Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 3 Disember 2016

CATATAN 11 - ASMAH HASHIM



         Pernah tak kita dengar orang berkata, “Buat apa hantar anak ke sekolah pondok atau maahad tahfiz? Nanti nak jadi apa? Nak kerja apa? Nak makan apa?”  Kita ada jawapan tak pada setiap soalan yang dilontarkan?  Itu jugalah yang aku alami sewaktu mula-mula menghantar anak keduaku ke maahad tahfiz selepas darjah lima.  Setiap daripada kita ada pandangan dan keinginan masing-masing.  Kadangkala kita terlalu memikirkan perkara yang bukan urusan kita.  Umpamanya urusan rezeki.  Sebagai orang Islam, kita sudah maklum bahawa urusan rezeki adalah kerja Allah dan ketentuannya juga.  Entah kenapa kita terlalu risau sangat.  Itulah kita, manusia yang serba lemah, tapi jarang hendak mengaku.

            Saya dulupun pernah berfikir seperti itu, tetapi setelah mendalami agama yang sebenar-benarnya, saya faham dan mengerti.  Jika orang yang tidak pernah mengucapkan kalimah syahadah, Allah berikan rezeki, apatah lagi mereka yang menghafal dan memahami kalimah-kalimah Allah swt.  Bukankah al-Quran itu adalah kalimah Allah, kata-kata Allah?  Adakah mereka yang mempelajari, menghafal, dan memahami kalimahNYA tidak akan diberi rezeki?  

Saya ingin kongsikan pengalaman saya sebagai seorang ibu yang mempunyai  seorang anak lelaki dua orang anak  perempuan, kedua-dua anak perempuan, saya hantar ke maahad tahfiz, bukan sahaja ingin melihat mereka menjadi manusia yang baik, tetapi insan yang mampu membimbing diri sendiri dan orang lain satu hari nanti.  Belajar agama itu adalah satu tuntutan, kenapa kita begitu gusar anak kita mempelajari agamanya sendiri? Agama yang kita anuti, kita sendiri tidak mampu mendidik mereka menuju ke syurga Allah, apa salahnya kita memberi ruang dan peluang mereka mendalaminya dengan orang yang layak membimbing mereka?  Bukankah kita ingin mencari kebahagian dunia dan akhirat?  Bukankah kita yakin akan bertemu Allah swt?  Bukankah kita beragama Islam?  Jadi… kenapa gusar?   

Anak sulong kami hantar ke sekolah agama, usai habis UPSR, terus masuk sekolah menengah agama, dia ambil PMR, SPM dan STAM, serta mempunyai Diploma dalam bidang IT, dia menguasai dua bidang, agama dan IT.  Ketika masa anak sulong kami tidak didedahkan lagi dengan maahad tahfiz. Maka kami lebih fokus kepada pembelajaran agama sahaja. Namun, anak sulong mampu menguasai kedua-duanya dengan baik. 

Anak kedua saya belajar di maahad tahfiz setelah habis darjah lima, tidak sempat ambil UPSR pun, itu adalah pilihan dan kehendaknya.  Kami menyokong segala keinginannya.  Hampir lima tahun dia belajar di Maahad Tahfiz Darul Furqan di Balik Pulau, Pulau Pinang.  Lima tahun jugalah setiap dua bulan sekali kami menziarahinya.

Setelah menghafal 29 juzuk, kami membawanya keluar untuk sambung ke As Sofa, ketika itu umurnya sudah menjangkau 17 tahun.  Selama dua tahun dia di situ, usai selesai 30 juzuk, kami hantar dia ke Fast Tread Program anjuran UNISEL, bagi lepasan maahad tahfiz atau sekolah pondok untuk ambil SPM, ketika itu umurnya 18 tahun, setiap pelajar yang tiada PMR hanya boleh ambil SPM sewaktu umur 18 tahun.


10 bulan dia belajar di situ hanya untuk mengambil SPM, boleh tengok laman web UNISEL.  Alhamdulillah, biarpun tidak ada A, namun kelulusan yang diperolehi melayakkan dia memasuki institusi pendidikan yang sesuai dengan kelulusan yang diperolehi.  Dia masih ingin menyambung dalam bidang tahfiz juga, maka kami berusaha mencari institusi pendidikan yang sesuai untuknya. 

Akhirnya KUIS menjadi pilihan dan dekat area Selangor sahaja.  Mudah untuk kami memantau dan bertemu dengannya.  Dengan sijil SPM dan sijil 30 juzuk yang ada, kami pun memohon, rezeki Allah swt buat mereka yang menghafal kalimahnya tidak pernah dinafikannya.  Pada hari temuduga itu juga, keputusan diperolehi.  Anak perempuan saya diterima masuk ke pusat pengajian tinggi tersebut.  Siapa cakap budak mengaji pondok tidak boleh masuk universiti? 

Saya dan suami tiadak pendapatan tetap, maka terfikir nak ambil PTPTN untuk menampung keperluan pembelajaran anak perempuan kami itu. Pada suatu hari saya bertanya kepada seorang kenalan dan kalau boleh hendak cari penaja atau biasiswa yang tidak perlu membebankan anak kami setelah habis belajar nanti. PTPTN kan kena bayar semula?


Akhirnya kami mendapat tahu bahawa Kumpulan Media Karangkraf ada mengeluarkan biasiswa untuk para pelajar kolej swasta, kebetulan tahun yang sama, KUIS termasuk dalam senarai mereka.


Maka kami membuat permohonan, Allah swt itu Maha Kaya, Maha Memberi, nikmat mana lagi yang kita nafikan.  Anak saya mendapatkan segala-galanya dengan jalan yang mudah.  Sebagai seorang ibu, tentulah kita rasa bersyukur kerana jalan-jalan yang anak kita lalui untuk meneruskan pengajiannya begitu mudah. 

Kini, dia berada di tahun akhir dalam bidang yang dipilihnya Al-Quran Wal Qiraat.  Biarpun hanya Diploma, itu sudah cukup membuktikan kepada umum, bahawa mereka yang belajar agama masih berpeluang pergi jauh dengan syarat ikut landasan yang betul dan jalan yang telah dilalui oleh mereka yang ikut jalan tersebut.  Anak saya boleh menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah.  Tapi… dia belum bersedia untuk menyambung ke peringkat yang lebih tinggi. 


Kepada teman-teman yang mempunyai anak-anak di maahad tahfiz atau sedang berfikir untuk menghantar anak-anak mereka belajar di pusat pengajian pondok usah risau, anak-anak kita boleh melangkah jauh, boleh jadi apa sahaja yang mereka inginkan.  Ingin jadi doktor, peguam, jurutera, arkitek?  Semuanya boleh, asalkan kita tahu caranya, kena bijak mengatur masa depan anak-anak.  Bukan paksaan tetapi atas kerelaan mereka sendiri.    

Anak yang bongsu masih belajar di maahad tahfiz, semoga dia mampu mengikuti jejak kakaknya.  Itulah harapan kami, ingin melihat anak-anak berjaya di dunia dan akhirat.

 Mereka yang belajar agama tidak hanya lagi menjadi tok siak, bilal atau imam di masjid.  Mereka juga boleh berbakti kepada insan lain. Malah ada bekas pelajar tahfiz yang sudah menjadi jururawat di hospital.  Bayangkanlah mereka yang menghafal al-Quran, menguasai ilmu agama yang lain berada di kalangan kita, berkhidmat kepada masyarakat dengan beriman, tawaduk dan sudah pastinya mampu berkhidmat dengan baik, tidak makan rasuah dan berbakti demi agama, bangsa dan negara.


Dalam hidup, pelajaran pertama yang sepatutnya kita kenalkan kepada anak-anak adalah mengenal ALLAH swt dan Rasul-NYA, Nabi Muhamad saw.  Baharulah kita kenalkan mereka dengan ilmu yang lain.  Percayalah, jika kita menanam padi, lalang akan tumbuh, tetapi padi tidak akan tumbuh jika kita menanam lalang. 


Padi ibarat akhirat, lalang ibarat dunia.  Jika kita mengejar akhirat, dunia akan datang mendekati. Usah takut dan gentar, seorang agamawan yang tawajuh, beradab, berakhlak, beriman dan bertakwa akan mampu membawa kecermerlangan dalam kehidupannya dan seluruh keluarganya, mungkin juga mampu membawa semua manusia ke jalan yang diredhai Allah swt.  Berpegang  dan yakinlah Allah itu Maha segalanya.

Semoga pengalaman saya ini bermanfat buat semua teman-teman tersayang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan