AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 16 July 2016

AKU BUKAN KAMALIA- BAB 22- karya SASYA ZAINAL



Bangunan kelabu yang tersergam kini sudah berada di hadapan mata. Kereta Kelisa merah di pandu memasuki kawasan parkir bawah bangunan. Dia kagum dengan kecekapan Johari memandu di jalanraya yang sudah mula sesak dengan kenderaan semasa mereka memasuki Pesiaran Kewajipan. Jantungnya berdegup laju walau dia sudah berselawat di sepanjang perjalanan. Lagu-lagu sentimental yang berkumandang tidak lagi memberikan dia ketenangan.

Setelah memarkir kereta, dia mengekori Johari yang jalannya macam itik pulang petang menaiki lif dan menuju ke lobi bangunan. Menurut Johari, walaupun bangunan itu lima belas tingkat kesemunya, tetapi pejabat mereka hanya terletak di tingkat satu, dua dan tiga. Adik perlu mendaftar di tempat sekuriti untuk mendapatkan pas masuk.
“Dik...interview di tingkat satu. Aku punya ofis kat tingkat dua. Nanti kau turun kat tingkat satu eh. Kau cakap yang kau dah buat appointment untuk interview.
Adik hanya mengangguk. Gugup. Terasa kerdil dia di bangunan yang besar ini.

“Makkkk...cantiknya kau hari ni!”
Diana yang memang sedang menanti giliran untuk menaiki lif menegur  Johari hingga beberapa orang yang berada di situ memandang mereka. Entah mengapa, Adik merasa sedikit lega kerana mengenali Diana. Johari tersengih.

“Hari Isnin you alls. Dia orang suruh akak pakai baju kebangsaan katanya,” jelas Johari kepada Diana.
“Haa yelah...aku pun ni...menjajar aku cari baju kat PKNS, Shah Alam you alls. Dah tu, si Kajol pun sibuk jugak nak mencari baju kebaya! Benci mak, nyah. Mak takde saiz tau. Terpaksa mak pakai baju kurung aje...mak nak jugak merasa pakai baju kebaya ketat tau!”
Adik dan Johari ketawa dengan penjelasan Diana. Beberapa orang yang menanti giliran untuk menaiki lif juga senyum-senyum kambing dengan gaya Diana.
“Huh...nak pakai kebaya ketat hapa kalau kau makan cucur udang aku nak dekat setengah kilo!” Balas Johari.
“Habis tu? Kau buat sedap sangat! Takkan akak nak tengok aje? Eh...Adik...you alls datang  for interview ke?” Diana mengajukan pertanyaan kepada Adik yang sedang memeluk fail yang menyimpan dokumen-dokumen penting.
“Haah Dee...tengah cuak ni,” jawab Adik.
“Alah...relax you alls...insya- ALLAH, you alls dapat kerja dengan kita orang nanti,” Diana memberi semangat. Adik membalasnya dengan senyuman dan mengangguk.

Akhirnya, lif yang dinanti-nanti tiba juga. Semua staf yang menanti, berpusu-pusu masuk ke dalam lif yang agak besar. Adik, Diana dan Johari juga menerobos masuk. Setiap butang tingkat satu,dua, tiga ditekan. Adik merasakan perutnya menggelodak. Peluh sejuk terpercik di dahi.

Ting.
Pintu lif tingkat satu terbuka.
Good luck, Dik,” bisik Johari.

Adik melangkah keluar. Gemuruh didada tidak menentu. Perut menggelodak. Kakinya berat untuk melangkah.
‘Ya ALLAH, tolong aku.’ Bisiknya.

Terdapat kaunter penyambut tetamu di hadapan pintu lif dan tertera nama syarikat TELCO GLOBAL NETWORK. Menurut Johari, tingkat satu menempatkan pejabat sumber manusia, bilik-bilik mesyuarat dan pejabat pengarah syarikat. Dua orang gadis jelita menjadi penyambut tetamu dan tersenyum memandang Adik.
“Selamat pagi, cik. Saya ada temuduga dengan Mister Chan hari ini.”
“Selamat pagi. Siapa nama cik?”
“Kamal Arif.”
You kawan Julia ke?” tanya salah seorang gadis itu tersenyum-senyum.
Adik mengerutkan kening.    
‘Julia? Siapa pulak Julia ni?’
Dia kemudiannya teringatkan Johari.
“Err...ya, ya...saya kawan Julia.”
Kedua-dua gadis itu tersenyum. Memandang sesama sendiri apabila melihat Adik. Entah apa yang bermain difikiran mereka, Adik tidak tahu.
“Ok...cik Kamal boleh tunggu di bilik mesyuarat nombor satu. Nanti, Mister Chan akan datang, ya,” gadis itu juga menudingkan ibu jarinya menunjukkan bilik mesyuarat nombor satu yang tertera Conference Room 1.

Adik tersenyum dan mengangguk dan berjalan menuju ke bilik yang ditunjukkan. Dia membuka pintu. Hawa dingin menampar wajah dan tubuhnya. Bilik mesyuarat itu sederhana besar. Terdapat meja bulat yang agak besar dan terdapat sepuluh buah kerusi terletak di sekeliling meja. Adik menarik sebuah kerusi yang bersalut biru gelap dan melabuhkan punggungnya. Fail dokumen diletak kemas di atas meja. Telefon bimbit diletakkan di dalam silent mode. Bilik mesyuarat ini kelihatan sangat eksklusif. Adik tahu, ini bukan sekadar syarikat biasa. Kata orang kampung, syarikat cap ayam. Ini syarikat milik kompeni antarabangsa – yang pengarah urusannya orang dari luar negeri. Jantungnya berdegup kencang. Dia membaca surah Al-Fatihah dan surah Ash-Shira didalah hati untuk menghilangkan rasa gugupnya.

Tepat jam sembilan setengah pagi, pintu bilik mesyuarat itu dibuka.
Hi good morning Kamal Arif,” tegur seorang pemuda tiong-hua yang berkaca mata.
Adik segera bangun dan menghulurkan tangan berjabat tangan.
Good morning Mister Chan.
You’re Julia’s best friend?
Err...yes.” Jawab Adik gugup.
“Julia told me a lot about you. But don’t worry, it’s a good thing.” Mister Chan berbasa-basi sambil tersenyum. Adik hanya berdiri tegak. Kaku.
“Come. Let us have a sit and we shall start,ok.”
“Err...yes Mister Chan” Adik duduk apabila pemuda tiong-hua itu menarik sebuah kerusi dan juga duduk di sebelahnya.

Temuduga berlangsung sepenuhnya di dalam bahasa inggeris. Mister Chan adalah Pegawai Sumber Manusia syarikat ini. Sebenarnya Mister Chan lebih banyak bertanya tentang diri Adik, pengalaman semasa belajar dan pengalaman bekerja. Adik selesa dengannya. Kemudian, Mister Chan pula yang menerangkan tentang perihal tugasan yang bakal dilakukan di pejabat. Adik juga akan mendapat empat belas hari cuti tahunan, faedah hospital dan ubat-ubatan. Gaji permulaan adalah sebanyak dua ribu ringgit. Terkejut dia dengan tawaran gaji sebanyak itu. Didalam hati, segera dia mengucapkan syukur ke hadrat ILAHI. Tidak pernah dia merasa gaji sebanyak itu walaupun jika dia membuat overtime semasa di Batu Pahat.

Adik hanya mengangguk faham apabila Mister Chan memberikan penerangan tentang tempoh percubaan dan latihan yang diberikan syarikat. Kemudian Mister Chan bangun dan menghulurkan tangan kanannya sambil berkata, “Kamal Arif, welcome to Telco Global Network.”

            Adik segera bangun dan menyambut tangan kanan Mister Chan.
            “Thank you so much, Mister Chan. It means a lot to me. Errr, by the way...when should I start?” Tanya Adik penuh harapan. Jika boleh, dia mahu segera bekerja. Dia tidak betah duduk di rumah Alice tanpa berbuat apa-apa. Jika dia segera bekerja, dapatlah dia berkongsi membayar sewa rumah dan bil-bil air juga letrik.
            “The sooner, the better. It will be tomorrow then.”
            Adik tersenyum lebar, “Thank you. Thank you so much, Mister Chan.
           
Subhanallah. Betapa rezeki ALLAH itu amat luas. Meliputi tujuh petala langit dan bumi. Adik menuruti Mister Chan keluar dari bilik mesyuarat. Dia kemudiannya perlu menyerahkan kad pengenalan dan semua dokumen pentingnya kepada salah seorang gadis penyambut tetamu untuk difotostat. Beberapa borang masuk kerja dan borang KWSP juga diberikan kepada Adik untuk diisi.

Semua proses kemasukan Adik ke Telco Global Network selesai lebih kurang pukul 11.30 pagi. Setelah mengucapkan terima kasih kepada dua orang gadis manis yang membantu Adik mengisi borang, mengambil gambar dan memfotostatkan dokumen-dokumen penting, Adik kembali ke lif untuk turun ke lobi. Dia mengambil telefon bimbitnya dan melihat dua pesanan SMS. Satu daripada Johari yang memberitahu bahawa dia akan berhenti rehat satu jam pada pukul 12.00 tengahari. Satu lagi SMS daripada Alice yang juga akan menanti Adik di hadapan bangunan pejabat. Sekarang, jam hanya menunjukkan pukul 11.45 pagi. Adik mengucap syukur lagi kerana ALLAH memudahkan segala urusannya hari ini. Dapatlah dia makan tengahari bersama Johari dan Alice.

Adik melabuhkan punggungnya di salah sebuah sofa empuk yang berada di lobi ofis dan mengambil kesempatan menelefon emak di kampung. Dari suara emak, dia tahu, emak menangis. Macam-macam pesan emak kepadanya. Sempat juga dia berpesan kepada emak untuk mengirim salam kepada Kak Nora dan memberitahu Kak Nora tentang perihal dirinya. Dari emak, dia juga mendapat tahu yang Kak Nora sakit. Batuk-batuk yang Kak Nora alami, bukan seperti batuk biasa. Menurut emak lagi, emak akan membawa Kak Nora ke hospital hari Rabu ini sekali dengan Fidah dan Khairul Naim untuk pemeriksaan bulanan. Lapang hati Adik mendengarnya. Dia tahu, Kak Nora bukan jenis yang suka klinik, apatah lagi ke hospital. Dia lebih rela makan ubat tradisional dari makan ubat hospital.

“Adik!” Jerit Johari ketika Adik sedang meletakkan telefonnya di dalam beg setelah berbual dengan emak.
Adik bangun dan menyambut kehadiran Johari. Diana dan Kajol juga ada di belakangnya. Mereka bertiga tersenyum lebar. Adik merasa lapang melihat sahabat dan dua orang teman barunya.
“Adik...Mister Chan kata, your english is so good! Kelas kau nyah,” Diana memberi pujian.
“Wah! Best lah Adik, dapat kerja dengan kita semua. Nanti sabtu ahad, boleh ikut jalan-jalan tengok wayang dan shopping. Our group getting bigger!” Kajol juga menunjukkan kegembiraannya sambil memaut kuat lengan Adik. Dia kelihatan begitu teruja. Sama macam perangai Kajol dalam filem Kuch Kuch Hota Hai.
“Kau telefon siapa tadi?” Tanya Johari.
“Telefon mak. Dia nangis, terharu agaknya.”
Johari tersenyum, “ Baguslah. Mesti mak kau gembira.”
“Eh...dah...jangan nak berdrama kat sini eh. Kita ni, rehat satu jam aje. Perut aku dah buat lagu techno dah ni!” Diana mematahkan perbualan Johari dan Adik.
“Jomlah...kita tunggu Amoy kat depan. Entah-entah dia dah sampai dah,” usul Johari.

Memang benar telahan Johari. Alice sudah sedia menanti mereka di hadapan bangunan pejabat.
“Eh...muat ke kita ni nak naik satu kereta?” Diana ragu-ragu.
“Muatlah Dee...aku, Adik dan Juls duduk belakang. Kau duduklah depan,” Kajol memberi cadangan.
“Hah...ye tak ye jugak ya...kau orang yang badan-badan macam cicak kobeng, duduk belakang...akak yang saiz supermodel ni duduk depan, ok nyah.” Kesemua temannya ketawa dan menerobos masuk ke dalam kereta Waja milik Alice.

Kelima-lima teman itu akhirnya menuju ke sebuah restoren Nasi Kandar yang terkenal. Adik menyatakan niatnya yang akan membelanja mereka kesemua kerana meraikan rasa syukurnya pada hari ini. Walaupun keempat-empat mereka tidak bersetuju kerana Adik belum lagi bekerja, Adik bertegas.

“Dah kau nak belanja kan, Dik...aku ok aje!” Ujar Johari.
“Mak ni, serba salah tau, Dik. Sebabnya, mak makan banyak hari ni,” keluh Diana pula dengan membuat mimik muka serba salah.
“Alah...makanlah Dee. I tak kisah. Insya- Allah, cukup duit ni. I adalah simpan sikit-sikit masa kerja kat Batu Pahat tu,” jelas Adik kerana dia melihatkan kesemua temannya serba-salah.
Well, sebab mak tak nak kecewakan kau nyah...mak setuju! Macha! Kari telur ikan satu pinggan kasi taruk sini!”
Kelima-lima sahabat itu ketawa sambil menggeleng-gelengkan kepala dengan gelagat Diana.



Pagi, Rabu.
Klinik Kesihatan Batu Pahat.

Boleh dikatakan, hampir setiap hari, klinik kesihatan ini akan penuh dengan pesakit-pesakit yang ingin mendapatkan rawatan. Hari Rabu ini, tidak terkecuali. Pagi-pagi lagi, usai solat subuh, Abdul Ghani, Salimah, Nora, Fidah dan anak kecilnya sudah membelah jalanraya, menyeberang jambatan Batu Pahat. Kereta yang disewa Abdul Ghani dipandu menuju ke Klinik Kesihatan Batu Pahat yang terletak di hadapan Balai Bomba. Khairul Naim perlu mendapatkan suntikan bulanan. Nora pula, hendak mendapatkan rawatan batuk-batuknya yang sudah berapa bulan tidak ada perubahan.

Nora memerhati pesakit-pesakit yang menanti giliran. Ada yang berteman. Ada yang bersendirian. Ada yang bersama-sama dengan pasangan suami atau isteri. Ada yang ditemani anak-anak atau mungkin cucu. Dia menarik nafas panjang. Di dalam keramaian manusia yang menanti untuk masuk ke bilik rawatan, tiba-tiba dia terasa hiba. Dia bersendirian di sini. Tidak ada suami yang menemani. Tidak ada anak atau cucu yang menunggu. Syukurlah dia ada Salimah dan Abdul Ghani, jiran sebelah rumah yang hubungannya lebih rapat dari saudara sendiri.

“Sudah berapa lama akak batuk?” Tanya doktor yang bertugas pada hari itu. Seorang doktor muda lelaki. Mungkin juga dia baru bertugas di sini.
“Sebenarnya, akak dah tak ingat, doktor. Tapi lama juga. Agak-agak, macam nak dekat dua bulan macam tu.”
Doktor itu mengangguk-angguk.
“Batuk yang ada kahak atau kering saja?”
“Kalau siang, macam ada kahak, kalau malam, dada akak macam sempit sangat. Macam susah nak bernafas, doktor,” adu Nora.
“Hmm, akak tidak pernah pergi klinik atau hospital?”
 Nora serba salah. Tetapi, tidak mungkin dia akan menipu doktor muda ini.
“Sebenarnya, akak jarang pergi klinik, doktor. Akak tak suka makan ubat,” Nora berterus terang. Suaranya perlahan. Dia berdoa agar doktor tidak memarahinya.
Doktor muda itu tersenyum.
“Tidak bolehlah macam itu, kak. Kalau akak ke hospital, boleh kami periksa dan beri ubat yang sesuai. Kalau makan ubat batuk, tidak ada kesan, mungkin kami perlu beri akak antibiotik. Kalau batuk akak tidak baik sudah hampir dua bulan, itu tidak baik untuk kesihatan dan tidak normal,” lembut sahaja bicara doktor di hadapannya.
Nora hanya mengangguk-angguk faham. Akhirnya dia diberi preskripsi ubat yang perlu diambil di farmasi hospital.
“ Tapi akak...akak perlu datang ke hospital jika batuk akak tak berkurangan langsung ya,” Doktor muda itu menegaskan. Nora mengangguk-angguk lagi.
Di dalam hatinya, dia berdoa, hari itu adalah hari terakhir dia menjejakkan kaki ke klinik kesihatan itu. Semoga ubat batuk dan antibiotik yang diambilnya akan memberikan kesan yang positif .

Salimah dan Fidah sudah menanti Nora yang baru selesai mengambil ubat di kaunter farmasi.
“Alah...maaflah Kak Uda...kena tunggu saya pulak,” ujar Nora dalam nada kesal.
“Eh...tak apalah, Nora. Memang macam ginilah gayanya kalau pergi hospital. Itu yang Abang Ghani pergi pagi-pagi tu.”
“Kasihanlah si Naim ni. Dah tidur dah dia,” getus Nora sambil mengusap ubun-ubun Khairul Naim yang sedang tidur di dalam pangkuan Fidah. Dia kesal dengan keterlewatannya.
“Tak apa Kak Nora. Dia memang senang. Bagi menyusu, tidurlah dia,” jawab Fidah sambil tersenyum.
“Sebelum balik, kita singgah di Benteng, Peserai eh Kak Uda. Nora belanja makan nasi beriani Mat Shah,” Nora memberi cadangan.
“Eh...tak payahlah Nora. Akak dah masak kat rumah subuh-subuh tadi,” Salimah mengelak.
“Alah yang Kak Uda masak tu, boleh buat makan malam nanti. Takpelah, Nora belanja.”

Nora ini, memang murah hati. Duit sewa kereta dibayar separuh. Duit minyak juga diberi kepada Salimah. Ini, hendak membelanja mereka semua makan nasi beriani Mat Shah yang memang terkenal di Batu Pahat. Hanya ALLAH sahaja yang layak membalas budi baik Nora. Pada Nora pula, Salimah dan Abdul Ghani itu sudah umpama abang dan kakak kandungnya. Sakit pening Nora, suka duka Nora, semua di dalam kocek Salimah.

Selepas makan nasi beriani bersama-sama dengan Salimah serta keluarganya, Nora segera pulang ke rumah. Dia tidak mahu berlama-lama di rumah Salimah. Nora memberi laluan kepada Salimah dan keluarganya untuk berehat. Dia juga perlu berehat. Selesai menunaikan solat zohor, Nora mengambil ubat yang diambil dari Klinik Kesihatan Daerah pagi tadi. Dia kemudiannya membuka suis televisyen, mengambil alat kawalan jauh dan menghantar tubuhnya berbaring di atas karpet di hadapan tv. Dia baring menelentang. Meregangkan tubuhnya yang kepenatan kerana lama sangat duduk di bangku keras di klinik tadi. Nora menarik nafas panjang. Tubuhnya benar-benar terasa letih.

Nora kemudian mengalihkan pandangan ke arah televisyen yang menayangkan drama bersiri dari Sepanyol. Fikiran Nora menerawang. Dia bukan mengikut sangat drama bersiri itu. Sengaja dia memasang televisyen bagi menghambat kesunyian. Dia rindukan tenaga mudanya. Jika dahulu, pulang dari membeli-belah atau pulang dari membeli kelengkapan dulang-dulang hantaran, dia tidak akan terbaring begini. Harus sahaja sejurus selepas pulang dari luar, dia akan mencari masa menggubah bunga. Nora jarang tidur di waktu siang. Ada-ada sahaja yang dibuat. Jika tidak menggubah bunga, dia akan menjahit manik-manik di baju-baju pengantin yang disewakan.

Mata Nora semakin lama, semakin ralip. Memang pegawai farmasi yang menyerahkan ubat batuk tadi sudah berpesan yang ubat itu akan menyebabkan mengantuk. Nora dilarang memandu kereta atau mengendali mesin-mesin berat. Atas sebab-sebab inilah Nora tidak suka makan ubat hospital. Ubat hospital adalah bahan kimia atau dadah yang terkawal. Dia memang tidak berapa gemar jika ada bahan kimia yang mengalir di dalam tubuhnya. Pada Nora, ubat hospital yang menyebabkan mengantuk ini, menghalang dirinya dari bergerak aktif. Di dalam pukul 3.00 petang, Nora akhirnya terlelap sendiri di ruang tengah rumahnya.


Khairul Naim tidak bangun-bangun tidur sejak diberi susu di klinik tadi. Nyenyak sungguh tidurannya. Apabila Khairul Naim tidur, dapatlah Fidah dan Salimah hendak bergerak membuat kerja. Oleh kerana, bayinya masih tidur sekembalinya mereka dari klinik, Fidah dapat bersama-sama dengan mentua dan Kak Nora menikmati nasi beriani Mat Shah. Sambil melipat baju-baju yang sudah diangkat oleh ibu mentuanya, Fidah memerhati wajah comel Khairul Naim.
‘Syukurlah kau anak yang baik, nak. Tak susahkan ibu.’

Fidah terharu dengan bisikn hatinya sendiri. Sejak keluar dari rumah pagi hujung minggu lepas, batang hidung Khalid, langsung tidak kelihatan. Apa Khalid itu, tidak perasaan rindu pada anak kecilnya, kah? Apa Khalid itu tidak rindukan dirinya, kah? Atau, adakah Fidah masih berada di dalam pantang, Khalid tidak mahu langsung dekat dengannya? Atau sebenarnya, Khalid sememangnya tidak suka padanya dan anak kecilnya?

Hendak menyesal, semuanya sudah terlambat. Dia sudah menjadi isteri Khalid yag sah. Teringat dia dengan kata rakan-rakan sekerjanya semasa di kilang dahulu. Rata-rata mereka menyuruh Fidah menjauhkan diri dari Khalid. Kata mereka, Khalid itu buaya darat. Kata mereka, Khalid itu mata keranjang. Kata mereka, Khalid itu mat rempit. Bukan seorang dua gadis kilang yang menjadi mangsa Khalid. Mungkin sudah lebih sepuluh orang gadis kilang yang menjadi mangsanya. Fidah mengeluh. Hatinya menangis.

‘Aku buta. Aku buta dengan kata-kata manisnya. Aku lemah dengan hasutan nafsu syaitan.’

Gadis kilang mana yang tidak kenal Khalid? Jejaka kacak tinggi lampai. Wajahnya iras-iras pelakon filem, Farid Kamil. Renungannya mencairkan hati para gadis. Semasa Khalid memikat Fidah, dia yakin yang Khalid benar-benar mencintainya. Dia yakin yang Khalid sudah benar-benar berubah. Dia yakin yang Khalid akan mengasihinya sepenuh hati dan meninggalkan segala tabiat buruk seperti yang rakan-rakannya cakapkan.

Tetapi keyakinan Fidah punah apabila Khalid mengugut akan meninggalkannya jika Fidah tidak menggugurkan bayi yang dikandung setelah mereka terlanjur. Lebih pedih dan perit apabila Khalid mempersoalkan, adakah anak di dalam rahim Fidah itu, anak Khalid. Oleh kerana tidak mahu menambah dosa dan membunuh bayi yang tidak berdosa, Fidah tidak ada pilihan lain selain mengadu hal itu kepada keluarganya. Dengan hati yang berat, Fidah memberitahu ayah dan ibunya. Kedua orang tua Fidah pula, dengan segera memberitahu ketiga-tiga orang abang Fidah. Oleh kerana, apa yang berlaku itu memang salahnya, dia pekakkan telinga apabila emak, ayah dan abang-abangnya memarahi dirinya. Memang semua itu salah dirinya. Begitu mudah dia mempercayai kata-kata manis seorang lelaki. Dia bulatkan hati menerima Khalid sebagai suami. Itupun, Khalid hanya bersetuju menikahi dirinya setelah abang-abangnya membantai Khalid hingga lembik!

Khairul Naim menguit. Kemudian memuncungkan bibir mungilnya. Anak itu, kemudiannya tersenyum.
‘Entah apa yang kau mimpikan, nak? Semoga ALLAH berikan mimpi yang indah-indah untukmu.’

Fikiran Fidah kemudian menerawang lagi. Mungkin Khalid mengambilnya sebagai isteri hanya setelah diugut oleh abang-abang Fidah. Mungkin juga, Khalid hanya menikahi Fidah kerana ingin menutup mulut kaum keluarga Fidah yang akan melaporkan kes ini pada pihak Polis.

‘Mungkin inilah kifarah dosa-dosa ibu, nak.’

Fidah seolah-olah mengadu dengan anak kecilnya biarpun anak itu masih lagi lena tidak terganggu.

“Fidah...Naim tak bangun lagi ke?” Ibu mentuanya bertanya dari ruang tengah rumah mereka.
“Belum lagi, mak,” jawab Fidah.
“Kalau lama sangat tidur, kejutkan dia. Takut kuning pulak nanti. Dah lama tak menyusu tu,” kedengaran pula suara ayah mentuanya. Memang Abdul Ghani itu, lagi cerewet dari Salimah dalam hal-hal menjaga pantang orang lepas bersalin.
“Iyalah, yah,” jawabnya ringkas.

Didalam pada dia dikurniakan suami yang tidak memperdulikan dirinya dan anak kecil mereka, dia bersyukur kerana ALLAH mengurniakan ayah dan ibu mentua yang sangat baik hati. Selalu dia mengkhabarkan kepada orang tuanya di kampung Parit Raja yang dia mentuanya punya hati seperti malaikat.

Fidah menarik nafas panjang lagi. Dia mengasing-asingkan kesemua baju dan pakaian yang sudah dilipat. Kemudian Fidah mengangkat Khairul Naim ke pangkuan. Si kecil itu menggeliat dan memuncungkan mulutnya yang mungil.
‘Biarlah ayah kau tidak pedulikan ibu. Yang penting, ibu ada buah hati ibu ni.’
Fidah mengucup Khairul Naim penuh kasih.

No comments:

Post a Comment