AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 15 July 2016

ADUH, PENING! - BAB 46



SUASANA di pejabat tetap seperti biasa. Rakan-rakan sekerja tekun bekerja, menjalankan tugas masing-masing. Tidak boleh curi tulang, berdosa. Setiap waktu dan jam yang berjalan dikira oleh ALLAH kerana itu adalah tanggungjawab seorang pekerja. Dia pula melayan perasaan sendiri. Rasa sakit terhadap Nadia dan suaminya masih berbaki. Tiada pujukan, seperti biasalah. Agak-agaknya Ikmal memang jenis yang tidak tahu memujuk isteri. Kalau sudah rajuk, merajuklah kau sendiri, namun nak pujuk, kirim salam!   
Hari ini, mereka perang dingin lagi. Letihlah. Asyik bermasam muka, tidak ada kata-kata mesra, hanya mata berbicara. Itu pun nak pandang dan tak pandang sama banyak sahaja. Tidak mahu mengalah, ego seorang lelaki. Uh!
            “Kenapa kak, buat muka poyo lagi? Ada masalahlah tu,” tegur Lin yang datang menghampiri.
            “Entahlah, Lin... masalah tak pernah surut, asyik pasang aje. Kalau air laut asyik pasang, rasanya tenggelam bumi,” luah Aleeya.
            “Sabarlah, kak… selagi akak bersabar dan tabah, jangan mengeluh. Serahkan semuanya pada ALLAH SWT, pasti hidup akak akan lebih tenang. Kalau akak mengeluh pun masalah tak juga selesai,” pujuk Lin.
            “Amboi! Macam pakar motivasilah pula,” usik Aleeya. Dia tersenyum. Sememangnya jika bersama rakan-rakan sekerjanya, dia berasa lebih tenang dan gembira. Mereka pandai memujuknya. Betul, ALLAH ada, kenapa dia perlu berkeluh kesah? Minta sahaja pada ALLAH agar masalah yang dihadapinya kini selesai dengan baik.
            “Ala, kak… hidup ini mudah, kak. Jangan terlalu merumitkan keadaan. Kalau orang mengata kita, ucapkan syukur... kita dapat pahala. Kalau orang buat naya pada kita, ucapkan Alhamdulillah, ALLAH ada, pasti ada balasannya. Positif, kak… mudah hidup kita. Tak usah sakitkan kepala nak meroyan dengan perangai manusia di sekeliling kita. Buat cepat pendek umur aje, kak,” nasihat Lin lagi.
            Terpaku Aleeya mendengarnya. Positif betul. Itu sebab agaknya rakan-rakan sekerjanya tidak kisah atau langsung tidak merungut kerana masih sendiri. Masing-masing sibuk bekerja dan dengar kata masing-masing ingin sambung belajar. Lin, Ros dan Ina. Hebat mereka. Tidak jadikan alasan hidup sendiri untuk bermuram durja.
            “Hujung minggu ni, kami nak pergi berkelah di PD. Akak nak ikut tak?” tanya Lin. Dia, Ros dan Ina mahu pergi berjalan-jalan dan makan angin di PD. Tidur semalam di sana sambil merehatkan fikiran.
            “Nanti akak tanya suami akak dulu. Rasanya hujung minggu ini, dia nak keluar bawa anak-anaknya ke Legoland. Seperti biasa, akak jadi penunggu rumahlah.” Dia dapat tahu pun setelah mendengar perbualan suaminya dan Nadia pada malam mereka bertekak itu. Tidak pula memberitahu dia. Tidak mengapa, ikut sukalah, ada aku kisah?
            “Okey, kalau akak ikut, lagi meriahlah percutian kami. Kita boleh lawat Muzium Tentera dan beberapa tempat yang menarik di situ. Dah lama tak ke PD, kak… seronoklah mandi laut.” Lin membayangkan dia bermain ombak dan berenang di tepian pantai Port Dickson yang semakin cantik dan indah.
            “Masalah akak dengan bekas isteri suami akak masih tak selesai ke? Masih gawat?” Lin duduk di sebelah Aleeya.
            “Ya, Lin… akak pening fikirkan masalah ni. Nadia tak mahu beralah, masih nak kembali dengan suami akak.” Aleeya mengeluh berat.          
            “Kenapa dia berdegil sangat, kak?”
            “Entahlah... akak pun tak tahu kenapa. Mungkin betullah, sebab anak-anak. Bukan mudah nak cari suami baru yang mahu terima kelima-lima anak mereka tu. Suami akak pun pasti tak benarkan ada lelaki lain yang jadi ayah tiri anak-anaknya. Kalau dapat suami yang baik, tak mengapa, kalau dapat yang mendera, macam mana? Haru, kan?” Aleeya takut memikirkannya. Banyak sudah tersiar di akhbar tentang ayah dan ibu tiri yang mendera anak-anak tiri mereka. Uh! Dia tidak termasuk dalam senarai ya. Dia bukan jenis manusia seperti itu. Hanya manusia berhati syaitan yang akan bertindak seperti itu. Mendera anak-anak kecil yang masih mentah dan tidak tahu mempertahankan diri sendiri.
            “Akak sanggup ke berkongsi? Apa kata suruh aje suami akak kahwin semula dengan bekas isterinya, jadi isteri kedua, selesai masalah,” cadang Lin.
            “Suami akak tak nak, dia takut tak mampu berlaku adil. Nadia juga tidak mahu berkongsi kasih dengan orang lain. Jadi, dia berharap suami akak akan ceraikan akaklah,” cerita Aleeya.
            “Pulak… tak baiklah macam tu.” Lin menggeleng laju. Macam-macam perangai manusia ini. Hanya tahu mementingkan diri sendiri.
            “Baguslah suami akak tak nak berpoligami. Kalau lelaki lain, pasti tak tunggu lagi. Kalau isteri dah bagi lampu hijau, cepat aje cari calon.” Lin ketawa. Orang lelaki selalu tamak. Jangan juga lupa, orang tamak selalu rugi. Jarang dia bertemu sebuah poligami yang hidup aman dan damai. Yang merana memang ramai. Dalam soal ini, masing-masing perlu jujur, ikhlas dan bertanggungjawab terhadap apa yang mereka lakukan. Kalau sudah berkahwin lebih daripada satu, kenalah berlaku adil dalam semua perkara.  
            “Yalah… tapi masalah tak juga selesai. Kenapalah hati perempuan itu keras sangat? Bukan tidak ada lelaki lain yang cuba pikat dia, tapi dia yang jual mahal sangat.”
            “Dia takut kot kak? Takut pisang berbuah dua kali. Sekali gagal dalam rumah tangga, selamanya ingat, kak. Kalau dengan bekas suami, taklah terasa sangat. Tapi kalau orang lain, baru nak kenal hati budi, susah jugak, kak...” ujar Lin.
            Aleeya memandang wajah Lin. Betul juga. Mungkin sebab itu, Nadia beria-ia ingin kembali bersama suaminya. Takut gagal sekali lagi.
            “Mungkin juga.” Aleeya mengangguk perlahan. Hati perempuan, sukar diteka isi hatinya. Kadang-kadang mulut kata lain, hati berbisik lain. Dia juga perempuan, tentulah dia faham perasaan seorang perempuan, tetapi tentang bab takut berkahwin lagi itu, memang dia tidak alamilah dan tidak akan faham.
            “Tak apalah, kak... yang penting, akak kuat dan sabar. Sabar, sabar, sabar!” kata Lin sambil ketawa. Terasa lucu dengan kata-kata sendiri. Dalam hidup ini kenalah banyak bersabar.
            “Sabar, sabar, sabar, ya Lin?”  Aleeya pula ketawa.
            “Yalah, kak…” Lin menyengih pula.
            “Kalau tak sabarlah, Lin... akak tak tahu entah apa jadi dengan rumah tangga akak. Suami akak dengan cara dia, bekas isterinya pula dengan caranya. Anak-anak tiri akak pula, tak tahu nak cakap apa. Pening kepala akak, Lin.” Aleeya mengeluh lagi.
            “Semoga ALLAH SWT memberi jalan keluar terbaik buat akak sekeluarga,” doa Lin.
            “Amin... terima kasih, Lin sebab sentiasa sudi memujuk hati akak,” ucap Aleeya.
            “Kitakan kawan, kak.” Lin memeluk bahu Aleeya erat.
            Mereka saling tersenyum. Bahagia.

No comments:

Post a Comment