Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 19 Julai 2016

AKU BUKAN KAMALIA- BAB 25 - karya SASYA ZAINAL



Kampung Peserai Pantai,
Isnin, 8.00 pagi.


Bunyi enjin motor Abdul Ghani mengejutkan Nora yang sedang lenyak tidur di kamarnya. Matanya dibuka perlahan. Dia masih lagi mengantuk walau seingatnya, dia tidur awal malam tadi.
            ‘Apalah Abang Ghani prung prang prung prang subuh-subuh ni. Takkanlah nak ke surau pun naik motor. Selalunya jalan kaki aje.’ Getus Nora di dalam hati.

Nora berpusing ke kanan dan memeluk bantal peluk. Dia masih mahu bermalas-malas di atas katil. Dia pasti yang dia akan terjaga ketika azan subuh berkumandang. Bukan jauh sangat surau kampung dengan rumahnya. Jika Abdul Ghani sudah bersedia hendak ke surau berdekatan, pasti subuh akan menjelang tidak lama lagi. Ketika Nora berpaling ke kanan, di sebelah kanannya adalah tingkap rumahnya yang ditutupi dengan tirai. Dari celah-celah dedaun tingkap itu, Nora dapat melihat pancaran cahaya menyimbah masuk cuma disebabkan kain tirai yang tebal, kamar Nora masih kelihatan gelap. Matanya terbuka luas dan dengan pantas dia mengiring ke kiri, melihat jam yang ada di atas meja soleknya.

‘Subhanallah…dah pukul lapan pagi! Gila betul ubat ni. Kesiangan aku. Subuh pun tidak.’
            Nora bingkas bangun dan mengikat rambutnya. Segera dia ke bilik air, membersihkan diri dan berwuduk. Kemudian dia mengqada`kan solat subuhnya. Oleh kerana, waktu sudah menunjukkan pukul 8.30 pagi, Nora mengambil kesempatan untuk menunaikan solat dhuha. Memang sudah banyak ceramah yang Nora ikuti mengatakan tentang fadhilat solat dhuha.

            Rutin pagi untuk Salimah dan Fidah sejak kelahiran Khairul Naim, boleh dikatakan sama sahaja setiap hari. Selesai bersolat, Salimah akan menyiapkan sarapan. Fidah juga akan menolongnya jika Khairul Naim masih belum terjaga. Mereka akan menanti Abdul Ghani pulang untuk sarapan bersama. Sambil menyediakan sarapan, Salimah akan mencuci pakaian di mesin basuh. Selepas bersarapan, Salimah akan membantu Fidah untuk memandikan Khairul Naim. Fidah adalah ibu muda yang masih perlukan bantuan orang yang lebih tua untuk menyiapkan bayinya. Abdul Ghani pula, akan ke pasar atau melawat kedua orang tuanya yang sudah tua benar. Begitulah rutin harian keluarga Salimah.

Mungkin rutin ini akan berubah jika Fidah ingin kembali bekerja. Salimah berharap dan berdoa yang Fidah akan meninggalkan Khairul Naim dengannya jika menantunya itu bercadang untuk kembali bekerja. Tidak sanggup rasanya dia berpisah dengan cucunya yang seorang itu. Berkali-kali juga Salimah menyatakan pada Fidah agar terus tinggal di rumahnya walaupun Fidah sudah naik kerja nanti. Tidak manis rasanya untuk Fidah pulang ke kampung halaman. Sebenarnya, Salimah malu dengan tindak-tanduk Khalid meninggalkan Fidah dan anak mereka tanpa rasa tanggungjawab.

Salimah amat memahami perasaan Fidah. Menantunya itu mungkin tidak selesa tinggal dengan keluarga mentua. Tetapi oleh kerana si Khalid sudah meletakkan Fidah di rumah mereka, Fidah terpaksa akur. Pandai pula Khalid bercakap-cakap pasal nusyuz kepada Fidah jika isteri keluar dari rumah. Tetapi, tanggungjawabnya sebagai suami, diabaikan begitu sahaja. Oleh kerana, Salimah dan Abdul Ghani merasa, merekalah yang perlu memikul tanggungjawab menjaga menantu dan cucu mereka, kerana Khalid itu anak mereka, mereka menerima Fidah seadanya. Salimah dan Abdul Ghani pula cuba sedaya upaya untuk melayan dan membuat Fidah seperti anak mereka sendiri. Sebagai ibu mentua, dia tidak mahu Fidah mengalami tekanan perasaan. Abdul Ghani sentiasa berpesan, “Jaga perasaan Fidah, kita takut dia meroyan.”

Salimah sedang menyiang sayur ketika Nora tersembul di muka pintu bahagian dapur rumahnya.
“Assalamualaikum Kak Uda.” Nora memberi salam, melepaskan selipar jepun yang tersepit di ibu jari kaki lalu terus masuk ke dalam rumah.
“Waalaikumus salam. Kau kesiangah eh Nora? Tak nampak kain baju bersidai tadi?”
“Iyaaaa Kak Uda. Eh...teruk betullah ubat hospital tu, kak. Saya kadang-kadang, bila minum petang, asar atau maghrib terbabas. Bila minum malam, subuh terbabas,” Nora mengadu sambil menggeleng-gelengkan kepalanya, sesal. Dia kemudian melabuhkan punggungnya di sebuah kerusi berhadapan dengan Salimah yang sedang memotong sayur-mayur.
“Badan kau tu tak biasa dengan ubat hospital. Sebab itulah agaknya jadi macam tu. Tapi, macam mana batuknya, dah kurang?” Tanya Salimah sambil memandang Nora. Dia memang mengambil berat tentang Nora yang sudah dianggap seperti adik kandung.
“Macam tak kuranglah Kak Uda. Itulah yang saya risau. Masuk hari ini, kira dah enam hari saya makan ubat tu. Doktor kata, kalau tak kurang, kena datang hospital lagi.”
“Ye ke? Hmmm...kalau macam tu, pergi lagilah Nora. Selalunya, akak ke, abang Ghani ni, kalau makan ubat batuk warna hitam tu, dua tiga hari dah baik dah,” berkerut kening Salimah memandang Nora yang juga berwajah serius pagi itu. Dari raut wajahnya, kelihatan yang dia bimbang.
“Kena pergi klinik kesihatan lagi agaknya eh Kak Uda? Nora bukannya tahu sangat,” tanya Nora jujur. Dia memang amat jarang ke hospital atau klinik kerajaan.
“Haah, kita kena pergi ke klinik kesihatan dulu. Lepas tu, mungkin doktor akan rujuk kita ke hospital. Kalau Nora terus nak ke hospital besar kat Taman Soga tu pun boleh juga. Beritahulah dengan doktor kat hospital yang kamu dah makan ubat dari klinik tapi dah seminggu tak baik-baik,” jelas Salimah dengan panjang lebar kepada Nora. Jirannya itu hanya mengangguk-angguk tanda faham.

Nora memang jarang benar ke hospital. Seingatnya, dia tidak pernah ke hospital. Jika pergi ke klinik pun, mungkin setahun sekali. Itupun jika dia mengalami demam panas yang teruk atau sakit tekak. Jika cirit-birit, Nora lebih rela meminum air rebusan daun pucuk jambu atau minum air teh kelat. Jika panas badan, Nora akan minum air kelapa dan berendam dalam air lama-lama. Nora memang tidak arif hal-hal untuk buat pemeriksaan di hospital. Tetapi, kali ini, Nora tidak ada pilihan lain. Dia perlu ke hospital. Batuknya, tidak kurang dan adakalanya, di waktu malam, Nora mengalami sakit dada yang teruk.


Global Telco Network, Bandar Sunway,


Isnin ini, sudah dua minggu dia menjalani rutin yang sama. Bangun seawal lima setengah pagi. Mandi, berwuduk lalu segera menunaikan solat. Dia kemudian membuat air minuman untuk dirinya dan Johari. Selesai mengacau nescafe dan teh tarik untuk Johari, barulah dia bersiap-siap berpakaian untuk pergi bekerja. Betapa berbeza hidupnya kini dan dua minggu sebelum ini. Jika di kampung, bangun pagi, selepas bersolat, dia akan menolong emak menyidai baju, menjirus pokok-pokok dan bersarapan dengan emak juga ayah. Pukul 9.00 pagi, ayah akan menghantarnya ke tempat kerja ataupun dia akan menanti bas Simpang Lima di tepi jalan masuk ke kampung untuk ke Bandar Batu Pahat. Masuk kerja pukul 10.00 pagi dan tamat kerja pula pada pukul 10.00 malam.

Emak selalunya akan menanti dia pulang. Dia akan menikmati air milo panas dengan roti bakar ataupun biskut sambil mendengar celoteh emak. Hujung minggu pula, dia akan menolong Kak Nora. Kadang-kadang, cuti tahunan diambil kerana membantu Kak Nora memasang pelamin. Adik yakin, hujung minggunya di kota, pasti akan meneman Johari ke pusat-pusat membeli-belah. Mereka mungkin akan menonton filem dan window shopping.Kini, semua kenangan di kampung, hanyalah memori semalam. Dia akan menjalani kehidupan sebagai warga kota. Tidak ada lagi Sungai Simpang Kanan, tidak ada lagi alunan suara Pak Hassan di waktu subuh, tidak ada lagi masakan emak, tidak ada lagi celoteh Kak Nora. Semuanya sudah ditinggalkan dan hanya ALLAH yang maha mengetahui, bila dia akan kembali.

            Hari ini, dia akan memulakan tugasnya sebagai eksekutif khidmat pelanggan Global Telco Network. Debaran didada tetap ada kerana dia akan berkomunikasi dengan pelanggan-pelanggan kad kredit dari serata dunia. Bahasa inggeris adalah bahasa pengantara antara eksekutif khidmat pelanggan dan pelanggan yang menelefon. Menurut fasilitator yang memberi latihan teori padanya minggu lepas, pelbagai ragam pelanggan yang akan menelefon mereka. Ada yang baik, ada yang suka bertanya, ada yang marah-marah dan ada yang mahu cepat. Ada juga yang bersifat perkauman jika mereka tahu yang pusat khidmat pelanggan ini terletak di negara Asia. Namun menurut Johari, Kajol dan Diana, apa yang penting, dia perlu tenang. Jangan terlalu menurut emosi ketika menghadapi pelanggan yang marah-marah. Patutlah antara topik kursus yang diikuti minggu lepas adalah Kawalan Emosi atau Anger Management.       

            Terdapat lima pekerja baharu termasuk dirinya yang akan akan memulakan tugas hari ini. Dua orang berbangsa melayu, dua orang cina dan seorang india. Adik diberikan tempat duduk bersebelahan dengan Johari. Johari tersenyum ketika Adik menarik kerusi di sebelahnya. Siapa sangka, takdir ALLAH tertulis yang Johari ini, dari kecil, mengaji bersama. Kemudian, di alam persekolahan, Johari adalah rakan sekolah yang duduk bersebelahan dengannya di dalam kelas. Johari juga adalah rakan yang menganggotai Kelab Zapin bersama-samanya. Kini, setelah mereka dewasa dan bekerja, sekali lagi takdir ALLAH menjadikan Johari itu menjadi rakan serumah dan rakan sekerja.

Adik diberikan alat dipanggil headset. Terdapat sebuah alat yang menyerupai telefon terletak di setiap meja dan juga sebuah komputer. Menurut penolong pengurus jabatan, di dalam dua tiga hari ini, Adik hanya perlu duduk bersama dengan seorang senior untuk memahami dengan lebih lanjut apa yang perlu dilakukan. Mereka perlu mendengar dan membuat pemerhatian tentang sistem-sistem yang perlu digunakan. Kakitangan dari jabatan teknologi maklumat pula akan datang kepada setiap pekerja baharu untuk menyediakan akaun emel dan sistem-sistem yang perlu digunakan. Memang berbeza sungguh dengan kerja sebagai promoter pakaian sebelum ini.

            Sedang asyik mendengar Johari melayan panggilan seorang pelanggan dari Australia, Excuse me, I am from I.T.,” satu suara garau menegur Adik yang sedang asyik memerhati Johari membuat kerja sambil jari-jemari Johari tangkas mengendali sistem-sistem di dalam komputer.
            Adik menoleh. Matanya tidak berkelip. Bermimpikah dia?
            ‘Eh...ini angkasawan Malaysia ni.’ Bisiknya di dalam hati.
            “Cik ni Kamal Arif ke?” Tanya pemuda yang memperkenalkan diri bahawa dia dari jabatan teknologi maklumat.
            “Iii...iii...iya,” jawab Adik. Gugup.
            “Saya Syed Zakri dari I.T team. Nak setkan email dan sistem pc ni,” jejaka yang bertubuh seperti seorang model dan memiliki wajah iras bakal angkasawan negara yang pertama, Doktor Sheikh Muzaffar memperkenal diri.
            “Ohh...errr...ok...,” Adik hanya mampu mengangguk dan bangun dari kerusi untuk memberi ruang kepada Syed Zakri untuk membuat kerjanya. Syed Zakri kemudian mengambil tempat yang diberikan dan memulakan tugasnya. Adik masih lagi gugup. Dia masih tidak percaya yang ‘Dr.Sheikh Muzaffar’ itu di hadapannya. Sebenarnya, dia amat meminati Doktor Sheikh Muzaffar. Seorang doktor yang terpilih untuk mengikuti program angkasawan Malaysia.

            Is there anything else that I can check for you, Sir? Ok...ok...no problem and thank you for calling global network services, sir,” Johari menamatkan panggilan dari pelanggan dengan menekan satu suis di alat yang berupa telefon itu. Dia kemudiannya menoleh ke arah Syed Zakri dan tersenyum lebar. Kelihatannya, Johari juga seperti teruja dengan kedatangan Syed Zakri.
            “Eh Zek...lama tau tak nampak you,” tegur Johari sambil senyumannya sampai ke telinga.
            “Hai cik Julia. Saya sibuk cik Julia. Ramai budak baru masuk. So, you faham-faham sajalah, kalau budak baru masuk, orang I.T mesti sibuk,” jawab Syed Zakri sambil jari-jemarinya tangkas mengendalikan sistem-sistem di dalam komputer di hadapannya.
            “Iya...I understand. By the way, dia ni kawan I dari kampung tau, Zek,” jelas Johari tanpa ditanya.
            “Oh ye ke? Baguslah macam tu. Nanti cik Julia ada kawan. Kak Dee dengan Kajol bukan selalu dapat jumpa, kan?” Jelas dari kenyataan Syed Zakri ini yang dia amat mengenali rakan-rakan Johari. Adik hanya diam membatu, berdiri di belakang kerusi memerhati jari-jemari Syed Zakri yang tangkas menaip format yang dia langsung tidak faham.
            “Err...kawan cik Julia ni, nak panggil apa?” Tanya Syed Zakri sambil menoleh sekilas memandang Adik.
            Belum Adik sempat menjawab, Johari segera menyampuk.
            “Panggil dia Kamelia,” jawab Johari sambil menjeling ke arah Adik yang mengerutkan kening memandang ke arahnya penuh dengan tanda tanya.
            ‘Kamelia?’ Bisik Adik di dalam hati.


Sekolah Menengah Tinggi, Kluang.

            Dia bersyukur kerana selamat sampai ke sekolah sebelum loceng untuk perhimpunan berbunyi. Walau ayah dan ibunya menasihatkan yang dia sepatutnya pulang malam semalam, tetapi Faezah Hanim bertegas mahu pulang ke Kluang pada awal pagi. Liat benar dia mahu pulang bertugas. Dia mahu berlama-lama dengan ayah dan ibu. Seawal jam lima setengah pagi, setelah bersalaman dengan ayah dan ibu barulah Faezah Hanim meninggalkan kampung. Dia berhenti di sebuah surau di kawasan Air Hitam untuk menunaikan solat subuh dan kemudian meneruskan perjalanannya ke sekolah.

            Di dalam perjalanannya ke Kluang, Faezah Hanim sebenarnya asyik memikirkan Kamal Arif. Dia akui, dia amat berkecil hati. Ada perasaan marah kerana rakannya itu terus sepi tanpa memaklumkan apa-apa seolah-olah Faezah Hanim ini tidak wujud di dunia.
            ‘Sekurang-kurangnya, beritahulah nak pergi kerja KL. Ini, terus tinggal macam itu saja. Dah lupakan aku agaknya.’

            Sepanjang perjalanan Faezah Hanim bermonolog sendirian. Walaupun Kak Nora cuba memujuknya, namun dia memang amat terkilan. Apalah sangat jika Kamal Arif menghantar satu pesanan SMS yang mengatakan dia dapat kerja di KL? Susah benarkah untuk menaip satu SMS ringkas?

            Faezah Hanim sedang duduk di hadapan pelajar-pelajar semasa perhimpunan sekolah sambil mendengar ucapan dari Pengetua, ketika telefon bimbitnya berdecit. Dia kemudian tersenyum sendirian. Dia sudah tahu siapa pengirim SMS itu. Ingin sahaja dia membalas SMS dari Ilyas kala itu, namun sebagai seorang guru yang menjadi contoh kepada pelajar-pelajar lain, Faezah Hanim membiarkan sahaja SMS itu. Dia hanya akan membalasnya apabila tamat perhimpunan sekolah. Tidak molek rasanya dia menggunakan telefon bimbit ketika Pengetua sedang berucap.
           
            Di dalam perjalanan menuju ke kelas masing-masing, Faezah Hanim mengambil kesempatan memeriksa pesanan SMS dari Ilyas.
            Assalamualaikum dan selamat pagi, Nim. Mesti kau tengah dalam perhimpunan kan? Aku akan ke Melaka hari ni. Ada mesyuarat perlawanan bola sepak zon selatan. Kalau sempat, aku belikan kau belacan melaka eh.;-)
           
            Faezah Hanim tersengih-sengih dan menggeleng-gelengkan kepala. Ilyas itu memang nakal dan gemar berjenaka sejak dari awal perkenalan mereka. Jika ada Ilyas, maka rakan-rakan yang berdekatan dengannya pasti tidak kering gusi.

Cikgu Dila yang berjalan beriringan dengannya, mencuit pinggang Faezah Hanim yang sedang asyik membalas SMS dan berjalan lambat-lambat.
“Kak Faez, cikgu yang akak jumpa di Kulai tu, bagi SMS ya?”
Tengkuk Faezah Hanim terus menjadi panas. Dia tersipu malu dan tidak menyangka yang Cikgu Dila memerhatikan gelagatnya. Sebenarnya, dia tidak perasan pun yang Cikgu Dila sebenarnya berjalan di sebelahnya selepas tamat perhimpunan sebentar tadi.
“Eh...takdelah. SMS dari ayah, tanya dah sampai ke belum,” dia berbohong. Walaupun perbuatannya itu salah, namun dia malu untuk mengakui.
“Kak Faezzzz...janganlah tipu saya. Takkanlah baca SMS dari ayah muka akak glowing macam orang terima surat cinta?” Cikgu Dila mengerling Faezah Hanim yang serba-salah.

Dia memang tidak patut menipu rakan sekerjanya itu. Tapi entah kenapa, dia malu. Dia tidak mahu Cikgu Dila menyangka yang dia punya hubungan istimewa dengan Ilyas. Mereka hanya sahabat karib sejak dari kampus, tidak lebih dari itu.       
            Sorry laa Dila. Errr....ermm, memang Cikgu Ilyas yang SMS. Maaf akak tipu Dila. Tak baik kan, tipu kawan pagi-pagi Isnin ni, tak berkat hidup,” Faezah Hanim membetulkan kesilapannya. Dia membuat mimik muka tanda minta maaf.
            “Hmm...saya dah agak dah,” Cikgu Dila tersenyum lebar, “Sejak balik dari Kulai tu, saya perasan, kalau saya duduk sebelah akak masa rehat atau dalam bilik guru, mesti ada SMS masuk. Takkanlah ayah akak asyik SMS akak, kan?” guru muda itu kemudiannya tersengih dan mengangkat keningnya memandang Faezah Hanim.
            Faezah Hanim juga ketawa kecil dengan sindiran Cikgu Dila.
“Cikgu Ilyas memang macam tu. Dia memang suka bagi SMS. Masa di kampus pun, duduk depan-depan pun, dia bagi SMS,” dia cuba menerangkan tabiat Ilyas kepada Cikgu Dila. Dia masih tidak mahu yang rakannya itu memikirkan yang bukan-bukan.
            “Eh Kak Faez...baguslah lelaki macam itu. Itu tandanya dia ambil berat dengan kita...dan mungkin juga, dia jatuh cinta dengan kita,” kata-kata terakhir dari Cikgu Dila sebelum mereka masuk ke kelas masing-masing membuatkan Faezah Hanim terpaku seketika.

            Iya, Faezah Hanim akui yang Ilyas memang mengambil berat ke atas dirinya. Sejak dari kampus, memang itulah perangai Ilyas. Jika Faezah Hanim jatuh sakit, cepat sahaja Ilyas mengirimkan panadol kepada teman sebiliknya. Jika dia mendapat tahu yang Faezah Hanim kena sakit perut, dihantar pula pil cina, chi kit teck aun. Jika hendak pulang ke Batu Pahat, memang Ilyas akan memastikan yang Faezah Hanim selamat sampai di perhentian bas Batu Pahat sebelum dia menaiki bas untuk pulang ke Johor Bahru. Tiket bas pun akan dibeli oleh Ilyas seminggu lebih awal untuk memastikan yang mereka akan mendapat tempat duduk untuk pulang ke kampung.

            “Assalamualaikum cikgu,” ucapan salam dari para pelajar melontar Faezah Hanim ke dunia realiti. Ditinggalkan kata-kata Cikgu Dila yang bermain di kotak fikiran.
            “Waalaikumus salam kelas,” Cikgu Faezah Hanim menyambut salam dari pelajar dan bersedia untuk memulakan tugas pada hari Isnin itu.

Global Telco Network, Bandar Sunway.


            “Kamelia...mmm...sedap nama tu,” Syed Zakri tersenyum dan mengangguk.
            Adik tersipu-sipu.
‘Ri ni nak kena ni. Bila masa pulak nama aku jadi Kamelia? Jaga dia balik ni! Aku letak julap dalam air nescafe dia!’
“Terima kasih,” jawab Adik kerana Syed Zakri memuji nama barunya itu.
“Tapi akaun emel, saya kena letak nama betul ya, cik Kamelia,” jelas Syed Zakri sambil menjeling Adik dengan ekor matanya.
Rasanya mahu gugur jantungnya dengan jelingan Syed Zakri.
“Err...ya, ya...saya faham,” Adik mengangguk-angguk macam orang Jepun memberi tanda hormat. Entah kenapa, gugup benar dia dengan Syed Zakri ini.
Johari yang tadinya asyik memerhati Syed Zakri terpaksa menjawab panggilan pelanggan yang masuk. Dia membuat mimik muka yang tidak puas hati. Adik pasti, Johari mahu berbual dengan Syed Zakri.
“Ok...saya sudah sediakan emel cik Kamelia - KamalArif@globalnetwork.com.”
“Ya, ya...terima kasih encik Syed.”
“Panggil saya Zek saja, cik Kamelia,” Syed Zakri memandang Adik dan melemparkan senyuman yang pasti menggugurkan setiap gadis yang melihat.
Gentleman betul Syed Zakri, anak siapalah agaknya?’
Allright, all done. Semua sistem dah siap. Kalau ada apa-apa, tak boleh guna sistem ni atau sistem ni hang or stuck, cik Kamelia telefon I.T department lah ya,” ujar Syed Zakri sambil bangun dan meninggalkan Adik dan Johari yang baru menamatkan panggilannya.
“Alah...dah pergi pulak budak Zek ni...aku baru nak berbual dengan dia,” rungut Johari, “handsome eh Dik pak arab celup tu?”

Adik mengangguk. Iya, dia akui yang Syed Zakri memang kacak. Memang banyak agaknya darah arab yang mengalir di dalam tubuhnya. Hidungnya mancung. Bulu kening yang tebal, alis matanya lentik, tubuh badannya tegap tinggi. Teringat Adik dengan beberapa rakan di Batu Pahat yang berasal dari Kampung Arab. Memang wajah mereka seperti orang-orang dari negara Timur Tengah.

“Julia...you nanti tunjuk ajar Kamal ya.” Kata-kata dari penolong pengurus mengejutkan Adik dari leka. Penolong pengurusnya itu seorang berbangsa tiong-hua. Dia berhenti seketika di antara meja Adik dan Johari.
“Iyalah, don’t worry la bos. Kawan I maa, mestilah I akan ajar dia,” pantas Johari menjawab.
“ Tapi, I mahu pesan, jangan ajar kawan you marah customer,” sempat penolong pengurus muda itu berpesan.
Johari tersenyum namun memberi jelingan kepada ketuanya, “ Alah bos ni, takkanlah I nak ajar kawan I marah customer pulak...melampau tau you ni.”

Maka bermulalah kehidupan Adik sebagai eksekutif khidmat pelanggan. Dia berdoa, dengan rutin hidup yang baru ini, dia akan dapat melupakan peristiwa paling pahit yang dialami. Biarlah peristiwa itu menjadi luka yang nanti akan menjadi parut di dalam jiwanya. Kisah itu terlalu pahit untuk diingat-ingat. Kerana fitnah itu, dia rela meninggalkan tanah kelahiran yang dikasihi. Kerana fitnah itu, dia rela mendiamkan diri dari Faezah Hanim dan Kak Nora. Biarlah dia membawa diri. Biarlah dia meninggalkan kampung. Dia terlalu menyayangi Kak Nora. Jirannya itu sudah dianggap sebagai kakak kandungnya. Dia tidak mahu Kak Nora malu. Dia tidak mahu maruah Kak Nora tercalar. Cukup-cukuplah Kak Nora itu dipandang serong hanya kerana dia seorang janda. Dia tidak mahu menambah kisah luka dalam album kehidupan Kak Nora. Biarlah hanya dia, ALLAH, Johari, orang yang menyebarkan fitnah dan Abang Khalid sahaja yang tahu kisah paling pahit dalam hidupnya itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan