Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 28 Oktober 2016

JALAN PULANG- BAB 16 - ASMAH HASHIM



Zakuan tidak tahu lagi bagaimana harus dia memujuk hati ibunya yang sarat dengan kecederaan yang tidak mampu diubati. Lukanya terlalu dalam.  Amukan ibunya petang itu benar-benar menghiris hatinya.  Habis semua perkara diungkit satu persatu.  Tiada yang tinggal. Kesengsaraan yang lalu bertayangan kembali. Hampir luluh hatinya, sebak dadanya. Ya!  Dia lalui semua kesengsaraan itu.  Perit dan pedih. Kata-kata nista yang diterima hampir setiap hari. Hidup tersisih, bagaikan sampah dalam takungan air bersih, dicampak dan dibuang, tidak dipandang langsung.  Setiap malam melihat air mata ibunya tumpah di helaian daun pisang bagi membungkus nasi lemak.  Tangisan adik yang kelaparan lantaran duit untuk makan yang tidak pernah kecukupan.  Membanting tulang ibunya siang dan malam. Sakit demam tanggung sendiri, minum berbotol-botol air bagi melegakan panas badan.  Tidak berani ke hospital lantaran RM1.00 adalah amat berharga untuk membeli secupak beras.  Begitu perit hidup mereka ketika ayahnya berada di penjara.   Tok Su tidak berani membantu. Orang kampung boikot terus. Diam-diam  Tok Su Shukri memberi beras sekampit setiap bulan.
            “Ibu nak lelaki itu berambus dari sini!  Wan nak, dia bawa kawan-kawan samsengnya ke mari dan ganggu penduduk kampung?  Wan nak  ke sejarah hitam kehidupan kita berulang lagi?” bebel Salmah.  Hatinya masih terluka, luka yang tidak mampu disembuhkan lagi.  Luka yang sentiasa berdarah selagi lelaki itu bernyawa.  Bukan dia meminta kematian atau nyawa lelaki itu diragut, tetapi dia tidak mahu melihat wajah lelaki yang telah menghiris halus hatinya sehingga tidak mampu disambung kembali menjadi seketul hati yang sihat.
            “Mana ayah nak pergi bu?”  soal Zakuan.  Dia menahan sebak di dada.  Biar sebanyak bintang di langit dosa-dosa yang telah ayahnya lakukan, namun, lelaki itu sudah berubah. Memang ayahnya, Malek jahat di waktu mudanya, kejam ketika itu.  Tetapi, sekarang tidak lagi.  Kenapa sukar benar ibunya memberi peluang kedua kepada lelaki yang telah memberi benih sehingga dia dan adiknya wujud sekarang ini.
            “Dia bukan budak-budak! Pandailah dia bawa diri, yang Wan risaukan sangat kenapa?” tanya Salmah, matanya dijegilkan.  Dadanya berombak menahan getaran amarah yang mengganas di hati.
            “Wan bukan apa…”
            “Kenapa degil sangat ni?” tempelak Salmah dengan mata membulat memandang tajam wajah anak sulongnya.  Tidak faham bahasakah?  Atau sengaja mencari alasan untuk lelaki itu terus berada di rumah itu.
            “Ibu!” panggil Zakuan perlahan.
            “Tidak!”  Salmah tetap bertegas. 
            Zakuan mengeluh berat. Dia menghela nafas kasar.  Hatinya benar-benar kecewa.  Keputusan ibunya adalah kata putus yang tidak mungkin dapat diubah lagi.  Serba salah jadinya.  Tidak terluah apa yang terpendam di hati.  Ibu sudah membuat keputusan. Sebagai anak berdosa jika membantah, namun orang yang akan dihalau adalah ayah kandungnya sendiri.  Kedua-duanya adalah syurganya.  Bingung memikirkan masalah yang sedang bertandang.  Berhadapan dengan ayahnya juga sukar untuk dilakukan.  Pasti hati tuanya turut berduka.  Maafkan Wan ayah, detik hati kecil Zakuan yang semakin sebak di dada.  Dia menahan sendu sendiri, tidak mahu menangis di hadapan ibunya yang masih memerah wajahnya, masih bersisa rasa marah yang membuak di  hati.  Kepanasan padang pasir  akan sejuk bila tiba waktu malam, tetapi kepanasan di hati ibunya tidak mampu disejukkan dengan  siraman air dari tujuh lautan sekalipun. 
            Dia bingkas bangun, ibunya sudah pun menghilangkan diri ke dalam bilik.  Seperti biasa melayan rajuk sendiri.  Dia tidak mahu kepanasan yang membahang di hati ibunya terus membakar diri. Biarlah dia beralah.  Kepada ayah, biarlah dia berterus terang sahaja, kedua-duanya dia sayang, merekalah syurganya. Semak dadanya dengan masalah yang bertimpa-timpa.  Ibu yang tidak pernah reda, ayahnya yang berserah apa sahaja.
            Pintu belakang dibuka perlahan, dijengah keluar.  Pintu bilik stor terkunci rapat.  Di hadapan pintu stor tidak ada kasut ayahnya.  Dahinya berkerut. Jangan-jangan ayahnya mendengar butir bicara dia dan ibunya tadi.  Terasa seram sejuk tubuhnya. Terasa sebak hatinya.  Janganlah ayah berasa kecil hati. Ibu perlukan masa untuk menerima semuanya ini.
            Zakuan melangkah keluar, dia mendekati pintu stor yang tertutup. Diketuk perlahan sambil memberi salam.  Tiada jawapan. Semakin tidak keruan hatinya. Semakin bimbang bertandang di sanubari.  Rajuk jugakah ayahnya?   Zakuan cuba membuka tombol pintu, tidak berkunci?  Daun pintu ditolak perlahan.  Tiada siapa di dalamnya.  Kosong.  Zakuan melangkah masuk.  Bersih dan kemas bilik tersebut.  Tiada kain baju yang bersepah.
            “Ayah! Ayah!” panggil Zakuan.  Tiada sahutan.  Benarlah, ayahnya tidak ada di situ. Ke mana pula?  Takkan sudah ke tempat kerja?  Kepala Zakuan ligat berfikir, mungkin ayahnya ke rumah Tok Su Shauki.  Zakuan menapak keluar dan menutup semula daun pintu stor tersebut.  Dia menuju  ke laman depan.  Kunci kereta dikeluarkan dari poket seluarnya. Kereta sedan miliknya itu dihidupkan enjin dan menderum keluar dari laman rumah.  Ke mana? Tentulah ke rumah  Tok Su Haji Shauki, pasti ayahnya ke sana.
            Zakuan meletak kenderaannya di bawah pokok mempelam di hadapan rumah Tok Su Haji Shauki.  Dia melangkah laju lalu memberi salam. 
            “Wan?”  Haji Shauki kehairanan. 
            “Ayah ada di sini Tok Su?” tanya Zakuan.  Nafasnya turun naik, tercungap-cungap. 
            “Tak ada pula? Kenapa?”  tanya Haji Shauki.
            “Kalau ya pun, masuklah dulu,” pelawa Haji Shauki.
            Zakuan melangkah masuk. Dia menceritakan apa yang berlaku di rumah.  Keluh kesah hatinya, resah jiwanya.  Entah-entah ayahnya merajuk dan membawa diri. 
            “Sabarlah Wan, ibu kau tu dah lama terseksa hidupnya, baharu nak jumpa aman.  Jangan dipaksa dia menerima apa yang dia tak suka,” nasihat Haji Shauki.  Dia faham benar sikap bekas isteri anak buahnya, Malek itu.  Dia menjadi saksi segala penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh wanita yang tidak berdosa itu.  Suami punya angkara, isteri dan anak-anak menjadi mangsa.  Dia sebagai bapa saudara pun tidak mampu membantu.  Begitu marah orang-orang kampung ketika itu terhadap Malek dan keluarganya. Yang jahat adalah Malek, bukan isterinya, tetapi Salmah menerima balasan segala dosa yang dilakukan oleh suaminya.
            “Manalah ayah pergi, ya tok su.”  Zakuan mengeluh berat. Terasa sebak dadanya memikirkan nasib hidup ayahnya.  Inilah bayaran yang terpaksa dibayar atas dosa semalam yang tidak mampu dimaafkan. 
            “Adalah tu, jangan dibimbangkan sangat, ayah kau tahu jaga diri,” pujuk Haji Shauki.  Ke mana pula anak saudaranya itu pergi?  Dia menghela nafas keras.
            “Di tempat kerja dah cari?” tanya Hajah Rokiah. Dia memandang wajah suami, Haji Shauki dan anak saudaranya silih berganti.
            “Belum lagi tok su.  Kenapalah saya tak terfikir tadi, mungkin ayah ada di sana.”  Zakuan menarik nafas lega.   Hari ini, ayahnya kerja malam, mungkin berada di kilang tempatnya bekerja. 
            “Kalau begitu, Wan minta diri dulu, mungkin Wan akan carikan rumah sewa untuk ayah.”  Zakuan bersalaman dengan Haji Shauki dan berlalu pergi.
            “Yalah, beritahu ayah, tok su nak jumpa,” pesan Haji Shauki sebelum kenderaan Zakuan meninggalkan perkarangan rumahnya.

Jumaat, 21 Oktober 2016

JALAN PULANG - BAB 15 - ASMAH HASHIM



Malek leka membersihkan kawasan rumah.  Matanya tidak berani di arahkan ke arah rumah bekas isterinya.  Masih panaskan hati perempuan yang pernah menjadi isterinya itu.  Masih bernanahkan luka lama?  Inilah  hasil tanamannya yang lalu, tuaian dan benih yang tersemai tidak cantik, maka hasilnya juga cukup mengecewakan.  Dia mensia-siakannya. Tidak pernah berbajakan kasih sayang, belaian manja. Tidak disirami dengan embun cinta yang segar megar.  Dia menuangkan duka di hati, memasak luka  di jiwa.  Apalah dayanya untuk memujuk agar mampu dimaafkan segala kesalahannya yang lalu.
            Sebuah kereta Myvi berwarna putih berhenti di laman rumah.  Malek yang sedang menebang pokok rambutan tua berhenti seketika.  Panahan matahari pagi menyukarkan pandangan mata melihat siapakah gerangan yang tiba.  Turun  dua orang lelaki bertubuh sederhana besar.  Berkerut dahi Malek memandang ke arah mereka.  Mereka berjalan mendekatinya.
            “Kami cari lelaki bernama Malek,” kata salah seorang dari lelaki  yang terus bersuara tanpa mengucapkan salam seperti adab yang sepatutnya orang Melayu dan  beragama Islam.  Mungkin lain bangsanya, dari cara berpakaian dan tato penuh di lengan. Mungkin bukan Islam.  Malek megangkat kapak dari pokok yang ditebang. Dipegang kemas di tangannya yang sasa.  Wajah kedua lelaki itu ditenung seorang demi seorang.
            “Kenapa cari Malek? Apa urusan kau orang  berdua?” soal Malek, ingin benar dia mengetahuinya. Kenapa manusia yang tidak dikenalinya itu datang mencarinya? Gaya seperti samseng sahaja.  Setahunya, dia sudah lama meninggalkan dunia kejahatannya.  25 tahun sudah berlalu.
            “Tak perlulah kau tahu! Kami tanya, mana Malek?  Kau kenal ke  lelaki bernama Malek?”  tanya lelaki yang berbadan  berketak-ketak dibaluti t-shirt yang sendat.
            “Aku Malek, kau orang nak apa?”  soal Malek  kembali.  Dia harus bersiap sedia, kalau baik disambut baik, kalau pincang langkah mereka, buruklah akibatnya.
            “Kau kena ikut kami, bos kami nak jumpa!” kata lelaki yang berbadan ketak itu lagi.
            “Apa hal?  Aku tak ada urusan dengan bos kau orang,” kata Malek tegas. 
            “Jangan degillah orang tua!  Kang kena penyepak kami, takut bungkus masuk lubang kubur!” kata seorang lagi dengan kasar.
            Malek kehairanan. Lancangnya mulut.  Sudah datang tidak memberi salam, cakap pula tidak bertapis, main paksa pula. 
            “Hey, aku tak kenalkan bos kau orang!  Aku tak ada urusan dengan kau orang berdua, pergi berambus!” kata   Malek kasar. Kasar datangnya, kasar pula balasannya.
            “Kami kata ikut! Ikutlah!”  Lelaki berbadan ketak itu lalu menerpa hendak menangkap tangan Malek. 
            Malek mengundur ke belakang.  Dia mendengus kasar.  Mereka ini bersungguh-sungguh nampaknya.  Kapak di tangan dipegang kemas. 
            “Baik kau orang berambus sebelum aku tetak kau orang berdua!” ugut Malek.
            “Ingat kami hairan ke orang tua?”  Lelaki berketak itu ketawa.
            “Kau dah tualah, ikut ajelah cakap kami!” kata seorang lagi.
            “Aku tak ada urusan dengan kau oranglah!” Malek tetap menolak. 
            “Tak guna punya orang tua, menyusahkan!  Ingatkan Malek tu muda trang tang tang, ini orang tua yang tunggu nak mati aje, entah-entah dah mati pucuk!” sindir lelaki berbadan ketak itu.
            Malek masih mampu bersabar. 
            Kedua lelaki itu menerpa dan mula menendang dan memukul Malek.  Kapak di tangan Malek langsung tidak menggentarkan mereka. Malek menolak kedua mereka dengan sekuat hatinya.  Lawan jenis apa ini? Ingat gusti ke?  Malek menendang lelaki yang berbadan ketak itu tersungkur ke tanah.  Yang seorang lagi ditumbuk sekuat hati sehingga rebah dipangkal pokok rambutan yang sudah  ditebang.
            “Malek!!” jerit seseorang.
            Malek menoleh.  Salmah!  Malek memandang wajah bekas isterinya yang datang mendekati.
            “Kalau sudah samseng, sampai bila-bila pun samseng!  Dah lama aku hidup aman di rumah ini, kau datang bawa bala aje!” marah Salmah yang sejak tadi menjadi pemerhati kedatangan kedua lelaki itu. 
            “Sal! Saya tak kenal kedua orang itu,”  terang Malek membela diri.  Bukan salah dia.  Mereka yang datang memaksa.
            “Aku tidak peduli, siapa salah, siapa yang mulakan dulu.  Aku minta kau pergilah dari sini, jangan ganggu anak-anak aku, jangan ganggu hidup aku!”  Salmah mencengkam leher bajunya menahan rasa marah yang membuak di hati. 
            Kedua-dua lelaki itu cuba bangun perlahan-lahan, terasa sakit juga pukulan lelaki yang mereka fikirkan lemah dan tidak berdaya itu. 
            Malek memandang kedua lelaki itu.  Dia bersedia untuk bertindak lagi.
            “Sudah!  Ini bukan gelanggang silat atau tempat kau beradu tenaga!” semakin sakit hati Salmah melihat kedua-dua lelaki itu yang datang membuat kacau di kawasan rumahnya.  Malek tidak seharusnya berada di situ. Menganggu-gugat keamanan kehidupannya selama ini. 
            Malek terdiam, jelas terpancar kebencian di hati Salmah terhadap dirinya.  Benci yang tidak terluah dengan kata-kata, pandangan mata  yang tajam itu sudah cukup untuk mengungkapnya.
            “Hey, Malek! Kau jangan kacau kawasan kami! Ini amaran bos kami!” kata lelaki tubuh berketak itu dengan wajah berkerut. Masih terasa sakit kesan tendangan di perut itu tadi. Boleh tahan padu tendangan lelaki tua itu. Tidak padan dengan umur.
            Malek hanya mengacukan kapak ke arah kedua lelaki itu. Mereka berlari masuk ke dalam perut kereta dan berlalu pergi.
            Salmah meludah ke tanah, dia menjeling tajam.
            “Keluar dari sini, aku tak nak tengok muka kau!”  Salmah melangkah laju meninggalkan Malek termangu sendiri.   Keluhan berat terlepas dari bibirnya.  Maafkan abang, detik hati kecilnya, sayu.
            Ke mana dia nak pergi?  Inikan kampungnya.  Mungkin dia boleh cari rumah sewa atau bilik untuk dia berteduh.  Cukuplah derita yang diberikan kepada bekas isteri dan anak-anaknya itu.  Kehadiran lelaki itu mengingatkannya akan tempat penagihan dadah yang dimusnahkan baru-baru ini. Mungkin ketua kumpulan pengedar itu sudah mendapat tahu sarang itu telah musnah dan mula kepanasan kerana perniagaan mereka telah diganggu-gugat. Rugi besarlah mereka.
            Malek menarik nafas kelelahan. Mungkin Pak Sunya boleh membantu.  Dia memerhati dengan rasa kecewa langkah Salmah. Marah yang tidak pernah padam, dendam kesumat yang tidak pernah reda.  Kesakitan yang masih dalam lukanya.  Kehancuran yang tidak mampu diperbaiki lagi.  Keluhan berat dilepaskan.