Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 18 November 2016

JALAN PULANG - BAB 19 - ASMAH HASHIM



Suara burung merbuk yang sedang bermain-main di laman rumah membuatkan Zakuan tersenyum riang.  Pasangan merbuk itu sering mencari rezeki di celahan rerumput yang tumbuh segar di laman rumah yang terjaga rapi.  Zakuan melangkah keluar dari perut kereta.  Dia mengeliat, menegangkan kembali urat-urat pinggang yang terasa sengal dan lenguh, tidur dalam keadaan duduk sewaktu menemani ayahnya malam tadi.  Dia melangkah menuju ke arah rumah.  Daun tingkap nako sudah terbuka, membenarkan udara segar menyingah masuk.
            Daun pintu yang tidak berkunci ditolak perlahan.  Dia menjengahkan kepala dahulu, tiada sesiapa di ruang tamu.  Kaki kanan melangkah masuk, diikuti kaki kiri pula.  Belum sempat dia mengalihkan tubuh, sebutir suara menyapanya.
            “Dari mana?  Pagi ini baru balik?”  Salmah berdiri di muka pintu biliknya yang berhadapan dengan ruang tamu. Matanya tajam memandang wajah anak bujangnya itu, panggilan telefon tidak berjawab.  Tiada berita disampaikan, menunggu sehingga kesiangan, bayangan anak itu tetap tidak kelihatan. Berkecamuk hati dan fikirannya sepanjang malam, melawan rasa resah, bimbang dan tidak keruan silih berganti.  Menunggu dengan sabar panggilan daripada anak tersayang. Akhirnya mata tertutup, terjaga ketika azan subuh berkumandang.
            “Wan…”  Zakuan diam sejenak. Cerita apa yang perlu diberitahu?  Dia tidak pernah berbohong, ibunya pantang jika dia berbohong, dan dia tidak diajar berbohong.           
            Salmah mendekati anak sulongnya.  Wajah itu dipandang seketika.  Dia beralih melangkah ke arah sofa dan terus melabuhkan punggung.  Dia berpeluk tubuh.  Matanya masih melekat pada wajah Zakuan, mengharap jawapan daripada anak muda itu.
            “Wan kemana?” tanya Salmah sekali lagi.
            “Wan teman ayah di hospital, ibu,” jawab Zakuan jujur.
            Salmah menarik nafas panjang.  Dia mengetap bibir.  Panggilan ‘ayah’ seperti panggilan maut buatnya, pedih dan menyakitkan.  Layakkan lelaki yang tidak bertanggungjawab itu dipanggil ayah?  Layakkah dilayan baik dan sesantun itu? 
            “Kenapa dengan Wan ni?  Kenapa tidak dengar langsung cakap ibu!” bentak Salmah kegeraman, geram, marah, sakit hati, semuanya dirasakan. 
            “Ayah sakit ibu, salahkah Wan bantu ayah?” soal Zakuan, bukan menidakkan kata-kata ibunya, tetapi dia tidak pernah menyimpan dendam pada ayahnya itu. Malek tetap ayahnya biar buruk pun layanan lelaki itu terhadap dia dahulu.
            “Sakit ibu?  Sakit hati ibu? Bagaimana?” soal Salmah keras.  Dia menumbuk-numbuk dadanya.  Menahan sebak yang mula menyentap jantung hatinya.  Berdengung rasa telinganya kepanasan mendengar kata-kata Zakuan tadi.
            “Ibu, buanglah dendam ibu itu.  Wan tak nak kita jadi manusia yang pendendam, selama ini ibu mengajar perkara yang baik-baik sahaja pada kami adik beradik.  Kenapa susah sangat ibu nak maafkan ayah? Berilah ayah peluang  kembali menjadi insan yang berguna, ayah dan bertaubat ibu, ayah bukan seperti dulu lagi,”  terang Zakuan.
            “Kau tak tahu kesakitan yang selama ini ibu tanggung, Wan! Keperitan dan kepedihannya tidak kau rasakan! Ibu yang tanggung semuanya!” bentak Salmah. Apa yang anaknya itu tahu?  Dia yang menanggung segala-galanya.  Penghinaan yang tidak pernah surut, kata-kata keji dan umpatan silih berganti. Tidak mampu dia ucapkan keparahan hatinya itu.  Luka yang tidak sukar untuk sembuh.  Sakitnya tidak mampu diubati dengan menelan ubat tahan sakit.  Sakit yang tidak ubatnya. 
            Zakuan mendekati ibunya, duduk berteleku, mengenggam erat jari jemari ibunya.
            “Ibu tetap ibu Wan.  Hati Wan tidak pernah  berubah, tetap sayang ibu.  Tapi, Wan takkan wujud tanpa ayah.  Wan tidak mahu berdendam dengan ayah, fahamilah perasaan Wan, ibu,” rayu Zakuan. Dicium telapak tangan itu bertalu-talu.  Air matanya gugur di pipi.  Hatinya hiba, jiwanya sendu, kedua-duanya orang terpenting dalam hidup.  Tanpa mereka dia tidak akan dapat melihat dunia.  Kenapa dia harus dan terpaksa memilih satu antara dua? Sedangkan dia boleh memiliki dan menyayangi serta berbakti kepada kedua-duanya.
            “Ibu tak mampu menerima lelaki itu, Wan tak faham ke?” herdik Salmah sekali lagi.  Ya, hatinya keras, hatinya sakit, jiwanya terseksa, tidak mungkin dapat diubati.  Semakin dia melihat wajah itu, kenangan silam pasti menerja dalam fikiran. Mengganggu tidur malamnya, menerpa masuk dalam mimpinya.  Kenapa anaknya itu tidak mahu memahami? Tangan direntap kasar. Rajuknya semakin panjang, sakit hatinya semakin dalam.  Salmah bingkas bangun.
            “Ibu tidak mahu Wan jadi anak derhaka. Wan pilih antara  ibu dan lelaki itu.  Ibu tak nak Wan rapat dengan dia, begitu juga Zara! Faham tak!” jerkah Salmah. Nafasnya turun naik. Dia menekan dada kirinya terasa perit.  Dia mendengus kasar.  Langkah diatur terus menghilang ke dalam bilik, daun pintu dihempas kuat. Gedegang!
            Zakuan beristighfar berkali-kali, rajuk ibunya sukar dipujuk.  Dia bingkas bangun dan duduk di sofa, wajahnya keletihan, sudahlah tidurnya tidak menentu malam tadi, ingatkan sudah sampai rumah boleh berehat, melelapkan mata yang kantuk dan merehatkan tubuh yang letih.  Dia hanya mampu mengeluh dan mengeluh melihat sikap amarah ibunya terhadap ayahnya, Malek.
            Zakuan menyandar di sofa. Otaknya berjalan memikirkan cara bagaimana untuk memujuk hati ibunya agar mampu memaafkan.  Tiada jalan, tiada daya dan upaya hanya kepada Allah dia berharap dapat mengubah hati ibunya.    
            Petang nanti baharu dia ke hospital semula melawat ayahnya.  Ibu?  Biarlah melawan rajuknya, nanti akan sejuk sendiri.  Itulah Salmah, ibunya yang mudah  merajuk dan mudah sejuk, tapi tidak dalam hal ayahnya, Malek. Dendam kesumat tidak pernah padam.  Keperitan yang lalu masih mencengkam kuat di hati ibu tua itu.  Tertanam kukuh, berakar tungjang, tiada siapa yang mampu mencabutnya.  Hanya doa yang dipanjatkan, agar segalanya berubah, begitu juga hati ibunya yang sekeras batu itu.
            Zakuan melangkah menuju ke biliknya.  Berhenti sebentar di hadapan bilik ibu, menahan rasa sebak seketika.  Maafkan Wan ibu, detik hati kecilnya.  Bukan bermaksud ingin menyakiti, bukan ada niat untuk melawan.  Tetapi Wan ingin menjadi anak yang berbakti, meraih cinta Ilahi melalui ayah dan ibu, bisik hatinya lagi. Langkah disambung semula menuju ke biliknya yang hanya sebelah bilik ibunya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan