AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 15 December 2016

CATATAN 6- ASMAH HASHIM

                                                                Gambar dalam restoran saya.




 

Sewaktu suami menyatakan keinginannya untuk membuka sebuah restoran, saya bantah, saya tahu betapa susahnya bekerja dalam perniagaan makanan. Banyak risiko dan rintangannya.  Kalau setakat ada duit, usahlah buka restoran.  Kalau tidak bersemangat kuat dan teguh, usah mengada-ngada. Kalau tidak pandai memasak, usahlah mencuba. 

            Saya terpaksa bercuti tanpa gaji kerana hendak menolong suami, hendak berhenti kerja, majikan tidak benarkan.  Punyalah sayang pada saya, waktu itu saya bekerja di sebuah rumah anak yatim di Sg. Merab, Bangi.  Restoran berkonsepkan francise, memanglah senang, tak perlu memasak, tak perlu tukang masak mahir, segalanya ada SOP, ikutkan sahaja, bahan utama dihantar oleh dapur utama, bukan percuma, pihak restoran kena bayar semuanya. 

            Apa nama restoran?  ANI SUP UTARA! Di mana?  Putrajaya Presint 15, ala depan Mydin Putrajaya, sekarang sudah jadi kedai pakaian bayi.  Dekat pula dengan kedai buku, sayalah pelanggan setia mereka.  Senang tak uruskan restoran?  Tanyalah pada mereka yang ada restoran? Bagi saya tidak mudahlah. Memanglah kita ada pekerja, kita sebagai majikan, boleh arah sahaja. Tidak boleh adik-adik oi!  Kita kena turun padang, beli bahan mentah, fikirkan tentang kebersihan restoran, masalah pekerja, masalah pelanggan.  Wah! Pernah saya menangis kepenatan, terasa kaki tidak pijak di tanah, terlalu kebas sebab berdiri terlalu lama dan tidak punya rehat yang cukup.  Nak marah suami?  Memang marahlah! Tapi nak buat macam mana, itu sudah pilihannya.  Biarpun  berat, saya gagahi juga.

            Perangai saya yang amat pelik, tidak boleh duduk diam, ada sahaja kerja yang saya ingin lakukan.  Saya akan bantu di dapur, biarpun di dapur sudah ada tiga empat orang, saya akan basuh pinggan dua jam, sehingga habis waktu makan tengahari.  Tak percaya? Tanya pekerja saya.  Atau pelanggan yang pernah ke Ani Sp Utara Putrajaya.  Basuh pinggan pakai mesin, mahu tak seronok.  Sekalian boleh main buih sabun.  Sengal punya majikanlah ni.

            Kalau di dapur dan di bahagian mencuci pinggan penuh, maksudnya sudah ada yang bekerja, saya akan bantu di bahagian air, selalunya suami saya yang menyibuk kat situ, setakat teh tarik, senang aje nak buat.  Kalau di situ tak boleh juga saya bantu, jadi pelayanlah jawabnya, ambil pesanan dan hantar makanan.  Boleh ke buat? Hik hik hik.    Sebenarnya, saya ni  KUAT BEKERJA, tidak boleh duduk sahaja, tidurlah jawabnya.

            Kadang-kadang para pekerja yang sudah saya anggap seperti anak sendiri, rata-rata mereka panggil saya UMI – Ibu, jadi kita jadi ibulah kepada mereka yang muda belia dan remaja ini.  Saya pantang tandas kotor, jadi saya minta suami saya suruh para pekerjanya cuci tandas dua jam sekali.  Orang makan kat kedai mamak pun datang guna tandas restoran saya.

            Restoran saya makanannya hanya berasaskan sup, para pekerja saya 98 peratus adalah anak Kelantan, ingat hari-hari mereka nak makan sup?  Maka saya yang rajin inilah setiap hari masakkan sejenis lauk buat mereka, dan sebotol budu mereka balun sampai habis setiap hari.  Seronok melayan kerenah mereka yang macam-macam. 

            Ada yang lari malam, ada yang berhenti kemudian datang minta  bekerja semula.  Ada yang sekejap kerja, sekejap berhenti, macamlah restoran itu bapak mereka punya.  Layankan sahaja, kerana itulah perangai anak muda yang tidak pernah tetap pendirian. Entah apa yang dicari, sekolah tidak pandai, kerja pula malas.  Kau rasa?  Sesekali terpaksalah jadi pakar motivasi.

            Tak pernah dibuat orang, kalau ada juga yang buat, saya tumpang bahagia, sejak kami buka restoran, pada bulan puasa, restoran akan beroperasi bermula jam 2.00 petang, tapi saya datang ke restoran jam 10.00 pagi, para pekerja saya tidur lagi, suami sayalah yang tukang mengejutnya, kerana kami ada ambil tapak di bazar Ramadhan.  Jadi, pukul 3.00 sudah kena bergerak ke bazar, tiga orang pekerja di hantar ke bazar, yang selebihnya tinggal di restoran.  Apa yang tidak dibuat dek orang.  Kami upah budak tahfiz  dari kemboja semata-mata untuk menjadi imam solat terawikh. Ya! Solat terawikh seusai restoran tutup. Jam 9.30 restoran kami sudah tutup, jadi pendapatan tidaklah seberapa.  Pernah upah imam muda Masjid Besi Putrajaya juga  jadi imam kami, bermakna ustaz itu solat terawikh dua kali. 

            Setiap malam bahagian dapur sehinggalah ke bahagian cuci pinggan mangkuk, akan dibasuh dengan air panas yang berisi sabun, begitu juga dengan bilik air, basuh dengan air panas dik oi! Saya tak suka tandas yang berbau, beria-ia saya cuci. Janji bersih.  Begitu juga meja, akan dibasuh dengan air panas dan sabun sebabnya, restorankan menghidangkan sup, baunya boleh tahanlah, kalau hanya dilap sahaja. Kadangkala pekerja buat, ada ketika saya yang buat.  Majikan rajin!


            Antara pelanggan kami yang paling pangkat besar adalah MANTAN PEGUAM NEGARA Tan Sri Ghani Patail! Kalau dia datang,  Sup Gear Box pasti menjadi pilihan, sampai ke dapur restoran saya dia masuk. Kalau artis, adalah juga, seorang dua.  PU Ashraf pun pernah singgah.  Kira popularlah juga di mata warga Putrajaya waktu itu.

           
            Kami pernah mempunyai 22 orang pekerja, ramai tu.  Pelbagai cerita, pelbagai rasa, pengalaman pahit manis semuanya dirasa, buat kami matang melakukan apa sahaja. Itu sebab saya cerewet bab memilih restoran, kalau tak bersih saya pasti sangat, majikan tidak pantau para pekerjanya.

                        Saya selalu menasihati pekerja-pekerja saya, di mana pun kita bekerja, biarlah jujur, ikhlas dan bertanggungjawab, kerana duit hasil titik peluh kita itu akan berkat dan diberkati dan suatu hari nanti Allah akan balas kejujuran kita itu dengan memberi rezeki yang lebih baik lagi.

            Berasal dari Kelantan, rata-rata mereka tidak bersolat, ada yang tidak pernah solat terawikh pun, biarpun usia sudah mencapai 20-an.  Di sini, bersama dengan kami, mereka kenal  sejadah, mereka tahu berselawat, mereka tahu solat terawikh, kalau tak solat terawikh, denda RM10.00 sehari, ditolak dari gaji mereka. Ada  berani?  RM10  tu, banyak! Kalau 27 hari kau tak datang solat?  Habis duit gaji, nak raya ni!  Tegas tetapi mengajar erti tanggungjawab mereka pada agama.

            Waktu mula buka restoran, kami beroperasi pada hari Jumaat, jadi pukul 12.30 tengahari, restoran akan ditutup, buka semula pukul 2.00 petang. Oleh kerana para pekerja adalah lelaki, faham-faham sahajalah, kenalah bawa mereka solat Jumaat.  Naiklah mereka semua Hilux kami.  Tanggungjawab, sebagai majikan, kita bertanggungjawab pada ibadah mereka, jangan fikirkan keuntungan semata-mata.  Allah akan balas keprihatinan kita itu dengan rezeki yang melimpah ruah lagi.

            Paling menyedihkan, ada pekerja kami yang jadi pengedar dadah, kami tidak tahu, sehinggalah suatu hari suami naik ke tingkat atas asrama mereka, terjumpa macam-macam, kebetulan baik dengan anggota-anggota  polis di Putrajaya sebab mereka pelanggan kami, maka dapat kerjaama yang baiklah, sewaktu mereka sedang lena beradu, kami panggil pasukan narkotik, angkat budak-budak ni pergi balai, periksa air kencing, kalau sangkut, terus diberhentikan.  Tidak mahu mencemarkan nama baik restoran kami. Memang ada sangkutlah beberapa orang.  Tiada maaf bagimu atau pergi ke pusat serenti. Jahatkah kami? 

            Selama anak-anak muda ini bekerja dengan kami, suami tidak pernah berkasar dengan mereka, melayan mereka seperti anak sendiri, ada yang masih mengenang kami sehingga ke hari ini, melihat kehidupan mereka yang semakin baik, itu sudah cukup membahagiakan kami berdua, sesekali dengar suara mereka menelefon bertanya khabar, sesekali terlihat wajah mereka di FB saya.

            Kenangan bersama mereka, tidak akan saya lupakan, Hafizin, Amirul, Zack, Hisyam, Muhamad, Laila, Zaida, Nada, Khairul, Lan dan ramai lagi, ada nama mereka saya dah lupa, maaflah ya, faktor usia.  Biar bagaimana rentak dan gaya mereka, saya dan suami amat berterima kasih kepada mereka, kerana menjadi tulang belakang kejayaan kami menjalan perniagaan restoran. Kalau hendak bercerita tentang pengalaman kami membuka restoran selama dua tahun setengah dan kenapa kami tutup, boleh jadi buku novel.  Biarlah saya katakan, berniaga bukan rezeki kami.  Kami sudah buat yang terbaik, memberi yang terbaik, tetapi tetap tidak berpihak kepada kami.  Redha dan sabar, Allah Maha tahu akan segalanya.

             Selepas menutup restoran dan salah satu sebabnya adalah kami hendak membuka rumah anak yatim pula.  Pengalaman hidup yang pelbagai dan berbagai ragam, berwarna warni banyak membantu saya dan suami dalam menguruskan rumah anak yatim kami ini.  Mungkin kerana kebaikan yang telah kami buat sebelum ini, membuatkan Allah swt mengizinkan kami membuka, menguruskan rumah anak yatim pula.  Bagaimana terjebak? Tunggu catatan saya selepas ini.

2 comments:

  1. Kawan saya tokey rangkaian restoren. Juga ada beberapa budget hotel. Jadi apa yg saya baca ni memang betul masalah restoren.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Benar Encik Adam, saya dan suami sudah lalui. Terima kasih sudi singgah.

      Delete