AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 14 July 2016

AKU BUKAN KAMALIA - BAB 20 - SASYA ZAINAL



Padang Sekolah Menengah Kebangsaan, Kulai- SMKK
Pagi Ahad


Faezah Hanim tersenyum puas apabila pasukan bola jaring anak-anak didiknya berjaya mendapat naib johan di dalam Kejohanan Bola Jaring Peringkat Negeri Johor. Dua orang pelajarnya pula dipilih untuk mewakili negeri Johor untuk ke peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Sekolah Sukan Bukit Jalil. Ketiga-tiga orang guru dan sepuluh orang pelajar itu berpelukan dan mengucap tahniah antara satu sama lain. Cikgu Ina mengalirkan air mata gembira. Rasa hilang segala penat lelah melatih pelajar-pelajar ketika Pengerusi Majlis mengumumkan kemenangan mereka. Hampir dua bulan mereka berlatih tiap-tiap petang di padang sekolah. Ternyata, usaha dan doa mereka hari ini dimakbulkan ALLAH.

            Ucapan syukur diucap berulang-ulang kali di dalam hati. Faezah Hanim terasa bangga. Dipeluk dua orang pelajar yang terpilih untuk ke peringkat kebangsaan itu erat-erat. Melihatkan kepada pelajar-pelajarnya yang melonjak gembira, dia teringatkan sejarah manis dirinya sendiri. Dia juga adalah wakil sekolah, wakil daerah dan wakil negeri untuk kejohanan bola jaring semasa remajanya. Sekarang barulah dia faham betapa bahagianya perasaan seorang guru apabila melihatkan anak-anak didiknya berjaya. Mungkin begitu jugalah perasaan guru-guru yang menjadi jurulatihnya semasa dia mengharumkan nama sekolah. Dia juga faham perasaan ayah dan ibunya ketika dia pulang dengan medal kemenangan.

            “Tahniah Nim, hebat budak-budak kau,” Ilyas memuji ketika dia datang ke pasukan SMK Tinggi Kluang yang berdiri di tengah padang. Lelaki itu berdiri agak rapat di belakang Faezah Hanim.
            Faezah Hanim menoleh sedikit memandang Ilyas dan melemparkan senyuman.
                        “Tahniah pada budak-budak kau juga. Ada seorang terpilih wakil negeri, kan? ”
            Ilyas mengangguk. Suasana bisu seketika.

            Di dalam pertemuan semula mereka berdua kali ini, Faezah Hanim seakan-akan kehilangan kata-kata. Dia tidak tahu apa yang hendak dibualkan dengan Ilyas. Dia merasa kekok dan janggal berhadapan dengan Ilyas. Jika di UPSI dahulu, ada-ada sahaja cerita yang mereka bualkan. Pasal filem, pasal sukan, pasal jadual peperiksaan atau berbual kosong. Mereka berdua sentiasa ada perkara yang hendak dibincangkan atau digaduhkan! Ilyas memang suka menyakat. Faezah Hanim pula mudah melenting dan sentiasa mahu menang. Maklumlah, perangai seorang anak tunggal. Tetapi Ilyas tetap tidak peduli. Ada-ada sahaja perkara yang hendak disakatnya.

            “Kau hendak balik terus ke, Nim?” Tanya Ilyas ketika dia memerhatikan pelajar-pelajarnya beratur untuk naik ke atas pentas untuk dikalungkan medal dan menerima pingat naib johan.
            “Hmmm, baliklah kot. Esok budak-budak sekolah. Mesti hendak rehat juga. Dua hari game tak henti-henti.”
            “Aku ingat hendak ajak kau minum-minum. Lama kita tak jumpa, Nim,” Ilyas memandang Faezah Hanim penuh berharap.
            “Mmm, takpelah Ilyas. Aku kena balik cepat ke Kluang. Nak hantar setiap budak ke rumah mereka lagi. Lain kalilah ya,” Faezah Hanim cuba mengelak. Namun, memang benar, dia mahu pulang cepat ke Kluang. Dia bukan sekadar membawa dirinya sahaja. Dia bertanggungjawab membawa sepuluh orang anak gadis yang perlu dihantar pulang ke rumah masing-masing. Itu janji Faezah Hanim kepada semua ibu bapa pelajar yang turut serta.

             “Ok, ok takpe. Tapi, kau mesti bagi aku nombor telefon kau! Kalau tak, aku cari kau sampai sekolah,” Ilyas mengugut sambil memberikan senyuman nakalnya pada Faezah Hanim yang menjeling tajam.

            Mahu tidak mahu, terpaksa juga Faezah Hanim memberikan nombor telefon bimbitnya kepada Faezah Hanim.
            “Lepas ni, kau jangan tukar-tukar nombor pulak, menjajar aku cari nombor kau kat kawan-kawan tau tak,” Ilyas memberi amaran lembut kepada Faezah Hanim.
            “Iyalah, iyalah. Aku tak akan tukar nombor,” Faezah Hanim mengiakan sambil mendongakkan wajahnya memandang Ilyas yang tersengih-sengih.
           
Setelah menjadi seorang guru, dia tidak kuasa menukar-nukar nombor telefon lagi. Lagi pula, ayah dan ibunya bising memarahi dirinya yang sering menukar nombor telefon bimbit. Bukan ayah dan ibunya sahaja yang merungut-rungut malah Kak Nora dan Kamal Arif juga bising jika dia memberikan mereka nombor telefon bimbit yang berbeza.

Sebenarnya, jika hendak ‘melarikan diri’ diri dari seseorang yang menganggunya melalui SMS atau panggilan telefon, dia akan menukar nombor. Tetapi, setelah dia semakin matang dan dewasa, dia mula berfikir yang menukar nombor telefon itu, tidak akan menyelesaikan masalah. Lebih-lebih lagi sekarang, nombor telefon itu sudah diberikan kepada Pengetua, pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan.
           
“Nanti, kalau aku turun Kluang atau Batu Pahat, kita jumpa eh? Belanjalah aku makan nasi beriani kambing,” Ilyas tersengih-sengih.
Faezah Hanim menjeling lagi namun dia tetap memberikan senyuman kepada Ilyas.
‘Apa salahnya jika hadirnya kali ini untuk kami berkawan.’

Hati Ilyas bergetar. Memang Faezah Hanim ini, walaupun sudah bertudung, namun gerak-gerinya masih lagi seperti seorang ‘tomboy’. Dia masih lagi kelihatan lincah dan lasak. Namun disebalik kelincahan guru muda itu, masih ada ciri-ciri kelembutan seorang wanita. Kulitnya yang kuning langsat dan kening yang cantik terbentuk, memang ayu pada pandangan Ilyas. Tidak tahulah pada pandangan lelaki lain, namun, Ilyas memang sudah lama jatuh cinta dengan sahabat karibnya semasa di universiti itu.
“ Iyalah...kalau kau turun BP nanti, give me a call. Aku belanjan kau makan beriani kambing, ok.” Faezah Hanim mempelawa.

Ilyas Kahar tersenyum lebar.
‘ YES!’

Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Kulai menyaksikan kemenangan setiap pelajar dan juga persahabatan yang terbina antara para guru dan pelajar-pelajar dari seluruh daerah negeri Johor. Memori manis terpahat pada setiap yang ada di padang pada petang yang redup itu.Bagi sekolah yang menang dan mendapat jolokan pemain terbaik, mereka pulang dengan senyuman lebar. Bagi sekolah yang kalah pula, mereka pulang dengan harapan agar tahun hadapan, kemenangan menjadi milik mereka. Bagi anak-anak buah Faezah Hanim, Cikgu Dila dan Cikgu Ina, rasa bangga dan terharu dengan kemenangan yang dikecapi. Walaupun, mereka tidak bergelar Johan, namun gelaran Naib Johan Peringkat Negeri Johor, amat bermakna buat mereka. Lebih bermakna apabila ada pelajar mereka yang dipilih mewakili negeri Johor untuk ke peringkat kebangsaan.

Padang sekolah itu juga menyaksikan pertemuan dua orang sahabat yang sudah lama terpisah. Semuanya di dalam ketentuan ALLAH. Faezah Hanim sama sekali tidak menyangka dia akan bertemu kembali dengan sahabat karibnya semasa di universiti. Ilyas Kahar pula mengharapkan, pertemuan itu akan menjadi satu batu loncatan untuk hubungan yang lebih indah dan bermakna.







USJ, Subang Jaya, Selangor
Ahad. Petang.


Adik mengeluarkan baju-baju pakaiannya dan beberapa pasang seluar yang dibawa dari kampung satu persatu. Diambil penyangkut baju dan digantung sehelai demi sehelai pakaian itu di dalam kabinet baju milik Johari. Petang semalam, setelah Kajol dan Diana pulang ke rumah, Johari meminta Adik mengemaskan meja makan sementara dia mengosongkan separuh kabinet bajunya. Johari kemudiannya menyusun semula pakaian miliknya di dalam kabinet yang sebelah kiri. Manakala, diberi ruang yang sebelah kanan kepada Adik.

“Tak apa ke Ri aku ambik tempat dalam almari kau ni?” Tanya Adik ketika melihatkan Johari melipat pakaiannya kecil-kecil dan disusun rapat dan rapi di dalam kabinet empat pintu itu.
“Eh...apa kau ni? Takkanlah kau nak letak baju-baju kau dalam beg aje? Kau nanti nak duduk lama kat sini, bukan duduk sekejap,” Johari menjawab sambil tangannya tangkas melipat baju-baju dan seluar miliknya.

Adik terharu. Johari ini, budi baiknya tidak akan dapat dibalas dengan wang ringgit. Nilai persahabatan Johari dengannya terlalu tinggi. Apa yang mampu dia lakukan adalah dengan mendoakan kesejahteraan Johari dan kaum keluarganya. Di kampung juga, hubungan Mak Bedah dan keluarganya itu, sudah macam saudara sendiri.

            Sedang Adik menyusun pakaiannya di dalam kabinet baju Johari, tersembul wajah Johari di muka pintu. Dia memandang wajah Johari yang mengikat rambutnya tinggi ke atas macam jin pakai toncit.

“Dik, esok nanti, nak pergi interview, kau pakai baju apa?” Tanya Johari sambil tubuhnya disandarkan di daun pintu. Hari ini, dia dan Alice hanya duduk-duduk di rumah. Terlalu banyak pakaian yang perlu dibasuh katanya.
            “Pakai kemeja dengan seluarlah, kenapa?” Jawab Adik sambil memandang wajah Johari sambil keningnya terangkat.
            “Warna apa? Meh tunjuk kat aku,” soal Johari lagi sambil datang dekat kepada Adik dan melabuhkan punggungnya di katil. Dia segera menghulurkan tangan kanannya meminta Adik menunjukkan pakaian yang akan dipakai esok.

            Adik mengeluarkan seluar slack berwarna biru tua dan kemeja berwarna putih yang masih berada di dalam beg lalu diberi kepada Johari.
            “Kau nak pakai baju ni, Isnin nanti? Baju ni???” Johari mengambil dua helai pakaian itu dari tangan Adik dan membelek-beleknya. Keningnya berkerut-kerut – tanda tidak berkenan dengan pilihan Adik.
            “Kenapa Ri? Tak sesuai ke?” Adik kebingungan. Ada undang-undang berpakaiankah di tempat baru ini? Pada Adik, kemeja dan seluarnya itu adalah pakaian formal yang sesuai dipakai untuk pergi temuduga. Dia juga mungkin akan memadankan baju itu dengan tali leher warna biru juga.
            “Adoiii Dik....sesuai memang sesuai. Tapi kau macam nak pergi perhimpunan ahli-ahli perniagaan cina dekat dewan saudagar-saudagar sebelah Summit Batu Pahat tu laaaa,” Johari tersengih-sengih. Adik menjelingnya sambil tergelak kecil.
            “ Heh kau ni! Habis? Aku nak pakai baju macam mana?” Tanya Adik keliru. Keningnya pula yang berkerut memandang Johari.
           
            Johari terus bangun dan menuju ke pintu kabinet miliknya. Dia menguak pintu kabinet itu. Seketika dia memerhati baju-baju dan pakaian di dalam kabinet itu. Adik menanti dengan sabar, memandang Johari yang seperti mencari idea.

            ‘ Ri ni, jangan dia suruh aku pakai skirt sudah. Tak rela aku.’ Adik berharap di dalam hati.

            Yes! This is it!” Johari tersenyum lebar sambil mengeluarkan blaus warna merah dengan bunga-bunga ros kecil warna putih dan sepasang seluar palazo warna putih.
           
            Mata Adik buntang memandang baju yang Johari keluarkan dari kabinet bajunya.
            “ Kau nak aku pakai baju tu ke, Ri?!” Adik menelan air liur. Tidak berkejip matanya memandang sahabatnya yang memegang dua helai pakaian yang layak dipakai oleh seorang wanita.
            “ Haa, iyalah. Buat malu aku aje kau datang interview datang pakai baju macam tu, tak kerrrlassss nyah! Hah, cepat cuba baju dengan seluar ni. Kau tu macam kacang panjang, takut senteng pulak palazo ni.”

            Adik tidak ada pilihan lain selain mengambil dua helai pakaian yang dihulurkan oleh Johari. Temannya itu pula memberi ruang kepada Adik untuk menyalin pakaian dengan keluar dari bilik itu. Johari terus ke bahagian dapur dimana dia dan Alice meletakkan mesin basuh. Memang rutin untuk Johari untuk membasuh baju pada hujung minggu.

            “ Ok ke ni, Ri?” Muncul wajah Adik di muka pintu dapur menegur Johari yang sedang terdongak-dongak menyangkut pakaian yang baru dibasuh.
            Johari berpaling. Matanya terbeliak. Perlahan-lahan dia tersenyum memandang Adik yang kelihatan anggun memakai blaus warna merah dengan bunga-bunga ros kecil warna putih dan seluar palazo yang juga berwarna putih.
            Babe! You look gorgeous! Kau macam retis tau!” Johari tersenyum puas.“ Baju macam inilah untuk kau pergi interview esok, bukan pakai macam salesman tu.” Johari memandang Adik sambil tersenyum lebar.

            Adik tersengih-sengih. Bangga juga dia apabila Johari mengatakan yang dia seperti artis. Dengan tidak semena-mena, terpercik ingatannya kepada Kak Nora. Kak Nora yang memang suka berdandan cantik pasti suka memakai baju seperti ini.

            “ Dah baik kau buka balik. Nanti bau busuk pulak baju tu nak pakai esok,” Johari memberi arahan.
            “ Alah kau ni, takkanlah pakai kekejapan dah bau busuk! Ada-ada aje kau ni, Ri.” Adik menjeling Johari yang berlalu meninggalkannya untuk menyambung kerja-kerja mendobi pakaian yang tergendala.

            Adik bertembung dengan Alice yang baru keluar dari bilik tidur. Masih sepet lagi mata Alice ketika dia keluar dari pintu bilik tidur yang sentiasa bertutup kerana terpasangnya penghawa dingin. Jika tidak silap Adik, Alice hanya pulang ke rumah jam lima pagi. Menurut Johari, jika hari Sabtu malam Ahad, memang sampai subuh baru Alice akan pulang ke rumah. Ramai pelanggan yang datang pada malam Sabtu dan malam Ahad.

            “ Wahhh, Dik...manyak cantik laaaa you,” Alice pula memuji ketika melihatkan Adik yang memakai baju Johari. Blaus merah itu, memang agak pendek. Seluar palazo yang besar dari bahagian atas hingga  ke bawah pula amat sesuai dengan susuk tubuh Adik yang tinggi lampai.
            “ Si Ri yang suruh I pakai, Moy. Dia kata, baju yang I nak pakai esok, tak sesuai,” Adik mengadu kepada Alice.
            “ Eleh Moy...you tahu apa dia nak pakai esok? Baju kemeja putih dengan seluar slack warna biru! Haish...macam salesman aje Moy...buat malu akak aje esok tau!” Johari menjeling Adik yang mencebikkan wajahnya.
            “ Aiya...white shirt and blue slack? Tak mahu pakai itu macam laaa, Dik. Macam I punya night club waiter aje,” Alice pula memberi komen. “ Pakai baju Juls lagi cantik lor.
            “ Iyalah, iyalah...aku ikut laa cakap engkau orang,” Adik mengalah.
            “ Dik...mak buat semua ni, hanya yang terbaik untuk kau nyah!” Ujar Johari sambil memegang bahu Adik sambil membuat muka kasihan. Alice tersengih-sengih dengan lagak Johari.
            “Iyalah tu,” Adik mencebikkan bibirnya. Dia kemudian masuk semula ke bilik untuk menyalin pakaian asalnya dan menggantung blaus dan seluar palazo milik Johari.

            Apabila Adik keluar semula ke ruang tamu. Dia melihat Alice sedang menikmati secawan air kopi sambil duduk di sofa bersama Johari yang sedang menonton televisyen.
            You tak makan, Moy?” Tegur Adik sambil melabuhkan punggungnya di salah satu sofa satu tempat duduk. Dipandangnya wajah Alice kelihatan sembab.
            “Tak apa, Dik. I terus dinner saja nanti,” jawab Alice sambil tersenyum. Tengahari tadi pun, Adik dan Johari hanya memakan nasi goreng kampung yang dimasak Johari.
            “Kau ni, Dik. Ini kira sarapan dia ni. Pukul tiga empat petang, baru nak minum kopi dengan makan biskut. Makan malam kang, macam makan tengahari dia,” Johari menerangkan. Alice hanya tersenyum-senyum.
            “Moy...malam ni, kita bawa Adik keluar makan laa eh? Dinner dekat Johnny Steamboat kat Summit?” Johari memberi cadangan.
Alice mengangguk-angguk, “Ok ok...no problem.
“ Malam kita makan steamboat, boleh Dik?” Tanya Johari sambil memandang wajah Adik.
“ Aku tak kisah, Ri. Aku ikut aje mana kau orang nak bawa aku.”
“ Juls...esok, you bawa Adik pergi ofis terus ke?”
“ Haah, iyalah. Sekali jalanlah. Interview pun sembilan setengah. Cuma, I tengah fikir, macam mana Adik hendak balik? Kena naik teksi laa agaknya. Cuma, I takut, teksi pusing-pusing entah mana-mana, nanti meternya naik macam gunung! Teruk pulak nak membayarnya,” Johari menyatakan keraguannya. Dia tidak mahu Adik ditipu. Adakalanya, pemandu teksi mengambil kesempatan kepada invidividu yang baru datang ke kota.
“Macam inilah Juls…kalau sudah habis interview, I boleh ambil Adik,” Alice memberi cadangannya.
“Eh…kau orang berdua ni, janganlah fikirkan aku. Beritahu aku, hendak naik bas nombor apa, aku naik bas saja. Tak payahlah Amoy hendak datang ofis semua,” Adik merasa serba-salah kerana kedua-dua temannya itu bimbangkan dirinya yang sudah besar panjang.
“Tak apa, Dik. I pun memang kena keluar beli makan. Nanti, I datang ambil you, lepas tu, kita boleh lunch sama-sama maaa.”
Cadangan Alice akhirnya dipersetujui oleh Johari dan Adik. Sambil ketiga-tiga teman itu menonton sebuah filem di rangkaian HBO, Adik memerhati wajah Johari dan Alice.
‘ ALLAH telah mendatangkan dua orang sahabat yang ikhlas membantu aku. Walaupun zahir mereka sebegini, namun mereka punya hati budi yang luhur.’

Sedang dua orang sahabatnya itu khusyuk menonton filem, fikiran Adik pula menerawang ke kampong. Macam-macam yang menerjah di kotak mindanya. Petang-petang begini, mungkin ayah berada di kebun ataupun melawat atok dan nenek. Emak pula mungkin sedang menonton drama di televisyen. Kak Nora mungkin sedang berada di majlis-majlis persandingan atau pertunangan. Dia tidak dapat membohongi dirinya, yang dia amat merindukan mereka. Walaupun, Johari dan Alice itu cukup baik dan membuatkan dia tidak janggal tinggal di kota, namun kata orang tua, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, negeri sendiri tetap di hati.

‘ Kalau bukan kerana Abang Khalid, aku mungkin ada di Batu Pahat lagi. Alangkah baiknya jika Abang Khalid punya hati budi seikhlas Johari dan Alice.’

Adik menarik nafas panjang sambil matanya di alihkan ke kaca televisyen- cuba ‘menyibukkan’ mindanya dengan filem yang sedang ditayangkan. Tetapi sebenarnya, dia masih hiba dengan perkara yang berlaku hingga memaksa dia merantau ke kota ini. Dia menarik nafas lagi.

No comments:

Post a Comment