AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 18 July 2016

ADUH, PENING - BAB 49 - ASMAH HASHIM




HAJI RAUB dan Hajah Hanizah terkedu seketika. Apa pula halnya ini? Apa yang Nadia dan cucu-cucunya inginkan sehingga sanggup datang ke rumah tiba-tiba? Wajah mereka muram, macam ada masalah yang bertandang. Nadia pula bagaikan orang sedang berduka, suram, muram langsung tidak ceria. Apa yang sudah berlaku? Adakah Ikmal tidak menghulurkan duit belanja kepada anak-anaknya?
            Kipas berputar laju, menyejukkan tubuh yang sedang panas membara. Hati yang panas tidak semudah itu nak disejukkan. Haji Raub membuka kopiahnya dan diletakkan di atas meja kopi di hadapannya. Dia mengeluh berat. Masalah anak menantunya ini tidak pernah selesai.
            “Nadia nak ayah dan emak pujuk Abang Ikmal agar berbalik dengan Nadia. Tolonglah mak, ayah,” rayu Nadia dengan pandangan penuh mengharap.
            “Kenapa Nadia tak tanya Ikmal sendiri? Kenapa tanya emak dan ayah?” soal Hajah Hanizah.
            “Abang Ikmal menolak, mak!” Nadia menunduk. Puas dia memujuk Ikmal, lelaki itu tetap berdegil dan masih dengan keputusannya. Langsung tidak mahu berganjak.
            “Kalau Ikmal tak setuju, apa yang harus mak dan ayah lakukan?” Haji Raub mengeluh.
            “Cuba mak dan ayah pandang wajah cucu-cucu mak dan ayah, tak kasihan ke kat mereka?” kata Nadia.
            Haji Raub memandang wajah cucu-cucunya, lima orang semuanya.
            “Siapa yang nak kahwin dengan Nadia? Janda anak lima mak, ayah.”
            Hajah Hanizah memandang wajah suaminya yang duduk di sisi. Betullah kata Nadia. Mana ada lelaki yang sanggup berkahwin dengan janda yang ada lima orang anak. Kalau ada pun, belum tentu mahu bela kesemuanya.
            “Mak pun tak tahu nak cakap apa, Nadia. Ikmal tahu kau datang ke sini?” Hajah Hanizah memandang wajah bekas menantunya itu. Hubungan antara mereka tidak akan putus sehingga ke akhir hayat.
            Nadia menggeleng. Mana mungkin dia memberitahu Ikmal dia pulang ke kampung, mahu dimarahi oleh Ikmal kalau dia tahu.
            Hajah Hanizah mengeluh. “Mak nak pujuk macam mana lagi? Nadia bukan tak kenal Ikmal, kalau dia dah kata tak nak, tak naklah. Tak guna dipaksa.”
            “Tolonglah mak, Nadia rayu… Nadia dah tak tahu nak buat apa. Anak-anak terus memaksa. Mereka tak mahu ayah tiri, mereka nak Ikmal juga,” luah Nadia. Wajah anak-anak dipandang seorang demi seorang. Hiba menghantui diri. Ini bukan cerita dongengan. Anak-anak memang nak Ikmal berbalik dengannya. Keputusan semua. Bukan keputusan dia seorang.
            “Atuk, nek… tolonglah pujuk ayah,” sampuk along yang sejak tadi hanya mendengar butir bicara mamanya dengan datuk dan nenek.
            “ALLAH!” Haji Raub bersandar di sofa. Matanya berkaca melihat wajah cucu-cucunya. Berat! Memang berat masalah yang menimpa. Bukan mudah menyelesaikannya.
            “Ya tok, nek… kami nak ayah dan mama kembali bersama. Kami tak nak hidup tanpa ayah. Malu tau, nek. Kawan-kawan selalu ejek kami tak ada ayah!” sambung angah pula.
            “Ya ALLAH! Cucu-cucuku...” Hajah Hanizah sebak. Tidak mampu memandang wajah cucu-cucunya. Mereka tertekan juga rupa-rupanya.
            “Nadia nak anak-anak hidup ada keluarga sempurna mak, ayah. Bukan untuk diri Nadia, tapi untuk anak-anak,” pinta Nadia.
            “Itulah... waktu bertengkar dan minta cerai, kalian berdua tak fikirkan hal anak-anak. Pentingkan diri sendiri aje. Bila dah jadi macam ni, siapa yang susah? Anak-anak juga yang menjadi mangsa,” tempelak Haji Raub.
Orang dewasa selalu buat keputusan ikut nafsu. Bila tak suka, tergores hati sedikit, mulalah cerai meniti di bibir. Pasangan muda hari ini, jarang sangat hendak berbincang jika ada masalah. Hanya tahu ikut rasa hati sendiri, langsung tidak mahu fikirkan masa depan anak-anak. Bila sudah sejuk, sudah boleh berfikir, barulah nak berbaik semula. Waktu itu mungkin semuanya sudah terlambat.
            “Mak dan ayah dah dengar sendiri, kan? Bukan Nadia ajar mereka pun, mereka dah tanya Ikmal berkali-kali, masih tak ada jawapan,” luah Nadia.
            Haji Raub dan Hajah Hanizah saling memandang. Pening juga jadinya ini. Masalah, masalah!
            “Nantilah, kami cuba bercakap dengan Ikmal,” kata Haji Raub. Betul juga, cucu-cucunya perlukan seorang ayah. Mereka masih kecil, masih memerlukan bimbingan seorang ayah. Ikmal tidak boleh lepas tangan. Ini tanggungjawabnya sebagai ayah mereka.
            “Terima kasih, ayah,” ucap Nadia sambil tersenyum bahagia. Semoga usahanya ini akan berhasil. Anak-anak pula sudi membantu. Dia memandang wajah anak-anaknya dan mengenyitkan mata. Semoga ada cahaya gembira di penghujung cerita.
            “Kalau Ikmal setuju nak berbalik semula, Nadia sanggup ke bermadu?” tanya Hajah Hanizahh. Dia tidak mahu menantunya lupa yang Ikmal sudah ada isteri lain.
            Nadia terdiam seketika. Mahukah dia?
            “Kalau boleh, Nadia tak nak berkongsi Abang Ikmal dengan sesiapa, tapi jika sudah ditakdirkan Nadia terpaksa berkongsi dengan perempuan lain, apa yang mampu Nadia buat lagi?” ujar Nadia. Kalau boleh, dia mahu Ikmal ceraikan Aleeya. Dia tidak sanggup berkongsi suami. Tidak mungkin!
            “Kalau boleh berkongsi, mudahlah jalan ceritanya. Masalahnya, jika tak mahu berkongsi. Pening juga jadinya,” kata Hajah Hanizah lagi.
            Nadia hanya tersenyum. Aleeya Aneesa, perempuan itu harus disingkirkan. Dia tidak mahu perempuan itu menjadi penghalang kebahagiaannya. Kau tunggulah, Aleeya. Jangan ingat aku nak diamkan sahaja kau rampas kebahagiaan anak-anak aku! bentak Nadia dalam hati.
Wajah bekas mertuanya dipandang seketika, lalu dilakarkan sekuntum senyuman paling manis. Maafkan Nadia mak, ayah... tidak mungkin Nadia berkongsi kasih dengan perempuan lain, bisik hati kecilnya. Dia bukan seorang yang mampu mengawal rasa cemburu. Dia juga bukan seorang yang ikhlas dalam semua perkara.  Ikmal hanya untuknya dan anak-anak sahaja. Muktamad. Aleeya Aneesa selamat jalan!
            Sekali lagi Haji Raub memandang wajah cucu-cucunya yang ceria semula, begitu juga bekas menantunya. Kepalanya masih ligat berfikir, memikirkan cara untuk memujuk Ikmal agar kembali pada Nadia dan anak-anaknya. Mahukah anaknya itu? Itu persoalan yang sudah mula berlegar di kotak fikirannya. Kalau Ikmal setuju, selesai masalah. Bagaimana jika Ikmal menolak? Haru-biru jadinya. Bagaimana pula dengan Aleeya menantunya itu? Bolehkah Aleeya menerima keputusan Ikmal nanti? Aduhai! Peninglah kalau macam ini!

No comments:

Post a Comment