AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 29 August 2016

USAH MENANGIS LAGI - TERAKHIR - ASMAH HASHIM

                                                             (Novel pertama saya)
Riana memandang wajah Haziq dan Diana silih berganti.    Dia meraup wajahnya dengan kedua belah tangan. Melepaskan keluhan.  Adakah kedua manusia yang di hadapannya sedang bermain sandiwara?  Beberapa bulan yang lalu bukan main berkasih-kasihan, hari ini berkata tidak mahu dikahwinkan? 
    Rafeah yang menjadi pemerhati hanya tahu mengeluh.  Nak campur tangan, perkara itu biarlah hanya Riana yang menyelesaikannya.   
    “Jadi?”  Riana memandang  Diana dan Haziq tidak berkedip.  Mereka duduk di hadapannya dengan wajah tenang masing-masing.  Dia pula yang berserabut.  Yang seorang berkopiah dan berkurta, yang seorang lagi bertudung labuh dan berjubah.  Penampilan yang jauh berubah berbanding dahulu.
    “Kita batalkan perkahwinan yang telah dirancang,” kata Haziq, wajah Riana yang kusut itu ditatap seketika.  Tidak percayakah isterinya itu bahawa dia telah berubah dan Diana juga begitu.   
    “Kenapa?”  tanya Riana geram.  Dia sudah mengatur majlis perkahwinan yang dijangka akan diadakan pada minggu hadapan.
    “Puan Riana, saya tak sanggup berkongsi kasih dengan perempuan lain. Hati saya tidak cukup padu dan teguh menghadapi hidup berpoligami,” kata Diana. Sememangnya jiwanya tidak mampu melihat suaminya hidup bersama perempuan lain, dia tidak sekuat Riana yang sudi berkongsi Haziq dengannya. 
    “Baik, saya akan suruh Haziq ceraikan saya,” kata Riana perlahan. 
    “Riana!” tempik Haziq.  Matanya memerah memandang wajah isterinya.  Cerai?  Mudah mengucapkannya, tetapi tidak semudah itu untuk dia melakukannya.  Mungkin dulu, dia begitu, kejam, suka berfoya-foya tanpa memikirkan kesannya pada perasaan isterinya, Riana. 
    “Abang tak nak bercerai! Masalah abang dengan keluarga Diana juga telah selesai.  Kami tidak akan bernikah,” ujar Haziq mempertahankan kehendaknya dan kehendak Diana.
    “Puan Riana, terima kasih kerana memberi peluang  pada saya untuk mencari redha Ilahi.  Puan telah mengubah diri saya menjadi insan yang hanya cintakan Allah swt.  Lagipun, cinta saya terhadap En. Haziq sudah berkubur disaat saya keguguran  hari itu,” jelas Diana.  Sebak memikirkan dosa dan perbuatan zinanya dengan Haziq sehingga menanam benih haram ke dalam rahimnya.
    Riana terkaku, membisu seribu bahasa, memerhatikan kedua manusia yang berada di hadapannya dengan mata berkaca.  Benarkah kata-kata mereka itu? Bukan hanya mainan di bibir? 
    Rafeah di sebelah Riana mengusap lembut lengan sahabatnya itu.  Dia tahu, Riana sendiri  tidak menduga perkara seperti itu akan berlaku. Dia sendiri juga terkejut. Wajah Diana yang dibasahi air mata dipandang seketika.  Ya Allah, seorang manusia yang besar dosanya boleh berubah dengan petunjuk dan hidayah daripada-Mu.  Rafeah mengucap syukur ke hadrat Ilahi kerana telah membawa Diana ke jalan yang diredhai.
    Haziq juga begitu. Penampilan dan gayanya sudah tidak ada keegoannya lagi.  Entah apa yang telah dilakukan oleh Ustaz Harun dan Ustazah Mardhiah sehingga kedua manusian yang pernah berbuat dosa itu kembali ke pangkal jalan.
    Riana memegang tangan Rafeah yang cuba menenangkannya. Senyuman dilakarkan, matanya kemudian memandang  ke arah Haziq dan Diana.  Jika benar bagai dikata oleh kedua insan yang berada di hadapannya itu, haruskah dia menarik nafas lega, kerana suaminya, Haziq tidak akan diambil orang? Dia tidak perlu  berkongsi kasih dengan perempuan lain?  Riana melepaskan keluhan.
    “Diana, maafkan saya kerana disebabkan suami saya, hidup awak hancur, keluarga awak malu besar, sepatutnya saya melindungi pekerja-pekerja saya, tetapi sebaliknya berlaku,” ucap Riana kekesalan.  Gadis itu menjadi mangsa kerakusan suaminya, Haziq.  Dia hanya ingin menebus dosa-dosa suaminya sahaja.  Juga dosanya yang tidak memberi bimbingan dan menjaga kebajikan pekerjanya sehingga semudah itu dirosakkan oleh suaminya sendiri.
    “Bukan salah puan pun, saya sendiri yang tidak tahu membentengkan diri sendiri agar tidak tercemar.  Kalaulah jiwa saya kuat, iman saya tebal, perkara itu tidak akan berlaku, semuanya kerana kelemahan diri saya sendiri,” kata Diana sebak. 
    “Maafkan  abang juga Rin, sepatutnya abang menjadi suami yang bertanggungjawab, jujur dan menyayangimu  sepenuh hati.  Mata abang dibutakan dengan harta dunia, ikut hawa nafsu tanpa memikirkan perasaan Rin dan anak-anak, biarpun mereka bukan anak kandung abang, tidak sewajarnya abang melepaskan tanggungjawab sebagai seorang ayah kepada mereka.  Abang juga tidak sepatutnya merosakkan Diana, abang benar-benar kesal.”  Haziq menekup wajahnya dengan kedua belah tangan.  Dia menangis kekesalan, rasa bersalah yang menebal dan menggunung di hati.    Terbayangkan akan dosa-dosanya yang lalu, kekejaman yang telah dilakukan dengan merampas maruah dan harga diri seorang perempuan yang sepatutnya dilindungi dari dicemar. Apatah lagi perempuan itu seagama dengannya.
    “Saya akan bernikah juga, dengan Arman,” jelas Diana dengan wajah ceria. 
    “Apa?”  Riana terkejut mendengarnya.  Arman tidak pula membuka cerita.  Riana memandang Rafeah.  Sahabatnya itu mengangkat bahu tanda tidak tahu.
    Arman dalam diam mengasihi Diana?  Lelaki itu terlalu baik, semoga dia mampu membahagikan Diana dan membimbing sehingga ke syurga, bisik hati kecil Riana.
    Riana menarik nafas lega, Ya Allah, nikmat manakah yang tidak Engkau beri?  Syukur Ya Allah! Kata hati kecil Riana. Sebak dadanya.  Benarkah suaminya telah berubah?  Apa yang terlihat olehnya, wajah yang dibasahi air mata, menangis tersedu-sedu di hadapannya.   

    Rafeah yang sejak awal hanya menjadi pemerhati, tidak mampu menahan air matanya juga.  Manusia yang sudah bersumpah kepada Allah di saat sebelum lahir ke dunia tidak mungkin akan melupakan Pencipta-Nya.   Biarpun kadangkala berlari terlalu jauh sehingga terlupa jalan pulang, lama-lama kelamaan akan kembali juga.  Semoga kehidupan mereka bertemu pengakhiran yang baik, aamin.

No comments:

Post a Comment