AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 26 July 2016

E.T.A - BAB 2 - ASMAH HASHIM



Nazatul meronta-ronta kuat. Dia berharap sangat, rantai besi yang mengikat kaki dan tangannya itu akan terbuka dan dia boleh keluar dari sini. Sudah setahun dia terpasung di bilik bawah tanah itu. Bilik yang berbau hapak, busuk dan meloyakan tekak.    

“Arghhhh!!!”

Tiada siapa yang tahu. Tiada siapa yang datang menyelamatkannya. Air matanya gugur lagi.  Entah, untuk kali ke berapa? Kalau dikumpulkan air matanya itu sudah pasti terbentuk menjadi tasik buatan. 

Hidup bagaikan binatang peliharaan.  Hanya diberi makan dan minum. Pakaiannya juga tidak berganti.  Waktu datang bulan juga, darah kotor itu dibiarkan mengalir membasahi tilam dan lantai. 

Dia terpaksa bangun sendiri ke bilik air yang jaraknya tidak jauh dari kedudukan katilnya.  Nasib baik rantai yang mengikat kaki dan tangannya agak panjang.  Giginya tidak pernah bergosok, mandi tidak bersabun.  Rasanya kucing peliharaan pun dijaga lebih baik daripada dirinya. 
               
“Dasar lelaki iblis! Tak ada perasaan!” Batinnya melaung.

Nasib baiklah anak dan sahabatnya itu  sempat meloloskan diri. Kalau tidak tentulah nasib mereka akan jadi sepertinya. Tubuhnya terasa lenguh. Dia berusaha bangun dan menggerakkan tubuhnya.  Sedih mencakar hatinya. Dia masih cuba bertahan demi mereka. Kalau tidak agaknya sudah lama jiwanya mati.

Nazatul tidak berhenti-henti berdoa, agar suaminya tidak mengganggu mereka. Lebih-lebih lagi Rumah Ikatan Kasih yang didirikan demi membantu golongan penagih dadah dan pelacur yang ingin berubah menjadi manusia yang baik, kembali ke pangkal jalan.

                Dia pasti, mereka masih berada di Rumah Ikatan Kasih.  Dia hanya mampu berdoa dari kejauhan agar pusat itu terus berdiri dan beroperasi.  Semoga usahanya itu terus disambung oleh Rabeta dan anaknya. Niatnya hendak membantu mereka yang sesat kembali ke pangkal jalan.

Bukan mudah mengubah manusia daripada jahat menjadi baik, daripada syaitan menjadi manusia seperti suaminya.  Layakkah di panggil suami?
               
Kuakan daun pintu mematikan lamunannya.  Nazatul memejamkan mata.  Menyampah, meluat untuk memandang wajah lelaki yang telah memenjara dan memusnahkan hidupnya itu. 
               
“Hello sayang, abang datang….” Zaheer mendekati Nazatul yang terbaring kaku di atas katil bujang.

Zaheer, lelaki yang dikahwini kerana pilihan orang tua. Dia tidak pernah menyangka, lelaki yang kelihatan begitu baik di mata keluarganya sanggup melakukan dia seperti perempuan murahan.

“Abang datang bawa makanan ni…” Nadanya berbunyi menghina. Lebih-lebih lagi kemudiannya dia ketawa mengekek. Nazatul belum lupa. Sebulan usai mendirikan rumah tangga, dia sudah dilacurkan oleh lelaki itu. Bukan lagi syaitan, tapi iblis.

Bau hanyir dan hamis tidak menyinggah hidung lelaki itu kerana awal-awal lagi dia sudah memakai topeng muka. Boleh muntah hijau, kalau tercium bau di bilik bawah tanah itu.
               
Suara yang menyapa telinganya terasa pedih menanah. Kalau boleh, biarlah telinganya pekak sahaja, agar tidak mendengar suara yang menyakitkan itu. Matanya sengaja dipejamkan rapat.

Bawa makanan? Bagaimana dia hendak makan dengan keadaan bau yang busuk hamis itu?  Ada ketika terpaksa ditelannya juga, demi memberi tenaga pada tubuh sendiri.

                “Tak payahlah buat-buat tidur, aku tahu kau tak pernah boleh tidur lena,” kata Zaheer. Dia mendekati isterinya yang masih ‘setia’ di situ. Dia menyengih.  Rambut Nazatul yang panjang mengurai dan keras itu ditarik kuat. 

                “Sakitlah!” Nazatul mengerang kesakitan. 

                “Ini nasi kau!  Makan! Aku tak nak kau mati cepat!” jerkah Zaheer.  Nasi yang berisi ikan goreng dan kicap diletakkan di depan Nazatul. Hanya lauk itu yang layak dijamahnya. Perempuan yang berhati keras dan degil. Bertahun-tahun dilacurkan, tiba-tiba melarikan diri dan mula melawannya.

                “Aku tak nak makanlah!” protes Nazatul. Kehadirannya dengan niat menjadi penyelamat, mengundang dirinya terkurung di sini.

                “Isteri derhaka!” sumpah Zaheer.

“Lepaskan akulah! Dah setahun kau kurung aku macam ni? Apa kau nak lagi?  Tak puas lagi ke kau seksa aku?” jerit Nazatul. Rasa marah mencucuk jantungnya. Pemberontakan jiwanya terbias.

                Tidak seperti dulu. Bertahun-tahun dia diseksa dan didera mental dan fizikal. Melarikan diri tidak pernah difikirkan. Apatah lagi, Zaheer sering mengugut akan mencederakan ahli keluarganya. Mahu atau tidak, suka atau tak suka, dia terpaksa akur. Dalam diam, dia menubuhkan Rumah Ikatan Kasih.

                “Aku janji, jika kau lepaskan aku, aku takkan kacau kau!” Nazatul berubah sayu. Dia tidak mahu terus terdera di situ. Hatinya berkeras ingin bebas dari situ. Bebas bertemu anak dan kawan-kawannya.  Bebas bertemu keluarganya. Tentu mereka mengharapkan kepulangannya.

“Betul? Janji…?” Zaheer mendekatkan wajahnya. Pipi Nazatul ditepuk-tepuk perlahan. Nazatul mengangguk sungguh-sungguh. Sinar kebebasan mencelah.


No comments:

Post a Comment