AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 26 August 2016

JALAN PULANG - BAB 5 - ASMAH HASHIM

( Antara karya saya)



Malek menghabiskan teh tarik yang telah dipesan tadi.  Pagi-pagi lagi sudah menyinggah di restoran mamak yang terdapat di pekan tidak jauh daripada kampung tempat tinggalnya sekarang.  Tanah milik arwah ayahnya, syukurlah bekas isteri dan anak-anaknya masih tinggal di situ.   Dia tidak mahu menyusahkan keluarganya, kalau bolehlah.  Dia ingin berdikari sendiri.  Bukan dia budak kecil, atau tidak tahu selok belok pekan tersebut.  Alhamdulillah, dia juga telah mula bekerja sebagai pengawal keselamatan, tidak kisahlah, asalkan halal.  Gaji tidak besar mana, cukuplah untuk menanggung dirinya seorang.  Mungkin boleh juga dia memberi sedikit kepada Zakuan dan bekas isterinya.  Tidak mungkinkan duduk percuma sahaja,  bekalan eletrik dan air perlu juga dibayar. Biarpun Zakuan tidak meminta, sebagai pendatang, kenalah tahu diri.
            “Perompak sudah balik kampunglah!” kata seoran lelaki yang duduk di meja sebelah. 
            “Mana? Mana?” tanya seorang lagi.
            Malek mengeluh.  Tidak mahu mencari sengketa.  Sebelum jadi apa-apa, biarlah dia angkat punggung dan pergi dari situ.
            “Itu, di hadapan kita ini,” kata lelaki tadi sambil memuncungkan bibirnya menunjuk ke arah Malek yang membelakangkannya.
            “Nanti habislah  rumah penduduk kampung dirompaknya,”  kata kawan yang seorang lagi.
            “Engkau tahu Hassan, orang yang sudah biasa bergelumang dengan najis ni, aku rasa mana boleh tak makan najiskan?  Kau rasa dia boleh berubahkah?” 
            “Uh! Tidak mungkin, orang kalau sudah jahat Halim, selagi ada hayatlah dia jahat!”  kata lelaki bernama Hassan.
            “Kenapa dia balik sini ya? Kenapa tak berambus sahaja dari sini, menyusahkan orang sahaja. Pasti lepas ini ramai rumah penduduk kampung akan dirompaknya.  Dah lama kita duduk aman damai, tiba-tiba muncul kembali pula? Kenapalah tak mampus sahaja di penjara?” kata Halim menyindir.
            Malek masih tidak ambil peduli.  Ini perkara biasa baginya. Biarlah mereka nak bercakap sehingga hilang suara. Dia tidak akan terusik atau berkecil hati. Inilah jumlah yang perlu dibayar pada setiap dosa-dosa yang telah dilakukannya.
            “Hey, perompak! Perogol! Buat apa engkau balik hah?  Nanti habis anak dara kampung ini engkau rosakkan! Habislah rumah penduduk kampung nanti!” sindir Halim tanpa ada rasa bersalah.  Bencinya dia dengan lelaki itu.  Kenapa? Kerana dia tidak suka manusia jahat seperti itu ada di kampungnya.  Malek dikenali sejak kecil. Mana tahu sudah dewasa sanggup jadi perompak dan perogol pula. Pada mulanya dia tidak percaya, tetapi berita penangkapan Malek 25 tahun dahulu terpampang di dalam suratkhabar. Kecuh satu kampung, ditambah dengan kepulangan anak dan bekas isteri Malek yang mendiami rumah pusaka. 
            Malek tidak menjawab.  Setelah membayar harga minuman dan makanan dia bingkas bangun dan berlalu dari situ.  Usah dijawab pertanyaan orang yang sedang sakit hati padanya.  Menambah keruhkan suasana.  Dia ingin hidup aman damai di kampung halamannya.
            “Sudahlah Halim, dia tak layan kita pun. Mungkin juga  dia telah berubah. Kita bagilah dia peluang,”  nasihat Hassan setelah melihat Malek buat tak dengar sindiran mereka.
            “Uh! Aku tak percaya!” kata Halim memandang langkah Malek dengan rasa benci.
            “Sudahlah, makan sajalah,” pujuk Hassan.  Sesekali dia menoleh memerhatikan tubuh sasa Malek yang tidak banyak berubah.  Kalau kena sekali penumbuk bekas banduan itu, mahu terduduk bawah meja. 
            “Aku mesti beritahu tok ketua!  Lelaki itu tak sepatutnya dibenarkan tinggal di kampung kitalah!” kata Halim bertegas.
            “Halim, sudahlah! Tak usah diganggu tebuan yang sedang tidur. Kalau diserangnya kita, berlari tak cukup tanah nanti,”  kata Hassan, berharap sahabat sekampungnya itu sedar. Mereka sudah pun berumur, bukan muda lagi.
            “Setakat tebuan,  ada aku kisah? singa pun aku beranilah?” kata Halim dengan penuh sombong.
            “Jangan ganggu dialah,”  nasihat Hassan dari tadi. Berasa bersalah pula menyindir tadi.  Malek bukan orang lain di kampung itu. Anak jati Kampung Seberang. Sepatutnya kepulangannya dirai, manalah tahu dia sudah berubah, kenapa tidak diberi peluang.
            “Kau dah kenapa? Takkan nak sokong penjenayah itu?” tegur Halim, geram pula tengok sikap teman sekampungnya itu yang tiba-tiba berubah. 
            “Bukan macam itu, dia anak jati kampung kita, dia pernah jadi kawan sepermainan kita.  Engkau tengoklah keluarga dia, sampai ke hari ini, bekas isteri dan anak-anaknya kita pinggirkan.  Apa nak jadi?  Sekarang, Malek sudah balik. 25 tahun dia dihukum, aku rasa, dah cukup memeritkan,”ujar Hassan.
            Halim ketawa kuat. Terasa gelihati mendengar kata-kata Hassan. 
            “Kita sudah tualah Halim, tak payahlah nak jadi kutu kampung pula,” tegur Hassan. Halim sewaktu mudanya boleh tahan nakal. Cuma, tidaklah sejahat Malek tadi.  Nakal-nakal budak kampung. Suka sangat mengusik anak dara orang dan biasalah curi buah kelapa.  Hassan tersenyum sendiri, setakat curi buah kelapa, ada hati nak jadi samseng.  Lainlah Malek itu.  Kalau dilawan takkan menanglah nampaknya.  Tengok sahajalah badannya.  Sekali didebik, berterabur gigi.
            “Engkau ini sudah kena rasuk dengan si Malek agaknya,”  kata Halim bengis.  Dia bingkas bangun setelah membayar harga makanan.  Laju langkahnya meninggalkan  Hassan sendirian. 
            “Halim! Halim!” laung Hassan.
            Halim hanya mengangkat tangan dan berjalan menuju ke keretanya.
            Hassan menggeleng kekesalan.  Sejak muda sehinggalah sudah berumur separuh abad, masih sukar ditegur. Dia membayar harga makanan dan minuman, langkah diatur terus pulang ke rumahnya.

No comments:

Post a Comment