AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 6 December 2016

CATATAN 3 -ASMAH HASHIM





            Air yang dicincang takkan putus, itulah bidalan atau peribahasa orang tua-tua yang masih kita guna pakai sehingga ke hari ini.  Menggambarkan tentang hubungan adik beradik, saudara mara yang satu darah, satu keturunan, susur galur yang tidak mungkin dipisahkan.

            Ingat tak lagi zaman kanak-kanak?  Zaman kita membesar bersama adik beradik kita yang lain.  Zaman yang penuh suka dan duka, susah dan senang bersama adik beradik kita.  Jika kita anak sulong, maka besarlah tanggungjawab yang dipikulkan di atas bahu kita.  Jika kita anak tengah, sesekali bolehlah leka dan melarikan diri dari tugasan yang diberi oleh ibu dan ayah.

            Hubungan yang terjalin kerana dilahirkan oleh seorang wanita bergelar ibu, dilahirkan di rahim yang sama, disusukan oleh ibu yang sama, membesar, berkongsi segala-galanya.  Menangis dan ketawa bersama.  Bertukar-tukar pakaian atau apa sahaja yang sesuai dek tubuh kita atau adik beradik kita yang lain.  Indah tak kehidupan ketika itu?


            Tapi, setelah kita menginjak dewasa, semakin matang fikiran, semakin kita menjadi saling tidak mengenali antara satu sama lain?  Kita bagaikan orang asing, tidak sehaluan, tidak saling hormat menghormati, saling bercakaran, seolah-olah lelaki itu, wanita itu tidak pernah punya pertalian saudara dengan kita.


            Adakah disebabkan keegoaan?  Kesombongan? Atau berasakan diri kita sudah jauh hebat daripada abang, kakak atau adik beradik kita yang lain?  Pernah dengar cerita, ipar duai tidak mampu berlaga muka?  Pernah dengar adik beradik bercakaran kerana harta pusaka?

 Pernah dengar cerita, adik beradik berparang, berpisau hanya kerana merebutkan tanah sekangkang kera?    Kita digemparkan dengan berita, dua beradik berebut duit sumbangan orang ramai terhadap anak buah mereka yang menjadi yatim piatu.  Kenapa semua itu berlaku?

 Sedangkan kita dilahirkan oleh ibu dan ayah yang sama?  Bukankah kita sedarah sedaging?  Kenapa hubungan indah yang terjalin sejak kecil boleh terputus?  Boleh bermasam muka? Kita bergaduh bertahun-tahun hanya kerana tidak mampu bermusyawarah sesama kita.

            Allah!  Begitu rendahnya hati kita?  Begitu rapuh nilai kasih sayang yang tersemai sejak kecil, hanya kerana sikap ego dan sombong diri kita.  Seorang adik, perlu hormati abang, kakak yang lebih tua, seorang abang, kakak, perlu menyayangi adik-adiknya.  Kenapa harus ada sengketa antara kita?

            Bukankah bahagia sebuah keluarga yang mempunyai enam beradik, sering berkumpul, mendengar nasihat kedua orang tua, mendengar dan meminta nasihat daripada abang dan kakak, meminta pandangan tanpa prajudis, jangan anggap abang kita tidak masuk Universiti dan tidak berjaya dalam hidup, hanya bekerja kilang, kita menganggap dia orang yang tidak berhak memberi nasihat kepada kita yang sudah punya Ijazah, Phd, sudah punya perniagaan sendiri, rumah besar dan segalanya besar hatta badan kita sendiri. 

Kenapa kita menjadi manusia hidung tinggi?  Kenapa kita tidak mampu menjadi rumput di kaki, sentiasa?  Abang dan kakak kita itulah yang pernah menyuapkan nasi ke dalam mulut kita sewaktu kita tidak berdaya untuk menyuap sendiri.  Abang dan kakaklah yang telah mengendong dan mendukung kita sewaktu kita tak mampu berjalan apatah lagi berlari.  Kenapa semua jasa mereka kita lupakan hanya kerana dia meninggikan suara kepada kita, menasihati kita, menegur anak-anak kita yang nakal dan tidak solat, menegur isteri kita yang hanya bersilang pangku waktu ke rumah mertua atau ke rumah ibu ayah kita?

Tidak sayangkah kita kepada adik-adik kita?  Bukankah kita pernah menyuap, mengendong dan mencium mereka dengan penuh kasih dan sayang, hari ini kita berbalah atas sebab keegoan kita sebagai manusia yang lupa diri. Lupa asal usul.

Marilah teman-teman tersayang, kita buka minda, buka hati, kita perbaiki hubungan silatuh rahim sesama kita, anak isteri, ibu ayah, adik abang, kakak, mertua atau apa sahaja gelaran kita.  Besarkan hati kita, usah mudah merajuk, usah mudah berkecil hati.  Terima teguran tidak kira siapapun mereka.  Jika hendak marah, tarik nafas seketika, atau berdiam diri, kemudian fikir semula akan kata-kata mereka.

Ipar duai usah jadi batu api yang mampu bukan sahaja membakar sebuah rumah, malah sebuah negara, bukankah kemarahan itu sikap syaitan?  Para mertua, usah pilih kasih antara menantu, jadikanlah menantu itu seperti anak sendiri, tegur dengan berhemah, usah bermasam muka, kelak kita juga yang rugi.

Rumahku syurgaku, realisasikanlah dalam kehidupan.  Kehidupan kita di dunia ini singkat sahaja, entah esok, lusa, kita akan kembali kepada-NYA. Kenapa perlu bergaduh sesama kita.  Hargai mereka yang berada di sisi kita selagi kita bernyawa. Ingatlah, merekalah yang akan mendoakan kita di sana nanti.

 Semoga nasehat saya ini membuka minda teman-teman yang sedang bersengketa dengan ahli keluarga yang lain.  Ingat, menyambung silaturahim itu besar pahalanya, banyak manfaatnya. Maka berbaik sangkalah sesama kita.  Hidup ini indah dan mudah, usah dirumitkan, usah dilayan nafsu syaitan.  Jangan dibiar ia terus menang dan kita kalah dengan kerasukannya.  Binalah keluarga bahagia sehingga ke akhirat. Bahagiakan orang tua kita. 

No comments:

Post a Comment