AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 3 August 2016

TOLONG CARI SUAMIKU - BAB 27 - ASMAH HASHIM.



H
alijah menunggu dengan sabar. Sudah dua gelas teh ais menjadi santapan tekaknya yang kehausan. Kenapa pula lelaki ini lambat? Selama ini lelaki itulah yang menepati masa. Cukup masa tiba di tempat yang ditunggu. Tetapi hari ini kenapa lambat? Halijah mengeluh perlahan. Penat sudah menunggu.
“Maaf lambat sampai,” sapa seorang lelaki lalu melabuhkan punggung di hadapan Halijah.
“Ada hal yang lebih penting daripada bertemu dengan aku ke?” sindir Halijah.
Lelaki itu ketawa. “Kau tetap seperti dulu. Masih sombong dan bongkak!”
“Aku suruh kau datang, bukan untuk hina aku! Aku nak minta tolong daripada kau. Ada satu projek untuk kau.”
“Jah... Jah... bila umur meningkat bermakna kubur kata mari, tapi kau masih lagi beranggapan kau akan menongkat bumi, takkan duduk di bawah. Kau tak ingat nak mati ke? Uban dah memutih di kepala. Bawalah insaf diri.” Lelaki itu terus menyindir bagaikan tahu apa yang akan dipinta oleh wanita itu.
“Kau siapa nak nasihatkan aku? Aku suruh buat kerja, bukan percuma tahu! Kau mampu hidup senang kerana aku!” marah Halijah. Suaranya masih mampu ditahan. Takut didengari oleh pelanggan yang memenuhi restoran tersebut.
“Okey, okey… jangan marah nanti bertambah kedut muka kau tu.” Sinis. Lelaki itu menyengih. Menampakkan barisan giginya yang dimamah nakortin kesan perokok tegar.
Halijah mengeluarkan sekeping gambar lalu diunjukkan kepada lelaki di hadapannya. “Aku nak kau bunuh perempuan ni. Buat seperti mangsa aku yang lepas-lepas,” arahnya.
“Siapa perempuan ni? Apa salah dia dengan kau? Apa hubungan dia dengan kau?” tanya lelaki itu bertalu-talu.
“Menantu kau, isteri arwah anak kau,” jawab Halijah geram.
Lelaki itu mengangkat kening. Wajah itu ditatap lama. Dia mengalih pandang ke arah kanak-kanak perempuan yang dipeluk oleh perempuan di dalam gambar.
“Siapa pula budak ni?”
“Cucu kau.” Halijah sengaja ingin membuatkan hati lelaki itu sakit.
“Wah, aku ada cucu? Hebatnya aku.”
“Dia rampas harta anak kau! Jadi dengan membunuh dia harta tersebut akan jatuh semula ke tangan aku, dan bahagian kau juga pasti aku tak lupa,” jelas Halijah tanpa rasa ragu.
“Sama aje diri kau ni, kan? Harta saja yang kau pentingkan sehingga anak sendiri kau sanggup bunuh! Anak aku!” kata lelaki itu kasar.
“Boleh cakap perlahan sikit tak? Kau nak semua orang dengar ke? Kau nak rahsia kita terbongkar dan duduk dalam? Kau dah lama bebas di luar agaknya?” Halijah merenung tajam wajah lelaki itu.
“Takut ke?” Lelaki itu ketawa.
“Kau nak tugas ni atau tidak? Kalau tak nak aku cari orang lain.” Halijah hilang sabar. Lelaki itu asyik menyindirnya sejak tadi. Kerana lelaki itulah dia mengandungkan anak luar nikah. Kerana lelaki itu jugalah dia dibuang keluarga.
“Berapa upahnya? Aku nak sepuluh peratus. Boleh ke?” Lelaki itu tersenyum sumbing.
“Harta aku semuanya sudah dirampas oleh menantu aku tu. Kau akan dapat duit setelah kerja kau selesai, dan harta kau menjadi milik aku kembali!” Halijah tahu lelaki itu pasti akan meminta 10% sebelum memulakan tugas. Dia mana ada duit sebanyak itu.
“Jadi kau dah papa kedanalah ni? Tapi masih ada hati nak mengupah pembunuh upahan, ya? Mahal tahu, mampu ke?”
“Kau ni kenapa? Salah makan ubat? Asyik sindir aku. Kau nak terima atau tidak?” marah Halijah, hilang kesabarannya. Sedap hati sahaja hendak menyindirnya.
“Okey… okey. Aku setuju.” Lelaki itu mengangkat tangan tanda menyerah.
Halijah menguntum senyuman.

Halijah pulang dengan hati berlagu riang. Lelaki itu masih buat kerja lamanya. Dia akan menyerahkan wang upahan setelah kerja selesai ditunaikan. Dia memandu tenang memasuki kawasan perumahan di mana dia tinggal sekarang. Dia melalui sebuah rumah yang sudah lama kosong tapi sudah terhias indah.
Hiasan luar rumah tersebut amat menarik, moden dan kemas. Pintu pagar yang terbuka luas membuatkan dia mampu memandang ke dalam. Laman rumah dipenuhi dengan deretan dan susunan pokok bunga mawar beraneka warna. Cantik. Dia memperlahankan keretanya. Dia memandang tepat ke arah kerusi kayu yang diletakkan di luar rumah. Dan matanya...
Tidak mungkin! Tidak mungkin! Dia memberhentikan kereta. Dia mengundur sedikit. Malangnya pintu pagar sudah tertutup. Dia menggenyeh mata. Dia tidak rabun. Dia tidak buta! Siapa tinggal di rumah itu? Rumah itu sudah lama kosong? Mungkin penghuni baharu, tetapi siapa? Haruskah dia berjumpa dengan tuan rumah? Untuk apa? Pelbagai persoalan bermain di fikirannya.
Sudah bertahun-tahun berlalu, bagaimana mungkin dia melupakan wajah itu? Wajah suaminya sendiri. Tetapi suaminya sudah lama meninggal dunia? Mungkin dia terlalu banyak berfikir. Rancangannya tetap akan diteruskan. Mastura harus mati. Barulah puas hatinya. Segala harta yang ada akan kembali kepadanya. Perempuan itu ingat senang nak rampas harta bendanya? Ingat semudah itu? Dia mendiamkan diri kerana ingin melihat setakat mana kemampuan perempuan itu.
Dia tidak peduli bagaimana perempuan itu menemui ajal. Apa yang dia tahu matinya sahaja. Halijah menunggu agak lama di hadapan rumah tersebut. Dia berharap dia hanya tersalah pandang. Suaminya sudah meninggal. Orang mati mana mungkin hidup semula? Dia sendiri melihat suaminya dikafan. Hanya mainan ilusi. Dia memandu kembali ke rumah agamnya.

Mastura mengurut dada. Untung cepat-cepat mereka menutup pintu pagar. Kalau tidak, pasti pecah rahsia. Nasib baik keretanya diletakkan di laman belakang. Ya ALLAH, dia harus lebih berhati-hati. Ayah mertuanya juga harus berhati-hati.
“Nasib baik, ibu tak turun dan datang ke mari. Kalau tidak, tak tahu macam mana, ayah.” Dia memandang wajah ayah mertuanya yang hanya tersenyum melihat wajahnya yang pucat.
“Kenapa nak takut? Ibu mertua Mas tak akan percaya ayah masih hidup. Bertenanglah. Insya-ALLAH lain kali ayah berhati-hati.” Senyuman masih terukir di bibir lelaki itu.
“Selamat kembali ke dunia, tuan,” usik pemandunya, Ibrahim, bekas pemandunya yang setia.
“Terima kasih, Ibrahim. Alhamdulillah. ALLAH masih beri peluang saya menebus segala dosa-dosa saya yang lalu. Terima kasih juga sebab sudi bekerja kembali dengan saya,” kata Wan Kamarudin.
“Kepada Mak Mah pun saya ucapkan terima kasih kerana sudi bekerja di sini semula. Saya ingatkan saya takkan bertemu dengan kalian semua. Peluang kedua yang ALLAH berikan kepada saya, tidak akan saya sia-siakan. Terutama kepada kalian yang jujur dan ikhlas dengan saya.” Sebak mencengkam hati Wan Kamarudin.
“Kami gembira apabila diberitahu tuan masih hidup. Pada mulanya kami tidak percaya, tapi bila tengok sendiri. Rupanya umur tuan masih panjang. Syukurlah. Selepas tuan meninggal, kami semua dihalau keluar dari rumah tu. Terpaksalah saya dan suami mencari pekerjaan di tempat lain. Ibrahim pula balik kampung. Sekarang kita berkumpul semula. Alhamdulillah,” kata Mak Mah yang sudah lama bekerja dengan Wan Kamarudin.
“Ya, tuan. Waktu Haji Arshad berjumpa kami, sukar kami nak percaya, tapi akhirnya...” kata Yunus, suami kepada Mak Mah merangkap tukang kebun di rumah itu.
“Tapi bila keluar kena hati-hati. Elakkan bertembung dengan Puan Halijah. Nanti panjang ceritanya. Lebih-lebih lagi melihat kalian bersama. Saya tak mahu Halijah syak apa-apa. Biar kita yang ganggu hidup dia. Jangan dia ganggu hidup kita,” kata Haji Arshad pula.
“Betul tu. Mas harap semua orang berhati-hati. Mas akan cuba datang ke sini.” Mastura memandang wajah mereka yang ceria dan gembira itu. Sayang sungguh mereka dengan ayah mertua merangkap bapa saudaranya itu.
“Terima kasihlah, Mas kerana sudi mengambil kami bekerja semula dengan Tuan Wan. Kami sudah anggap tuan bagaikan keluarga kami. Tak sangka jahatnya Puan Halijah. Sanggup bunuh suami sendiri. Jangan-jangan arwah Puan Zurina dia juga yang bunuh, sebab nak kahwin dengan tuan,” kata Mak Mah.
“Hisy, tak mungkin Mak Mah. Arwah isteri saya kan jatuh dalam bilik air?” Wan Kamarudin cuba menafikannya.
“Kalau sudah jahat, tuan... apa saja dia sanggup lakukan,” tambah Mak Mah.
“Nanti kita akan tahu juga, Din. Kau bersabarlah,” nasihat Haji Arshad yang turut berada bersama mereka.
“Mak Mah kena masak yang sedap-sedap untuk ayah mertua saya ni. Tengok tu badan kurus sangat. Dah tak segak macam dahulu. Kena kembalikan tubuh ayah seperti dahulu Mak Mah,” usik Mastura.
Pecah gelak mereka.
“Ayah dah tua, Mas. Bukan muda lagi. Dah bercucu pun.”
“Mas bawalah Maria ke mari,” pinta Mak Mah.
“Tak boleh, Mak Mah. Anak saya itu pandai bercakap dan tak pandai menipu. Kalau dia terlepas cakap, macam mana? Biarlah kita selesaikan semuanya dulu, barulah boleh berjumpa dengan anak saya,” terang Mastura. Dia tidak mahu anaknya terbuka mulut memberitahu kehadiran ayah mertuanya. Sudah pasti ibu mertuanya akan datang mencari. Dia tidak mahu perkara itu terjadi. Mereka sudah mengatur rancangan untuk memerangkap Halijah.

Hampir separuh hari Mastura menghabiskan masa di rumah itu. Banyak perkara mereka bincangkan. Tentang kematian arwah suaminya juga akan disiasat. Kalaulah ibu mertuanya terlibat, baginya wanita itu sungguh kejam. Sanggup membunuh anak sendiri demi harta dunia yang tidak boleh dibawa matipun. Kekesalan menerjah diri, bertubi-tubi ke jantung hati. Ada juga manusia seperti ibu mertuanya.

No comments:

Post a Comment