Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 31 Ogos 2016

JALAN PULANG - BAB 7 - ASMAH HASHIM.



Segala perancangan membangunkan semula persatuan belia kampung itu berjalan lancar.  Biarpun ada yang tidak berpuas hati dengan perlantikan Malek sebagai pengerusi persatuan tersebut.  Haji Shauki ada matlamatnya sendiri.  Bukan sengaja dia melantik anak buahnya sendiri apatah lagi bekas banduan.  Dia tahu apa yang dilakukannya.  Bukan menongkah arus, past ramai yang akan berkata dia sudah hilang akal.  Daripada dibiarkan persatuan belia itu mati tidak berkubur, baiklah dia menggerakannya semula.  Perancangan sepanjang tahun akan diaktifkan perlahan-lahan.    Fail yang terisi dengan agenda, perancangan dan nama ahli jawatankuasa yang dilantik siang tadi dibiarkan di atas meja kopi. Dia menarik nafas lega. 
            “Orang kampung sudah bising, mereka kata abang sudah nyanyuk, lantik Malek sebagai Pengerusi Belia di kampung kita ini,”  adu Hajah Rokiah.  Secawan kopi diletakkan di hadapan suaminya.  Matanya masih lagi melekat di wajah suaminya itu. Dia sendiri berasa pelik dengan sikap suaminya.  Jangan-jangan memang buang tabiat agaknya?  Berkali-kali Hajah Rokiah beristighfar.  Bukan menidakkan kematian yang sememangnya akan menjemput diri, tidak kira siapa pun, tua atau muda.
            “Biarkanlah, saya tahu apa yang saya lakukan.  Awak pekakkan sahaja telinga,”  ujar Haji Shauki.
            “Masalah, mampukah si Malek itu menguruskan persatuan itu?  Anak-anak muda di kampung kita ini, boleh tahan samsengnya,” luah Hajah Rokiah bimbang. Kes penagihan dadah semakin menjadi-jadi.  Kecurian juga begitu. Biarpun orang kampung sering mengadakan rondaan, kecurian tetap berlaku. Sudah pening kepala Haji Shauki sebagai ketua kampung dan imam di masjid kampung tersebut hendak  menyelesaikan masalah  yang ada. 
            “Sebab nak bertemu dengan samsenglah, saya bawa ketua samseng ke mari, biar kena buku dengan ruas.  Anak-anak muda kampung ini, hidup pun minta belas ehsan orang tua, ada hati nak jadi samseng!” tempelak Haji Shauki.
            “Ikut suka awaklah, saya tidak mahu orang kampung kata awak itu sudah buang tabiat!”  Hajah Rokiah mengeluh berat.  Suara orang memberi salam membuatkan dia bingkas bangun dan menuju ke muka pintu. 
            “Halim? Nak jumpa pak ajikah?” tanya Hajah Rokiah ramah.  Dia kenal hampir keseluruhan penduduk di kampung itu, maklumlah isteri ketua kampung dan imam masjid. Tentulah dia banyak bergaul dengan penduduk di situ.
            “Ha ah Mak Kiah, pak aji adakah?” tanya Halim dengan wajah gelisahnya. 
            “Ada, jemput naik,” pelawa Hajah Rokiah. 
            Halim melangkah masuk ke dalam rumah.  Rumah batu setingkat itu kemas dan tersusun rapi. Mata Halim terpacak pada kelibat Haji Shauki yang sedang bersantai di ruang tamu.
            Hajah Rokiah pula berlalu ke dapur.  Adat orang bertamu, sediakan sesuatu untuk tetamu walaupun hanya segelas air kosong.
            “Halim?”  sapa Haji Shauki kehairanan.  Kenapa lelaki itu datang ke rumahnya lewat malam ini.
            Halim menghulur tangan bersalaman dengan Haji Shauki.  Dia terus melabuhkan punggung di sofa.  Dia mengeluh berat.
            “Apa hal engkau datang malam-malam ini?” soal Haji Shauki.         
            “Pasal si Malek!”  kata Halim agak keras. 
            “Kenapa pula dengan anak buah aku itu?” soal Haji Shauki.
            “Kenapa pak aji lantik dia jadi pengerusi belia? Pak aji nak rosakkan anak-anak kampung inikah?” soal Malek.
            “Kenapa?  Sudah ramaikah yang rosak?  Bukankah masalah sosial di kampung kita ini memang teruk sebelum kehadiran si Malek itu lagi?” tempelak Haji Shauki.
            “Itu bukan masalahnya pak aji, kehadiran dia boleh mengundang masalah,”  ujar Halim, dia menjeling.
            “Masalah apanya Halim?  Engkau kawan dia sejak kecil. Berilah dia peluang untuk berubah.  Halim… manusia dijadikan ALLAH ada baik dan buruknya.  Kalau engkau sayangkan anak-anak kampung ini, kau berganding bahulah dengan Malek. Bantu anak-anak kampung kita ini agar mampu bersaing dengan anak-anak muda di bandar sana, jangan hanya tahu cari kesalahan orang lain sahaja.  Kalau kita asyik cari salah orang, sampai bila pun kita tetap di takuk lama,” nasihat Haji Shauki.
            “Kalau jadi apa-apa, pak aji jangan salahkan saya dan orang kampung kononnya tidak beri nasihat dan amaran!”   Halim mengetap bibir.
            “Hendak jadi apanya?  Kalau kita semua bekerjasama, tidak mungkin berlaku perkara yang tidak baik, kalau jadi apa-apa, sudah tentulah engkau yang melakukannya.  Jangan engkau nak sabotaj pula program yang sedang kami rancangkan nanti,”  kata Haji Shauki sinis.  Orang seperti Halim harus diajar, tidak mudahlah dia hendak menyalahkan orang lain.  Mentang-mentang Malek itu bekas banduan, pasti ada sahaja pandangan negatif daripada penduduk kampung.
            “Kenapa pula tuduh  saya? Uh! Pak aji berat sebelah!”  Halim mendengus kasar.
            “Baliklah Halim, hari pun sudah jauh malang.  Aku sudah mengantuk.  Pandangan engkau itu nantilah aku fikirkan,”  kata Haji Shauki seraya menguap.
            “Saya balik dahululah pak aji.”  Halim melangkah turun dari rumah Haji Shauki. Tidak guna mengadu kepada orang yang tidak mahu mendengar aduannya.  Melangkah laju meninggalkan rumah itu.
            Haji Shauki menutup daun pintu. Dia duduk semula di kusyen.  Mengeluh berat.  Dia tidak boleh terpengaruh dengan kata-kata orang kampung yang tidak senang dengan Malek.  Dia tahu apa yang dilakukannya.  Keadaan di kampung itu sudah semakin tenat. Penagihan dadah, pengedaran semakin menjadi-jadi. Pihak polis sudah beberapa kali melakukan serbuan.  Hari ini serbu, esok muncul tapak baharu tempat mereka melepaskan gian. Mentang-mentanglah kampung ini jauh dari bandar. Seenaknya sahaja mereka gunakan sebagai markaz.  Hanya Malek yang sesuai membantunya melenyapkan konco-konco pengedaran  dadah itu.  Kampung ini harus dibersihkan daripada semua anasir jahat. Itulah azamnya sebagai imam dan ketua kampung.
            Sekali lagi dia bingkas bangun.  Menutup lampu dan menuju ke bilik.  Penat seharian bertugas. Tugas yang diamanahkan kepadanya.  Tanggungjawab yang begitu besar buat insan sepertinya. Hanya berkelulusan sekolah pondok. Mula-mula jadi imam kemudian dilantik menjadi ketua kampung.  Dialah tempat masyarakat kampung merujuk jika ada apa-apa masalah. Baik dunia mahupun akhirat.  Semoga setiap langkahnya diredha ALLAH dan sentiada dibawa perlindungan dan rahmatNYA.  Usai mengambil wuduk, membaca empat Qul serta doa tidur.  Haji Shauki terus melelapkan mata. Biar mimpi yang indah-indah sahaja.  Aduan Halim biarlah menjadi halwa telinganya sahaja.

Isnin, 29 Ogos 2016

USAH MENANGIS LAGI - TERAKHIR - ASMAH HASHIM

                                                             (Novel pertama saya)
Riana memandang wajah Haziq dan Diana silih berganti.    Dia meraup wajahnya dengan kedua belah tangan. Melepaskan keluhan.  Adakah kedua manusia yang di hadapannya sedang bermain sandiwara?  Beberapa bulan yang lalu bukan main berkasih-kasihan, hari ini berkata tidak mahu dikahwinkan? 
    Rafeah yang menjadi pemerhati hanya tahu mengeluh.  Nak campur tangan, perkara itu biarlah hanya Riana yang menyelesaikannya.   
    “Jadi?”  Riana memandang  Diana dan Haziq tidak berkedip.  Mereka duduk di hadapannya dengan wajah tenang masing-masing.  Dia pula yang berserabut.  Yang seorang berkopiah dan berkurta, yang seorang lagi bertudung labuh dan berjubah.  Penampilan yang jauh berubah berbanding dahulu.
    “Kita batalkan perkahwinan yang telah dirancang,” kata Haziq, wajah Riana yang kusut itu ditatap seketika.  Tidak percayakah isterinya itu bahawa dia telah berubah dan Diana juga begitu.   
    “Kenapa?”  tanya Riana geram.  Dia sudah mengatur majlis perkahwinan yang dijangka akan diadakan pada minggu hadapan.
    “Puan Riana, saya tak sanggup berkongsi kasih dengan perempuan lain. Hati saya tidak cukup padu dan teguh menghadapi hidup berpoligami,” kata Diana. Sememangnya jiwanya tidak mampu melihat suaminya hidup bersama perempuan lain, dia tidak sekuat Riana yang sudi berkongsi Haziq dengannya. 
    “Baik, saya akan suruh Haziq ceraikan saya,” kata Riana perlahan. 
    “Riana!” tempik Haziq.  Matanya memerah memandang wajah isterinya.  Cerai?  Mudah mengucapkannya, tetapi tidak semudah itu untuk dia melakukannya.  Mungkin dulu, dia begitu, kejam, suka berfoya-foya tanpa memikirkan kesannya pada perasaan isterinya, Riana. 
    “Abang tak nak bercerai! Masalah abang dengan keluarga Diana juga telah selesai.  Kami tidak akan bernikah,” ujar Haziq mempertahankan kehendaknya dan kehendak Diana.
    “Puan Riana, terima kasih kerana memberi peluang  pada saya untuk mencari redha Ilahi.  Puan telah mengubah diri saya menjadi insan yang hanya cintakan Allah swt.  Lagipun, cinta saya terhadap En. Haziq sudah berkubur disaat saya keguguran  hari itu,” jelas Diana.  Sebak memikirkan dosa dan perbuatan zinanya dengan Haziq sehingga menanam benih haram ke dalam rahimnya.
    Riana terkaku, membisu seribu bahasa, memerhatikan kedua manusia yang berada di hadapannya dengan mata berkaca.  Benarkah kata-kata mereka itu? Bukan hanya mainan di bibir? 
    Rafeah di sebelah Riana mengusap lembut lengan sahabatnya itu.  Dia tahu, Riana sendiri  tidak menduga perkara seperti itu akan berlaku. Dia sendiri juga terkejut. Wajah Diana yang dibasahi air mata dipandang seketika.  Ya Allah, seorang manusia yang besar dosanya boleh berubah dengan petunjuk dan hidayah daripada-Mu.  Rafeah mengucap syukur ke hadrat Ilahi kerana telah membawa Diana ke jalan yang diredhai.
    Haziq juga begitu. Penampilan dan gayanya sudah tidak ada keegoannya lagi.  Entah apa yang telah dilakukan oleh Ustaz Harun dan Ustazah Mardhiah sehingga kedua manusian yang pernah berbuat dosa itu kembali ke pangkal jalan.
    Riana memegang tangan Rafeah yang cuba menenangkannya. Senyuman dilakarkan, matanya kemudian memandang  ke arah Haziq dan Diana.  Jika benar bagai dikata oleh kedua insan yang berada di hadapannya itu, haruskah dia menarik nafas lega, kerana suaminya, Haziq tidak akan diambil orang? Dia tidak perlu  berkongsi kasih dengan perempuan lain?  Riana melepaskan keluhan.
    “Diana, maafkan saya kerana disebabkan suami saya, hidup awak hancur, keluarga awak malu besar, sepatutnya saya melindungi pekerja-pekerja saya, tetapi sebaliknya berlaku,” ucap Riana kekesalan.  Gadis itu menjadi mangsa kerakusan suaminya, Haziq.  Dia hanya ingin menebus dosa-dosa suaminya sahaja.  Juga dosanya yang tidak memberi bimbingan dan menjaga kebajikan pekerjanya sehingga semudah itu dirosakkan oleh suaminya sendiri.
    “Bukan salah puan pun, saya sendiri yang tidak tahu membentengkan diri sendiri agar tidak tercemar.  Kalaulah jiwa saya kuat, iman saya tebal, perkara itu tidak akan berlaku, semuanya kerana kelemahan diri saya sendiri,” kata Diana sebak. 
    “Maafkan  abang juga Rin, sepatutnya abang menjadi suami yang bertanggungjawab, jujur dan menyayangimu  sepenuh hati.  Mata abang dibutakan dengan harta dunia, ikut hawa nafsu tanpa memikirkan perasaan Rin dan anak-anak, biarpun mereka bukan anak kandung abang, tidak sewajarnya abang melepaskan tanggungjawab sebagai seorang ayah kepada mereka.  Abang juga tidak sepatutnya merosakkan Diana, abang benar-benar kesal.”  Haziq menekup wajahnya dengan kedua belah tangan.  Dia menangis kekesalan, rasa bersalah yang menebal dan menggunung di hati.    Terbayangkan akan dosa-dosanya yang lalu, kekejaman yang telah dilakukan dengan merampas maruah dan harga diri seorang perempuan yang sepatutnya dilindungi dari dicemar. Apatah lagi perempuan itu seagama dengannya.
    “Saya akan bernikah juga, dengan Arman,” jelas Diana dengan wajah ceria. 
    “Apa?”  Riana terkejut mendengarnya.  Arman tidak pula membuka cerita.  Riana memandang Rafeah.  Sahabatnya itu mengangkat bahu tanda tidak tahu.
    Arman dalam diam mengasihi Diana?  Lelaki itu terlalu baik, semoga dia mampu membahagikan Diana dan membimbing sehingga ke syurga, bisik hati kecil Riana.
    Riana menarik nafas lega, Ya Allah, nikmat manakah yang tidak Engkau beri?  Syukur Ya Allah! Kata hati kecil Riana. Sebak dadanya.  Benarkah suaminya telah berubah?  Apa yang terlihat olehnya, wajah yang dibasahi air mata, menangis tersedu-sedu di hadapannya.   

    Rafeah yang sejak awal hanya menjadi pemerhati, tidak mampu menahan air matanya juga.  Manusia yang sudah bersumpah kepada Allah di saat sebelum lahir ke dunia tidak mungkin akan melupakan Pencipta-Nya.   Biarpun kadangkala berlari terlalu jauh sehingga terlupa jalan pulang, lama-lama kelamaan akan kembali juga.  Semoga kehidupan mereka bertemu pengakhiran yang baik, aamin.

ULASAN NOVEL BUNUHAN - OLEH Ogy Yusuf.

ULASAN OLEH Ogy Yusof.
Kredit: Ogy Yusof
ANTOLOGI THRILLER
BUNUHAN
ALAF 21
4 PENULIS.
634 ms


1) SAKURA SAMSENG JALANAN
LYNN DAYANA

sakura, anak peranakan cina yang terpaksa kembali ke tanahair dan menangguhkan pengajian bila ayahnya meninggal kerana dibunuh selepas dicolek. Kuasa yang tinggal mula jadi rebutan. cuma mereka berebut itu tidak menyangkakan yang sakura mampu menerima amanat ayahnya, mendiang Tuan Lee. Sakura mula menjejak satu persatu perniagaan ayahnya sama jugak dengan tindakan musuhnya yang mula menjejak satu demi satu langkahnya. Cuma tak disangka ada gunting dalam lipatan.. Cerita aksi yang padat dan dimampatkan. Walaupun pendek, tapi cukup terisi. Setiap jalan kisah yang diolah buat pembaca turut merasa apa yang digambarkan.. Tahniah puan Lynn Dayana...
bintang?


2) TREN
SYAIDA ILMUNA


Tren komuter terbalik dan dihijack!! fatin nura dipasang bom dibadannya. 20 orang menjadi tawanan. Mereka menuntut wang tebusan. walaupun seperti tidak logik bila hanya dua orang cina tua yang terlibat tapi kita bayangkan dalam dunia aksi tiada yang mustahil. Tambah lagi bila mereka sebenarnya dibantu, dibantu dari pihak yang tak disangka- sangka, pihak yang rupa-rupanya gilakan nama dan kuasa.. Cik penulis kita ni pun buat jantung pembaca tidak habis berdebar dengan bayangan aksi yang terbias dalam otak dan bertambah debaran bila disangka kisah dah tamat tapi rupanya ada lagi! Cik Syaida Ilmuna, gerunlak akak nak naik keretapi tau!!
bintang?


3) CINTA TOP SECRET VERSI 1. 0
LAILA KAMILIA


cerita ni ada buku solo ya sebelum ni puan Laila Kamilia?.. kena cari nihh... woww... cerita aksi yang memang best, cukup rencah perisanya. segala misi, segala gambaran aksi dan termasuk semua prop yang diceritakan buat pembaca boleh bayangkan sebuah kisah aksi yang cukup hebat. Jade yang terpaksa ketepikan semua misinya dalam melengkapkan tanda tanya yang ditinggalkan oleh ejen olga yang mahu menghapuskan pengkhianat yang berkuasa besar dalam badan perisikan mereka. Imbas kembali yang terselit buat setiap tanda tanya terjawab. Tahniah puan untuk aksi menggila nih!
bintang?


4)JEJAK HANTU
IZZA ARIPIN


terbahagi kepada 3 bahagian kisah yang mana bahagian ketiga menyatukan bahagian 1 & 2 yang pada awal tak nampak langsung perkaitannya. walaupun sepanjang pembacaan dibahagian dua buat pembaca tertanya-tanya apakah kaitannya dengan bahagian pertama tapi kisah yang makin serius dan makin banyak aksi menuntut otak pembaca terus ikut helaian demi helaian tanpa rungutan. puan penulis Izza Aripin berjaya membuat pembaca terpaku dengan setiap aksi dan babak cerita. Tahniah puan untuk rentetan aksi yang mantap.. Peya yang sedih bila suaminya, adam ditembak mati. Dia yang bekerja sebagai PA datuk azhar menyimpan semua rahsia syarikat itu termasuklah penghasilan kosmetik pencegahan penuaan terbaru, edelweiss kiss.. Kemudian aksi berterusan dengan atilea yang melarikan diri bila dia disuruh membunuh seorang pengawal keselamatan. Dia, seorang pembunuh terasa itu adalah satu kesilapan walaupun dia diberi pilihan, membunuh atau dibunuh. Berterusan bila dia menggunakan identiti miasarah untuk menghilangkan jejak dirinya. Tanpa disangka, izz qhuzairy polis yang dimusuhinya adalah suami kepada miasarah yang mati dibunuh. Apakah kaitan mereka dengan peya dan adam? Siapakah sebenar watak utama yang mengaitkan kisah mereka?
bintang?
secara keseluruhan buku ini sebenarnya memang mantap dan terbaik. Padat dan mampat. Bila novelis wanita tunjukkan taring dalam bayangan aksi mereka, haa..... Hambik kau... Jangan samakan dengan kisah aksi yang sedia ada, memang sangat tidak adil. Mereka berempat punya kekuatan tersendiri dalam menyampaikan perjalanan kisah aksi dan ianya amat berjaya! Abaikan semua ketidaklogikan kerana ingat ya, tiada yang mustahil bila dalam kisah aksi. Weiihh... Dalam tv tu pun kalau kisah aksi tembak pun tak tepat walaupun sharp shooter. Tahniah buat semua yang terlibat...
bintang ? 🌍🌍🌎🌏
#103/2016
#stokperambestrupanya
#alaf21
#NovelMelayu

Ahad, 28 Ogos 2016

JALAN PULANG - BAB 6 - ASMAH HASHIM

                                                             (Karya saya yang bakal terbit )



Memandang jauh ke hadapan. Mimbar masjid yang sudah berusia puluhan tahun masih utuh dan teguh.  Masjid Kampung Seberang masih teguh berdiri.  Mungkin lebih tua dari usianya. Dia baharu selesai melakukan solat sunat Tahiyatul Masjid. Itulah yang telah dipelajarinya waktu di dalam penjara.  Sementara menunggu waktu Isyak, dia membaca semuka dua ayat-ayat al-Quran, itupun dipelajari sewaktu di penjara.  Penjara banyak mengajarnya tentang hidup sebenar seorang manusia. Tanggungjawab sebagai seorang hamba ALLAH swt
            Air mata insaf mengalir perlahan, cepat-cepat disapu dengan jari-jemarinya.  ALLAH, ucapnya.  Semoga taubatnya diterima oleh Yang Esa.  Tidak pernah culas berdoa agar imannya diperteguhkan.  Dia tidak mahu lagi kembali ke jalan yang dahulu, jalan kejahilan yang telah menghancurkan seluruh hidupnya.  Dia kehilangan keluarganya akibat kejahilan diri sendiri.
            Tidak henti-henti dia berdoa.  Biarlah dia menjadi hamba ALLAH yang benar-benar bertakwa.  25 tahun menjadi penghuni penjara telah banyak mengajarnya tentang erti kehidupan yang sebenar.  Tiada jalan yang lebih baik dari jalan menuju redha ILAHI.  Itulah  harapannya kini.  Dia mengeluh berat.  Mata-mata yang memandang, tidak dihiraukan.  Mereka ada mata, mereka ada mulut dan mereka ada telinga.  Biarlah mereka hendak berkata.  Tidak menjadi kudis kepadanya.
            “Assalamualaikum,” sapa seorang lelaki yang berjubah dan berserban. Kejernihan wajahnya terpancar, menyenangkan mata yang memandang.  Senyumannya begitu menyejuk hati. Penampilannya begitu meyakinkan. 
            Pantas Malek bingkas bangun dan mencium tangan lelaki itu.
            “Bila engkau balik?” tanya lelaki itu lembut seraya menepuk bahu Malek beberapa kali.
            “Baru lagi pak su,”  balas Malek.
            “Alhamdulillah...” ucap Haji Shauki.
            Haji Shauki mengangguk-angguk.  Dia mengurut-urut janggutnya yang memutih. 
            Azan Isyak berkumandang.  Memanggil hamba-hamba ALLAH untuk bersujud kepadaNYA.  Tidak dijadikan manusia jika tidak hanya untuk menyembah dan bersujud kepadaNYA semata-mata.
            “Usai solat nanti kita bolehlah berbual panjang. Hari ini tidak ada kuliah,”  cadang Haji Shauki.
            “Baik pak su,”  ujar Malek.
            Haji Shauki melangkah menuju ke saf depan sambil menarik tangan Malek mengikutnya.
            Teragak-agak Malek ingin mengikut apatah lagi pandangan mata yang merenungnya.  Dia berasa kurang selesa.
            “Biarlah saya duduk di belakang,”  tolak Malek lembut.
            “Kenapa? Bukankah saf pertama lebih afdal,”  kata Haji Shauki.
            “Usah difikirkan pandangan mata manusia. Bukankah pandangan dari mata ALLAH itu lebih bermakna?”  jelas Haji Shauki lagi.
            Malek menunduk malu.  Akhirnya  dia akur. Biarlah mata itu memandang. Biarlah mereka hendak kata apa, dia ke masjid bukan minta perhatian atau hendak jadi public figure. Dia ke masjid kerana hendak bersolat lima waktu, mengabdikan diri kepada ALLAH semata-mata.
            Sambil menikmati teh susu panas di kedai milik masjid yang disewakan, mereka berdua berbual mesra.  Sudah terlalu lama tidak berjumpa, tentu panjang isi cerita.
            “25 tahun Malek, lamakan?”  Haji Shauki memandang wajah anak saudaranya itu dengan mata berkaca.
            Malek hanya mengangguk.
            “Malek, kau  anak saudara aku.  Aku harap kali ini,engkau benar-benar ingin berubah.  Tidak usahlah buat kerja terkutuk itu.  Umur kita sudah semakin tua, menunggu hari dan waktu untuk ke kubur sahaja,”  nasihat Haji Shauki.
            “Insya-ALLAH pak su,” janji Malek, terasa malu dengan bapa saudaranya yang telah menjadi imam di masjid kampung itu sejak sekian lama. Masih bernyawa lagi orang tua ini, tubuhnya masih tegap, jalannya tidak pincang, matanya tidak kabur dan pendengarannya masih baik.  Insan yang terisi masanya dengan beramal dan berdakwah di jalan ALLAH. Adik arwah ayahnya.
            “Pak su ada cadangan, itupun kalau kau setuju.” Haji Shauki tersenyum nipis. Mendengar kepulangan anak saudaranya itu, dalam kepala sudah ada rancangan untuk Malek.  Biarlah orang kampung kata apapun.  Dia tidak akan membiarkan anak arwah abangnya itu berterusan bergelumang dengan noda dan dosa.  Waktu Malek masih muda belia, bukan dia tidak menasihatinya, tetapi jiwa orang muda, mendengar nasihat bagaikan leteran di telinganya.
            Malek khusyuk mendengar bicara pak sunya.  Sesekali dia ketawa. Sesekali dia mengerutkan dahi.  Banyak sungguh idea pak sunya untuk penduduk kampung itu.  Mampukah dia melakukannya? Adakah anak-anak muda kampung ini yang ingin mengikutnya?
            “Bagaimana?”  Haji Shauki memandang wajah Malek minta kepastian dan juga pandangan.
            “Bagus rancangan pak su, tapi layak ke saya untuk memimpin anak-anak muda kampung ini?”  Malek kurang yakin.  Dia tidak layak dijadilan role model untuk anak-anak muda di kampungnya itu. Masih ramai yang sesuai dan layak.
            “Pak su tahu apa yang pak su buat,  Malek jangan risau.  Malek memang layak,” kata Haji Shauki penuh yakin.
            Malek meraup mukanya dengan kedua belah tangan.  Tinggi sungguh harapan orang tua itu.  Berat hatinya hendak menolak atau menerima.  Serba salah jadinya.
            “Minggu hadapan ada mesyuarat Persatuan Belia Kampung Seberang.  Mesyuarat agung, pak su nak Malek hadirkan diri,” pinta Haji Shauki penuh mengharap.
            “Tapi pak su?”  Malek masih teragak-agak. Bimbang memikirkan reaksi anak-anak muda dan penduduk kampung itu. Mahukah mereka menerima dirinya?
            “Saya ini bekas banduan, bekas penjenayah, penyamun dan perompak, mahukah mereka menerima kehadiran saya pak su?” Pertimbangan biarlah bertempat.  Kenapa tidak dicari orang yang layak menerajui persatuan belia di kampung itu.  Dia bukan belia lagi, sudah separuh abad umurnya. 
            “Sebab engkau bekas banduanlah pak su ambil. Biar budak-budak yang kurang asam di kampung kita ini takut sikit.  Jangan hampakan pak su. Engkau  tinggal di tapak rumah arwah ayah?  Engkau   tinggal sekalikah dengan mereka?” tanya Haji Shauki.
            “Saya tinggal di stor tepi rumah pusaka itu, pak su,”  terang Malek.  Dia diajak oleh anak sulongnya, jika tidak dia akan merantau jauh dari kampung itu. Biarlah dia cari tempat yang orang tidak mengenalinya, bolehlah dia memulakan hidup baharu.
            “Malek… banyak perkara berlaku dengan keluarga engkau. Penghinaan yang mereka terima menghiris hati kami.  Tapi apa daya kami?  Kesilapan engkau membuatkan hidup mereka bagaikan neraka di sini.  Pak su suruh mereka pindah tetapi mereka tidak mahu, sabar sungguh bekas isterimu itu,” cerita Haji Shauki tentang keluarga anak saudaranya itu.  Inilah akibat yang terpaksa mereka bayar jika berbuat jahat dan melakukan jenayah.
            “Saya tahu pak su.  Insya-ALLAH saya takkan kembali ke jalan yang penuh noda dan dosa itu,”  janji Malek.  Hiba hatinya mendengar cerita bapa saudaranya itu.  Padanlah bekas isterinya begitu marah dengannya.  Nasib baik, anak sulongnya sudi menerima kehadirannya. Waktu di dalam penjara, rajin datang menziarahinya.  Hatinya benar-benar tersentuh.
            “Tentang perancangan pak su itu. Jangan hampakan pak su ya?  Kita sama-sama bangunkan persatuan belia di kampung ini.  Kita cegah kemungkaran yang ada.  Pak su percaya, dengan pengalaman engkau yang lalu, engkau pasti mampu mengekang masalah remaja di kampung ini,”  ujar Haji Shauki.  Dia tahu anak buahnya itu mampu menjadi pemimpin kepada para belia di kampung ini. Biarpun usianya sudah 50-an, itu bukan ukuran.  Pengalaman,   itu yang penting.