AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 2 November 2016

JALAN PULANG- BAB 17 - ASMAH HASHIM



Malek meletakkan beg pakaiannya di  bawah meja kerjanya.  Pondok kecil yang menjadi tempatnya bertugas, cukuplah untuk dia bermalam dan merehatkan badan.  Kalau sebut ketidakselesaan, di dalam penjara bukanlah selesa sangat.  25 tahun dia hidup di sana, masih bernyawa dan sehat lagi.  Jika hendak dibandingkan dengan keadaan pondok yang hanya muat diletakkan sebuah meja dan kerusi.  Hidup jangan meminta-minta, inilah balasan bagi orang yang pernah berbuat dosa.  Harus belajar sedar diri. Wajah kusam dan muram bekas isterinya, Salmah begitu menyentuh hati.  Jelas terpancar kebencian yang menggila di matanya.  Malek sebak. Terlalu tinggi nilai yang terpaksa dibayar kerana dosanya yang lalu.
            Bukan mudah memujuk hati yang telah patah, kalau retak sahaja mungkin boleh disambung, tetapi jika berkecai menjadi debu?   Malek mengeluh kesal.  Kekesalan yang tidak terucap dengan kata-kata.  Menyesal yang sudah tiada gunanya.  Tidak mampu mengembalikan kasih sayang yang telah hancur berderai.  Benar-benar telah menjadi lipatan sejarah.
            Dia mendengus kasar.  Lalu, mencatit sesuatu di atas buku log masuk para pekerja kilang yang bertugas di malam hari.   Hari semakin menjelang senja.  Matahari sudah mengamit mengucap selamat tinggal, bulan sudah tersenyum untuk mengambil alih tugas yang ditinggalkan oleh sang matahari.  Tidak pernah culas melakukan tugas setiap hari, matahari tidak bersinar ketika awan mendung dan hujan mengambil alih tugas yang ada.  Bulan pula bersinar mengikut tarikh yang telah ditetapkan. Bintang-bintang juga begitu. Masing-masing ada tugas yang menanti dan dilakukan dengan baik sekali.  Mampukah manusia melakukan tugas mereka dengan baik? Bisik hati kecil Malek. Terlalu jauh dia berfikir.  Keadaan sendiri pun tidak mampu diselesaikan, nak fikirkan masalah cakerawala yang hebat itu.
            Sebuah kereta sedan berhenti di hadapan pintu masuk kilang yang berpalang.  Malek mengeluh perlahan. Kenal benar dengan kenderaan tersebut.  Dia membuka pintu pondok yang menjadi pejabatnya itu. Melangkah keluar dan membuka palang yang menghalang kenderaan masuk ke dalam perkarangan kilang.  Kereta tersebut  bergerak perlahan.    Kereta tersebut diletakkan di sebelah pondok, terpacul keluar Zakuan dengan wajah sebal. 
            “Ayah,” sapa  Zakuan dengan mata berkaca.
            “Wan?  Kenapa datang sini?” soal Malek seolah-olah tidak tahu apa yang berlaku di rumah mereka.
            “Cari ayahlah,” jawab Zakuan.  Dia menyapu  air mata yang hampir menitis di pipi cepat-cepat.  Anak lelaki tidak boleh menangis. Perlu kuat menghadapi dugaan hidup. Ini hanya masalah kecil yang boleh diselesaikan dengan baik.
            “Kan ayah sedang kerja ni,”  beritahu Malek, wajah dimaniskan, biar tidak terpancar rasa bersalah dalam hati. Rasa sedih yang menggunung tinggi.  Ditelah kepahitan yang terbit sejak dia keluar dari penjara.  Nasibnya masih baik kerana diterima oleh anaknya, biarpun bekas isteri memandangnya dengan penuh kebencian. Dia hargai kehadirannya oleh bapa saudaranya sendiri. Itu sahaja sudah cukup buatnya bersyukur dengan apa yang ada.
            “Ayah bawa keluar baju-baju ayah, kan?  Ayah dengar kata-kata  ibu?  Ayah jangan ambil hati ya,”  pujuk Zakuan.  Bahu ayahnya disentuh lembut. 
            “Hish! Mana ada?  Wan serkap jarang ya?”  Malek cuba berdalih.
            “Tak payahlah ayah nak bohong Wan…  tok su suruh ayah ke rumahnya,”  kata Zakuan.
            “Baiklah, esok lepas kerja ayah ke sana.  Wan pergilah balik.  Ayah dah nak mula kerja ni.”  Malek memperkemaskan baju seragam kerjanya.  Sebagai  seorang bekas banduan, apa lagi pekerjaan yang sesuai dengannya. Untunglah pemilik kilang ini masih mahu menerimanya bekerja.  Kalau tidak, dia nak cari kerja di mana? Siapa yang mahu mengambil bekas banduan sebagai pekerja?
            “Ayah balik rumah tau,” pesan Zakuan.
            Hanya anggukan diberi. Mampukah dia melangkahkan kaki ke rumah itu lagi?  Menghiris luka hati-hati yang pernah terluka? Malek mendengus kasar.
            Zakuan berdiri kaku di hadapan Malek.  Wajah itu ditenung lama.  Terlalu banyak penderitaan yang ditanggung oleh ibunya kerana lelaki itu.  Entah kenapa hatinya tetap mampu berlembut dan menyayangi lelaki yang merupakan ayah kandungnya itu.  Manusia sering berbuat salah, tidak semua mampu bertemu jalan pulang.  Semoga ayahnya mampu meneruskan perjalanan hidup ini dan berjumpa titik pengakhiran yang terbaik.
            “Kenapa tengok ayah macam tu?”  Malek mengerutkan dahi. Terasa renungan itu menikam jauh ke lubuk hatinya.
            “Tak ada apa-apa ayah.” Selengkar senyuman diberikan.  Zakuan kembali ke keretanya dan bergerak pergi meninggalkan Malek sendirian. 
            Mata Malek terus singgah ke  arah pondok batu yang bertingkap nako dan berpintu,besarnya hanya 4 x  5 kaki.  Adakah kehidupannya akan berakhir di pondok itu?  Untuk apa dia kesalkan, inilah yang akan jadi dengan dirinya atas tindakan diwaktu mudanya.  Malek mengeluh berat. Allah swt tidak menghukum hamba-hamba-Nya tanpa sebab.  Kau berdosa, Aku nak ampunkan dosakau, jadi terimalah apa sahaja ketentuan-Ku, detik hati kecil Malek.  Sebak dadanya.  Merembas air mata mengalir keluar. Terasa berat dadanya. Kesal menerja di hati.    Allah! Hanya itulah ucapan yang keluar dari bibirnya.  Insan yang banyak buat dosa dan bersalah dengan keluarga terutama dengan bekas isterinya.  Anak-anak tetap menyantun biarpun dia bukanlah seorang ketua keluarga dan pemimpin yang baik.  Memimpin sebuah keluarga pun dia tidak mampu, malah untuk memimpin dirinya sendiri pun dia terkapai-kapai apatah lagi hendak memimpin anak-anak kampung. Mampukah dia?  Hembusan angin senja menampar pipinya yang semakin ditelan usia.  Tubuh kekarnya berbalut pakaian seragam pengawal keselamatan berwarna putih dimasukkan ke dalam seluar slack, biar tampa kemas.  Corta yang terletak di atas meja kecil diambil.  Pintu pagar ditutup rapat.  Selalunya dia bekerja berdua, seorang lagi rakan setugasnya masih belum sampai. Masuk pukul 8.00 malam.
            Malek mengeluh lagi. Keluhan bagi melepaskan rasa semak di dada.  Wajah merah padam Salmah, bekas isterinya masih bermain-main diruang mata.  Jelas kelihatan pandangan benci yang meluap-luap di mata redup bekas isterinya itu.    Dua lelaki yang datang bertemu dengannya pagi tadi tidak tahu siapakah gerangan mereka.  Adakah mereka konco-konco pengedar dadah di kawasan kampung itu?  Mungkin bos besar mereka sudah naik angin kerana tempat mereka telah dikacau.  Malek mengetap bibir.  Dunia penjenayahan tidak pernah suram, mati seorang penjenayah, akan lahir lagi beberapa orang.  Uh! Sampai bila pun tidak akan selesai.
            Malek melawat seluruh kawasan kilang, kawasan kilang seluas satu ekar setengah itu, cukup memenatkan jika berjalan kaki.  Selalunya dia menunggang motosikal yang disediakan oleh pihak kilang.  Malam minggu jarang ada pekerja yang buat kerja lebih masa.   Setelah memasang lampu di bahagian yang agak tersorok. Malek kembali ke pondoknya.  Dia mencatit sesuatu di dalam buku laporan.    Setiap sejam, dia perlu buat rondaan di seluruh kawasan bergilir-gilir dengan rakan setugasnya.  Azan maghrib berkumandang dari masjid berhampiran.  Malek terus melangkah ke dalam bilik air yang terletak 100 meter dari pondok pengawal keselamatan itu.  Usai solat, dia menyambung tugasnya semula.  Itulah rutinnya setiap hari.  Kerja seminggu pagi, seminggu malam.  Gajinya tidaklah banyak, tetapi cukuplah untuk menyara dirinya seorang.  Malek menyandar di kerusi, perutnya sudah berbunyi minta diisi.  Sejak tengahari tadi dia belum menjamah sebutir nasi pun. Hanya sepinggan nasi goreng pemberian anaknya pagi tadi.  Dia menyelongkar almari kecil yang terdapat di bawah mejanya.  Setin biskut dikeluarkan.  Dia tersenyum sendiri.  Cukuplah untuk mengalas perutnya.  Sekejap lagi rakan setugasnya sampai, bolehlah dia keluar sebentar membeli nasi di restoran berhampiran.    
            Belum sempat sekeping biskut lemak dihabiskan, terasa pondok batu yang menjadi pejabat seorang pengawal keselamatan sepertinya bergegar. Malek mengerutkan dahi.  Nyalaan lampu kereta menerangi pondok itu.  Malek kehairanan. Lampu it uterus terpasang tepat ke matanya, sinarannya menyilaukan pandangan, memeritkan matanya untuk melihat dengan jelas.  Dia bingkas bangun, belum sempat dia melangkah keluar, daun pintu ditolak kasar, dia ditarik keluar, tubuhnya terus dipukul bertubi-tubi dengan kayu.  Dia langsung tidak dapat mempertahankan diri, setiap kali dia cuba bangun, ketika itu jugalah tubuhnya ditendang dan dihentak dengan kayu bertalu-talu.  Malek hanya mampu menutup mukanya dengan kedua belah lengah agar tidak terkena hentakan kayu yang terus menyinggah ke tubuhnya.  Dia hanya mampu mengerang kesakitan. 
            “Berhenti!”  satu suara menerja gegendang telinganya.
            “Kau Malekkan?” tanya seorang lelaki. 
            Malek tidak mampu melihat wajah lelaki tersebut.  Kesakitan yang sedang dirasainya itu tidak memungkinkan dia membuka mata.
             Tiba-tiba Malek terasa tubuhnya diangkat.  Dia dipaksa berdiri. Kesakitan yang dirasakan menjalar ke setiap inci tubuhnya. Berpinar matanya, berdenyut kepalanya.
            Darah mengalir dari mulutnya akibat dipukul dengan kayu tadi.  Terasa perit di hidung dan bibirnya.  Apa punya oranglah, pukul dibahagian muka! Dengus Malek dalam hati.  Biarpun dia cuba mempertahankan mukanya dengan tangan tetapi mereka yang memukulnya terus membalun  ke arah wajahnya.
            “Kau nak apa, hah?”  Malek masih berani bersuara.  Dia tidak gentar dengan sesiapa, dia mampu berlawan dengan siapa sahaja, tapi kalau datang macam pencuri, belum sempat dia berbuat apa-apa, sudah diserang bertubi-tubi, siapa yang mampu melawan semula.
            “Kau jangan jadi herolah!  Aku tak mahu kau ganggu kawasan aku! Kalau kau berani berbuat macam itu lagi, aku tidak teragak-agak bunuh kau!” ugut  lelaki itu. 
            Malek cuba  membuka matanya seluas-luasnya. Ingin benar dia melihat wajah lelaki pengkhianat bangsa itu!  Dasar manusia yang tidak tahu dek untung.  Mencari kekayaan dunia dengan membunuh orang lain!
            “Aku buat kerja aku aje, yang kau risau sangat tu kenapa?  Tak cukup kaya lagi ke?”  bebel Malek biarpun terasa sakit seluruh tubuhnya masih kuat dan terketar-ketar lututnya menahan berat badan sendiri.
            “Aku kehilangan puluhan ribu sebulan di kawasan itulah, bongok!”  tengking lelaki itu.
            “Itu bukan urusan aku!” Malek menyengih.  Silauan cahaya lampu kereta itu menyukarkan dia melihat siapakah gerangan lelaki itu.  Ingin sangat dia melihat wajah itu.
            Satu tumbukan singgah diperutnya.  Terhenyak dia ke belakang.  Kuat dan padu pukulan lelaki itu. 
            “Kau pukul curi, mana aci, samseng macam kau main kotor!  Kau ingat aku takut ke?”  tempelak Malek sambil menahan kesakitan di perutnya.  Dia menekan perutnya dengan kedua belah tangan, terhoyong-hayang tubuhnya.  Hampir sahaja dia rebah ke tanah.  Semampu boleh dia menahan kedudukannya.
            “Masih berani bercakap ya?  Kau memang berani!”  kata lelaki itu. 
            Malek tersenyum sinis, dengan kesamaran cahaya lampu jalan, dia berusaha melihat wajah lelaki itu.  Pandai pula menyembunyikan wajahnya di celahan cahaya lampu kereta pacuan empat roda yang dihalakan ke arah muka Malek sehingga menghalang penglihatannya.
            “Ini amaran aku yang terakhir, kalau kau berani berbuat kacau, aku tidak teragak-agak mencabut nyawa kau!” sekali lagi ugutan diberi.
            “Kau bukan Tuhan!” jawab Malek.
            Satu tumbukan singgah di muka pula.  Tidak sempat Malek mengelak, akhirnya dia rebah ke tanah dan tidak sedarkan diri.  

No comments:

Post a Comment