Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 22 September 2016

JALAN PULANG - BAB 11 - ASMAH HASHIM



            Seperti yang telah dirancang.  Hampir seluruh penduduk kampung turun padang membantu membersihkan kawasan yang dipenuhi semak samun.  Segala jenis pokok hutan yang tumbuh liar ditebang dan kawasan yang ada dibiarkan lapang seperti padang bola.  Dari hulu  kampung, sehinggalah ke  hujung kampung dibersihkan beramai-ramai.  Haji Shauki menarik nafas lega.  Inilah yang diharapkannya.  Malek juga bersungguh-sungguh membantunya.  Penduduk kampung dibahagikan kepada  beberapa kumpulan.  Setiap kumpulan   lima orang.  Bersemangat mereka melakukannya.  Mungkin terkesan dengan keadaan yang berlaku di kampung itu. 
            “Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.  Tempat yang menjadi sarang penagihan dadah itu, mungkin kena panggil pihak polis pak su. Tidak pasal-pasal mereka naik angin serang orang kampung pula,” cadang Malek. Dia memandang penduduk kampung yang sama-sama bergotong royong membersihkan kawasan persekitaran, biar bersih, sejuk mata memandang.
            “Telefonlah, minta mereka datang segera. Kita ramai-ramai akan ke sana, bersihkan kawasan itu bersama.  Tidak boleh hantar seorang dua, jenuhlah kalau penagih-penagih itu melawan nanti.” Haji Shauki faham benar perangai budak-budak itu.  Pernah sekali dia diserang kerana mengganggu tempat mereka melepaskan gian dan membuat aduan polis.  Bukan dia takut dan gentar tetapi dia bimbang jika mereka mengacau ahli keluarganya pula.  Bukan semua yang menagih di situ penduduk asal kampung ini. Ada juga penagih datang dari kampung dan kawasan lain.
            “Semoga usaha kita ini akan berjaya Malek, Pak aji.” Hassan tersenyum gembira. Bajunya basah dengan peluh.  Dia mengesat peluh yang ada di muka. Mengesatnya pula di bahagian leher.  Air mineral 500ml diteguk perlahan-lahan.
            “Aamin, Insya-Allah, sama-samalah kita berusaha memperbaiki keadaan di kampung kita ini,”  jawab Haji Shauki.
            Kebersihan adalah separuh dari iman. Allah suka yang bersih, rumah yang bersih terhindar daripada kehadiran binatang perosak seperti lipas, tikus dan sama waktu dengannya. Longkang-longkang yang tersumbat dengan rumput yang panjang ditebas dan dibersihkan segala sampah sarap yang terdapat di dalamnya.Biar bersih semuanya. Biar sedap mata memandang. Biar tenang hati melihat.  Orang perempuan pula bergotong royong memasak untuk jamuan tengahari nanti. Saling bantu membantu. Anak-anak pula mengutip sampah sarap dan masukkan ke dalam beg plastik hitam. Akan dikumpul disatu tempat dan dibakar.  Satu kampung bekerjasama.  Memang tidak terduga sama sekali.  Apalah agaknya Malek sudah buat dengan mereka, sehingga sanggup bergading bahu semuanya.  Haji Shauki tersenyum bangga.
            Sejam kemudian dua buah kereta polis masuk ke kawasan kampung.  Bersama satu trak polis.  Seperti tahu-tahu sahaja ramai yang hendak ditangkap.  Penduduk kampung sudah mengepung kawasan tersebut.  Biar tertangkap semuanya, tidak kiralah anak siapa.  Ada ibu dan ayah sudah tidak tertahan lagi dengan sikap anak-anak yang menagih dan tidak mendengar nasihat.  Bukan mudah hendak berhenti apabila sudah terjebak.  Lebih baiklah menjauhkan diri daripada ingin mencuba. 
            Pihak polis memberi arahan agar penduduk kampung tidak menyerbu tanpa arahan daripada mereka.  Takut-takut ada penagih yang bersenjata. Malang tidak berbau, sewajarnya harus berhati-hati. 
            “Jangan bergerak!” kata salah seorang anggota polis yang turut sama dalam operasi pembersihan penagihan dadah itu. 
            Para penagih yang sedang melayan nafsu ketagihannya terkejut dan mula  cuba melarikan diri. Sempat ditahan oleh penduduk kampung.  Mereka yang ditangkap, terus direbahkan ke tanah dan tangan mereka diikat, biar tidak boleh melarikan diri. Itu pun ada yang mampu memboloskan diri.  Kurus keding begitu masih mampu berlari kencang.
            Malek berjaya menangkap dua orang.  Kalau ikutkan hati mahu sahaja dipukul seorang demi seorang.  Bukan semuanya anak muda, ada yang sudah layak dipanggil datok.  Sudah tua, perangai masih tidak berubah.
            Hampir sejam jugalah mereka bermain kejar-kejaran dengan para penagih yang bersantai di kawasan itu.  Ada yang sempat menyorok di sebalik belukar tebal di belakang mereka.  Sempat jugalah ditangkap.  Mahu tersenyum sendiri melihat gelagat mereka.
            Para penagih disoal siasat, diambil nama mereka, diletakkan di dalam trak polis. Ada juga orang kampung yang menangis kerana anak mereka turut terlibat.  Apa hendak dikata.  Tidak mungkinlah dibiarkan terus merosakkan diri.  Mungkin ada peluang untuk kembali ke pangkal jalan.  Siapa tahu?  Haji Shauki berharap mereka semua itu ditahan pusat serenti.  Biar terlepas dari penagihan najis dadah. Tidak kiralah apa jenis dadah yang digunakan tetap tidak baik untuk diri.  Merosakkan sahaja.  Menjahanamkan institusi kekeluargaan.  Menyakitkan hati ahli keluarga yang lain.
            “Usaha kita ini pasti tidak disenangi oleh pengedar di luar sana, jadi… kita kena hati-hati.” Malek mengingatkan.  Mana mereka tidak marah, bila lubuk duit mereka telah diganggu gugat.  Pengedar dadah hanya mementingkan keuntungan diri sendiri sahaja.  Siapa yang rosak, anak siapa, keluarga siapa, bukan urusan mereka.
            “Betul tu Malek, kita kena lebih berhati-hati,” sampuk Hassan. 
            “Kita tunggu dan lihat apa yang akan mereka lakukan.” Malek mengetap bibir.  Menggenggam penumbuk.
            “Kita sudah halau penghuninya,  bolehlah kita mulakan operasi pembersihan semak samun pula.  Tempat ini memang sesuai kita jadikan   stadium mini untuk daerah ini.  Tanah ini pun tidak bertuan.  Elok sangatlah,”  kata salah seorang penduduk kampung yang turut sama turun padang membantu.
            Haji Shauki tersenyum, bagus juga cadangan itu.  Dia akan sediakan kertas kerja dan hantar ke pejabat daerah.  Bolehlah mereka membantu apa yang perlu.  Semoga kampungnya akan terus harmoni dan aman damai. Malek akan diambil sebagai pembantunya. Anak saudaranya itu boleh diharap, biarlah bekas banduan, apa yang penting mampu buat kerja. Bukan hanya tahu mengarah dan bercakap sahaja.
            “Pak su, macam mana?”  Malek mendekati bapa saudaranya yang masih kuat dan bertenaga itu. Masih bersemangat buat kerja-kerja kebajikan. 
            “Alhamdulillah, kita buat yang terbaik, Malek.  Seperti kata kau tadi, kita harus berhati-hati, takut-takut pengedar kat luar sana, mengamuk nanti,” kata Haji Shauki dengan wajah berkerut.  Dia bimbang juga akan keselamatan anak-anak buahnya.  Tempat penagihan dadah di serbu, tentulah para pengedarnya akan mengamuk, lubuk duit mereka sudah jahanam.
            Hampir petang  barulah mereka bersurai. Segala urusan di pejabat polis juga sudah diselesaikan. Malek dan Haji Shauki tersenyum puas.  Ada agenda yang akan mereka jalankan untuk memperbaiki keadaan kampung.  Anak-anak muda akan digerakkan untuk membantu dan berusaha bersama-sama menaik taraf kampung tersebut.

Rabu, 21 September 2016

JALAN PULANG - BAB 10 - ASMAH HASHIM



Haji Shauki menggeleng laju, kesal menerpa dalam hati.  Muda-muda lagi sudah terjebak. Bahaya untuk kehidupan di masa hadapan. Jiwa belum cukup kuat dan kental dalam mengharungi kehidupan yang banyak liku dan lorong ini.  Kalau tidak kuat harus rebah mencium tanah. Dia sendiri sudah pening memikirkan cara untuk membenteras penagihan dadah yang semakin menjadi-jadi di kampungnya itu.  Bukan tiada aduan, bukan tiada serbuan, hari ini serbu, esok mereka berkumpul semula.
            Dia memandang wajah Halim dan Rafidah yang menunduk, mungkin berasa malu dengan apa yang berlaku.  Malek, Hasaan dan Khairul turut berada bersama.
            “Jadi, anak kau ditahanlah?” Tanya Haji Shauki kesal.
            “Ya, pak aji,”  jawab Halim, bertubi-tubi kekesalan muncul di hati. 
            “Apa kita nak buat ni Malek?  Kalau dibiarkan berterusan, habis anak muda di kampung ini menjadi mangsa penagihan dadah.  Kasihan budak-budak itu.  Mereka mudah sahaja disogokkan dengan benda haram itu.”  Haji Shauki mengeluh berat.  Sebagai ketua kampung dan Imam di situ, dia bertanggungjawab penuh terhadap masyarakat di kampung itu.  Dia tidak akan membiarkan anasir tidak sehat terus menular di kampung tempat dia membesar itu.
            “Nanti kita fikirkan bersama pak su, apa yang harus kita lakukan. Tanah di hujung kampung, saya rasa adalah baik kita majukan.  Buat sesuatu yang berfaedah untuk penduduk kampung ini.  Misalnya padang bola, futsal, beberapa lagi sukan yang baik dan bagus untuk anak-anak kampung ini,  apa kata pak su?  Dengan cara ini sahajalah, tempat itu dapat kita hindarkan dari terus menjadi sarang penagihan dadah,”  cadang Malek. Hanya itulah idea yang terfikir olehnya.  Apalah sangat yang dapat difikirkan bagi lelaki berumur sepertinya.
            “Bagus cadangan kau tu Malek, nanti pak su ajukan perkara ini kepada pejabat daerah. Mungkin mereka boleh salurkan sedikit bantuan.  Tanah yang terbiar, kita bersihkan.  Kita cuba hapuskan tempat penagihan dadah ini perlahan-lahan.”  Haji Shauki tersenyum puas.  Tidak sia-sia dia melantik anak buahnya itu menjadi pemimpin belia kampung itu.
            “Pasal anak kau Halim, biarlah dia ditahan di sekolah budak-budak nakal atau pusat pemulihan. Kalau bawa balik pun, kita boleh buat apa?  Nak berubat cara tradisional?  Mampukah kita menjaganya nanti? Atau nak pulihkan cara sendiri?” Haji Shauki memandang wajah Halim yang sugul dan muram itu. Hati seorang ayah pasti terluka melihat anak kandung sendiri terjebak dengan anasir-anasir yang tidak sehat. 
            “Ya, ALLAH!” raung  Rafidah.  Tidak mampu  hatinya melihat anak kandungnya terkurung di dalam lokap polis. 
            “Sabar Idah! Bawa mengucap!  Anak-anak kenalah pantau, jangan dibiarkan lepas bebas. Kena tengok siapa kawannya, sudah jadi seperti ini, apa nak dibuat lagi?”  Bukan menyalahkan Halim dan Rafidah, perkara sudah berlaku.  Hanya perlu memikirkan cara untuk mengembalikan anak itu ke jalan yang bena dan diredhai.
            “Anak-anak juga hendaklah disuruh solat dan belajar mengaji.  Ilmu agama perlu ada dalam diri, barulah mereka tahu buruk dan baik. Dosa dan pahala,” nasihat Haji Shauki lagi.
            “Memang salah kami, langsung tidak titik beratkan pelajaran agama.  Solat selalu culas, kami biarkan sahaja.  Ikut suka dia sahaja, kami langsung tidak ambil tahu.”  Ada kekesalan di hati. Ada rasa kecewa yang muncul tiba-tiba. 
            “Kalau sudah begitu, anak-anak yang lain itu, kenalah ajar dengan betul.  Aku sendiri tak suka melihat keadaan anak-anak kariah dan masyarakat di kampung ini hidup dalam kesesatan dan kejahilan,  itu tanggungjawab aku!  Aku berharap sangatlah pada kau Halim, Hassan dan Khairul, dengan bantuan Malek, kita kembalikan kejernihan kehidupan anak-anak muda di kampung ini.  Kita bersihkan daripada anasir jahat.  Kita bangunkan kampung kecil ini biar indah di mata dan cantik di hati,” harapan Haji Shauki.
            “Insya-ALLAH pak su.” Malek tersenyum bangga.  Biarpun jalannya tidak mudah.  Pasti para pengedar dadah di kawasan itu akan marah kerana hasil pendapatan mereka akan berkurangan.  Itu bukan masalahnya.  Siapa suruh buat kerja haram dan jual benda yang boleh merosakkan anak bangsa sendiri.
            “Bagaimana dengan anak saya yang ditahan oleh pihak polis itu pak aji?” tanya Halim.  Risau masih melekat di hati.
            “Biarkan dia di situ, kita tunggu perbicaraan nanti. Tunggu keputusan mahkamah. Hanya itu sahaja yang mampu kita buat.  Siapa suruh dia buat kerja gila!” Terasa marah menapak di hati. Muda-muda sudah menyusahkan emak dan ayah. 
            “Kasihan anak saya tu pak aji,” luah Raridah dengan tangisan yang masih bersisa.  Puas dipujuk oleh  Hajah Rokiah yang turut berada bersama-sama. 
            “Yalah Idah, kau kena kuat semangat.  Kalau kasihankan anak kau itu, kenalah berkorban.  Biar dia sedar akan kesalahannya,”  nasihat Hajah Rokiah. Kalaulah dia berada di tempat Rafidah, dia juga akan berasa kecewa. Hancur luluh hatinya. 
            “Saya ikutkan sahaja nasihat pak aji, jika itu yang terbaik buat anak saya itu,” kata Halim.  Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dia lakukan.
            “Sabarlah Halim, dia masih boleh diselamatkan, dan dibentuk menjadi anak yang soleh.  Kau kena kuat semangat,” pujuk Malek. 
            “Maafkan aku Malek. Aku benci sangat dengan kau.  Sedangkan kau tidak pernah bersalah dengan aku.” Timbul rasa bersalah di hati.  Dia tahu Malek jahat tetapi lelaki itu tidak pernah buat jahat di kampung ini.
            “Ala, lupakan, itu semua kisah lama, tak perlu dikenang.”  Malek tersenyum.  Dia tidak mahu berdendam dengan sesiapa, entah-entah masih ada orang yang mendendaminya lantas kejahatannya yang lalu.  Dia sahaja yang tidak tahu. Tidak mahu mendendami sesiapa jika mereka pernah bersikap buruk terhadap anak-anak dan bekas isterinya.  Bukan salah mereka. Semua yang berlaku adalah salah dirinya sendiri.
            “Esok, kita adakan mesyuarat untuk jalankan terus projek kita itu.  Hassan dan Halim, kau cari seberapa ramai orang kampung. Kita bergotong royong bersihkan kawasan kampung yang semak-samun. Tanah terbiar yang ada di hujung kampung itu, kita bersihkan semuanya.  Biar terang. Biar nampak sehingga ke dalam,” arah Haji Shauki. Rancangan yang ada tidak boleh ditangguh-tangguh.  Lagi cepat mereka bekerja, lagi cepat segala masalah dapat diselesaikan.  Kerja yang bertangguh adalah amat merugikan.  Tentang tanah yang menjadi sarang penagihan dadah itu, dia akan berbincang dengan pihak pejabat daerah.  Perlu buat sesuatu. Semua  kerja akan beres jika ada yang membantu dan saling bekerjasama.
            “Insya-ALLAH pak su.  Semoga usaha kita ini dapat mengekang anasir yang tidak baik dari terus menular ke kampung kita,” kata Malek.  Pengalaman yang lalu banyak mengajarnya erti kehidupan sebenar yang sepatutnya dilalui oleh manusia.  Manusia diciptakan ALLAH bukan untuk melakukan kerosakan di muka bumi ini, tetapi menjadi khalifah, menjadi hambaNYA yang taat serta menyembahNYA.  Dia benar-benar insaf, usia mudanya dihabiskan dengan sia-sia.  Dosa dan noda berpalit di tubuh dan hatinya.  Semoga ALLAH menerima taubatnya. 
            “Bolehlah kita umumkan waktu solat zohor nanti,” ujar Haji Shauki.
            “Bagus juga tu pak aji,”  jawab Halim.  Hatinya masih diulit bimbang tentang keadaan anak sulongnya.  Selama ini dia memandang sepi sahaja dengan siapa anaknya berkawan.  Dia berharap yang anaknya mampu mengawal dan menjaga diri serta menolak anasir yang tidak baik hadir merosakan diri sendiri.
            “Kalau begitu, kami beransur dahulu, kebetulan malam ini saya bekerja,” beritahu Malek.  Dia kerja shif malam.  Sementara menunggu waktu bekerjanya tiba, bolehlah dia berehat seketika. 
            “Baiklah, jumpa nanti ya.”  Haji Shauki melakarkan senyuman.  Masalah anak-anak kampung itu, masalah dia juga.  Sebagai ketua kampung, dia tidak boleh lepas tangan.
            Haji Shauki memandang sahaja anak-anak buahnya berlalu meninggalkan rumahnya.  Dia berharap sangat kepada mereka.  Semoga seluruh penduduk kampung akan bekerjasama membenteras  penagih dan pengedar dadah yang semakin berluas-luasa di kampung itu. Lagi dibiarkan, semakin melarat nanti.  Tidak mahu jadi kudis buta yang mampu merosakkan seluruh anggota.