AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 21 August 2016

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 25 - ASMAH HASHIM



            Hari pertama, pengalaman pertama. Rupanya bekerja di restoran ini banyak tugasannya.  Jam 7.00 pagi dia sudah terpacul di muka pintu hadapan restoran. Tukang masak pula lebih awal dari waktu itu.
             Maznah menerangkan tugasan yang terpaksa dia lakukan selain daripada menjadi juruwang.  Dia kena mengemas meja dan menyusun kerusi agar kemas.  Lap semua bahagian restoran yang ada, sapu sampah dan membersihkan bilik air.  Bilik air? Oi! Dia hanya bersihkan bilik air sendiri. Aduhai, pengalaman yang menakutkan.  Tidak pasal-pasal kena bersihkan bilik air juga. 
            Mop lantai… uhuhu… banyaknya kerja, bebelnya dalam hati.  Padanlah ramai yang tidak mahu bekerja di restoran.  Tidak ada tugas yang khusus.  Kena buat semua, dan wajib buat.  Tidak boleh membebel, tidak mungkin dia berhenti.  Ini pengalaman yang menarik.  Baharulah dia faham bagaimana tugas dan tanggungjawab pekerja sebuah restoran, mungkin  bekerja di kedai tepi jalan pun sama agaknya.  Cuma tiadalah kerusi meja yang banyak atau terpaksa mencuci tandas.  Minyak wangi yang dia pakai sudah bau semacam, campur dengan keringat yang mengalir keluar.  Tidak pernah berpeluh bagaikan orang berlari sepuluh kilometer.  Mahu dia duduk mengadap kipas angin yang terarah kepadanya bagi menghilang peluh yang membasahi setiap inci tubuhnya. 
            Maznah pula sibuk di dapur.  Siap satu masakan, terus dihantar ke hadapan.  Terus disusun.  Lagi setengah jam restoran akan dibuka pintu depannya.  Bersedia untuk sarapan pagi.  Masakan tengahari juga sudah siap sedia.  Rose mengesat peluh dengan kain tuala good morning.  Memang penat betul.  Sabar sahajalah, baru beberapa jam bekerja.  Dia perlu kuat untuk belajar sesuatu yang baharu. Tidak boleh patah semangat.  Perlu terus berjuang untuk meneruskan hidup.  Jangan susahkan mak bapa, detik hati kecilnya.
            Usai memastikan segala susun atur di dalam restoran kemas dan bersih.  Rose duduk di tempatnya bertugas.  Jam 7.30 pagi, restoran Masakan Melayu terus dibuka sepenuhnya.  Pagi itu yang bertugas, seorang pembancuh air, dua orang tukang masak bersama Maznah, tukang basuh pinggan, dia  dan seorang pelayan.  Ramai jugalah.  Rose memasang kipas kecil yang terdapat tidak jauh dari tempat dia bertugas.  Lega sedikit rasa tubuhnya. Mampu bernafas setelah dibasahi peluh yang mengalir.  Terasa nyaman.  Segelas air kosong menjadi habuan perutnya. Lega, memang dia  kehausan setelah bertungkus lumus tadi.
            “Rose, sambil-sambil tu pergilah sarapan dulu.  Nanti ambil pesanan pelanggan sekali ya.   Tulis ikut pesanan mereka, terutama minuman. Makanan pelanggan boleh ambil sendiri.  Nanti akak ajar cara nak letak harga makanan yang diambil oleh pelanggan,” terang Maznah usai memasak semua makanan untuk sarapan pagi dan tengahari.  Sejak pukul 5.00 pagi dia sudah tercongok di restoran itu.  Lenguh kakinya.  Penat tubuhnya, rasa nak patah pinggangnya. 
            “Akak duduklah dulu.” Rose menarik kerusi dan menghulurkan kepada Maznah yang duduk di sebelahnya.  Hari ini terpaksa jugalah Kak Maznah mengajarnya bagaimana mengira makanan yang diambil oleh pelanggan restoran itu. 
            “Selama ini saya hanya masuk restoran atau kedai makan, buat pesanan dan terus makan, tidak pernah ambil kisah akan kerja dan tugas mereka.  Rupanya penat juga ya kak Maznah,” luah Rose dengan wajah penuh minat.
            “Ya Rose, banyak kerjanya.  Itu sebab tidak ramai anak muda kita yang minat kerja seperti ini, maklumlah kerja yang tiada kelas.  Macam kuli agaknya mereka rasa.  Sedangkan banyak perkara yang mereka boleh belajar jika bekerja di restoran.  Dari dapur sehinggalah ke luar.  Kalau ada yang rajin bolehlah belajar memasak juga.  Buat air pun kena ada skilnya juga.  Bukan main buat macam di rumah.  Kalau buat milo kena pandai sukatannya. Kalau tidak air itu akan rasa tawar, terutama milo ais.  Nampak mudah tetapi tidak senang juga,” jelas Maznah panjang lebar.  Ramai beranggapan kerja di restoran satu kerja remeh dan mudah.  Tetapi sukar juga rupanya. 
            “Pengalaman pertama buat saya Kak Maznah.  Harap boleh bersabar dengan saya, ya?”  Rose tersenyum.
            “Harap tidak bosan atau cepat mengalah bekerja di sini. Kerja banyak, imbuhan kecil,”  ucap  Maznah sambil mengelap peluh yang ada di dahi dan lehernya yang bertudung.
            “Insya-ALLAH kak, sedang menyesuaikan diri.”  Rose menyengih. Berharap sangat dia mampu bertahan dan menyesuaikan diri.
            Hari ini dia menjamu tekaknya dengan nasi lemak berlaukkan ayam goreng berempah.  Memang sedap masakan  Maznah, itu sebab agaknya dia buka restoran.  Kalau dialah yang masak, entah-entah hari ini buka, esok sudah tutup, seperti kejadian yang lepas.  Rose mengeluh sendiri.  Sejak buka pagi tadi, restoran itu   tidak henti-henti pelanggan masuk dan menjamu selera.   Maznah  tekun mengajarnya mengira makanan yang diambil pelanggan.   Nasib baiklah otakknya tidak beku sangat, kalau tidak mahu pengsan  Maznah mengajarnya.
            Hari ini dia terpaksa bekerja sehingga lewat malam.  Aduhai, berhenti untuk solat dan makan  sahaja.  Mahu patah pinggang.  Baharu hari pertama sudah mengeluh kesah, sakit sana sini.  Eee... tuanya dia.  Jangan mengalah, jangan mengeluh, bukan senang nak senang dan tidak susah nak susah.  Rose berusaha memujuk hati sendiri.
            Upacara tutup kedai pula.  Aduhai…  mahu dia mengeluh berbakul-bakul hari ini.  Siang tadi mengemas, tengahari mengemas, nak tutup kedai pun kena kemas juga.  Siap basuh meja dengan air panas lagi. Bilik air juga begitu.  Di dapur pun sama. Nampaknya Maznah memang seorang yang pembersih.  Patutnya ramai pelanggan suka  makan di restorannya. Memang bersih dan kemas.
            Mahu tidur mati dia malam ini akibat keletihan.  Lauk pauk habis terjual.  Malam ini pelanggan pun ramai juga.  Malam ini dia ada kerja lebih masa. Berbaloilah juga dia membantu sehingga restoran tutup. Banyak perkara dia belajar hari ini.  Semoga dia terus bertahan.  Rasa tebal tapak kaki kerana terlalu lama berdiri, sakit juga betisnya akibat tekanan daripada tubuhnya. Biarpun kurus tetapi berat.  Bukan berat dosa ya.  Jangan salah faham.  Rose memandu Myvinya pulang ke rumah yang terletak beberapa kilometer dari kawasan tempat tinggalnya. Perut sudah kenyang, dia hanya perlu mandi, solat isyak dan terus tidur.  Esok kena datang awal lagi.
***

            Daun pintu dibuka perlahan. Tentu Zaiton sudah diulit mimpi. Hari ini seharianlah dia tidak tengok rupa paras sahabatnya yang sentiasa jelita itu.   Entah berapa kali dia menguap, habis air mata mengalir, menahan kantuk yang keterlaluan.  Nasib baik tempat kerjanya tidak jauh dari rumah, kalau tidak mahu sahaja dia menelefon Zaiton mengambilnya di tempat kerja lantaran tidak mampu memandu jauh.  Sakit habis segala urat saraf, tulang belulang.  Padanlah anak-anak muda di Malaysia tidak suka bekerja di sector perkhidmatan di restoran. Letihnya usah ceritalah. Kalau nak tahu pergilah bekerja di restoran seminggu dua, baharu tahu.
            Dalam kesuraman malam, ruang tamu gelap-gelita.  Biasalah mereka jarang membiarkan pembaziran berlaku. Hanya buka lampu di bahagian dapur sahaja.  Tekaknya terasa haus. Dia melangkah ke dapur. Peti sejuk dibuka, sebotol mineral 500ml diambil, dia duduk di kerusi dan terus meneguk minuman tersebut setelah dibuka penutupnya.
            “Kau baru balik Rose!’ sapa Zaiton sambil menguap.
            “Kus semangat! Kau ni bagilah salam.  Kau tak tidur lagi?” Hampir dia tersedak.  Buat orang terkejut sahaja. 
            “Wa’alaikumsalam!” usik Zaiton. Dia tersenyum dan duduk di kerusi meja makan.
            “Lambat kau balik?”  Zaiton tergaru-garu kepala dan muka.  Dia sebenarnya mengantuk, tetapi nak juga menunggu kepulangan sahabatnya itu. 
            “Tak ada pekerja, kenalah kerja lebih masa,” jelas Rose.  Dia menghabiskan sebotol air mineral 500ml itu.  Hilang dahaga  yang menjalar di tekaknya.
            “Hari pertama dah kena kerja lebih masa?  Kasihannya kau!”  Zaiton memandang dengan wajah simpati.
            “Tak payah buat muka poyo dan kesian tu.  Aku tak apa-apalah.”  Rose mencebik.
            “Betul ni?” Zaiton bagaikan tidak percaya.
            “Betullah, aku cuma penat saja,” luah Rose meyakinkan.
            “Aku risaukan kau, tengok jam  dah lewat malam tapi tak balik-balik lagi.  Aku telefon kau tak angkat pun,”  jelas Zaiton, itu sebab dia tidak tidur lagi. Kalau sampai pukul 2.00 pagi rakannya itu masih tidak balik lagi, dia akan buat laporan polis.
            “Laa… aku tak perasanlah! Sibuk sangat. Malam ni ramai pula orang.”  Rose meregangkan tulang belulang tubuhnya.  Dia nak mandi dan terus tidur.  Esok aawal-awal pagi sudah nak ke tempat kerja.
            “Kau rehatlah.  Kalau ada masalah bagitahu aku ya.  Kalau tak sesuai kerja di situ pun bagi tahu aku.  Nanti aku tolong carikan kerja yang sesuai buat kau,” kata Zaiton dengan muka simpati.
            “Yalah! Pergilah tidur,” arah Rose.  Langkah Zaiton dipandang dengan senyuman.  Ada juga orang yang sayang dengannya selain daripada keluarganya sendiri.   Rasa hiba menghenyak hatinya.  Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan.

No comments:

Post a Comment