AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 14 December 2016

CATATAN 5- ASMAH HASHIM



            Dalam meniti usia kanak-kanak lagi, saya sudah didedahkan dengan dunia perniagaan.  Emak yang berasal dari Sabar Bernam, bukanlah dari kalangan orang senang, waktu zaman itu, rata-rata penduduk Malaysia hidup dalam kesederhanaan atau pun kemiskinan.  Azam emak, tidak mahu hidup susah, jadi setelah berumah tangga dengan arwah abah yang memang membesar di Jalan Bangsar, emak mula pasang niat untuk mencari pendapatan sendiri.  Kepandaian emak adalah membuat kuih-muih, maklumlah emak anak sulong dari 10 adik beradik.

            Pada mulanya emak menghantar hasil air tangannya di gerai berhampiran NST dan Nayang Siang Pau, siapa yang pernah tinggal di Jalan Bangsar Of Jalan Riong pasti tahu, ada sebuah Kilang ais krim dan sabun di situ.  Walls dan Levers Brother atau sekarang dikenali sebagai Unilever.  Tidak lama kemudian, emak menyuruh saya dan adik kedua saya, menjual kuih dari rumah ke rumah di kawasan kampung tempat tinggal kami sehinggalah ke Kampung Haji Abdullah Hukum. 


            Arwah ayah pula bekerja di Kilang Lever Brothers sebagai operator pengeluaran, arwahlah yang menjaga bahagian memasak sabun. Waktu itu meriahlah kami menggunakan sabun, sebab arwah abah boleh membelinya dengan harga yang murah. 25 tahun arwah abah berkhidmat di kilang tersebut, sehinggalah kilang tersebut dipindahkan ke Bukit Raja.  Arwah berhenti kerja dan diberi pampasan selama dia berkhidmat.


. 
            Tiadalah daya hendak membantah, apatah lagi sebagai seorang anak yang diajar untuk taat dan akur. Tiada kata penolakan, tiada nada berdecih mengatakan kepenatan.  Kepatuhan sebagai seorang anak di zaman itu amat tinggi.  Bermulalah langkah saya menjaja dari rumah ke rumah, dari lorong ke lorong, dengan semangat untuk mencari duit saku, biarpun upah yang diterima hanyalah 50 sen. 

            Pada mulanya hanya saya seorang, seronoklah ketika itu, kuih yang dijual setiap hari habis, balik dengan wajah riang dan duit penuh dalam beg kecil yang emak sediakan.  Setelah beberapa bulan, ada pula seorang teman sekampung yang ikut serta, adalah kawan untuk saya berjualan, kuranglah sikit rasa malu dan segan.  Hari-hari kami berlumba-lumba mendapatkan pelanggan, melaung dan menjerit, dari suara jeritan yang tidak berirama, sehingga kami mampu menghasilkan irama sendiri menguar-uarkan kuih apa yang kami jual.   Kalau sudah penat berjalan dan kehausan,  ais kepal menjadi pilihan, duit yang dibelanjakan akan ditolak dari duit upah menjaja tadi.  Tiada istilah mewah, biarpun kami mengeluarkan tititk peluh sendiri. 

            Apabila sudah ada kawan, langkah kaki semakin jauh ingin mendapatkan ramai lagi pelanggan.  Dari isi bakul hanya ¼ akhirnya bertambah menjadi separuh,  kadangkala penuh bakul  berisi beraneka jenis kuih-muih air tangan emak sendiri.  Saya dan kawan saya, sudah lupa namanya,  seawal pukul 2.00 petang, berjalan merintasi jalan keretapi menuju ke Jalan Briekfields, ada flat lima tingkat dan banyak blok, ada kawasan kampung, rata-rata dihuni oleh kaum India dan Cina.

            Saya masih ingat lagi, yang tinggal di rumah flat tersebut ramai anggota polis trafik yang bekerja di Balai Polis Briekfields. Merekalah pelanggan tetap kami. Dari luar bangunan sudah terdengar suara merdu kami menyenaraikan nama-nama kuih yang terdapat di dalam bakul.  Biarpun tidak sesedap suara Siti Nurhaliza, abang-abang dan kakak-kakak polis pasti memanggil dan menyeru kami mendaki anak tangga menuju ke rumah mereka.  Kadang-kadang separuh bakul kuih-muih itu dibeli oleh mereka.



            Pengalaman yang tidak boleh dilupakan sewaktu menjadi penjaja kuih ini adalah dikejar anjing gila. Uhuh! Lari selaju yang boleh, sehinggalah tuan punya anjing menjerit menyuruh anjingnya berhenti dan saya disuruh berhenti berlari.  Pengajaran, jangan lari bila nampak anjing! Nasib baik tidak kena gigit. Air mata berjujuran di pipi, sejak itu, lorong tersebut saya tidak lalui, takut kena kejar lagi.
           
            Emak berhenti menyuruh saya menjajah apabila mendapat tempat, menjual goreng pisang di hadapan Jalan Bangsar, dahulu ada sebuah pusat cucian pakaian atau dipanggil kedai dobi, lama kedai dobi itu beroperasi, sehinggalah pemiliknya meninggal.  Antara pelanggan emak waktu itu adalah Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Bonda Fauziah Nawi, Omar Abdullah dan ramai lagi, maklumlah, Jalan Bangsar kan laluan para artis hendak ke Angkasapuri, dan mereka yang berurusan dengan Berita Harian serta NST.  Sayalah yang terpaksa membantu emak berniaga, setiap hari. Orang yang tidak pernah saya lupa wajahnya, seorang menteri perempuan yang macam tomboy itu.  Dia tinggal di kawasan tersebut, waktu dia belajar di UM.  Tak sangkalah dia menjadi menteri sekarang ini.

            Emak seorang yang tegas, sebagai anak sulong, segala tanggungjawab di rumah dan di tempat dia berniaga, semuanya terpikul atas bahu saya, memang penatlah.  Malu pun ada, maklumlah berniaga tepi jalan, hari-hari kawan sekolah tengok, zaman itu manalah faham tentang kelebihan berniaga ini.  Ada juga kawan yang menyindir, itu sebab saya terasa malu.   Emak seorang yang kuat bekerja, selama 25 tahun dia berniaga goreng pisang di kawasan tersebut, hanya Hari Raya sahaja dia cuti. Melihat emak berniaga, kadangkala membuatkan saya menanam azam dalam diri, tak nak jadi ahli perniagaan!  Susahlah! Penat!

            Seawal pagi, emak dah bangun, siapkan segala keperluan kuih muihnya, siapa lagi yang tolong, kalau bukan saya, adik-adik?  Mungkin emak rasa mereka masih kecil, maka mereka tidak pernah disuruh, terutama adik-adik lelaki. Sebagai anak zaman itu, manalah pandai membantah, ikut sahaja suruhan orang tua, apatah lagi arwah abah selalu berleter suruh tolong emak.  Hujung minggu pun emak semangat berniaga, ramai orang, berpikul pisang sehari. 

            Berniaga tepi jalan, jangan ingat tak ada masalah, pihak penguatkuasa Dewan Bandaraya selalu datang kacau, siap angkut segala perkakasan perniagaan emak bersama-sama pisang mentah.  Emak disuruh memohon lesen perniagaan, emak akur, bertahun-tahun asyik kena saman dan diangkut perkakasnya, akhirnya permohonan emak diterima.  Tidaklah mereka datang mengganggu lagi.  Tapi emak tak pernah marah atau mengherdik mereka.  Mereka pun cakap baik sahaja.  Emak dan arwah abah akurlah, undang-undang tetap undang-undang, kenalah ikut. 

            Saya berhenti menolong emak setelah mencapai usia remaja, malulah oi! Sudah anak dara, dan kebetulan hendak ambil SPM. Tapi emak, terus gigih berniaga seorang diri dengan dibantu oleh arwah abah.  Seharian duduk di hadapan kedai dobi itu, bermula jam 11.00 pagi sehingga 7.00 malam. Kalau siapa yang biasa tinggal di Jalan Bangsar sehingga ke Pantai Dalam dan melalui kawasan tersebut, pasti tahu.

            Kerana pengalaman yang banyak dan melihat kepayahan emak berniaga, membuatkan dunia perniagaan bagi saya amatlah memenatkan.  Bila sudah berumahtangga, saya paling tidak suka untuk memulakan apapun perniagaan.  Namun, kesempitan hidup, membuatkan saya terpaksa membuang azam saya itu.  Saya akhirnya turut menjejaki langkah emak dengan membuat kuih muih yang saya tahu.  Macam-macam saya buat, dari sejenis dua kuih sehinggalah sehari tujuh jenis yang saya buat, semuanya dihantar ke gerai berhampiran rumah sewaktu di Kedah.

            Tapi, perniagaan dan saya bagaikan tidak mahu dipisahkan.  Saya pernah buat karipap dingin beku, buat biskut raya, katering, nasi lemak bungkus, semuanya separuh jalan sahaja. Sudah letih dan penat, saya berhenti.  Tidak kuatnya semangat saya.  Sebab jiwa berniaga tiada dalam diri.
           
            Pada suatu hari suami menyatakan hasratnya hendak membuka sebuah  restoran.  Saya terus membantah. Saya tahu penat lelah yang terpaksa dilalui kalau berniaga dalam bidang makanan.  Tugas yang tersedia tidak pernah habis, bermula terbit matahari sehinggalah matahari terbenam.  Suami saya langsung tidak mengambil endah kata-kata saya, dia tetap dengan keputusannya.  Saya membantah sahaja,  tapi tetap ikut.  Rupanya suami hendak berniaga restoran berkongsepkan Francise.  Bagaimana?  Restoran apa?  Nanti sambung lagi ya.

No comments:

Post a Comment