju! Abang dah gila agaknya? Separuh dari harta ni, abang nak serahkan kepada adik-beradik abang? Penat jerih abang nak beri kepada orang lain?” Melengking suara Halijah.
“Mana ada orang lain? Mereka adik-adik abang. Mereka berhak terima sebahagian dari harta ini. Jah tahu tak, modal permulaan abang mula berniaga adalah hasil jualan tanah warisan milik orang tua abang. Keuntungannya langsung abang tak pernah berikan kepada keluarga abang. Jah jangan nak larang abang!” Wan Kamarudin bersiap untuk pulang ke kampungnya. Surat wasiat dan penyerahan harta yang sudah siap sepenuhnya dibawa bersama.
Halijah memandang dengan hati yang geram. Benci menerjah di hati. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia merampas dokumen tersebut. Siapa mereka? Dia tidak pernah mengenali keluarga suaminya? Tidak perlu rasanya. Mereka tidak penting padanya. Dia tidak akan membiarkan harta tersebut jatuh ke tangan ahli keluarga suaminya. Ini semua miliknya dan anaknya. Biarpun bukan anak kandung suaminya tetapi anaknya itu berhak mendapatkan semua harta itu.
“Abang jangan pergi! Jah tak akan benar!” tegas.
“Kenapa dengan awak ni? Bawalah beristighfar!’ nasihat Wan Kamarudin apabila melihat isterinya bagaikan orang hilang akal.
“Harta ini milik Jah dan Ashraf! Orang lain tak boleh dapat, biarpun keluarga abang sendiri!” bantah Halijah kasar.
“Jah! Harta ini milik adik-adik abang. Abang gunakan duit mereka untuk bina empayar perniagaan ini! Awak faham tak apa yang abang terangkan?” Wan Kamarudin mengeluh kesal. Apa yang sudah merasuk isterinya? Tidak pernah berperangai seperti itu. Kenapa tamak mendatangi hatinya, sedangkan selama mereka hidup bersama tidak pula bersikap seperti itu.
“Jah tak kira. Apa nak jadi, jadilah. Kalau abang pergi juga, Jah tak akan teragak-agak bertindak!” ugut Halijah.
“Jah!” Wan Kamarudian terkedu mendengar ugutan isterinya. “Jah, bawa bertenang, separuh sahaja abang berikan kepada mereka, kita masih ada separuh lagi harta yang bernilai bilion ringgit ini. Kenapa perlu ada risau di hati awak? Jangan tamak dengan harta dunia nanti tidak terbawa di akhirat. Setiap harta yang kita belanjakan akan dipersoal oleh ALLAH bagaimana kita menggunakannya. Awak tak takut ke dengan mahkamah ALLAH?” nasihat Wan Kamarudin.
“Ah! Mati lambat lagi! Kalau abang nak mati, nanti Jah aminkan doa abang tu!” Halijah menghilangkan diri lalu keluar dari bilik tidur utama.
Wan Kamarudin menggeleng kesal dengan apa yang berlaku. Tamak haloba akan membunuh serta memakan diri. Semakin bingung fikirannya. Kusut menerjah tiba-tiba.
Keputusan yang telah dibuat diteruskan juga. Dia ingin kembali semula kepada keluarganya.
Dalam perjalanan ke kampungnya, keretanya telah ditahan oleh sebuah kereta lain. Pemandunya telah diikat dan ditinggalkan sendirian di dalam hutan berhampiran kampungnya. Dia pula dibawa dengan keretanya menuju ke tempat yang entah di mana. Dia telah diikat dan dipukul sehingga pengsan. Keretanya dibakar dengan dia berada di dalamnya hidup-hidup. Dia ditinggalkan. Waktu itulah kebetulan adiknya sedang mencari rotan untuk membuat wau bulan tempahan orang. Dia diselamatkan.
Dia sebak memikirkan adik keduanya dan merupakan ayah kepada Mastura sanggup bertarung menyelamatkannya.
“Bang long! Ya ALLAH, bang long!” jerit Wan Harun. Dia meletakkan parang dan keratan rotan yang disandang dibahunya. Dia mendekati kereta yang sedang terbakar dan hanya menunggu untuk meletup itu. Dia pasti lelaki itu adalah abang kandungnya yang telah berbelas-belas tahun tidak bertemu. Kenapa abang longnya ada di kawasan hutan tersebut? Dia membuka pintu kereta dan sepantas kilat menarik keluar tubuh bang longnya dari dalam kereta. Dia menarik tubuh itu menjauh dari kereta yang sedang hangus terbakar.
“Bang long! Bang long!”
Tiada jawapan.
Dia dibawa ke hospital berhampiran. Dia dirawat dan keluarga adiknya itulah yang telah bersusah payah menunggunya sedar. Apabila sedar, dia cuba menghubungi isteri dan anaknya, Wan Ashraf yang sedang belajar di luar negara. Dia hampa.
Selang seminggu dia pulih semula, seorang lelaki telah muncul dengan pistol di tangan. Ketika itu dia masih dirawat di hospital. Ketika itu Wan Harun ada bersama. Demi melindunginya Wan Harun memperisai tubuhnya sendiri. Dan menemui ajal beberapa minit kemudian. Dia berhutang nyawa dengan arwah adiknya.
“Din, kita terpaksa ‘mati’ kan kau. Kalau tidak, pembunuh kau akan datang lagi. Cukuplah seorang saja ahli keluarga kau terbunuh. Jangan libatkan ahli keluarganya yang lain,” kata sahabat dan merangkap peguamnya itu.
Seminggu dia meratap menangisi kematian adik keduanya itu. Puas ditenangkan oleh adik-adiknya yang lain. Mereka lima beradik. Selama ketiadaan dia, arwah adiknya itulah yang menjadi abang kepada adik-adiknya yang lain. Ya ALLAH apa sudah dia lakukan. Hanya kekesalan bermain di hatinya. Dia pulang membawa kesengsaraan dalam keluarga adiknya. Wajah Mastura dan adik iparnya yang menangisi mayat adiknya ditatap lama. Hiba dan kesayuan menyiat-nyiat jantung hatinya. Dia telah membunuh adiknya sendiri.
“Buatlah apa yang perlu, Shad. Aku sudah buntu ni.” Wan Kamarudin duduk melengu di kaki tangga. Mayat adiknya bakal dikafankan. Beberapa orang wartawan upahan peguamnya telah dipanggil. Berita kematiannya telah disebarkan. Dirinya yang telah dikafankan diambil gambar dan dipaparkan di dada akhbar. Demi memberitahu kepada pembunuh bahawa dia sudah berjaya dihapuskan.
Waktu dikebumikan, mayat adiknya yang telah dikebumikan dan dia hanya mampu memandang dari jauh. Sejak itu dia menghilangkan diri dari dunia ini.
“Pak long nak minta bantuan Mas dan kau, Yam. Pembunuh Harun harus dihukum! Orang yang nak membunuh pak long harus dibawa ke muka pengadilan!” Perbincangan berlangsung di rumah teres yang disediakan oleh peguamnya. Dia jarang keluar rumah. Kalau keluar pun dia akan menyamar dan menukar identitinya. Dia berharap pembunuhnya tidak mencarinya lagi. Apabila tiba masanya dia akan muncul dan merampas kembali apa sahaja yang menjadi haknya. Hak keluarganya.
“Bantuan yang macam mana, pak long?” Mastura meneliti wajah pak longnya yang saling tak tumpah seperti arwah ayahnya. Waktu dia membaca kisah seorang ahli perniagaan berjaya, dia pernah bertanyakan kepada arwah ayahnya sama ada mengenali Wan Kamarudin orang kaya ternama itu. Adik-adik ayahnya juga tidak memberi jawapan apabila ditanya. Akhirnya dia bosan sendiri dan tidak bertanya lagi. Jawapan sudah berada di hadapan mata sekarang. Wan Kamarudin adalah bapa saudaranya sendiri. Dia mempunyai seorang bapa saudara yang kaya-raya. Entah bagaimana cantik agaknya rumah yang dimiliki oleh pak longnya itu.
“Ini anak tiri pak long. Buat dia jatuh cinta dengan Mas. Dekati dia. Goda dia sehingga berkahwin dengan Mas. Melalui dialah kita mampu membalas dendam dan mengambil semula apa yang menjadi hak kita,” cadang Wan Kamarudin.
“Tak baiklah, bang long. Biarlah. Lagipun harta itu tak lari ke tangan orang lainpun. Isteri bang long juga.” Mariam kurang setuju. Berdendam dan membalas dendam adalah sikap tidak baik. Itu semua permainan syaitan.
“Yam nak biarkan aje pembunuh Harun terlepas? Abang long takkan mendiamkan diri! Biarpun yang tertangkap nanti adalah isteri bang long sendiri! Dia harus dihukum dengan perbuatannya sendiri! Abang long takkan biarkan, Yam,” tegas. Membuak rasa marah di hati.
“Dia belajar di mana? Macam mana Mas nak kenal dengan dia?” Mastura ragu-ragu. Memerlukan perancangan yang tersusun rapi. Lagipun setahu dia anak tiri pak longnya itu belajar di luar negara, takkan dia hendak belajar di sana? Apa kelulusan dia? Setakat SPM. Dia tidak mahu sambung belajar kerana tidak mahu menyusahkan kedua orang tuanya. Sudahlah dan cukuplah ayahnya membesarkan dia serta mak saudara dan bapa saudaranya yang lain. Biarlah dia bekerja sahaja. Cari duit menampung kehidupan diri sendiri.
Dengan harta warisan keluarga itulah arwah ayahnya membesarkan adik-beradiknya yang seramai tiga orang itu. Seorang kakak dan abangnya sudah pun bekerja setelah habis belajar. Jarang pulang ke kampung lantaran kesibukan bekerja dan mencari kesenangan hidup.
“Semuanya akan diuruskan oleh kawan pak long. Mastura ikut aje arahan pak long dan kawan pak long tu, ya?” beritahu Wan Kamarudin.
Mastura mengeluh. Mampukah dia membuatkan anak tiri bapa saudaranya itu jatuh cinta dengan dirinya. Dia bukannya pandai bergaya. Tidak juga cantik sangat. Hanya sedap mata memandang.
“Boleh ke Mas buat anak tiri pak long itu jatuh cinta dengan Mas? Rasa janggal dan pelik sahaja bunyinya.” Mastura tidak yakin dengan diri sendiri. Belum pernah dia menggoda mana-mana lelaki. Selama ini pun dia tidak punyai teman lelaki. Dia hidup dalam dunianya sendiri.
“Yakin boleh!” kata Wan Kamarudin penuh yakin.
Biar betul? Ingat Malaysia boleh agaknya. Mastura mengeluh lemah. Namun dia perlu membalas dendam. Dia tidak akan membiarkan pembunuh ayahnya hidup senang-lenang. Dendam mula berputih di hati. Gambar anak tiri pak longnya ditatap lama. Kacak juga orangnya. Senyuman terukir di bibirnya.
Wan Kamarudin memandang wajah anak buahnya. Dia tersenyum sendiri. Semoga rancangan yang dirancang berjalan lancar.
Sejak itu Mastura terus memainkan peranannya. Dia berjaya mendapatkan apa yang sepatutnya. Satu persatu dirampas dengan rakusnya. Licik sungguh anak buahnya itu. Layak jadi wanita Bond.
Adik-adiknya juga sudah berjaya dengan perniagaan masing-masing. Dia telah membantu mana yang perlu. Tidak dengan modal, dia akan memberi idea dan cadangan untuk mereka berjaya dalam dunia perniagaan. Alhamdulillah, segala usaha telah berjaya walaupun terpaksa menempuh pelbagai dugaan dan cabaran. Orang yang sabar sentiasa menang dan berjaya.