AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 1 July 2016

USAH MENANGIS LAGI! - BAB 6



Sakit kepala sering pula menyerang sejak akhir-akhir ini.  Urusan di Mahkamah Syariah sudah selesai dengan baik.  Razif sudah dapat apa yang dia kehendaki.  Riana berdoa dalam hati semoga bekas suaminya itu akan berubah satu hari nanti.  Kata-kata penghinaan daripada keluarga sebelah Razif ditelan bulat-bulat.  Apa dayanya untuk menghalang mereka bercakap atau mengutuknya.  Biarlah.  Tidak luak sedikit pun.  Terluka di hati, bukan ada sesiapa yang nampak. 
            Ahli keluarganya pula tidak seorang pun menampakkan muka.  Mungkin mereka juga marah dengannya.  Dia tidak boleh berkecil hati.  Mereka punya hak untuk mengenepikan dirinya.  Dalam keluarganya belum pernah ada penceraian.  Hanya dia… 
            Pagi-pagi lagi dia sudah  ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, mencari stok tudung yang akan dijual secara dalam talian dan kepada jiran berdekatan.  Rafeah juga sudah berjanji untuk membawa stok tudung yang baru nanti ke Kilangnya.  Riana berharap usahanya ini akan berjaya.  Kereta tiada, terpaksalah dia mendaki kaki tangga komuter.  Itu sahaja pengangkutan yang mudah baginya.  Kalau teksi pula tentulah mahal tambangnya.  Kalau bas terpaksa ditukar berkali-kali.  Lebih mudah dengan Komuter atau LRT. 
            Kenderaan bertali arus, begitu dengan manusia yang berpusu-pusu ke tempat kerja masing-masing.  Kedai-kedai di Jalan TAR kebanyakkan pukul 9.00 pagi sudah memulakan perniagaan mereka.  Langkah Riana perlahan, memerhati dan mencari tudung yang sesuai, yang cantik dan murah.  Kebanyakkan pelanggannya mereka yang berpendapatan sederhana.  Dia tidak boleh menjual terlalu mahal, takut tak lakulah pula.  Dia membelek satu persatu kain tudung yang tergantung dan dipamerkan.  Cantik-cantik berlaka.  Dia perlu membeli yang mampu menarik  hati pelanggannya.   Hampir tiga jam dia berada di situ, memilih, membelek dan membeli sehingga puas hati. 
            Di rumah lauk-pauk untuk anak-anaknya sudah siap di masak.  Tinggal mereka menjamahnya sahaja.  Dia juga menitip pesan kepada jiran sebelah menyebelah bagi memerhati anak-anaknya.  Takut mereka buat yang bukan-bukan jika tidak berada di hadapan mata. Dia tidak boleh mengalah dalam hidup ini.    Berjuang meneruskan hidup sehingga nyawa berpisah dari badan.  Membesarkan anak-anak itulah tumpuan utamanya.  Memberi mereka pendidikan dunia dan akhirat.  Melihat mereka membesar menjadi manusia berguna.  Pendidikan agama adalah perkara  yang paling akan ditekankan.  Marlia semakin menginjak remaja.  Kebimbangan tetap bersarang di dada.  Takut memikirkan kehidupan anak-anaknya di dunia  yang semakin mencabar fikiran  dann fizikal.  Semua orang berkejar-kejar mencari kesenangan hidup.  Kekayaan adalah matlamat utama, sehingga mengenepikan  sifat kemanusiaan.  Saling jatuh menjatuhkan.  Saling hina menghina dan benci membenci.  Hidup bagaikan tiada peraturan.  Diredah sahaja selagi mampu memberi kejayaan kepada diri sendiri.  Hidup bernafsu-nafsi, kepentingan diri sendiri tajuk utama.  Hal orang lain perkara kedua yang difikirkan jika perlu.
            Riana melangkah laju dengan barangan yang penuh di tangan kiri dan kanan.  Dia menahan sebuah teksi.  Lebih mudah menaiki teksi dengan barangan yang penuh di tangan.  Dia menarik nafas lega kerana semua barang yang dicari dapat dibeli semuanya.  Dia berharap sangat  semua barangan yang dibeli tadi habis terjual.  Dia tahu, ramai yang menjual tudung, berbagai jenis material kain dan corak, cantik dan menawan.  Dia tidak boleh mengaku kalah sebelum berjuang.  Senjata sudah ada, hanya tentukan bentuk peperangannya.  Riana menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan.    Dia harus berani dan yakin dengan diri sendiri.  Tidak boleh cepat mengalah.  Ramai sudah membuktikan seorang ibu tunggal boleh berjaya jika berusaha.  Jangan kenal putus asa.  Tidak boleh cepat melatah atau takut dengan dugaan yang mendatang.  Kekuatan minda dan fizikalnya harus mantap dan teguh.  Demi masa hadapannya dan anak-anak.  Tidak perlu berpaling ke belakang lagi.  Tinggalkan kenangan yang melukakan hati.  Usah dikenang apa yang berlaku.  Semua itu bagaikan asam garam kehidupan sebelum berjumpa jalan yang mampu membahagiakan.  Usah dipeduli katanya orang.  Bukan mereka yang memberi rezeki kepadanya.  Dia tidak akan berpaling lagi.

No comments:

Post a Comment