AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 14 July 2016

ADUH, PENING!- BAB 45



MESEJ masuk dibaca seketika dan paling mengejutkan adalah kiriman gambar sepasang teruna dara sedang berbual mesra di sebuah restoran mewah. Bukan main lagi, tersenyum, tersengih, saling bergurau senda. Aleeya kenal Amran ke? Bila? Di mana? Wah, isterinya sudah berani keluar dengan lelaki yang tidak dikenalinya! Main kayu tiga ke? Mentang-mentang dia tidak pedulikan Aleeya sebulan dua ini, isterinya sudah pandai keluar dengan lelaki lain? Nadia pula, macam mana boleh dapat gambar ini? Apa sudah jadi ini?
            Ikmal mengeluh berat. Hilang tumpuannya pada kerja yang sedang dia lakukan. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia balik ke rumah, sekarang juga. Dia inginkan penjelasan daripada isterinya itu. Bengkak hatinya. Sakit matanya. Entah apa yang mereka bualkan sehingga terbit rasa gembira di wajah masing-masing. Macam sudah kenal lama. Takkanlah kot? Ikmal gelisah. Aleeya tidak pernah bersikap begitu sebelum ini. Isterinya itu sering menjaga hubungannya dengan rakan sekerja, terutama lelaki. Kalau nak keluar juga dengan rakan sekerja yang lelaki, Aleeya akan hantar gambar atau mesej memberitahu dia. Tetapi tidak kali ini. Uh! Tak boleh jadi. Telefon sahaja tidak cukup, suara boleh berbohong dan berlakon. Dia ingin tahu daripada mulut Aleeya sendiri.           
            Ikmal pulang awal ke rumahnya  setelah menghantar Nadia dan anak-anak pulang ke rumah mereka. Dia tidak menghiraukan ajakan Nadia untuk keluar makan bersama anak-anak. Malah, dia mengapi-apikan Ikmal dengan membuat pelbagai tuduhan terhadap Aleeya yang keluar bersama Amran.  Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia cekik orang yang menghantar berita itu, tetapi memikirkan anak-anak yang akan kehilangan ibunya, dia biarkan sahaja bekas isterinya membebel di dalam kereta. Bercerita itu ini. Lantaklah kau. Dia akan dapatkan penjelasan daripada Aleeya sendiri. Tidak perlu dengar sangat cerita orang ketiga. Bukan dia tidak tahu Nadia bermusuh dengan isterinya itu. Tidak mungkinlah dia mendengar cerita musuh isterinya. Mungkin betul dan tidak mustahil itu sekadar fitnah.  Dia tidak boleh terburu-buru. Amran boleh tahan kacaknya. Cemburu juga hatinya. Manalah tahu jika Aleeya terpikat pada lelaki itu, habislah dia.
            Sampai di rumah. Aleeya seperti biasa, sedang memasak, menyediakan makan malam. Dia makan atau tidak, Aleeya tetap akan masak. Jika tidak terusik atau tidak habis, isterinya akan simpan dan panaskan keesokan harinya buat sarapan pula. Kadang-kadang dia bawa ke pejabat. Tidaklah membazir.
            Ikmal duduk di meja makan sambil memandang Aleeya yang sedang tekun memasak. Hampir siap. Atas meja makan sudah terhidang sejenis lauk sejenis sayur dan buah potong. Bau ikan goreng membuatkan perutnya terasa lapar.
            “Abang? Kenapa tak beri salam. Tak dengar pun bunyi enjin kereta abang,” tegur Aleeya. Dia menghidang ikan goreng yang sudah siap dimasak. Usai semuanya, dia menutup lauk-pauk dengan tudung saji. Selalunya, mereka makan selepas solat isyak.
            “Leya ke mana siang tadi?” tanya Ikmal. Wajahnya serius, matanya tepat memandang wajah Aleeya.
            Aleeya membalas pandangan suaminya. Nadia bagitahu ke? Apa agaknya cerita Nadia? Perempuan itu bukan boleh dipercayai. Pandai memutar-belitkan cerita.
            “Tak ke mana-mana, ada di tempat kerjalah!” jawab Aleeya. Tidak mungkin dia bercerita hal yang sebenar.
            “Jangan nak bohong! Ini apa?” Ikmal meletakkan telefonnya di hadapan Aleeya. Terpampang gambar Aleeyda dan Amran yang sedang makan dan minum di sebuah restoran.
            “Mana abang dapat gambar ini?” tanya Aleeya.
            “Mana abang dapat, tak perlu tahu. Leya tipu abang ya? Siapa lelaki tu dengan Leya?” jerkah Ikmal. Hilang sabar melihat sikap sambil lewa Aleeya. Langsung tidak menghiraukan kemarahannya.
            “Abang kenalkan lelaki ni?” tanya Aleeya.
            “Itu tak penting! Leya buat apa dengan dia? Mana Leya kenal dia? Apa hubungan Leya dengan lelaki ini?” Bertalu-talu soalan keluar daripada mulut Ikmal.
            “Amran, kawan sekampung Leya. Sahabat dan seluruh keluarga Leya kenal dia. Salah ke Leya jumpa dia? Kami berjumpa secara tak sengaja. Dah lama kami tak berjumpa.  Bukan Leya keluar di tempat yang sunyi. Leya jumpa dia di tempat awam, ramai saksi, semua orang nampak,” bentak Aleeya. Dia pantang orang cuba menuduhnya berbuat sumbang.
            “Ooo… kawan sekampung? Tiba-tiba jumpa, kan? Mesra pula tu,” sindir Ikmal, geram.
            “Dia sahabat Leya, abang ada masalah dengan tu ke?”
            “Lelaki dan perempuan tidak boleh bersahabat, Leya. Melainkan ada sesuatu di hati.” Sinis kata-kata Ikmal.
            “Ikut suka abanglah. Rasanya abang kenal Amran tu, kan? Bolehlah abang tanya dia sendiri, apa hubungan kami. Jangan nak serkap jarang atau percaya dengan fitnah yang ditaburkan oleh bekas isteri abang yang memang nak runtuhkan rumah tangga kita!” Aleeya sebal. Sudah hilangkah rasa kepercayaan di hati mereka berdua? Saling tidak percaya, saling tuduh-menuduh, akan bahagia ke?
            “Sendiri buat salah, jangan nak tuduh orang lain pula?” Ikmal mendengus kasar.
            “Siapa tuduh siapa? Mana abang dapat gambar-gambar tu? Siapa yang kirim? Kami minum di kafe tempat bekas isteri abang mengajar. Siapa lagi yang nak hantar kalau bukan si Nadia tu!”
            “Leya! Jangan nak kurang ajar!” marah Ikmal. Dia tidak suka isterinya meninggikan suara padanya. Kurang ajar namanya.
            “Siapa yang kurang ajar dulu, bang? Leya atau bekas isteri abang tu? Dia tahu apa hubungan Leya dengan Amran. Dia tahu kami berdua saling kenal. Tiada hubungan istimewa antara kami.” Aleeya sebak.
            Ikmal terdiam. Jadi, Nadia tahulah Amran kenal Aleeya? Hmm… nampak sangatlah bekas isterinya sengaja hendak melaga-lagakan dia dengan Aleeya. Ikmal duduk di sofa. Memandang wajah Aleeya yang basah dengan air mata. Simpati pula dibuatnya. Sepatutnya dia bertanya dengan baik, bukan terus mengamuk macam orang gila. Main tuduh sahaja, akhirnya sendiri yang rasa bersalah. Nak pujuk atau tidak ini? Silap hari bulan teruklah dia kena bebel nanti. Aduhai! Pening, masalah tidak selesai-selesai.

No comments:

Post a Comment