AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 30 July 2016

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 18 -ASMAH HASHIM




            Usai solat subuh,  dengan bantuan ayahnya yang waktu mula-mula dahulu membantah, kerja yang berat menjadi mudah.  Meja  empat segi yang memang berada di dalam stor rumah keluarganya itu sudah dibawa keluar oleh ayahnya dan diletakkan di hadapan laman rumah yang berhampiran dengan jalan utama kampung itu.  Poster tulisan tangan ditampal menggunakan selotep di hadapan meja bagi memberitahu  apa yang dijual di situ. Percubaan pertama, tidak perlu lauk-pauk yang banyak, cukuplah ada ayam goreng, sambal ikan bilis, telur goreng, telur rebus, hirisan timun dan kacang tanah goreng.
            Daun pisang dan kertas pembungkus nasi sudah siap sedia menunggu pelanggan pertama.  Hanya masak beberapa kilo.  Hari baharu dan pertama kali, tidak perlu masak banyak-banyak.  Setengah jam berlalu, cuaca sudah mula terang.  Matahari sudah mula menerbitkan  cahayanya.
            “Kau buat apa tu Rose?  Jual nasi lemak?”  sapa Mak  Intan jiran sebelah rumahnya yang sedang menyapu sampah di laman rumahnya.   
            “Erk… taklah, jual ayam mentah!”  jawab Rose, takkanlah tidak nampak apa yang tertulis di hadapan mejanya itu.
            “Pandai pula bergurau pagi-pagi ni ya?  Kebetulan mak cik pun belum sarapan.  Mintalah dua bungkus,” kata Mak  Intan seraya  mengeluarkan duit dari poket bajunya. Malas pula nak buat sarapan pagi ini, tadi baharu berkira-kira nak sarapan dengan biskut kering sahaja, tiba-tiba ada orang jual nasi lemak.   Anak jirannya sendiri pula itu.
            “Memandangkan mak cik pelanggan pertama saya, saya bagi lauk telur kat mak cik.  Kalau sedap datang lagi, kalau tak sedap kenalah bagitahu, ya mak cik,”  terang  Rose.  Terkial-kial jugalah dia membungkus, maklumlah pengalaman pertamanya.  Silap haribulan berterabur nasi di dalam bungkusan itu.  Nampak macam mudah sahaja membungkus nasi lemak berbentuk tiga segi itu.  Rupanya renyah juga.
            “Kenapa tiba-tiba berniaga nasi lemak pula ni?” tanya Mak Cik Intan dengan wajah kehairanan. 
            “Tukar profesion Mak Intan,”  kata Rose sambil menyengih. Selepas ini banyaklah pertanyaan dan soalan cepumas yang perlu dijawabnya.  Terutama daripada emak Ain, musuh tradisinya itu.  Boleh pijar badan.  Sabarlah naknya sang hati.
            Emak tidak membantunya berniaga.  Biarlah dia berasakan susah senangnya.  Pengalaman tidak boleh dibeli dengan wang atau hanya mendengar cerita, perlu alami sendiri.
            “Baguslah!”  Mak  Intan berlalu dengan dua bungkus nasi lemak. 
            Baru dapat seorang pelanggan.  Tidak mengapa, baharu hari pertama, sabar menanti dan menunggu.  Hembusan bayu pagi terasa sejuk di tubuh.  Matanya memandang kiri dan kanan.  Beberapa buah kenderaan lalu lalang, hanya memerhati dan mengangkat tangan jika mereka mengenali dirinya.  Berhentilah, beli nasi lemak. Main lambai-lambai sahaja. Apa kes?  Dia berleter di dalam hati.
            Sebuah kereta Wira berhenti di tepi jalan, keluar seorang perempuan muda, bergaya.  Macam kenal sahaja, perempuan muda itu mencebik memandangnya.  Dengan penuh gaya membuka cermin mata hitam yang sedang dipakainya.
            Ain?  Rose menelan air liur sendiri.  Yalah, takkan nak telan air liur musuhnya itu.  Rose memandang ke arah lain.  Sah-sah akan terkena bebelan sulong awal pagi itu.  Apalah dosanya bertembung dengan manusia berwajah jembalang itu.
            “Hai, jual nasi lemak pula ke?  Kena halau dari bandar ke?” sindir Ain dengan mulutnya mencebik.
            “Kau nak beli ke?”  soal Rose. Menyampah tengok gedik dan lenggok tubuh Ain yang menyakitkan mata.    Malas melayan mulut dengan perempuan itu. Buat sakit hati yang sudah sedia sakit kalau berhadapan dengan Ain.  Sama gedik dengan emaknya.  Padanlah emak dan anak, sepisis.
            “Nasi lemak ni? Kau yang masak?  Uhuh… sah-sah tak sedap!” kata  Ain agak kuat.
            “Kau tak rasa lagi, mana tahu tak sedap?” soal Rose.  Tiada kerja lain, kalau jumpa dia asyik nak memerli dan menyindir.  Entah apa dosanya terhadap perempuan yang sebaya dengannya itu.  Bikin panas hati sahaja.
            “Uhuhuh… apa kelas makan nasi lemak tepi jalan?” sindir Ain dengan muka kelat, bibirnya dicebikkan.
            “Uhuhuh… apa kelas aku jumpa perempuan mulut longkang! Busuk macam air kumbahan!” Rose tidak mahu kalah.    Dia mencekak pinggang.
            “Apa kau cakap?  Perempuan hitam legam!  Jangan-jangan kau kena buang kerja, siapa yang sudi ambil orang macam kau ini bekerja?  Setiausaha pula tu! Cis… meloyakan tekak saja,” jerkah Ain.  Terasa hatinya dengan sindiran Rose menyinggah sehingga ke tulang hitam.  Dia mula menyinsing lengan baju blaus yang dipakainya. 
            “Hey, ikut suka mulut kau saja panggil aku perempuan hitam legam?  Aku tak kacau kau pun, kenapa kau kacau aku?”  marah Rose.  Dia sudah bersiap siaga.  Sudah lama dia menyimpan perasaan geram dengan Ain.
            “Ikut suka hati akulah! Mulut aku!”  Ain menjelirkan lidah.
            “Mulut kau ya!”  Rose memasukkan jarinya ke dalam bekas sambal dan mulalah bertindak melumurkan sambal tumis itu ke mulut Ain. 
            “Hoi! Main kasar nampak!” Ain tidak sempat mengelak. Mulutnya pijar kena lumur dengan sambal tumis  itu.  Dia meronta kuat.  Dia mengangkat tangan untuk menampar Rose.
            Tangan Rose pantas  menahan tangan Ain dari singgah ke pipinya.  Ingat dia patung. 
            Ain bertindak menolak meja yang tersusun lauk-pauk nasi lemak Rose yang sedia untuk dijual.  Bertaburan semuanya ke tanah. 
            Terjerit Rose melihat hasil usahanya menyembah tanah.  Berpinar matanya menyaksikan bekas-bekas itu berserakan di tanah.  Mahu sahaja dia bunuh perempuan mulut celupar itu. 
            “Kau dah melampau!”  Rose menerkam ke arah Ain. Tiada belas ehsan lagi.  Dia menumbuk muka Ain, menendang perut Ain.  Sudah terlalu lama dia bersabar.  Sejak di bangku sekolah.  Kena buli dengan Ain dan kawan-kawannya pun dia tidak melawan.  Masih boleh bersabar.  Ingatkan permusuhan mereka akan berakhir apabila masing-masing sudah meningkat dewasa, malah semakin hangat dan panas.  Sudahlah perempuan itu merampas teman baiknya, kini berani pula merosakkan perniagaannya.  Dia sudah tidak peduli lagi.  Tamparan sulong singah ke wajah jelita Ain yang disolek tebal.  Hati Rose panas, mendidih, menggelegak, bagaikan dibakar hidup-hidup. 
            “Ya ALLAH! Apa ni?”  Hanum berlari laju mendekati anak perempuannya yang sedang bergomol.  Matanya sempat lagi memerhati bekas-bekas berisi lauk-pauk nasi lemak jualan anak perempuanya bersepah di tanah.  Hanum menarik Rose, menjauh daripada Ain yang sudah menangis kesakitan, terjerit-jerit rakan sekolah anaknya itu.  Habislah, mahu  riuh satu kampung nanti bila Mak Limah tahu anak perempuannya kena ganyang dengan Rose.  Apalah masalah anaknya dan anak Mak Limah ini?  Pening kepala Hanum dibuatnya.
            “Kenapa ni Rose? Ain?”  tengking Hanum geram.  Kalau budak lagi, tentulah dia faham, kenapa mereka bergaduh.  Ini sudah layak dipanggil mak orang.
            “Perempuan mulut longkang ini yang mulakan dulu mak!” kata Rose geram.  Dadanya berdegup kencang.  Tangannya menggigil menahan geram dan marah.  Kalau diikutkan kata hati, mahu sahaja dia tonyoh muka perempuan gedik itu ke tanah tar yang kasar itu.  Biar padan dengan muka, ingat cantik sangat, detik hati kecil Rose yang sedang menanar itu.  Habis perniagaannya hari ini, hanya sempat menjual dua bungkus nasi lemak sahaja.  Terasa air mata mengalir di tubir matanya.  Penat lelahnya malam tadi dan sebelum subuh tidak berbaloi, lantaran kehadiran musuh tradisinya itu. 
            “Aku mulut longkang? Kau mulut air kumbahan!” jerkah Ain.  Dia menolak kasar tangan Hanum yang memegangnya.  Dia mengetap bibir dan menunjukkan penumbuk ke arah Rose.
            “Aku belum selesai dengan kau!? Jerit Ain, matanya tajam menikam mata Rose yang sudah sedikit mengendur.  Bagaikan bilah tajam menusuk sehingga mampu membutakan matanya.
             Memang perempuan sihir agaknya, detik hati kecil Rose.  Dia memerhatikan sahaja langkah Ain berlalu pergi dengan hati yang panas.  Rose mencebik.
            “Apa Rose buat ni?” marah Hanum.  Disuruh berniaga, dilawannya bergaduh!  Aduhai… kalaulah Mak Limah datang menyerang. Bertambah panjang jalan cerita hari ini.  Hanum menepuk dahi.
            Rose tidak sanggup memandang mata emaknya yang menikam matanya.  Kalau pandangan Ain boleh butakan mata, pandangan emaknya boleh menghilangkan penglihatannya. Alahai… masalah, masalah.  Mak Limah CNN itu pasti tidak akan berdiam diri.  Mahu bergaduh satu kampung jadinya nanti. 
            “Apa tercegat lagi tu! Cepat kemas!” Hanum mengetap bibir.  Apalah nak jadi dengan anak perempuannya itu.  Kalau tidak sabar dengan  usikan orang lain, macam mana nak berniaga? 
            Rose mengutip bekas-bekas yang sudah dikotori oleh tanah merah. Bengkak hatinya.  Pilu rasanya.  Mahu sahaja dia meraung ketika itu.  Kenapalah perempuan sengal itu ada di kampung waktu ini?  Kenapa tidak cari laluan lain sahaja? Kenapa lalu di hadapan rumahnya?  Dia sudah mula merepek, membebel dalam hati.  Apalah malang nasibnya hari ini.

No comments:

Post a Comment