AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 20 September 2016

JALAN PULANG - BAB 9 - ASMAH HASHIM



Usai perut terisi, terasa tubuh segar kembali. Ada tugas yang menanti. Motor buruknya menjadi tunggangan  hari-hari. Kali ini destinasi memang di luar jangkaan.  Beberapa orang pemuda diajak bersama, membantu apa yang perlu.  Amanah yang terpikul di bahunya tidak akan di sia-siakan.
            “Kita ke mana dulu Bang Malek?” tanya Khairul, anak muda lulusan  luar negara yang sedang pulang bercuti.  Sanggup turun padang membantu, membersihkan kampung daripada anasir yang tidak sehat.
            “Ke belukar hujung kampung.  Dengar kata ramai bersidai di situ,” cadang Malek.
            “Baik Malek, tapi hati-hati, mereka kat situ agresif sikit.  Pihak polis pun tak terkejar,”  sampuk Hassan, rakan sebaya dan kawan lama Malek.
            “Yalah, Hassan. Terima kasih kerana sudi membantu. Halim mana?” Malek mencari kelibat rakan sekampungnya yang seorang lagi. 
            “Dia ada hal agaknya, biarkanlah. Pihak polis kau dah hubungi?” tanya Hassan. Biarpun dia tidak senang dengan perangai Malek dahulu, sekarang ini rakannya itu sudah berubah. Tidak salah memberi peluang kepada seseorang jika benar-benar sudah berubah.
            “Biarkan dulu, kita intip kegiatan mereka. Pihak polis hanya serbu ikan bilis, kalau boleh aku nak tangkap mereka yang menjual benda haram itu pada budak-budak kampung kita ini,” kata Malek akan rancangannya.  Tangkap penagih, jika barang di tangan tidak banyak, lepas naik mahkamah, bayar denda terlepas lagi.  Kemudian kembali menagih. Sampai bila? Yang mesti dihapuskan adalah pengedar tegar yang jahat dan berhati syaitan itu.  Sanggup merosakkan anak bangsa sendiri.
            “Baik, tetapi hati-hati…” pesan Hassan.
            “Khairul… hati-hati,” pesan Malek pula.
            “Baik,” jawab Khairul. 
            Dengan menunggang motosikal buruknya itu Malek bersama dua orang lagi yang sudi membantunya menuju ke destinasi yang telah mereka sasarkan.  Tempat penagihan dadah yang menjadi kubu kuat para pengedar dan penagih di kampung itu.  Hassan dan Khairul menunggang sebuah lagi motosikal milik Khairul. 
            Mereka berhenti beberapa meter dari kawasan belukar yang terletak di hujung kampung. Semak dan seperti hutan kecil, memang sesuailah untuk para penagih bersantai melepaskan gian.  Malek mematikan enjin motosikalnya, sambil matanya memandang kiri dan kanan. Bukan takut dengan penagih tetapi lebih berhati-hati agar misi yang sedang dijalankan berjaya.  Waktu muda bergelumang dosa, biarlah dia menghabiskan sisa-sisa usianya melakukan kerja yang bermanfaat.
            “Hati-hati,” pesan Malek kepada Hassan dan Khairul yang sudah mula mendekati tempat tersebut.
            Mata mereka bertiga memerhatikan sahaja gelagat para penagih yang sedang asyik melepaskan gian.  Kawasan itu tersorok daripada  penduduk kampung.  Apatah lagi kawasan itu dipenuhi semak-samun.  Malek mengeluh. Kawasan itu perlu dibersihkan dan dibina sesuatu yang bermanfaat untuk penduduk kampung. Kawasan tersebut juga jauh dari rumah penduduk. Semakin bermaharajalelalah penagih dan pengedar di kawasan tersebut. Dia perlu lakukan sesuatu jika mahu kawasan itu bersih dari penagihan dadah. 
            “Macam mana ni Malek? Apa yang harus kita lakukan?” tanya Hassan setelah setengah jam mereka memerhati.
            “Kita mesti rancang dengan teliti… jom kita beredar,” ajak Malek.  Untuk menangkap mereka perlu ada perancangan yang teliti. Sudah tentulah pihak polis tahu apa yang akan mereka lakukan. Tetapi kali ini dia berharap mereka ditahan terus dan disumbat ke dalam pusat pemulihan.  Selalunya yang masuk pusat serenti, bila balik, kembali menghisap.  Tidak pernah insaf.  Seolah-olah benda haram itu sudah menjadi makanan ruji buat mereka.
            Mereka bertiga terus ke dewan orang ramai. Di situlah Persatuan Belia Kampung Seberang beroperasi.  Nasib baik dia bekerja shif malam, siang bolehlah dia mengatur program untuk anak muda di kampung itu.  Hujung bulan ada Kem Ibadat.  Malek tersenyum puas.  Dia bukanlah pandai sangat dalam hal pentadbiran tetapi dia harus rajin dan ingin belajar.  Tiada yang mustahil dalam dunia ini.
            “Macam mana sekarang Malek? Kau sudah tengok sendiri tempat itu.  Aku dan penduduk kampung dah tak tahu nak buat apa lagi,” adu Hassan dengan muka berkerut.  Masalah remaja hari ini,  penagihan dadah semakin menjadi-jadi di kampung itu.  Bukan orang muda sahaja, orang tua pun ada juga yang terlibat. 
            “Ya Bang Malek, kita perlu hapuskan terus penagihan dadah di kampung ini.”  Khairul setuju dengan pendapat Hassan tadi.  Sebagai anak muda, dia juga tidak suka melihat keadaan kampungnya itu.  Kecurian juga semakin menjadi-jadi. Di malam hari penduduk kampung bergilir menjaga keselamatan kampung. Semuanya gara-gara penagihan dadah.  Tidak ada duit hendak membeli benda haram itu, rumah penduduk kampung dijadikan sasaran.
            “Insya-ALLAH, kita akan hapuskan sarang tersebut!” janji Malek.  Dia perlu dapatkan maklumat tentang pengedar di kawasan tersebut.  Kalau ikutkan hati, tidak mahu lagi berurusan dengan orang-orang seperti itu.  Demi nama baik kampungnya.  Dia perlu buat sesuatu.
            “Assalamualaikum,” sapa seorang lelaki. Air mukanya monyok sahaja.  Seperti ada masalah yang sedang melanda.
            Mereka bertiga menjawab salam serentak. 
            “Halim?  Kenapa dengan kau ni?” tanya Hassan.
            “Anak aku! Anak aku San!” terketar-ketar suara Halim menjawab.
            “Kenapa dengan anak kau?” tanya Malek.  Biarpun dia tahu Halim tidak suka dengannya tetapi lelaki itu tetap rakan sekampungnya.
            “Dia sedang menggila di rumah!”  jelas Halim. 
            “Menggila? Kenapa pula?” tanya Khairul.
            “Tolonglah aku! Dia kunci pintu dari dalam. Aku tak boleh masuk! Isteri aku tengah meraung ketakutan!” beritahu Halim.
            “Cepat kita ke sana!” arah Malek.  Kenapa pula dengan anak Halim?  Bukankah budak itu masih bersekolah lagi.
            Tidak sampai lima minit mereka tiba di rumah Halim. Pintu dan tingkap kayu rumah itu bertutup rapat. 
            “Hadi! Hadi!  Rafidah! Ida!” laung Halim.  Dia mengetuk pintu rumah sekuat hati.
            Daun tingkap di ruang tamu terbuka luas.  Hadi sedang memegang leher emaknya.  Sesekali dia mengesat hidungnya yang berair. 
            “Mana duit aku! Aku nak duitlah!” jerit Hadi.
            Rafidah menangis sambil memujuk anak lelaki sulongnya itu yang baharu berumur 15 tahun. Ya ALLAH, dia langsung tidak mengetahui anaknya terlibat dengan penagihan dadah. Padanlah lain macam sangat sikap anaknya beberapa bulan ini. Lebih banyak mengurung diri di dalam bilik atau keluar dengan kawan-kawanya.  Sudah jarang berbual-bual dengannya dan suami.  Sering mengelak bertembung dengan dia dan suaminya.  Rupanya ada cerita disebaliknya.  Ingatkan disebabkan peperiksaan PT3 yang semakin hampir, anaknya tertekan atau belajar dengan kawan-kawan.
            Malek memandang ke arah Hassan dan Khairul.  Mereka berdua terus menuju ke arah pintu dapur. Hassan cuba menolak, terkunci rapat.  Khairul mencari sesuatu untuk mengumpil  daun pintu dapur itu.
            “Kita pecahkan sahaja pintu ini,” suruh Hassan.
            “Bahaya bang! Kalau dia tahu kita buat sesuatu, takut diapa-apakan pula emaknya nanti,”  kata Khairul bimbang.  Orang sedang gian apa sahaja dia sanggup lakukan.
            “Hadi! Jangan buat macam tu kat emak kau.  Buka pintu, ayah bagi duit!’  pinta Halim.
            “Ayah jangan buat laporan polis! Kalau tak, mati emak aku bunuh!” kata Hadi.  Pisau begitu hampir berada di leher  Rafidah yang ketakutan.
            Malek memandang pintu utama rumah papan itu.  Rasanya tidak susah untuk dia menendang pintu tersebut. Masalahnya, Hadi pasti akan bertindak agresif nanti.  Ini akan membahayakan nyawa Rafidah.
            “Hadi! Lepaskan emak kau.  Pak cik dan ayah bagi duit sekarang!” pujuk Malek. Dia mengeluarkan duit dari poket seluarnya. 
            Hadi tersenyum lebar.  Dia menarik tangan emaknya mendekati pintu.  Pisau masih di tangan.  Dia membuka daun pintu. Pintu terbuka luas. 
            Halim memandang Malek. 
            “Bagi aku duit! Aku nak duit!” jerkah Hadi, langsung tidak dihiraukan tangisan emaknya. Apa yang penting dia  harus melepaskan rasa giannya itu.    Sudah tiga bulan dia menagih dadah atas ajakan  beberapa orang kawan sekampung  yang sudah lama terpengaruh. Pada awalnya dia menolak, lama-lama tidak boleh tahan juga, keinginan mencuba begitu tinggi meresap di hati.  Akhirnya dia terjebak. Harga barang itu semakin hari semakin mahal dan mereka tidak mahu bagi percuma seperti mula-mula dia mencuba. Itu sebab dia jadi tidak keruan kerana jika hendak melepaskan gian, dia kena membeli barang tersebut.  Dia mana ada duit? Dia masih sekolah.  Kalau tidak meminta dengan orang tuanya, tentulah sukar untuk dia mendapatkan bekalan dadah yang sudah meresap ke dalam tubuhnya.
            “Nah! Ini duit Hadi!”  Halim mencampak duit note RM50.00 kepada anak lelakinya yang sudah kehilangan arah itu. Sebak dadanya.  Kenapa anaknya jadi seperti itu?
            Hadi melepaskan Rafidah dan mengutip duit tersebut. 
            Malek dengan pantas menangkap Hadi sewaktu remaja itu sedang menunduk mengutip duit yang berada di tanah. 
            Khairul dan Hassan juga membantu menangkap Hadi.
            “Hoi! Lepaskan akulah! Aku nak beli ubat!” jerit Hadi, dia meronta untuk melepaskan diri.
            “Macam mana ni Halim? Nak bawa ke balai atau kau nak kurung dalam rumah sahaja?” tanya Malek. Kalau ikutkan hatinya mahu sahaja dia sumbat remaja itu ke dalam lokap polis. Biar dia rasa betapa terseksanya hidup di dalam lokap polis.  Muda-muda sudah menyusahkan mak bapa, bercakap untuk dirinya sendiri juga.  Dia juga pernah melakukan kesalahan yang berat sehingga memalukan keluarganya.  Kalau boleh dia tidak mahu ada anak-anak muda di kampung ini terjebak ke lembah kehancuran dalam hidup mereka.
            “Abang!” Rafidah memandang wajah suaminya. Tidak mungkinlah dia tergamak melihat anak sulongnya itu dipenjarakan. 
            “Tak boleh Ida, abang tak nak dia terus terjebak dalam penagihan dadah ini.  Kita bawa dia ke balai,”  ujar Halim. Kalau dibiarkan anaknya akan terus hanyut dalam ketagihan. 
            “Dia masih muda lagi bang! Tak molek jika ada rekod jenayah!” tangis Rafidah.
            “Apa daya kita Ida, kalau kita tak buat macam ni, nanti dia mengamuk macam tadi, macam mana?  Dibuatnya dia berani membunuh pula?” Halim masih bertegas.
            “Ya Ida… biarlah dia dihantar ke sekolah pemulihan. Kalau dibiarkan di sini, semakin hancur masa depannya,” pujuk Malek.  Dia sudah melalui alam kejahatannya.  Kerana tidak dibendung dan dibiarkan sahaja maka semakin dia menjadi jahat.
            “Ya, ALLAH!” Rafidah meraung kesal.  Dipandang wajah Hadi yang menunduk menahan gian dan ketakutan.
            “Mak, ayah!” raung Hadi.
            “Bawa dia dengan kereta aku, Malek!” suruh Halim. Dia berlari masuk ke dalam rumah mengambil kunci kereta dan keluar beberapa minit kemudian. Kunci kereta bertukar tangan.
            “Ida ikut juga ya, kena buat laporan polis juga,” ajak Malek.
            Rafidah mengangguk lemah.  Pilu hatinya melihat keadaan anak sulongnya daripada tiga beradik.  Nasib baik dua orang lagi anaknya masih di sekolah. Kalau tidak semakin kecoh keadaan. 
            “Saya bawa motor sahaja bang Malek,”  kata Khairul.  Mana muat nak naik sebiji kereta.
            “Jumpa di balai polis nanti. Sebelum itu, pergi beritahu Haji Shauki ya,” pesan Malek.
            Khairul mengangkat ibu jari tangannya.
            Kereta meluncur laju meninggalkan perkarangan rumah Halim.

No comments:

Post a Comment