AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 30 July 2016

USAH MENANGIS LAGI - BAB 16- ASMAH HASHIM



Riana hanya melakarkan senyuman nipis bagi menjawab pertanyaan Rafeah yang berapi-api itu.  Jelas terpancar kemarahan di wajah sahabat yang sudah dianggap seperti saudara sendiri.  Biarlah Rafeah berleter sepuas-puas hatinya. Melepaskan rasa geram yang menyala-nyala, kalau ditahan takut membakar diri.
            “Rin!” Rafeah duduk di hadapan Riana, memandang dengan pandangan geram dan marah.
            “Aku tahu apa yang aku buat, Feah.  Kau jangan risau ya?”  pujuk Riana, dia pula yang terpaksa menenangkan sahabatnya itu.
            “Mana ada perempuan dalam dunia ini sanggup berkongsi suami,” ujar Rafeah. Dia mengerling malas.
            “Biarlah aku jadi yang pertama,” gurau Riana.  Dia tersenyum lebar.  Mungkin jika hatinya masih ada cinta terhadap Haziq, pasti dia tidak akan benarkan, tetapi cintanya terhadap Haziq bagaikan sudah berkubur pada hari Haziq menghina dan memakinya dengan kata-kata penghinaan telah melunturkan rasa sayang dan kasih yang selama ini cuba dipertahankan.  Haziqlah yang telah membunuhnya!
            “Kau ni waras ke tidak?”  Rafeah menggeleng kesal.
            “Kau jangan bimbang Feah, aku tahu apa yang aku lakukan,”  jelas Riana.  Dia memandang keluar tingkap pejabatnya.  Melepaskan keluhan berat.
            “Kenapa Diana?  Biarkanlah dia cari jalan hidupnya sendiri.  Dia yang gatal!”  Rafeah mencebik.
            “Hei, dia perempuan juga tau.  Kalau kita sebagai perempuan tidak melindungi kaum sejenis kita, siapa lagi?  Siapa yang sanggup memperisterikan dia? Nama keluarganya sudah tercemar, maruah dirinya juga.  Haziq harus bertanggungjawab terhadap perbuatannya itu.  Aku takkan biarkan dia terlepas bebas,” kata Riana tegas.
            “Rin, selama mana kau nak korbankan kehidupan sendiri?”
            “Selagi aku mampu membuat orang lain tersenyum,” jawab Riana penuh yakin.  Dia tidak minta balasan dengan apa yang dilakukan.  Membantu Diana kembali ke pangkal jalan dan menggembirakan keluarga bekas pekerjanya itu sudah cukup membahagiakannya.
            Sedang mereka berbual, daun pintu ditolak dengan kasar. Terpacul Haziq dengan muka garang mendekati Riana dan Rafeah.
            “Abang akan berkahwin dengan Diana, dengan syarat Rin jadikan abang pemilik syarikat ini.  Jika itu tertunai, dengan penuh bahagia, abang akan terima Diana menjadi isteri abang,” kata Haziq dengan muka selamba.
            “Apa?”  Rafeah bingkas bangun dan mencekak pinggang. 
            “Kenapa kau yang melatah?” jerkah Haziq.
            “Sebab, separuh dari syarikat ini juga milik aku!” kata Rafeah kasar. 
            “Apa maksud abang ni?” Riana terkejut dengan syarat yang diberi.  Pemilik syarikat ini? Gila! Ini syarikat dia dan Rafeah. Mereka sama-sama bangunkan sehingga menjadi terkenal dan gah begini. 
            “Tiada maksud.  Abang nak jadi pemilik syarikat ini, itu sahaja.”  Haziq tersenyum sinis.
            “Tidak boleh!”  bantah Rafeah.
            “Kau keluar, biar aku sendiri berbincang dengan isteri aku, tak ada kena mengena dengan kau!” marah Haziq.
            “Hello, kau tak denga raku cakap tadi ya?  Separuh dari syarikat ini adalah milik aku! Kau faham tak?  Milik aku!”   Rafeah tidak mahu berganjak.
            “Feah! Kau keluar dulu, biar aku berbincang dengan Haziq sekejap,” pinta Riana, dia mendekati Rafeah dan menarik tangan sahabatnya itu keluar dari biliknya.
            “Rin!”  Rafeah memanggil keras.
            Riana terus melangkah masuk dan mengunci pintu.  Dia memandang wajah Haziq yang sedang tersenyum bahagia.
            “Abang dah gila ya?  Abang fikir, saya akan benarkan abang permainkan saya?  Baik, kalau abang tidak mahu  berkahwin dengan Diana, abang boleh keluar dari rumah saya dan syarikat ini! Berambus!”  bentak Riana.  Haziq ingat dia akan tunduk dengan mudah.  Dia sudah cukup matang melawan lelaki sehina suaminya itu. Memang dasar lelaki tidak sedar diri.  Suami yang baik yang layak dihormati adalah lelaki yang mampu membimbing, menjaga, membela, mendidik seorang isteri sehingga patuh kepada agama, beriman dan bertakwa.  Bukan seperti Haziq, tidak ubah seperti singa lapar yang sanggup makan apa sahaja asalkan perutnya kenyang.  Hatta harta isteri sendiri sanggup dirampas.  Bukan hendak menambah tetapi hanya tahu menghabiskannya.
            Haziq terpinga-pinga. Kata-kata Riana menyusuk ke jantungnya.
            “Bagaimana? Nak kahwin atau tidak?  Kalau tidak mahu, silakan keluar dari pejabat saya dan berambus keluar juga dari rumah saya,” halau Riana tanpa ada perasaan belas ehsan. Dia mengajak Haziq kembali ke pangkuannya bukan kerana Haziq masih suaminya tetapi ingin mengahwinkan suaminya itu dengan Diana yang telah dirosakkan oleh lekaki tidak berguna itu.
            “Hish! Abang guraulah! Itu pun  Rin nak ambil serius,” ujar Haziq.
            Riana tersenyum sinis. Gurau?  Datang dengan wajah serius macam seorang samseng, dikatakan bergurau?   Riana duduk semula di kerusinya setelah berdiri beberapa minit melayan permintaan kurang cerdik suaminya itu.
            “Keputusan di tangan abang.  Saya tidak akan berganjak dari keputusan saya,”  jelas Riana selamba dan tenang.  Haziq ingin bermain tarik tali?  Tengoklah nanti, siapa yang lebih cekap dan menang dengan mudah?  Riana menggeleng kesal.  Lelaki itu tidak pernah mahu berubah, dalam kepala hanya memikirkan kekayaan yang dia ada.  Semakin bertambah sakit di hati.  Sayang hanya menjadi mainan dan ungkapan semata-mata.  Di hati Haziq hanya ada cinta pada harta miliknya sahaja.

No comments:

Post a Comment