AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 21 August 2016

USAH MENANGIS LAGI- BAB 26 - ASMAH HASHIM



            Haziq duduk termenung di anjung biliknya, memandang jauh ke  laman rumah yang terhias cantik dan sejuk mata memandang.  Pepohon renek berbagai jenis, bunga-bungaan mekar kembang, hidup subur dijaga dengan baik oleh tukang kebun yang diupah oleh isterinya. Isteri?  Layakkah dia mengelarkan Riana itu isterinya?  Ah!  Dia manusia kejam, kejam pada diri sendiri dan juga keluarga yang dibina atas dasar nafsu dan ingin kepada harta semata-mata.  Dia meraup wajahnya yang muram sejak beberapa hari ini.  Fikirannya bercelaru.  Jiwanya kosong, hambar. 
            Dua hari dia demam terkejut mendengar cerita tentang Hari Kebangkitan, Hari Kiamat, Syurga dan neraka.  Memang benar-benar menakutkan.  Terutama azab kubur dan sebelum  Malaikat Maut mencabut nyawa seseorang hamba-NYA. Ya Allah! Ya Allah! Aku banyak dosa! Detik hati kecil Haziq dengan wajah yang sugul.  Sebak dadanya.  Suram hatinya.  Lara jiwanya, bagaikan hilang diri dalam timbunan sampah dan berusaha mencari jalan keluar, terkapai-kapai kelemasan, menolak segala kekotoran yang telah terpalit di tubuhnya.  Bagaiman dia ingin membersihkannya?  Mampukah dia melakukannya?  Khilaf seorang manusia yang tidak mengenal akan Penciptanya.  Manusia yang dijadikan cukup sempurna dan sebaik-baik kejadian tetapi menjadi seorang yang lupa diri, bernafsu-nafsi.
            Dia mengeluh kekesalan. Tiga bulan begitu cepat berlalu, segala ilmu dan amalan yang diajar oleh Ustaz Harun hampir semuanya diamalkan.  Terasa malu sendiri, usia sudah menjangkau 40-an tetapi hidup seperti lelaki muda yang suka berfoya-foya, tidak kenal tikar sejadah, tidak kenal ayat-ayat Allah. Hanya tahu bersuka ria dan mengumpul harta yang tidak boleh pun dibawa mati.  Hanya kemanisan dunia, kenikmatan yang sementara.  Manusia perlukan agama, manusia hidup bukan suka-suka. 
            Haziq bingkas bangun. Waktu solat zohor sudah menghampiri.   Kata Ustaz Harun, menunaikan solat diawal waktu lebih afdal dan berkat.  Memanglah berat untuk dia melakukannya, perkara yang tidak biasa dilakukan selama ini.  Terutama solat subuh, cukup liat untuk melangkah ke bilik air. Terasa berat sahaja matanya, seperti terkena gam UHU atau gam gajah yang melekat terus dan tidak mudah dibuka.  Kalaulah Allah swt butakan matanya kerana sukar untuk bangun solat subuh, bagaimana agaknya kehidupannya ketika itu?  Allah! Terlalu banyak nikmat Allah swt yang telah dinafikannya.   Ah! Sungguh hina diri, sehina najis yang membaluti tubuh, membusuk dan memualkan sesiapa sahaja yang lalu di hadapan atau di belakangnya.  Jika disamak dan dicuci pun baunya masih terlekat lagi. 
            Air matanya mengalir keluar, bertayangan satu persatu segala kemungkaran yang pernah dilakukannya.  Malunya aku! Detik hati kecilnya sendiri.  Setiap langkahnya rupanya ada memerhatikan, setiap gerak geri, hembusan nafas yang melalui rongga hidungnya tiada satu pun terlepas dari pandangan Allah Yang Esa.  Ya Allah! Boleh sahaja nyawanya diambil ketika dia sedang melakukan maksiat di muka bumi ini.  Boleh sahaja Allah mencambut nyawa-nyawa manusia yang berhati kejam, yang sedang merosakkan alam dan seisinya.  Tanpa ada rasa bersalah dalam diri, dia membongkar  bumi kemaksiatan, meracun dan memusnahkan kemuliaan yang ada dalam diri, mencemarkan kejadian yang indah ini. Hanya kerana mengikut hawa nafsu dan hasutan syaitan laknatullak. 
            Tidak henti-henti dia beristighfar agar dirinya diampunkan Allah. Kata  Ustaz Harun, biarpun sebesar zarah dosa yang dilakukannya, selagi dia tidak mensyirik atau menyekutukan Allah, taubatnya pasti diterima.  Namun, setiap dosa yang dilakukan biarpun diampunkan tetap akan dihisab juga.  Kuatkan dia menghadapinya nanti?  Haziq mengeluh.  Terasa bergetar hatinya. Seram sejuk tubuhnya.  Buku tentang syurga dan neraka diulang baca entah ke berapakali.  Benarkah Allah telah membuka pintu hatinya?  Betulkah dia benar-benar telah insaf terhadap dosa-dosanya yang lalu dan tidak akan mengulanginya lagi?  Sekali lagi keluhan berat dilepaskan.  Dia masih duduk di atas tikar sejadah dan memikirkan nasib dirinya di masa hadapan. 
            Hembusan angin pendingin udara menyapu perlahan wajahnya.  Usai solat zohor dia terus menelefon Diana.  Gadis itu perlu ditemui, dia juga perlu bertemu keluarga Diana. Kata maaf dan keampunan perlu dilafazkan demi menyucikan hatinya yang telah dikotori sendiri dengan dosa-dosa semalam.  Dia menunggu dengan tenang kehadiran ‘bakal’ isterinya itu sambil matanya memerhati segelintir manusia yang lalu lalang di dalam pusat membeli belah IOI Mall yang terletak di Bandar Puchong.
            “Assalamualaikum,” sapa  Diana.
            Haziq segera menjawab salam dan… Diana?  Wajahnya tenang, penampilannya berbeza dengan Diana yang pernah dia kenal dahulu. Berjubah dan bertudung labuh, tiada seculit solekan pun di wajahnya yang damai dan tenang itu.  Suaranya perlahan dan penuh sopan duduk di hadapannya.  Diana yang dikenalinya tiga bulan yang lalu berada di hadapannya dengan penampilan yang jauh berbeza. 
            “Maaf lambat, baru habis kelas raudah bersama Ustazah Mardhiah,” kata Diana, sesekali menunduk.
            Haziq membisu, seperti lidahnya dilekat kemas di lelangit mulutnya, tiada kata yang mampu diucapkan melihat perubahan gadis yang telah dirosakkan.  Adakah Diana juga berubah sama sepertinya?  Subhana-Allah, berkat Kebesaran-MU yang Allah, Kau mampu mengubah hati hamba-hamba-Mu, bisik hati kecil Haziq, matanya masih lagi melekat di wajah tenang Diana. 
            “Kenapa En. Haziq nak jumpa saya?”  tanya Diana perlahan, satu persatu perkataan itu mengalir keluar dari bibirnya.
            Encik?  Bukan ‘abang’ ke?  Haziq terkesima seketika, mati kata-kata.  Sedangkan sewaktu melangkah keluar dari rumah, berkajang-kajang ayat telah disusun untuk disampaikan kepada gadis itu.  Tidak pernah dia terkedu seperti ini ketika berhadapan dengan seorang perempuan.  Mulutnya akan manis berkata-kata, melafazkan kata-kata indah untuk menambat hati si gadis yang akan dijadikan mangsa keseronokkannya mencari syurga dunia. Syurga anggapan dirinya sendiri.
            “Saya nak bincang tentang perkahwinan kita,”  kata Haziq setelah membisu untuk beberapa waktu. 
            “Perkahwinan?”  Diana mengangkat muka, memandang wajah lelaki yang pernah digila-gilakannya dahulu.  Haziq juga kelihatannya sudah jauh berubah.  Berkopiah dan memakai kurta, sejenias pakaian yang sering dipakai oleh orang Pakistan.  Mukanya juga berjambang tetapi kemas. 
            “Kenapa?  Awak tak bersetuju?”  soal Haziq.
            “En. Haziq, bagaimana mungkin saya menyakitkan hati seorang perempuan yang telah membawa saya kembali ke pangkal jalan?  Mana mungkin saya merampas hak seorang perempuan lain, demi kebahagian saya sendiri?” Diana mengeluh berat.  Wajah tenang Riana bermain di matanya.  Sebak dadanya,menyucuk-nyucuk jiwanya.
            “Tapi! Saya harus menebus segala dosa-dosa saya dengan awak dan keluarga awak!” ucap Haziq, tegas.
            Diana mengeluh. Adakah hanya itu sahaja jalan untuk lelaki itu menebus segala kesalahan yang telah dilakukan terhadapnya dan keluarganya?
            “Apa kata kita bincangkan hal ini dengan Puan Riana, saya belum bersedia untuk berkongsi kasih dengan perempuan lain, apatah lagi dengan Puan Riana,”  jawab  Diana, wajah sugul memandang keluar restoran. 
            “Awak tak nak berkahwin dengan saya?”  tanya Haziq inginkan kepastian.
            Diana memandang wajah Haziq, kemudian menunduk, mengangkat kepala kembali, perlahan-lahan dia menggeleng.
            “Bila hati kita bertemu dengan cinta Allah, nikmat cinta sesama manusia, akan berlalu pergi, apatah lagi cinta kita berpaksikan nafsu semata-mata,” kata Diana penuh yakin.  Dia benar-benar yakin, hatinya sudah tertutup untuk Haziq.  Cintanya lebih kepada dunianya yang baharu, mencari redha Ilahi dan cinta Rasul-Nya.
            “Biarpun saya tidak mampu memberi cinta  semulia cinta Rabiatul Adawiyah kepada Allah swt, cukuplah saya menjadi sebelah kaki Rabiatul Adawiyah mampu membina ketulusan cinta saya kepada Allah, En. Haziq doakan saya mampu menjadi muslimat sejati dan seorang anak yang baik, yang mampu membersihkan nama keluarga saya akibat perbuatan saya sendiri,”  ujar Diana, setitis manik jernih jatuh ke pipinya.
            Haziq menarik nafas panjang.  Dia memejamkan matanya seketika, mencari ruang bernafas, terasa perit kerongkongnya mendengar kata-kata Diana.  Dia menelan air liur, mencari kekuatan dalam diri, berhadapan dengan insan yang telah dimusnahkan masa depannya. Dia menunduk malu.  Insan yang lemah di hadapannya, sepatutnya dibimbing dan dijaga kemuliannya, tetapi dirosakkan kerana hawa nafsu yang tidak bertepi itu.
            “Biar apapun keputusan awak, benarkan saya bertemu dengan kedua orang tua awak, Diana, bolehkan?  Izinkan saya memohon ampun dan maaf kepada mereka.  Saya bersalah kerana telah mencemar nama baik keluarga awak.  Saya benar-benar kesal.  Maafkan saya, ampunkan segala dosa-dosa saya terhadap awak selama ini,” ucap Haziq, tenang dia menuturkan, tidak sedikit pun berasa gentar, malah berasa lega  kerana telah terlepas dari bebanan dosa yang telah dilakukan terhadap manusia lain, manusia ciptaan Allah swt.  Malunya dia!

No comments:

Post a Comment