AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 17 September 2016

JALAN PULANG - BAB 8- ASMAH HASHIM


Suara kokokan ayam menandakan waktu subuh semakin mendekat mengejutkan Salmah dari lenanya.  Dia bingkas bangun menuju ke bilik air untuk membersihkan diri.  Suara cengkerik sudah pun menghilang. Disambut suara kicauan burung yang sudah bersedia untuk keluar mencari makan.  Usai membersihkan diri dan mengambil wuduk, tanggungjawab seorang insan yang menjadi hamba kepada penciptaNYA terus ditunaikan.  Tidak boleh bertangguh, menjadi satu dosa pula nanti.
            Sarapan pagi buat Zakuan sudah siap dimasak. Nasi goreng memang menjadi kegemaran Zakuan sejak kanak-kanak lagi.  Tidak kisahlah nasi goreng apa pun, semuanya akan dimakan oleh anak sulongnya itu.
            “Ibu!” sapa Zakuan.
            Salmah menoleh dan melemparkan senyuman. 
            “Mari sarapan!” ajak Salmah. Pantas tanganya menyenduk nasi goreng yang masih berasap itu ke dalam pinggan.
            “Sendukkan untuk ayah sepinggan, bolehkan ibu?” tanya Zakuan.  Dia faham perasaan galau di hati ibunya itu. 
            “Dia sudah dewasa, pandai-pandailah cari sendiri, kenapa Wan sibuk pula?”  lengking suara Salmah yang tenang sebelum itu. 
            “Ibu! Usahlah membenci terlalu lama, ayah sudak terima pembalasannya,” pujuk Zakuan dengan hati sebak yang mendatang. Sampai hati ibunya, membenci ayahnya sehingga ke tulang hitam. 
            “Wan takkan faham! Wan takkan mengerti!” marah Salmah, sebak sudah mula meracau di hati.  Membenam rasa tenangnya sebentar tadi.
            “Yang berlalu biarlah berlalu, ibu.  Kita bina hidup baharu. Ayah sudah jauh berubah.  Malek sekarang, bukan lagi Malek yang dahul,”  luah Zakuan dengan penuh harapan agar hati ibunya terbuka untuk menerima ayahnya kembali.
            “Biar dia berubah menjadi alim ulama’ sekalipun, hati ibu sudah cukup terluka, dan lukanya terlalu dalam!” ucap Salmah, masih tidak dapat menerima kehadiran bekas suaminya.  Pengalaman yang lalu terlalu mengguris hati. Menghancur leburkan perasaan sayangnya terhadap lelaki itu.
            Zakuan kehilangan kata-kata, keras sungguh hati ibunya.  Kekecewaan yang melanda merentap rasa ingin berbaik sangka dan melupakan sengketa.  Wajah muram ibunya singgah di mata.  Terasa berdosa pula, awal pagi sudah menyakitkan hati ibu kandungnya itu.  Biarlah keadaan yang menentukan ibudan ayahnya sama ada boleh berbaik semula atau musuh sehingga akhir hayat mereka.
*** 
            Di sebalik dinding yang tidak bernyawa, tidak mampu melahirkan kata-kata, seraut wajah sudah sebak dadanya.  Hukum karma yang diterima seharusnya diterima dengan hati yang terbuka. Tidak menyalahkan bekas isterinya yang terlalu membenci.    Gugur air mata kelelakiannya.  Dosa-dosa yang lalu terus menghimpit diri, mengganggu kehidupannya sehingga kini. Kebahagian bagaikan tidak mahu datang mendekati.  Perasaan dendam kesumat tumbuh kukuh di hati bekas isterinya.  Pujukan tidak memberi erti.  Rasa benci yang membuak di dada, begitu sukar untuk disejukkan. Biar segunung air terjun yang menyimbar agaknya, tidak dapat mencairkan hati bekas isterinya yang membeku.  Kemaafan yang tidak akan muncul menjelma, walaupun kucing bertanduk, mungkin. 
            Malek mengeluh, ada ketika   dia rindukan masakan bekas isterinya. Bau haruman nasi goreng yang menyinggah hidungnya membuatkan perutnya berkeroncong.  Mungkin masih sedap seperti dahulu, terasa ingin menjamahnya.  Dia bukan pengemis jika ingin meminta sepinggan nasi goreng mengalas perut yang lapar sebelum meneruskan perjalanan mengikut langkah kaki mencari tempat berlindung diri.  Dia juga bukan musafir yang singgah seketika untuk melepaskan kelaparan dan kelelahan setelah jauh berjalan.  Dia adalah insan yang  tidak diterima kehadirannya lantaran rekod masa lalu yang telah merobek kebahagiannya sebagai seorang manusia, ayah dan suami.  Langkah di atur berlalu dari situ. Mencari tempat mengisi perutnya yang kelaparan dan kehausan.  Dia bukan sesiapa kepada mereka, biarpun yang ada di dalamnya adalah anaknya sendiri.  Dia sudah menjadi orang luar yang tidak diperlukan lagi. 
            “Ayah!” Zakuan mendekati.  Sepinggan nasi goreng sedia berada di tangannya.
            Malek menggelengkan kepala, perlakuan Zakuan memang tidak pernah diduga. Kenapalah baik sangat anak sulongnya itu. Terasa malu kepada pemuda yang mulia hatinya itu.  Terasa kerdil dirinya menjadi seorang ayah yang tidak berguna.
            “Buat susah-susah sahaja, Wan sudah makan?” Sebak dadanya. Pilu hatinya. Masih kuat menahan diri agar air mata tidak mengalir di hadapan anak lelaki yang amat dikasihi. Baharu ketika ini terasa dirinya dikasihi dan masih ada yang sudi menghargai, biarpun dia adalah seorang ayah yang kejam ketika mudanya.  Tidak pernah mengambil tahu dan menjaga keperluan keluarganya, jauh sekali hendak mencari rezeki yang halal, dirasakan lambat untuk menjadi kaya. Jalan cepat dengan menjadi perompak sehingga sanggup merogol lantaran nafsu yang tidak mampu dikawal. Jahatnya dia! Malu terasa di hati.  Anak-anak yang ada Alhamdulillah tidak mewarisi kebanjingan dirinya yang tidak layak dipanggil ayah.
            “Baharu sebentar tadi.  Ayah makan ya.  Masakan ibu tidak pernah berubah. Air tangan ibu tidak pernah menghampakan,” ucap Zakuan.  Seperti mengerti apa yang sedang difikirkan oleh ayahnya.  Adakah ayahnya mencuri dengar atau tidak sengaja terdengar perbualannya dan ibunya.  Kalaulah  masa boleh diputarkan, sudah tentu setiap daripada mereka akan memilih yang baik-baik sahaja.
            “Wan!  Maafkan ayah,” ucapnya sebelum berlalu masuk dengan sepinggan nasi goreng. Tidak mampu berlama melihat wajah yang pernah dikecewakan itu.  Hiba menghanturi, rasa sesal yang tidak kunjung padam.  Lelah terasa di hati. Sebak menjalar dalam diri., Rasa bersalah yang tidak bertepi, tidak terampun biarpun tujuh lautan direnangi.
            “Ayah! Ayah!”  Zakuan mengikut langkah Malek masuk ke dalam bilik stor yang telah dijadikan tempat penginapan ayahnya itu. 
            “Ayah berdosa dengan Wan, ibu dan Zara.  Ayah malu, Wan, malu…” tidak terucap kata-kata. Tidak terluah apa yang berbuku di hati.  Terasa seperti mati hidup semula. Diberi peluang untuk memperbaiki diri. Kalaulah sewaktu dia sedang merompak, nyawanya diambil ALLAH, sudah pasti dia tidak akan melihat anak-anaknya itu.
            “Lupakan kisah lama ayah.  Wan nak kita bina hidup baharu.  Ayah, usah bersedih dan berduka.  Wan terima ayah seadanya,” pujuk Zakuan. 
            “Terima kasih Wan, tak tahu ayah nak cakap apa. Ayah benar-benar menghargai kebaikan hati budi Wan.  Ibu berjaya mendidik Wan menjadi anak yang baik.”  Tidak dinafikan sama sekali.  Bekas isterinya berjaya mendidik anak-anaknya menjadi insan yang berhati mulia. Baik budi pekerti. Hormat orang tua.  Ya, ALLAH! Apa yang telah dia lakukan?  Langsung tidak menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Melukakan hati insan-insan yang pernah menyayanginya.
            “Ayah bersabarlah dengan sikap ibu ya.  Berilah masa untuk menerima kehadiran ayah,” nasihat Zakuan. Hanya itu yang mampu dia lakukan. Meredakan perasaan seorang lelaki yang terbuang dan dibuang.             
            “Ayah tak salahkan ibu. Ayah yang bersalah. Jika kebencian terus tumbuh di hatinya, tiada apa yang mampu kita buat. Biarkanlah. Ayah terima seada dan selayaknya,”  luah Malek.  Selayaknya dia menerima hukuman itu. Sepatutnya dia dibenci dan dipulaukan oleh keluarga sendiri.  Kesakitan yang mereka rasakan bukan mudah disembuhkan. Biar diberi ubat paling mahal di dunia ini, belum tentu dapat merawatnya.
            “Sabarlah ayah!” pujuk Zakuan lagi.
            “Wan pergi kerja dulu ya. Nanti petang kita jumpa,” kata Zakuan sebelum meninggalkan ayahnya sendirian merawat luka di hati.
            Malek hanya mengangguk.  Perasaan pilu terus menghimpit hati.  Duka terus membenam dalam diri.  Riak wajah tenang Zakuan mengusik hatinya.  Kenapa dahulu dia buta hati, buta akal.  Terlalu mengikut kehendak diri, terjebak dalam kancah keganasan.  Tidak memikirkan langsung kesan tindakannya terhadap anak-anak dan isteri.  Tidak terfikir akan masa hadapan mereka.  Bila hati buta, setiap langkah dalam kelam, teraba-raba sehingga tidak jumpa jalan pulang. 
            Nasi goreng yang berisi hirisan timun dan telur mata kerbau mengamit selera untuk dijamah.  Malek menarik nafas panjang.  Disudukan ke mulut, menitis air matanya.  Betapa dia rindukan masakan bekas isterinya itu.  Rezeki pemberian ILAHI menyentuh sehingga ke sanubari.  Air tangan seorang isteri terlalu enak menyapa di jiwa.  Biarpun hanya bekas isteri. Salmah adalah isteri yang terbaik pernah ALLAH kurniakan kepadanya.  Hanya dia sahaja yang tidak tahu menghargainya.  Buta hati yang tidak mampu diubati.  Kini, dia sedar.  Hidup dan peluang kedua yang diberi, tidak seharusnya disia-siakan.  Bijak mengatur langkah dalam menuju redha ILAHI.  Sepinggan nasi goreng habis dijamah, dikunyah perlahan, biar terasa setiap butir keenakan yang menyentuh tekaknya.

No comments:

Post a Comment