AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 15 July 2016

AKU BUKAN KAMALIA- BAB 21 - karya SASYA ZAINAL




Hampir setiap pagi, dia akan terjaga apabila muazin dari surau berdekatan dengan rumah melaungkan azan subuh. Hari ini, tidak berkecuali. Dia melangkah turun dari katil dan segera keluar dari bilik untuk mencari sedikit haba kerana tidak tahan dengan suhu yang sejuk di dalam kamar tidur Johari. Malam tadi, terlebih pula rasa sejuknya kerana hujan telah turun dengan lebat membasahi bumi Subang Jaya.

            Hujan yang turun, mengingatkan dia dengan Sungai Simpang Kanan. Airnya pasti mengalir dengan deras membawa bersama segala ranting-ranting kayu dan juga sampah sarap yang dibuang dengan sewenang-wenangnya oleh penduduk sekitar. Pada musim hujan, orang-orang kampung pula akan mengambil langkah berjaga-jaga kerana khuatir banjir akan menyerang. Jika hujan lebat turun seharian, pasti anak-anak sudah dikerah untuk menaikkan buku-buku sekolah dan pakaian ke atas almari yang tinggi. Barang-barang elektrik juga akan dinaikkan di bahagian rumah yang agak tinggi kerana akan musnah jika air naik mendadak. Di Subang Jaya ini, dia dan Johari, mungkin Alice dapat tidur dengan lenyak kerana tidak perlu bimbang jika hujan lebat turun tidak berhenti. Tidak perlu risaukan bencana banjir kerana rumah Alice yang terletak di tingkat atas.

            Seperti selalu, dia akan mandi dan terus berwuduk. Walaupun air yang mengalir dari paip, sejuknya hingga ke tulang sumsum namun itu tidak menjadi masalah kerana Alice telah memasang alat pemanas air di dalam bilik air mereka. Jika di kampung, semasa dia masih bersekolah, emak akan bangun pagi untuk merebus air di dalam periuk yang besar. Air yang direbus itu buat dia, ayah dan adik beradiknya mandi air yang hangat. Periuk itu biasanya dibuat merebus ketupat. Sekarang ini pun, ayah sudah memasang pemanas air di dalam bilik air rumah mereka di kampung.

            Sejak hari Sabtu yang lalu, dia menunaikan solat subuh di ruang tamu. Bilik Johari memang luas namun, kiblatnya mengadap katil. Tidak enak pula dia hendak rukuk dan sujud sambil mengadap Johari yang berbungkus tidur dengan selimut tebal. Lagi pula, dia tidak tahan dengan suhu sejuk di bilik Johari.

Hari ini, mungkin bakal menjadi hari yang mengubah diari hidupnya. Pada pukul 9.30 pagi nanti, dia akan menghadiri temuduga di pejabat Johari bekerja. Dia berdoa agar ALLAH memudahkan urusannya. Walaupun Johari sudah mengesahkan yang dia pasti akan dapat bekerja di situ, namun dia masih mahu tampil dengan penampilan yang terbaik. Dia tidak mahu pihak pengurusan menyangka yang dia hanya melepaskan batuk di tangga. Pergi temuduga dengan tidak bersedia dan dengan tangan kosong. Malam tadi, dia mengemaskini segala dokumen penting yang perlu dibawa bersama. Sijil-sijil tamat sekolah, SPM, Diploma dan sijil-sijil ko-kurikulum diletak kemas di dalam fail plastik jernih.

Agak lama Adik berzikir dan berdoa pagi itu. Dia mendoakan kesejahteraan emak dan ayah di kampung. Tidak lupa juga dia mendoakan kesejahteraan adik-beradiknya, anak saudaranya yang amat dirindu, Kak Nora, Faezah Hanim dan semua guru yang pernah memberi ilmu kepadanya. Johari dan Alice masih diulit mimpi ketika Adik membancuh air Nescafe susu. Masih awal lagi untuk dia menggerakkan Johari dan dia pasti, Johari pasti sudah menetapkan waktu jam loceng di telefon bimbitnya.

Waktu baru menunjukkan jam enam setengah pagi. Menurut Johari, mereka perlu keluar dari rumah seawal jam tujuh empat puluh lima pagi. Walaupun jarak antara Subang Goodyear Court dan Sunway itu, kurang dari lima belas kilometer, tetapi kerana kesesakan lalu lintas pada hari-hari bekerja, memaksa semua penduduk kota keluar lebih awal. Sebenarnya, mereka boleh sampai di kawasan Sunway tidak sampai setengah jam jika laluan trafik berjalan lancar.

Adik sedang menggosok seluar palazo dan blaus merah berbunga ros kecil-kecil warna putih ketika dia terdengar Johari membuka pintu bilik tidur mereka.

“Dik...Dik...,” kedengaran suara Johari memanggilnya.
“Hmmm...aku tengah gosok baju ni,” jawabnya dari bilik ketiga. Bilik yang paling kecil dimana Alice meletakkan kabinet baju yang bercermin dan majalah-majalah Vogue yang dilanggan. Bilik itu juga dijadikan bilik untuk menggosok baju.
“Kau dah mandi?” Wajah Johari tersembul di muka pintu bilik ketiga itu sambil dibahu kirinya tersangkut tuala mandi. Johari menggenyeh matanya yang separa tertutup, separa terbuka. Masih mengantuk barangkali.
“Dah...aku dah siap mandi, sembahyang, minum air semua. Nak licinkan baju ni aje,” Adik menjawab dengan panjang lebar.
“Oklah, aku mandi dulu. Hujan-hujan ni, harus laa jem macam nak balik kampung masa raya. Aku siap aje, kita terus keluar laa, Dik. Takut tak sampai ofis sebelum pukul sembilan.” Johari memberitahu sebelum berlalu ke bilik air.
“Ok. Aku ikut aje. Kau nak aku buatkan air tak?” Adik menawarkan diri membuatkan air untuk Johari sebelum temannya itu menutup pintu bilik air.
“Boleh juga. Teh terik kencing manissss please.”

Adik tersengih menggeleng-gelengkan kepala sambil membongkok untuk menutup suis seterika. Johari itu, memang sejak kecil suka makan makanan dan minuman yang manis-manis. Dia bukan tidak tahu yang makanan atau minuman yang manis itu boleh menyebabkan diabetis. Puas sudah Adik menasihatinya. Semalam pun, semasa makan di kedai makanan steamboat, Johari mengambil peluang memesan aiskrim. Sebelum pulang pula, sempat dia singgah di pusat membeli-belah di dalam Summit, USJ itu untuk membeli beberapa bungkus coklat dan air minuman bergas.
“Untuk release stress,” kata Johari.

Seingat Adik, semasa mereka di kampung, zaman sekolah, Johari memang paling suka jika Faezah Hanim mengajak mereka berdua datang ke rumah. Cikgu Zakiah, ibu Faezah memang gemar membuat kek, tetapi Cikgu Amir, suaminya, amat menjaga cara pemakanan. Faezah juga begitu. Selalunya memang rezeki Johari dan dirinya jika datang ke rumah Faezah, ada-ada sahaja kek yang dibuat oleh Cikgu Zakiah. Kek bakar jagunglah, kek pandan, kek oren, kek batik dan bermacam-macam lagilah rezeki mereka untuk dibawa pulang.

Setelah membancuh dan meletakkan teh tarik permintaan Johari di atas meja, Adik segera masuk ke bilik untuk menukar pakaian. Debaran di dada sudah kian terasa. Walau sudah diberi kepastian yang dia akan dapat bekerja di situ, namun dia masih merasa gugup. Menurut Johari, temuduga akan dibuat di dalam bahasa inggeris. Haruslah terbelit tergeliat lidahnya untuk bertutur di dalam bahasa penjajah itu. Walaupun dia mendapat keputusan cemerlang di dalam bahasa inggeris di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan MUET, dia akui, untuk menguasai sesuatu bahasa itu, adalah untuk selalu mempraktiskannya. Dengan siapa pula dia hendak bercakap dengan bahasa inggeris semasa di kampung? Emak dan ayah, sepatah haram tidak tahu bahasa inggeris. Kak Nora, kata orang, cakap broken english. Perkara yang boleh dilakukannya adalah dengan membaca novel-novel romantik bahasa inggeris. Tetapi, harus juga dia akui yang dia lebih gemar membaca novel-novel bahasa melayu, novel-novel dari Alaf 21 khususya.

Adik sedang menyikat rambutnya yang sudah kering ketika Johari keluar berkemban dari bilik air. Sehelai tuala yang lebih kecil digunakan untuk membungkus kepalanya. Dia segera memberikan laluan kepada Johari untuk bersiap.

“Kau dah buatkan air aku, eh?” Tanya Johari.
“Dah...aku dah letak atas meja tu haa,” jawabnya sambil mengambil fail dokumen dan begnya lalu keluar dari bilik.
“Eh, Dik...kau tak touch-up sikit?”
Berkerut keningnya memandang Johari,“ Nak touch-up apa pulak?”
“Iyalah...letaklah mekap nipis ke. Takdelah pucat macam orang baru lepas beranak.”
Kening Adik berkerut memandang Johari.
‘Biar betul Ri ni.’
Tadi dia sudah berbedak. Apa lagi yang perlu dibubuh di wajahnya.
“Tak apa. Aku siap kejap. Nanti aku tolong touch-up muka kau eh.”
Adik hanya mengangguk.

Semua ini, memang sungguh asing baginya. Memanglah dia suka untuk berdandan kemas dan suka juga untuk bermekap. Tetapi, selama ini, dia hanya membantu Kak Nora untuk memekapkan orang, bukannya dia yang memakai mekap. Agak pelik dan janggal untuk dia bermekap sebenarnya. Selama ini pun, cukuplah dia memakai bedak dan minyak wangi.

Adik sedang duduk di meja makan ketika Johari memanggilnya masuk ke bilik. Ketika dia melangkah masuk ke bilik, hidungnya terhidu bauan minyak wangi yang sungguh harum. Dia pasti Johari memakai minyak wangi berjenama antarabangsa seperti Gucci Flora, Lancome, Bvlgari yang harganya macam separuh gaji semasa bekerja sebagai promoter di kampung. Jika memakai minyak wangi seperti itu, orangnya sudah keluar rumah pun, bauan minyak wangi itu masih berlegar di sekitar rumah. Seketika, dia terpana melihat sahabatnya begitu anggun dengan pakaian baju kurung warna biru muda corak batik. Matanya tidak berkelip memandang Johari.

“Eh kau ni kenapa? Macam terserempak dengan kak ponti aje! Sini, pandang aku...aku touch-up sikit muka kau,” soalan Johari mengejutkan dirinya yang masih terkedu memandang Johari yang persis seorang wanita jelita.
“Cantik baju kau, Ri,” itu sahaja yang terkeluar dari mulutnya.
Johari tersenyum lebar. Kembang bila dipuji, “Ye ke? Kain sutera batik Terengganu ni, mahal tau. Tapi memang sedap pakai. Sejuk aje rasa.”

Adik menelan air liur. Seingatnya, ketika dia belajar di sekolah agama petang, ustaz dan ustazah selalu berpesan, haram bagi seorang lelaki untuk memakai pakaian sutera dan memakai barang-barang kemas yang diperbuat daripada emas. Dia hanya tersenyum hambar memandang Johari. Agak jauh sudah Johari itu tersasar sedangkan dahulu, semasa mereka masih kanak-kanak, itulah rakan dia mengaji bersama, pergi sekolah agama bersama-sama. Johari juga adalah anak murid Pak Hassan yang tidak pernah ponteng mengaji dan kelas agama yang Pak Hassan anjurkan di hujung minggu.

Johari mengenakan sedikit pemerah pipi di pipi Adik. Dia juga meletakkan pembayang mata berwarna kemerahan sesuai dengan warna blaus yang dipakai. Akhir sekali, di beri lip gloss pada Adik untuk dicalit di bibir. Johari tersenyum puas melihat Adik dengan mekap nipisnya.

“Haaa...cantik pun kawan aku. Barulah macam model!” Lebar senyuman Johari memandang wajah Adik yang cantik dipandang. “ Dah, jom kita pergi, nanti tak sempat sampai ofis pulak,” Johari bergegas menutup suis penghawa dingin dan lampu kamar.

Sebelum keluar, sempat Johari meneguk air teh tarik yang dibuat Adik.

“Err...Ri...ada masalah laa,” ujar Adik ketika Johari mengunci pintu hadapan.
“Ha? Apahal pulak? Kau nak terberak ke?” Terbeliak mata Johari memandang Adik.
“Bukan...err...aku punya kasut, tak sesuai dengan baju macam ni,” keningnya berkerut ketika memandang wajah Johari sambil menunjukkan kasut hitam yang dibawa dari kampung. Kasut hitam itu memang hanya sesuai untuk dipakai bersama kemeja dan seluar slack.
“Haah laaa...adoiii...kenapa aku tak terfikir semalam eh? Kalau tak, boleh beli masa kita kat Summit malam tadi. Macam mana ni eh? Takkan pakai palazo nak pakai kasut jantan! Ehhh...selisih malaikat!!!Errr...kau pakai kasut saiz apa?”
“Sembilan atau sepuluh.”
“Kaki saiz mak gajah pulak tu! Errr...aku saiz lapan. Amoy saiz sembilan. Tapi, kasut Amoy semua yang untuk bawa masuk kelab. Terpelecuk pulak kalau kau tak biasa...macam mana ni eh?”
Adik menanti Johari yang ligat mencari idea. Terkelip-kelip mata Johari memandang ke atas seperti idea itu ada di bahagian siling.
Johari kemudian memerhati kasut-kasut dan sandal-sandal Alice yang bersusun di rak kasut. Perlahan-lahan, dia kemudian tersenyum. Dia terpandangkan sepasang sandal Alice yang selalu digunakan untuk pergi membeli-belah. Sandal itu berwarna merah jambu. Johari menunduk dan mengambil sandal itu lalu diberikan kepada Adik.

“Haa...kau pakai sandal Amoy ni. Lagipun, kau dah cukup tinggi, boleh aje kau pakai sandal ni.”
Adik mengambil sandal yang dihulurkan.
“Tak apa ke, Ri...pakai sandal Amoy ni?” Adik ragu-ragu.
“Alah...tak kisah. Amoy tu jenis tak berkira. Dia pun selalu pinjam skirt-skirt aku. Kita dah macam adik-beradik dah.”
Dengan teragak-agak, Adik menyarungkan sandal berwarna merah jambu itu ke kakinya. Johari tersenyum lagi. Macam sandal Kak Nora pakai untuk pergi Ayer Hitam.
Yes! Perfect! Dah jom kita pergi.”

Kedua-dua sahabat baik itu dengan segera menuju ke lif dan turun ke tempat parkir kereta. Inilah kali pertama Adik menaiki kereta Johari. Sebuah kereta Pro Dua Kelisa yang berwarna merah. Bauan buah lemon segar menerjah ke rongga hidungnya ketika dia melangkah masuk ke dalam kereta itu. Ibu kota ini telah memberikan rezeki yang baik pada Johari. Dia berharap, dia juga akan diberi rezeki untuk memiliki sebuah kereta. Dapatlah dia bawa mak ayah dan Kak Nora jalan-jalan jika dia pulang ke kampung nanti.

Johari memanaskan enjin kereta dalam dua tiga minit. Dia kemudiannya memulas punat stereo memasang siaran radio dengan frekuensi Lite FM. Lagu-lagu inggeris yang romantik dan membuai rasa memberi kedamaian di halwa telinga dan hati Adik yang semakin gemuruh. Akhirnya Johari keluar dari parkir kereta dan kedua-dua sahabat itu membelah jalanraya menuju ke bandar Sunway.



Kluang.
Subuh Isnin.


Walaupun tubuhnya masih kepenatan, digagahkan juga diri untuk bangun apabila jam loceng di telefon bimbit berbunyi lantang. Sengaja dia memprogramkan nada bunyi ke bunyi paling maksimum supaya dia akan terus terjaga. Matanya masih lagi kelat. Lambat-lambat dia bangun dari katil dan mengambil tuala untuk ke bilik mandi. Jika boleh, ingin sahaja dia mengambil cuti. Namun, dia tahu, Pengetua dan GPK pasti menanti berita gembira darinya.

Semalam, setelah semuanya selesai di Sekolah Menengah Kulai, dia dan dua orang lagi rakan guru membawa pelajar-pelajar mereka pulang ke Kluang. Faezah Hanim yang awal-awal lagi sudah berjanji akan menghantar setiap pelajarnya, menunaikan kewajipan seperti yang dijanjikan. Sebelum pulang ke rumah masing-masing, mereka bersama-sama menikmati makan malam untuk meraikan kejayaan mereka.Teringat lagi dia semasa dia masih kecil, ayah dan ibunya juga begitu. Mereka akan membawa anak-anak murid mereka untuk makan tengahari atau malam untuk meraikan sesuatu kejayaan. Kini, dia mengulang kembali sejarah ayah dan ibunya. Faezah Hanim tersenyum lebar melihat kegembiraan anak-anak buahnya. Terdetik rasa syukur dan bangga di dalam hati dengan kejayaan mereka.

Setelah makan malam, seperti yang dijanjikan dengan ibu bapa, ketiga-tiga guru muda itu menghantar pelajar-pelajar mereka pulang ke rumah. Syukurlah kesemua pelajar duduk berdekatan dengan sekolah. Akhirnya setelah semua pelajar selamat pulang ke pangkuan keluarga mereka, Faezah Hanim, Cikgu Dila dan Cikgu Ina pulang ke rumah masing-masing.

Siraman air sejuk di awal pagi mengejutkan segala urat nadi yang sedang bermanja-manja di dalam tubuh yang masih lagi ingin berbaring. Haruman syampoo Safi dan buih mandian Lux memberi kesegaran kepadanya. Faezah Hanim pasti, jika dia dapat meneguk air Nescafe susu, dia akan lebih segar. Sambil mengesat rambut yang sudah dibasuh, Faezah Hanim menjeling jam di telefon bimbitnya. Terdapat satu pesanan SMS yang masuk.
‘Siapa pulak yang hantar SMS pagi-pagi buta ni.’
Segera dia mengambil telefon bimbit yang terletak di tepi bantal kepala untuk melihat siapa penghantarnya.

Assalamualaikum Hanim. Selamat menunaikan solat subuh dan selamat mengajar.

Tatkala membaca Assalamualaikum Hanim sahaja, Faezah Hanim sudah tahu siapa pengirimnya. Dia tersenyum. Awal pagi lagi Ilyas sudah menghantar SMS. Tetapi, jauh di sudut hati Faezah, dia menanti kiriman SMS atau balasan SMS dari Arif. Dia sudah tidak ingat berapa banyak kiriman SMS yang dihantar kepada Kamal Arif, namun satu pun tidak dibalas. Faezah Hanim membiarkan SMS Ilyas tanpa membalasnya. Dia perlu segera menunaikan solat subuh dan kemudian bersiap-sedia untuk ke sekolah. Pada hari Isnin, sessi persekolahan akan bermula awal lima belas minit kerana adanya perhimpunan mingguan.

Selesai bersolat, dia menyediakan air Nescafe susu panas dan masuk semula ke kamarnya untuk menyalin pakaian. Sedang dia menyarung tudung untuk meliputi rambutnya yang diikat kemas, kedengaran telefon bimbitnya berdecit lagi menandakan masuknya pesanan SMS. Faezah Hanim mengemaskan tudung yang dipakai dan segera mengambil telefon bimbitnya.
Hati-hati memandu, Nim. Aku pasti, Pengetua mesti gembira dengan kejayaan kau dan anak-anak buah kau. Aku pun dah nak ke sekolah dah ni. Take care, Nim.

Faezah Hanim menggeleng-gelengkan kepala dan tersenyum mengingatkan Ilyas.
Dia memang pernah menjadi sahabat karibnya di UPSI dahulu dan sememangnya dia memang gemar menghantar SMS walaupun duduk semeja di meja makan.
         Hanim, senyum sikit. Jangan tenung burger tu lama-lama, nanti jadi basi.
         Faezah Hanim mengangkat kepalanya dan memandang Ilyas sambil tersenyum.
         “Mengada-ngadakan kau ni! Duduk depan-depan pun nak SMS ke, kan rugi?” Faezah Hanim menjeling Ilyas semasa mereka duduk di meja makan di bawah pokok di sebuah warong dekat bandar Tanjung Malim.
         “Alah...sekurang-kurangnya aku hanya perlukan sepuluh sen untuk buat kau senyum!” Ilyas tersenyum nakal dan Faezah Hanim merengus marah lalu menjeling.                                                                                                                
            Faezah Hanim tersenyum mengenangkan kenangan lama. Imbauan memori semasa di kampus tidak memaksa Faezah Hanim berlama-lama di kamar. Dia perlu segera ke sekolah. Tidak mahu dia terlambat menyampaikan berita gembira kepada Pengetua walaupun semalam lagi dia telah memberitahu Pengetua dan Guru-guru Penolong Kanan yang lain. Dia terus meletakkan telefon bimbitnya ke dalam beg tangan tanpa membalas SMS Ilyas yang kedua. Biarlah, hari Isnin ini, dia ada banyak masa terluang selepas waktu rehat. Nanti-nanti sahaja dia membalas SMS Ilyas. Dia hanya ada empat kelas pada hari Isnin. Kesemuanya sebelum rehat.

            Faezah Hanim tiba di perkarangan sekolah tepat pada pukul 7.00 pagi. Segera dia mengkelek trofi kemenangan yang diperolehi di Sekolah Menengah Kebangsaan Kulai ke pejabat pentadbiran sekolah. Senyum lebar sahaja Faezah semasa menuju ke pejabat untuk mengetik kad kedatangan bagi mengesahkan kehadirannya ke sekolah. Beberapa orang rakan guru yang ditemui di sepanjang perjalanan mengucapkan tahniah. Mungkin Cikgu Ina atau Cikgu Dila sudah mengkhabarkan berita gembira kepada rakan-rakan guru yang lain.

            Semasa guru pengacara majlis mengumumkan berita gembira tentang kemenangan pasukan bola jaring, tepukan gemuruh bergema di dalam dewan sekolah. Ucapan tahniah diberikan kepada Faezah Hanim, Cikgu Dila, Cikgu Ina dan pemain-pemain bola jaring yang mewakili sekolah. Pengetua melahirkan rasa bangga kepada semua pelajar dan guru yang terlibat di dalam perlawanan peringkat negeri itu. Faezah Hanim mengucap syukur di dalam hati dan hanya tersenyum sepanjang perhimpunan itu.
           
            Entah kenapa, di dalam gemuruh tepukan pelajar pelajar Sekolah Menengah Tinggi Kluang itu, terpercik ingatannya kepada Kamal Arif. Di zaman remaja mereka, Kamal Arif dan Johari adalah dua orang teman yang sentiasa memberikan dia semangat, dorongan dan juga doa.
           
“Tahniah Faez...kita memang tahu awak akan menang,” ucap Kamal Arif semasa dia memenangi Kejohanan Bola Jaring bawah lima belas semasa di tingkatan tiga.
“Faez! Kita pun memang confirm  dah awak menang dan awak akan terpilih jadi pemain terbaik tau,” ucap Johari pula semasa mereka bertemu di rumah Kak Nora semasa Faezah Hanim menghantar kek kukuh buah yang ditempah Kak Nora.

Kamal Arif dan Johari.
Iya, sesungguhnya, dia amat merindui mereka. Hingga kini dia masih tertanya-tanya mengapa Kamal Arif tidak membalas satu pun pesanan SMS darinya. Tidak sabar dia menanti hari Jumaat kerana dia akan terus pulang ke Batu Pahat pabila tamat sahaja waktu persekolahan.

SMS dari Ilyas masuk lagi ketika dia sedang menikmati sarapan pagi pada waktu rehat.
Cikgu Hanim tengah makan apa tu?
Faezah Hanim menggeleng kepala. Kali ini, Faezah Hanim mengambil keputusan menelefon terus Ilyas yang sudah menghantar tiga SMS kepadanya sejak subuh tadi.

Ilyas yang memang sedang memegang telefon bimbit sambil menyedut air teh ais tersentak apabila telefon bimbitnya berbunyi. Dia tersenyum lebar apabila melihatkan nombor dan nama Faezah Hanim yang tertera di telefon Nokia N97 miliknya.

“Assalamualaikum Cikgu Ilyas.”
Ilyas berdehem beberapa kali sebelum menjawab salam.
“Waailaikumus salam Cikgu Hanim. Apa mimpi telefon ni?” Tanya Ilyas sambil tersengih-sengih. Hatinya berbunga ceria.
“Apa pulak aku yang mimpi? Kau yang hantar SMS dari sebelum subuh sampai sekarang! Tak ada kerja, ke cikgu?”
Ilyas tersengih lagi. Memang Faezah Hanim tidak pernah berubah. Gayanya masih lagi kasar sama seperti mereka di kampus dahulu. Namun dia tahu, Faezah Hanim itu baik hati.
“Ada cikgu Hanim. Akukan cikgu macam kau juga. Kerja kita sama aje. Cuma, sekarang dah tambah lagi satu kerja.”
“Kerja tambahan apa pulak? Jadi jaga sekolah?”
“Bukan. Bukan jadi jaga. Jadi penghantar SMS.”
“Heee...ngada-ngada. Dah pergi habiskan sarapan kau tu. Kejap lagi loceng dah nak bunyi.”
“Iyalah. Terima kasih call  aku, Nim. Berjaya jugak laa aku buat kau telefon aku eh...hehe,” Ilyas tersenyum nakal.
“Heee...kau ni memang ngada-ngada tau! Oklah...assalamualaikum.”
Klik.
Talian diputuskan.
Ilyas Kahar tersenyum. Dia terus menyedut air teh ais yang berbaki. Sememangnya dia teruja menerima panggilan telefon dari Faezah Hanim. Walau sudah beberapa tahun berlalu, entah kenapa, Faezah Hanim masih lagi gadis yang bertakhta di hatinya walau dia tahu, cintanya itu tidak berbalas. Tetapi, dia yakin, jika doanya dimakbulkan, dia akan dapat juga memenangi hati Faezah Hanim.

Dia tidak tahu samada Faezah Hanim itu mempunyai teman lelaki istimewa atau tidak semasa mereka di kampus. Jika ada, dia pasti yang mereka akan mendirikan rumahtangga setelah bergelar graduan. Tetapi, apabila dia menemui Faezah Hanim di Kulai, dia dapat merasakan yang Faezah Hanim masih lagi bujang. Ini bermakna, dia masih punya peluang. Ilyas meninggalkan meja kantin setelah loceng sekolah yang menandakan waktu rehat telah tamat. Hatinya berbunga girang.

No comments:

Post a Comment