AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 17 July 2016

USAH MENANGIS LAGI! - BAB 10 - ASMAH HASHIM



Suara riuh rendah di hadapan pejabat Pengarah Urusan  Riana Koleksi mengganggu para petugas syarikat tersebut.  Rafeah sudah memanggil pengawal keselamatan agar menghalau Haziq yang mengamuk setelah mengetahui dia telah dibuang kerja.    Suara Haziq memekik dan menjerit memaki  hamun Riana jelas kedengaran di tingkat tersebut.
            “Perempuan sundal! Tak guna! Kau senang aje tendang aku keluar ya?  Kau isteri derhaka!” tempik Haziq, mukanya merah padam menahan marah. Kunci rumah juga telah ditukar oleh isterinya itu.  Sudah seminggu dia tidak pulang ke rumah dan tidak dibenarkan masuk.  Memang tak guna punya perempuan, detik hati kecil Haziq.
            “Awak yang tak guna ke atau saya?’ tempelak Riana yang sudah tidak tahan lagi dengan sikap dan perbuatan suaminya itu. Minggu lepas ada seorang perempuan yang datang ke rumah membeitahu yang dirinya telah dihamilkan oleh Haziq dan suaminya itu berjanji hendak mengahwini perempuan itu tetapi akhirnya Haziq menghilangkan diri.  Hati siapa yang tidak sakit.  Sudahlah menanggung malu malah berasa terhina mempunyai suami yang hanya tahu berfoya-foya.
            “Aku akan tuntut hak aku! Kau ingat kau boleh hidup senang!” ugut  Haziq.
            “Awak nak tuntut apa?  Sepanjang awak menjadi suami saya, apa yang awak pernah beri pada saya? Saya yang tanggung awak tau!”  Kalau boleh dia tidak mahu memburukkan suaminya itu. Tidak manis para pekerjanya dengar.  Tetapi Haziq sudah mendesak. Mulut  celupar Haziq cukup menyakitkan.
            “Kau hina aku ya Riana? Kau memang perempuan tak guna!” jerit Haziq.  Dia mencekak pinggang.  Bajunya sudah tidak terurus. 
            “Siapa hina siapa ni?  Baik awak pergi dari sini, sebelum pihak polis sampai.  Saya akan failkan penceraian kita.  Saya takkan tuntut apa-apa daripada awak, lagipun awak tak ada apa-apa yang nak tuntut,” jelas Riana.  Merah padam mukanya yang putih bersih itu.
            “En. Haziq, tolonglah pergi!” rayu Rafeah. 
            “Kau pun sama! Tali barut Riana!” jerkah Haziq, hilang rasa malunya. Hatinya benar-benar sakit.  Dia menendang apa sahaja yang ada di hadapannya, bakul sampah yang terdapat di tepi sudut ruang legar bilik Pengarah Urusan bertaburan jadinya.  Dia menunjukkan penumbuk. Hatinya masih tidak puas.  Riana benar-benar menghinanya. Membuangnya bagaikan sampah.
            Haziq menuju ke keretanya yang sudah beberapa bulan tidak dibayar. Selama ini Riana yang membayarnya, duit sakunya juga tidak ada, Riana tidak lagi memberi duit belanja kepadanya.  Memang menyakitkan!  Dia menendang tayar kereta sendiri.  Dia memandang bangunan Riana Koleksi dengan hati yang membara. Benci! Benci dia pada perempuan yang pernah dikahwininya itu.  Ingatkan dapat mengahwini perempuan berjaya seperti Riana dia mampu tumpang senang.  Rupanya tidak, perempuan itu lebih bijak daripadanya.  Rupa macam orang bodoh tetapi lebih pandai daripada dirinya yang tidak pandai mengatur strategik untuk merampaskan hak Riana. 
            Haziq mundar-mandir di hadapan keretanya, mencari jalan untuk mendapatkan duit daripada isterinya itu.  Apa yang harus dia lakukan? Nak masuk dalam rumah, tidak dibenarkan.  Sampai di hadapan pagar rumah, dia sudah diusir pergi. Tak guna! Tak guna! Marahnya dalam hati. Akalnya terus berfikir mencari jalan untuk mendapatkan apa yang dihajatinya.
            “Haziq!” jerit seseorang.
            Haziq menoleh. Seorang gadis menghampirinya dengan wajah pucat lesi.
            Haziq mengeluh.
            “Awak ke mana? Keluarga saya bertanyakan awak,” luah gadis itu, tangan Haziq ditariknya perlahan. Gadis itu bertubuh kurus, bertshirt leher bulat, berseluar palazzo, rambutnya diikat  seperti ekor kuda. Wajahnya pucat.
            “Kau nak apa?” tanya Haziq sambil menjeling tajam, kurang senang dengan kehadiran gadis itu.
            “Nak apa? Saya dah mengandung Haziq! Tolonglah bertanggungjawab!” terang gadis itu. 
            Haziq mencebik. 
            “Kenapa pula aku kena bertanggungjawab? Bukan aku paksa kau pun!”  Haziq tersenyum sinis.
            “Amboi! Masa tak dapat, bukan main janji  awak ya? Lepas saya awak pergunakan, awak tinggalkan saya?” jerkah gadis itu. Dia menangis sayu.
            “Hey! Kalau dah tahu ada maruah diri, jagalah! Takkan sekali pujuk dah sanggup menyerah?” sindir Haziq.
            “Awak!” Gadis itu memukul tubuh Haziq.
            “Apa main-main pukul ni!” Haziq menolak gadis itu kasar sehingga jatuh ke tanah.
            “Haziq!” Gadis itu menjerit.  Dia menekan perut. Mukanya pucat, seperti menahan kesakitan.  Dia cuba bangun, belum sempat dia berdiri dengan kukuh, darah mengalir di celah kangkangnya.  Dia ketakutan.  Dia memandang ke bawah. Darah semakin banyak mengalir.
            “Haziq!” jeritnya. Cuba mengapai tangan Haziq untuk membantunya.
            Haziq yang melihat keadaan gadis itu mula ketakutan.  Dia menolak tangan gadis itu dengan kasar.  Gadis itu terjatuh lagi.
            “Hey!” jerit seseorang dari kejauhan.
            Haziq memandang ke arah empunya suara, seorang lelaki berlari mendekatinya dan gadis itu. Dia membuka pintu kereta dan menghidupkan kenderaannya terus melarikan diri.
            “Awak tak apa-apa ke?” tanya lelaki itu.
            “Tolong bawa saya ke hospital,” rayu gadis itu. 
            “Baik, saya bantu awak,” kata lelaki itu. 
            Gadis itu dibangunkan perlahan-lahan.
            “Awak tunggu sini, saya ambil kereta,” ujar lelaki itu penuh prihatin.
            “Tapi… kotor kereta awak nanti,” kata gadis itu.
            “Tak mengapa.” Lelaki itu berlari laju menuju ke keretanya yang terletak beberapa meter dari tempat gadis itu.
            Di dalam kereta, Haziq tidak keruan.  Apa yang  berlaku tadi benar-benar mengejutkannya.  Tak sangka gadis yang pernah bekerja dengan syarikat isterinya sanggup datang mencarinya.  Memang dia telah membuntingkan gadis tersebut.  Tetapi bukan dia sahaja yang bertanggungjawab, sama-sama rela.  Siapa suruh menyerah?  Diakan kucing, kalau ikan sudah tersedia di hadapan mata, tidak mungkinlah dia menolak.  Itukan resmi seorang lelaki seperti dirinya. Peduli apa dia dengan gadis itu? Tidak jadi kudis pun pada dirinya. Gadis itu hanya tempat dia mengisi masa terluang dan lapangnya sahaja. Tempat dia bermain-main sahaja.  Gadis itu sahaja yang perasan tidak bertempat.Uh! Menyusahkan dirinya sahaja. Lelaki tadi? Uh! Pekerja Riana. Pasti menjadi berita terhangat di syarikat isterinya itu. Cis! Semakin rosak pristasinya! Semakin laju dia memandu. 

No comments:

Post a Comment