AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 28 August 2016

USAH MENANGIS LAGI - BAB 27 - ASMAH HASHIM

                                                            ( Novel Remaja Pertama Saya)



            Wajah kedua orang tua Diana dipandang seketika. Bergetar hatinya, sebak dadanya. Biarpun dia manusia yang telah merosakkan nama baik keluarga itu, kehadirannya tetap diterima dengan baik.  Wajah berkerut ayah Diana seperti menyimpan seribu kekesalan. Sesekali mengeluh, kadang-kadang berdecih. Bibirnya bergetar seperti ingin mengatakan sesuatu.  Haziq menghela nafas, sesak dadanya.  Kerakusan nafsunya telah menghancurkan sebuah keluarga. Menghancur leburkan maruah dan harga diri seorang ayah dan seorang ibu yang tidak berdosa. Ya Allah, tidak mungkin dia mampu mengembalikan apa yang telah dirampasnya. 
            “Apa yang boleh pak cik katakan lagi, nasi sudah menjadi bubur basi yang tidak mungkin dapat dijamah.  Biarpun sakit hati pak cik, hampa, kecewa. Hancur hati kami, anak yang kami besarkan dengan didikan agama, beri sepenuh kasih dan sayang, akhirnya menghiris luka hati kami,”  ujar  Haji Ismail. Wajahnya suram, lusuh, dadanya turun naik, hembusan nafasnya kedengaran kasar.
            “Ampunkan saya pak cik, saya benar-benar kesal,” kata Haziq. Kalau boleh dia ingin sujud di kaki  Haji Ismail, meluahkan rasa bersalah yang tidak bertepi di hatinya.
            “Allah itu Maha Pengampun, siapalah pak cik yang tidak mahu memaafkan hamba-hamba-Nya?”   Haji Ismail menunduk, setitis air jernih mengalir di tubir matanya di seka dengan jari telunjuk.
            Sebak dada Haziq melihatnya. 
            Diana yang duduk di sebelah ibunya masih lagi teresak-esak.  Begitu juga Hajah Aminah, ibu Diana. 
            Ya Allah! Aku telah sengsarakan kehidupan keluarga ini, bisik hati kecil Haziq.  Rasa bersalah membuak-buak di hati.  Membakar dirinya insan yang berdosa besar, seorang penzina yang tidak seharusnya di maafkan hatta di ampunkan.  Dosa yang terpalit tidak mungkin akan hilang seperti air sabun membersihkan kekotoran.  Pencemaran maruah dan harga diri tidak akan pulih seperti seorang mekanik memperbaiki kereta yang rosak.
            “Maruah dan harga diri keluarga kami tidak akan kembali lagi.  Perkara sudah berlaku, biarkanlah.  Pak cik harap anak Haziq dapat membimbing Diana menjadi muslimat, isteri dan ibu yang solehah, bimbinglah dia, bimbinglah diri sendiri juga,” nasihat Haji Ismail, tetap lembut tutur katanya. Kalau dia mengamuk sekalipun, kesucian anaknya tidak akan kembali, begitu juga dengan maruah dan harga dirinya.  Inilah bahananya mengikut hawa nafsu.  Inilah akibatnya tunduk dengan rayuan syaitan dan iblis durjana.
            “Saya akan mengahwini Diana, isteri saya sudah memberikan persetujuan,”  janji Haziq, itulah juga sebab kenapa dia perlu datang bertemu kedua orang tua Diana.  Biarpun hatinya tidak rela, tetapi demi menutup aib keluarga ini, dia perlu bertanggungjawab.
            “Alhamdulillah,” kata Haji Ismail dan Hajah Aminah serentak. 
            Jelas terpancar kelegaan di wajah mereka.
            “Maafkan saya En. Haziq, seperti yang telah saya katakan sebelum ini, saya takkan berkahwin dengan encik,” luah Diana.  Hatinya sudah tertutup untuk lelaki itu. Biarpun lelaki itu pernah dicintai satu ketika dahulu.  Dia juga tidak akan merampas kebahagian perempuan lain yang telah membawanya kembali ke jalan yang benar.
            “Apa kau cakap ni Ana?” tanya Hajah Aminah. Wajah kusam anak perempuannya itu dipandang tajam meminta kepastian.
            Diana mengeluh, air mata yang mengalir di pipi dilap dengan kedua belah tangannya.  Dia memandang wajah Haziq yang merenungnya penuh dengan persoalan.
            “Kenapa Ana?”  tanya Haji Ismail. Wajah sembab Diana ditenung seketika, dia menggeleng kekesalan.
            “Hati saya sudah tertutup untuk En. Haziq, jiwa saya telah dirampas oleh seseorang yang lebih berhak dan mahu menerima saya seadanya, saya sedar siapalah saya, tapi dia benar-benar ikhlas ingin mengambil saya sebagai isteri.  Mampukah saya menolaknya?” cerita Diana akan perkara sebenar.
            Enam mata memandangnya dengan kehairanan.  Apa sudah jadi?  Cinta siapa yang telah menambat hati Diana?
            “Nanti apa pula kata isteri saya, Riana.” Haziq masih tidak berpuas hati. Dia ingin menebus segala dosa-dosanya terhadap gadis itu. Biarlah dia bayar kembali keterlanjuran yang telah berlaku.
            “Assalamualaikum,” suara orang memberi salam di laman rumah membuatkan keempat-empat mereka beralih memandang ke pintu rumah. 
            Haji Ismail bingkas bangun dan menuju ke muka pintu.  Dahinya berkerut.
            “Arman?”  Haji Ismail memandang wajah lelaki yang dikenalinya  dan seorang perempuan yang sebaya isterinya, Hajah Aminah berdiri di hadapan muka pintu rumahnya.
            “Pak cik,” tegur Arman lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman.
            “Silakan masuk,” pelawa Haji Ismail.  Dia menunduk hormat pada perempuan tua yang berjubah warna biru tua dan bertudung hitam yang turut hadir bersama  Arman.
            Hajah Aminah dan Diana mendekati  Ibu Arman, Halidah. Mereka saling bersalaman.       Haziq berdiri tanda menghormati tetamu yang baharu sampai.  Mereka duduk di sofa, keadaan sunyi seketika.  Masing-masing menghela nafas. Menarik dan melepaskannya perlahan-lahan.
            “Ayah, inilah lelaki yang sudi mengambil Diana sebagai isteri, yang sudi menerima Diana baik dan buruknya.  Menerima Diana seadanya,”  terang Diana. Dia menunduk malu setelah menuturkan kata-kata itu.  Bergetar jantungnya menahan rasa malu, menahan rasa suka yang bertandang di jiwa.  Dia sudah menemui imamnya.  Armanlah orangnya. Biarlah Haziq hidup bahagia bersama Riana, seorang isteri yang baik dan majikan yang berbudi.
            “Subhana-Allah,” ucap Haji Ismail dan Haziq serentak.
            “Kalau inilah lelaki yang akan menjadikan awak isteri, saya tiada halangan untuk melepaskan awak, Diana,” ucap Haziq dengan mata yang berkaca.  Arman seorang yang budiman, sanggup menerima seorang gadis yang telah dirosakkan maruahnya.
            “Saya bukan ingin menjadi ‘hero’ dalam hal ini, tetapi perubahan Diana membuatkan pintu hati saya terbuka untuk beristeri dan Diana adalah gadis yang sesuai untuk saya lamar menjadi suri hati, malah ibu saya tidak menghalang,” terang Arman.
            “Jika sudah berkenan di hati Arman, saya sebagai ibu, turutkan sahaja, asalkan baik dan mereka  berdua hidup bahagia,” sampuk Halidah dengan wajah ceria.  Sudah lama dia menunggu saat-saat ini.  Akhirnya jodoh anak bongsunya sampai jua.
            “Alhamdulillah,” kata Haziq, Haji Ismail dan Hajah Aminah serentak.
            Tiada apa yang mampu dikatakan oleh Haziq lagi, jodoh itu ketentuan Ilahi.  Jika sudah tertulis Diana bukan jodohnya, biar apapun dilakukan tetap tidak akan berlaku.  Semoga Arman mampu membahagiakan Diana dan dia akan terus cuba membahagiakan Riana, isteri yang terlalu baik buatnya.

No comments:

Post a Comment