AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 19 August 2016

HITAN-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 24 -ASMAH HASHIM




            Hidup jangan terlalu memilih, jika pilihan yang dibuat tidak menyalahi undang-undang dan agama, teruskan sahaja.  Biarpun Zaiton menghalang tindakannya, dia sudah malas nak bertegang urat dengan diri sendiri.  Dia redha dengan ketentuan ILAHI, jika sudah ditakdirkan  rezekinya dengan bekerja sebagai penyapu sampah di jalan, dia terima sahaja.   Tidak mahu terlalu mengikut  kehendak sendiri.  Kalau termenung sahaja pun tidak menyelesaikan masalah.  Dia perlu bergerak, bukan bergerak akal, tetapi juga kaki. Kalau duduk rumah tunggu rezeki datang dari langit, jangan beranganlah.  Ingat zaman Sinbad atau Aladdinkah?  Bukan ada Jin Afrit yang akan membantu.  Kalau nak makan, pandai-pandailah masak.  Kalau sudah pemalas, beli sahaja di kedai.  Kena bergerak jugalah kan?  Tidaklah sampai kena sebut zam, zam ala- kazam, maka terhidangkan makanan di atas meja.  Boleh blahlah!
            Myviv berwarna hitam matelik dipandu meninggalkan perkarangan kondominium tempat dia dan Zaiton berteduh.  Dia perlu cari kerja, tidaklah mahu menunggu sampai duit di bank tinggal sifar, waktu itu mahu dia lari mencari emak dan ayah, kalau duit nak minum air kosong pun tiada, haruslah.  Dia mengeluh kesal. Kekhilafan diri sendiri dalam  menentukan masa hadapan seharusnya merujuk kepada orang-orang yang lebih berpengalaman.  Kalau sendiri fikir, sendiri bertindak, takut-takut ikut nafsu, seperti dirinya sekarang.  Hidup  harus diteruskan. 
            Penat berpusing sekitar bandar Shah Alam.  Tidak tahu harus ke mana.   Dia berhenti seketika di kawasan rumah kedai dua tingkat yang ramai pengunjungnya.  Sukar juga nak mencari parkir kereta.  Perutnya terasa lapar, tekaknya terasa dahaga.  Perlu diisi sebelum mengamuk sakan.  Nanti dia juga yang susah. Kalau irama keroncong muncul semula, boleh senak perut jadinya.
            Sebuah restoran masakan Melayu yang terletak di lot tepi rumah kedai di kawasan tidak berapa jauh dari kawasan rumahnya  menjadi pilihan.  Orang tidak begitu ramai, mungkin masih awal untuk makan tengahari.  Dia memerhati sekeliling.  Kelihatan dua orang pekerja yang sedang tekun menyusun makanan yang telah siap dimasak.  Dia menunggu untuk memesan minuman dan nakanan.  Hampir sepuluh minit, tiada siapa yang datang.  Alang-alang marah, mahu diamuknya restoran itu.  Mana pergi para pekerja restoran tersebut?  Nak berniaga atau tidak?  Kalau sudah tidak cukup kakitangan, buatlah sistem layan diri, bebelnya dalam hati.  Matanya mula memandang kiri dan kanan mencari kelibat petugas restoran tersebut.  Lagi lima minit tiada siapa yang datang, dia akan angkat kaki. Malasnya nak menunggu. 
            “Maaf dik, boleh akak ambil pesanan,” sapa seorang perempuan separuh umur.  Wajahnya berpeluh, tentu  baru keluar dari dapur.  Tangannya terketar-ketar, mungkin bekerja tidak berhenti sejak pagi tadi.  Matanya mula mengelisah, seperti nak cepat bergerak. 
            “Kenapa kak? Tak cukup kakitangan ke?” tanya Rose ramah.          
            “Ya dik, sekarang ni susah nak dapatkan pekerja di restoran.  Nak ambil pekerja asing pula, banyak benda nak kena bayar,” luah kakak itu lebih lanjut. 
            “Ada kerja kosong ke?” ringan mulut Rose bertanya.
            “Hah?  Kerja?”  Kakak itu bagaikan terkejut.
            Ait? Takkan terkejut?  Orang seperti dia tidak sesuaikah bekerja di restoran juga?  Rose mengeluh.
            “Yalah kerja kak, kalau ada kerja kosong, saya naklah bekerja di sini,”  jelas Rose dengan muka serius.
            Perempuan yang dipanggil kakak itu terus menarik kerusi dan duduk menghadap Rose.
            “Nama akak, Maznah, ini restoran akak.  Dah dua tahun akak buka. Sejak akhir-akhir ini saja menghadapi masalah.  Sebelum ini, okey saja,” cerita Maznah.
            “Masalah pekerja?”
            “Ya!”
            “Saya pun sedang tanam anggur, kalau ada kerja kosong, bolehlah gajikan saya,” pinta Rose.
            “Tanam anggur?  Kalau dah tanam anggur, kenapa minta kerja?” tanya Maznah kehairanan.
            Rose mengerut dahi.  Tidak faham rupanya.  Atau mungkin terlalu penat sehingga fakta gurauan dianggap perkara benar.
            “Maksud saya bukan tanam anggur di tanah Kak Maznah, tapi mengganggur!” terang Rose lalu ketawa.
            Maznah berfikir sejenak. Aduhai… blur pula otaknya hari ini.  Mungkin terlalu letih agaknya.
            “Alahai, akak jadi blurlah pula. Agaknya terlalu penat berfikir sampai perkara ringan pun terasa berat,” luah Maznah tentang keadaan dirinya.
            “Biasalah kak.  Nama saya Roseyatimah bt. Seman. Nama pena, Rose, jangan tanya kenapa emak saya letak nama pelakon popular untuk dijadikan nama saya. Yang pasti emak saya minat sangat dengan pelakon Roseyatimah yang cantik jelita. Mungkin dia berharap, saya secantik pelakon itu. Tapi… akak tengoklah sendiri,” kata Rose panjang lebar memperkenalkan diri.
            “Eh, cantik apa…  hitam-hitam si tampuk manggis, sungguh pun hitam dipandang manis. Jangan merendah diri, setiap orang diberi kekurangan dan kelebihan oleh ALLAH. Kalau kita berasa  rendah diri bermakna kita tak redha dengan ketentuan ILAHI,” nasihat Maznah.  Wajah  Rose  yang berkulit gelap itu menjadi renungan matanya.  Hendak bagaimana lagi?  Apa yang penting, sihat walafiat, tiada cacat cela.
            “Hish, akak ni puji lebih-lebih pula.  Kerana rupa paras saya inilah saya jadi penganggur kak…” kata Rose berterus terang.  Bukan nak membuka aib sendiri atau memperlekehkan orang lain.
            “Tak apalah. Kalau Rose benar-benar nak kerja, bolehlah kerja di kedai akak ni, jadi juruwang.  Akak tak sempat nak jaga, sebab nak kena memasak dan uruskan segala-galanya di dalam restoran ini. Gaji pula, akak tak mampulah nak bagi mahal-mahal.  Ikut tangga gaji restoranlah.  RM900.00 sebulan.  Makan akak tanggung. Makanlah apa sahaja, tapi tak boleh bawa balik. Kalau nak bawa balik, akak kenakan separuh harga, tapi kalau ada lauk lebih, angkut sajalah, bawa balik.  Ada KWSP dan Socso.  Ada gaji kalau kerja lebih masa.  Sejam akak bayar RM5.00, boleh?” terang Maznah.
            “Boleh sangatlah kak… terima kasihlah.” Rose tersenyum riang. Walaupun kecil, cukup-cukup makan, lepas bayar duit kereta dan rumah sudah cukuplah. Makan? Dia boleh melantak di restoran ini. Jimat belanja.
            “Kalau begitu, bila boleh mula?” Maznah memandang wajah Rose tidak berkelip. 
            “Bila-bila pun boleh!”  jawab Rose riang
            “Kalau macam tu, esok sajalah,”  perintah Maznah.
            “Baik kak… urusan selesai.  Akak ambil pesanan sayalah ya?”  Rose memesan  nasi goreng kampung dan jus tembikai.  Setelah menjamahnya sehingga licin, dan tukang basuh pinggan tidak perlu susah payah membazirkan air sabun, Rose bergerak menuju ke kaunter pembayaran. Bakal majikannya sedang membaca mesej di telefon bimbitnya.
            “Berapa kak?” tanya Rose, dia sudah mula mengeluarkan dompetnya.
            “Hari ini akak belanja.”  Senyuman terukir di wajah Maznah.
            “Ya ke kak? Terima kasihlah.  Jimat duit saya hari ni,”  kata Rose gembira.  Memang jimatlah duitnya hari ini.  Usai bersembang beberapa perkara, dia terus berlalu pulang dengan hati yang berbunga-bunga.  Tidak kisahlah jika hanya jadi juruwang di sebuah restoran.

***  

            “Apa? Kau jadi juruwang di restoran?  Kenapa tak minta kerja di pasaraya saja?”  kata Zaiton kurang setuju. 
            “Biarlah, takkan aku nak mengganggur dan biar kau tanggung aku?” Rose mencebik.  Tidak mahu pasang angan-angan tinggi sangat.  Dia seharusnya sedar diri.  Dia hanya rumput kering di tanah.  Bukan bintang di langit yang cantik walaupun di dalam gelap. 
            “Yalah, kalau kau nak sangat kerja, tapi janganlah jadi pembantu kedai makan,” rungut Zaiton.
            “Apa salahnya, janji halal!”  Rose menjeling.
            “Kau ni, nanti aku carikan kau kerja lain.  Macam tak sesuai saja kerja di kedai makan!” Zaiton tetap tidak setuju.  Memalukan  sahabatnya sahaja.  Rose layak bekerja di tempat yang jauh lebih baik, bukan menjadi pembantu kedai makan atau juruwang.
            “Ton!  Kau kena yakin dengan aku.  Tahulah aku nak buat apa. Kau jangan risau ya.”  Pujuk Rose.  Dia faham perasaan Zaiton.  Kalaulah dia ada pilihan. Orang sepertinya hanya layak buat kerja rencam.  Lainlah dia buka syarikat sendiri.  Bekerja restoran pun satu pekerjaan yang bagus. Manalah tahu dia boleh belajar menguruskan sebuah restoran pula. Nak buka gerai nasi lemak, tidak kesampaian.
            “Aku tak sanggup tengok kau berada dalam keadaan beginilah, Rose!”  ujar Zaiton dengan mata berkaca.  Sebak pula hatinya memikirkan nasib sahabatnya itu.
            “Hish, aku bukan jadi buruh kasarlah!  Jaga kaunter pembayaran di restoran itulah.  Sesekali tolong mengemas meja makan,” gurau   Rose.  Dia memeluk bahu Zaiton yang duduk di sebelahnya. 
            Mereka saling tersenyum, dilihatkan Zaiton menyeka air mata yang berbaki di tubir matanya.  
            “Aku sayang kat kau Rose!” luah Zaiton.
            “Erk… sayang yang macam mana tu?”
            “Hish! Jangan nak kuning kepala otak tu ya!” Zaiton menampar lengah Rose.
            “Ele… gurau pun tak boleh!”  rajuk Rose.
            “Aku pun sayangkan kau Ton! Kaulah satu-satunya sahabat yang setia, ikhlas dan jujur dengan aku!”    Rose tersenyum bangga.  Bangga kerana dikurniakan seorang sahabat, teman yang setia di sisinya ketika susah dan senang.  Menangis dan ketawa bersama-sama dengannya.  Tidak memilih dan tidak berkira.  Sanggup membantu bila-bila masa.  Tidak meminta balasan. Jujur dengan persahabatan mereka.  Berkasih sayang kerana ALLAH SWT.

No comments:

Post a Comment