Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 30 Januari 2017

JALAN PULANG - BAB 24



            Malek mendekati rumah banglo tinggal yang sudah lama tidak berpenghuni itu. Semak samun memenuhi kawasan banglo dua tingkat yang terletak di hujung Kampung Seberang itu.  Dia mendengus kasar.  Melihat keadaan rumah itu, seperti sudah lama ditinggalkan.  Adakah selepas dia dan kawan-kawannya melakukan rompakan dan… Malek menunduk malu untuk menyebut perkataan yang telah mengheretnya ke dalam penjara selama 25 tahun itu.
            Sesungguhnya kehidupan masa mudanya begitu menjijikkan.  Dia membuka pintu pagar besi yang sudah berkarat it. Jalan yang bertal cantik itu sudah pun pecah-pecah, bumbung atap genting juga sudah retak dan ada yang sudah tiada.  Dinding pula berlumut, rumput tumbuh panjang hampir sama tinggi dengannya.  Pokok daun kapal terbang tumbuh melata di setiap penjuru sudut rumah itu, menjalar dengan kasar sehingga meninggalkan ruang yang sedikit sahaja di bahagian dinding.
            Ke mana Tuan Harun pergi? Anak gadis Tuan Harun yang telah dirosakkan itu, di mana dia berada sekarang?  Kalau boleh dia ingin melutut dan bersujud kepada keluarga Tuan Harun, memohon ampun dan maaf, terlalu besar dosa yang telah dilakukannya.  Tidak tertanggung dek dosa yang besar itu.  Dosanya kepada Allah, hanya Allah yang akan mengampunkannya, bagaimana dengan dosanya sesama manusia? Apatah lagi Tuan Harun, kali terakhir mereka bertemu adalah sewaktu perbicaraan kesnya, Tuan Harun dan anak gadisnya menjadi saksi pendakwaraya.  
            “Encik! Encik buat apa di sini?” sapa seseorang.
            Malek menoleh, seorang gadis muda, mungkin sebaya Zakuan berdiri memandangnya dengan kehairanan.
            “Maaf, saja lihat-lihat,” jawab Malek.
            “Anak siapa?” tanya Malek.
            “Saya cucu Tuan punya rumah ini,”  jawab gadis itu lembut.
             Wajahnya! Saling tak tumpah seperti wajah anak gadis Tuan Harun. Malek mendekati gadis tersebut.
            “Setahu saya, Tuan Harun hanya ada seorang anak,” ujar Malek.
            “Ya, dia emak saya,” jawab gadis itu perlahan.
            “Oh, di mana Tuan Harun dan keluarganya sekarang?” tanya Malek.  Dia masih mengamati wajah gadis itu. Cantik dan manis, persis emaknya.
            “Datuk dah lama meninggal, selepas emak melahirkan saya, saya tinggal dengan nenek, tapi nenek baru sahaja meninggal bulan lepas,” jawab gadis itu, ada nada sendu dalam kata-katanya.
            “Innalillahi…”ucap Malek.  Dia mengurut dada.  Tidak sempat dia meminta ampun dan maaf. Allah! Nampaknya dia terpaksa bertemu mereka di akhirat nanti, entahkan di syurga atau neraka nasib dirinya.  Malek menunduk.
            “Pak cik ni siapa? Buat apa di sini?” tanya gadis itu.
            “Pak cik orang kampung sini juga.  Waktu sedang berjalan-jalan, ternampak rumah terbiar ini, itu yang singgah.” Sengaja mereka cerita.
            “Bermakna anak  gadis Tuan Harun berkahwin jugalah ya?”  soal Malek.
            Gadis itu menunduk seketika, kemudian menggeleng perlahan. Wajahnya yang tenang bertukar muram.  Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan.
            “Emak tidak pernah berkahwin,” jawab gadis itu tersangkut-sangkut.
            “Kalau tidak pernah berkahwin? Anak ini…” Malek terkedu. Dia memandang wajah gadis itu.
            “Panjang ceritanya pak cik. Maaflah, saya telah membuka pekung di dada keluarga saya.”  Gadis itu menyeka air mata yang mula menitis di pipinya. 
            Malek terdiam seketika, otaknya ligat berfikir.  Apakah? Ah! tidak mungkin! Takkanlah?  Ah! Apa yang telah dia lakukan?
            “Emak anak di mana?” tanya Malek, ingin benar dia bertemu dengan gadis yang telah diperkosanya dahulu.
            “Emak?” gadis itu diam seketika.
            “Ya, emak anak,” kata Malek. Hatinya melonjak-lonjak ingin tahu.
            “Emak ada di Hospital Mental di Tanjung Rambutan.  Baru kelmarin masuk semula, entah apa yang mengganggunya, baru keluar beberapa bulan yang lalu, dah masuk semula. Sejak saya dikandungkan, sampailah sekarang, asyik keluar masuk rumah sakit jiwa sahaja,” cerita gadis itu tanpa ada rasa syak wasangka terhadap Malek.
            “Ya Allah!” Malek berasa sebak.
            “Mak anak jadi gila? Kenapa?”
            “Menurut cerita nenek, rumah mereka pernah dirompak, habis segala duit dan barang kemas diambil, emak pula, waktu itu masih dara sunti, dirogol oleh salah seorang perompak sehingga mengandung. Mak malu, tidak mahu pergi sekolah, tidak mahu keluar rumah, menangis sahaja setiap hari, datuk bawa emak berubat merata tempat, namun tetap tidak mahu sembuh.  Menurut doktor yang merawat emak, jiwa emak tertekan dan fobia, tidak mampu melupakan peristiwa tersebut. Sakit emak bertambah teruk apabila mendapati dirinya mengandung. 
            Datuk dapat tahu emak  mengandung pun agak lewat, doktor tidak mahu menggugurkan kandungan emak, sehinggalah saya lahir.  Saya dilahirkan di wad gila, emak diikat sepanjang mengandungkan saya, jika dia dilepaskan, dia akan menumbuk-numbuk perutnya seperti mahu membunuh bayi di dalam kandunganya.  Akhirnya, saya dilahirkan juga, emak tak nak saya. Nenek ambil jaga saya, datuk meninggal sebaik sahaja saya dilahirkan,” cerita gadis itu, setitis air mata pun tidak lagi mengalir di pipinya.  Dia hanya tersenyum sekali sekala sepanjang waktu dia bercerita.
            Allah! Menjerit-jerit  perasaan kesal di hati Malek.  Rasa seperti jantungnya ditoreh-toreh dengan kasar sewaktu mendengar cerita gadis itu.  Gadis manis yang berdiri di hadapannya itu adalah benih yang ditaburkan dengan paksa kepada gadis yang tidak berdosa itu.  Dia cuba berpaut di pagar, terasa lemak lutuhnya.  Terasa hendak menjerit memohon ampun dan maaf kepada gadis yang tidak berdosa itu.  Lahir tanpa ayah, emak pula gila, datuk meninggal dan sekarang tinggal dengan neneknya.
            Malek cuba berwajah tenang, sedangkan fikirannya berserabut dengan dosa semalam.
            “Anak tak rasa kesal dengan apa yang berlaku?  Anak tak nak jumpa lelaki yang telah merosakkan emak anak?” uji Malek.  Air mata sudah merembas keluar dari hatinya.  Torehan pisau tajam daripada cerita gadis itu sedang menghiris jantungnya.
            Gadis itu memandang wajah Malek, dia tersenyum sinis.
            “Pak cikkah orangnya?” tanya gadis itu.
            Pucat muka Malek.  Dia terkedu seketika.  Dia cuba tersenyum, tapi tawar.
            “Takkan pak cik, kan?  Pak cik nampak seperti orang baik-baik. Biarlah pak cik.  Saya takkan simpan dendam, kata ustaz tempat saya belajar, dendam itu adalah milik syaitan. Orang yang berdendam akan masuk neraka.  Biarlah, mungkin sudah takdir saya dilahirkan dalam keadaan begini.  Saya terima, mesti ada hikmahnya,” kata gadis itu lembut. Tudung labur yang kemas di kepalanya sekali-sekala menari-nari ditiup angin. Jubah yang dipakai agak besar menutup keseluruhan susuk tubuhnya. 
            Allah! Hanya itu sahaja perkataan yang mengalir keluar dari mulut Malek.  Baiknya hati gadis itu. 
            “Kenapa tidak tinggal di rumah ini, dan dibiarkan terbiar sahaja?” tanya Malek.
            “Nenek tidak mahu tinggal di sini, saya datang ini sebab nak letak papan tanda, untuk dijual, sudah tiba masanya kenangan perit ini dikuburkan terus,” kata gadis itu lagi. Matanya menerawang memerhatikan rumah banglo itu. 
            Malek turut memerhati.  Sesekali matanya mengamati wajah gadis itu.  Langsung tidak seperti wajahnya, lebih persis wajah gadis yang telah diperkosanya itu. Ya, Allah! Gadis ini adalah darah dagingnya sendiri, biarpun bukan anak yang sah, tetapi dia yang bersalah.  Malek menelan air liur sendiri terasa pahit di tekaknya.  Dosa yang dilakukan terus subur tumbuhnya.  Apa yang harus dia lakukan? 
            Anak gadis itu pula, sopan dan kelihatan baik orangnya.  Kalaulah dia tidak bersikap rakus pada malam kejadian rompakan itu, sudah pasti anak itu tidak akan lahir dan terpaksa menanggung malu seumur hidupnya, serta anak Tuan Harun tidak akan menjadi gila sehingga ke hari ini.  Dia telah memusnahkan banyak hati dan jiwa orang lain.
            “Saya minta diri dulu pak cik, semoga kita jumpa lagi!’ ujar gadis itu sebelum berlalu dengan keretanya. 
            Malek hanya menunduk hormat, terkuncinya lidahnya untuk memberitahu anak gadis itu bahawa dialah manusia yang telah merosakkan emak anak gadis itu dan dialah ayah kandung anak gadis itu. Malu! Dia benar-benar malu!

Jumaat, 27 Januari 2017

JALAN PULANG - BAB 23




            Duit di tangan tiada, nak makan apa?  Akalnya berjalan ligat, memikirkan cara untuk memenuhi keperluan sendiri, beras bukan boleh dikutip di tepi jalan, perlukan duit, ikan bukan boleh dicari di dalam sungai, biarpun boleh memancing, berapa lama dia harus menunggu? Alasan!  Dia tidak mahu mencipta alasan.  Akan diusahakan selagi mampu.  Salmah menyelongkar almari pakaian.  Barang kemasnya?  Ya, barang kemasnya masih ada.  Hanya itu sahajalah harapannya.  Dia perlu gadainya untuk buat modal bagi menambah pendapatan.  Bukan menghabiskan duit tersebut dengan membeli makanan.   Tidak tahu berapa lama Malek akan membiarkan dirinya berada di dalam keadaan begini, duit belanja tidak diberi.  Dengan perut yang membuyung, Salmah ke pekan kecil yang berdekatan dengan tempat tinggalnya.
            Dia terus ke kedai pajak gadai.  Mengeluh dalam hati. Apa guna simpan barang kemas sedangkan tengkolok sendiri tidak berisi, apatah lagi ada anak di sisi.  Suami pula buat tidak reti, asyik memikirkan diri sendiri.  Anak sulongnya setia di sisi menemani, bagaikan tahu masalahnya.  Zakuan tidak banyak kerenah. 
            Dengan wang tersebut,  Salmah menggunakannya sebagai modal membuat kuih muih, dia sempat bertanyakan kepada pemilik warung yang terletak berhampiran jalan masuk kampungnya, di kedai makan itu memang ramai pengunjungnya. Di situlah harapannya untuk mencari sesuap nasi.  Suami?  Biarlah dia beranggapan suaminya sudah meninggal.  Agar hatinya tidak sakit. 
            Kuih ketayap, karipap, seri muka, lepat pisang, kuih cara manis, itulah jenis kuih muih yang mampu dimasak.  Bukan banyak pun, serba sedikit, dia berharap kuih muih air tangannya akan laris dan habis terjual, duit daripada hasil jualan itu, bolehlah diguna untuk buat belanja harian.  Biarpun keadaan tubuhnya yang tidak begitu sehat, itu tidak mematahkan langsung semangatnya untuk mencari rezeki.  Biarlah sedikit tetapi halal dan diberkati.
            Hari pertama hasil jualannya memang memberangsangkan.  Salmah benar-benar gembira.  Buat pertama kali memegang duit hasil titik peluh sendiri. Dia membahagikan duit hasil jualan itu kepada tiga bahagian, satu bahagian disimpan untuk masa dia melahirkan nanti, takkan waktu berpantang, dia nak bertungkus lumus berniaga juga?  Satu bahagian digunakan sebagai modal semula, satu bahagian lagi buat belanja harian.  Kalaulah dia tidak berbuat begitu, sebanyak mana pun perolehan pendapatan, pasti tidak cukup. Ya, dia perlu bijak mengatur perbelanjaan sendiri.
            Sebulan Malek tidak balik, Salmah sudah malas hendak mengambil tahu, apa yang perlu dilakukan adalah meneruskan hidup dengan anak-anaknya.  Zakuan semakin membesar begitu juga dengan anak di dalam rahimnya.  Belum sekalipun dia mendapatkan rawatan bulanan kandungannya itu. Berserah sahajalah.   Biarpun rawatan yang diberi adalah percuma, tetapi hatinya berasa segan dengan penduduk kampung yang sering bertanyakan Malek.  Apa lagi jawapan yang boleh diberikan? Sah-sahlah dia dikatakan ditinggal pergi oleh suami sendiri.
            Biarlah sakit tubuh badannya, tidak mahu menambah beban di hati dengan umpat keji jiran tetangga, ada juga yang simpati, tidak kurang  juga yang mencemuh dirinya.  Hati manusia tidak akan sama.  Dia perlu tabah dan kuat, usah mengalah demi anak-anaknya.
            Malam kian larut, matanya sudah terasa mengantuk, kuih seri muka masih di atas dapur, terpaksalah dia menunggu sehingga kuih itu masak.  Zakuan sudah pun lena setelah seharian bermain sendiri. Perutnya juga semakin kelihatan, tidak mampu disorokkan lagi disebalik baju kurungnya yang besar.  Sesekali dia mengurut perutnya yang semakin memboyot.  Bunyi cengkerik bersahut-sahutan, menemani malamnya yang sunyi.  Cuaca juga terasa sedikit membahang, mungkin kerana sudah lama tidak ditimpa hujan.  Sedang leka dia memotong plastik bagi menggulung kuih ketayap esok pagi, terdengar daun pintu dibuka dengan kasar. 
            Salmah berjalan laju menuju ke ruang tamu, takut Zakuan terjaga. Berdiri di ruang tamu dengan wajah pucat lesi, berpeluh, tercunggap-cunggap seperti baru berlari, daun pintu segera ditutup rapat terus dikunci.
            “Abang!”  Salmah memandang wajah Malek yang kelihatan takut-takut itu. 
            “Syyy!” kata Malek sambil meletak jari telunjuk di bibirnya.
            “Kenapa ni?” tanya Salmah kembali.
            “Kalau ada orang cari aku, katakana aku tak ada! Aku tak balik!”  suruh Malek, dia terus masuk ke dalam bilik.
            Salmah hanya mampu memandang dengan  hati yang pilu, kenapalah dia dapat suami seperti Malek?  Bukankah seorang perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik? Tidak baikkah dia?  Atau Allah swt ingin menguji dirinya?  Salmah mengesat air mata yang jatuh ke pipi.  Hiba menggaru-garu hatinya, mengusik rasa hiba yang meronta-ronta di jiwa.
            Salmah terpinga-pinga kehairanan. Apa yang sudah berlaku?  Apa yang suaminya takutkan? Salmah mengekori langkah Malek menuju ke dalam bilik.  Suaminya sedang berjalan mundar-mandir di dalam bilik, seperti orang ketakutan. 
            “Kenapa ni bang? Apa yang abang dah buat?” soal Salmah.  Pasti telah berlaku sesuatu, kalau tidak, pasti suaminya tidak akan berperangai pelik begini.
            “Kau diam, boleh tak? Aku sedang berserabut ni!”  jerkah Malek tidak tentu arah.
            Salmah terdiam. Bunyi ketukan di pintu membuatkan dia meninggalkan Malek dan membuka pintu. Dua orang anggota polis berdiri di laman rumah.
            “Ya tuan? Ada apa?” tanya Salmah, berdegup kencang jantungnya sebaik sahaja terlihat kelibat dua orang anggota polis di hadapan pintu rumahnya, seorang lagi berada di tepi kenderaan, seorang lagi sedang meronda sekeliling rumah. Semakin berdebar hatinya, adakah suaminya ada berbuat salah?  Kenapa anggota polis ini datang ke rumah? 
            “Kami mencari Malek, dia ada di rumah?”  Salah seorang anggota polis itu menjengahkan kepala ke dalam rumah.
            Salmah serba salah, sama ada hendak memberitahu atau mendiamkan diri dan beritahu yang dia tidak tahu di mana Malek berada.
            “Sudah sebulan dia tak balik tuan,”  ujar Salmah. Ya Allah,  Dia berbohong!
            Anggota polis itu saling berpandangan sesama mereka.
            Semakin kencang debaran di hati Salmah.
            “Apa suami saya sudah lakukan, tuan?” tanya  Salmah ingin tahu.
            “Dia merompak dan merogol seorang gadis.  Jika puan tahu di mana suami puan berada, sila buat laporan polis,” beritahu salah seorang anggota polis itu.
            “Ya Allah! Merogol?”  Salmah terkedu seketika.  Sebelum ini suaminya hanya merompak, bukan dia tidak tahu kerja jahat suaminya,  cuma, dia buat tidak faham. Malas untuk memikirkannya. Sudah nasibnya bersuamikan orang sejahat Malek.  Sanggup pula merogol? 
            “Dia merompak di mana tuan?” tanya Salmah perlahan, sebak dadanya, sakit hatinya. Tergamak suaminya buat kerja gila merosakkan perempuan lain.          
            “Rumah Tuan Harun, orang kaya di kampung ini juga,”  cerita anggota polis itu lagi.
            “Tuan Harun?”  Salmah beristighfar, orang kaya yang tinggal di hujung kampung. Isterinya orang asing, anak gadisnya cantik. Mana-mana lelaki pun akan tertawan.
            “Kalau suami saya balik, saya akan laporkan pada pihak polis,” janji Salmah.   Tangisannya masih tidak berhenti. Hatinya benar-benar sedih, hancur dan kecewa.  Sebaik sahaja anggota-anggota polis itu berlalu, Salmah segera menutup pintu. Dia laju melangkah ke dalam bilik.
            “Abang dah gila ya! Abang rogol anak gadis Tuan Harun?  Abang memang syaitan, iblis!” Marah Salmah.
            “Kau diam, boleh tak?” jerit Malek.
            “Abang rogol anak jiran kampung ini juga bang! Mana saya nak letak muka ini?” marah Salmah. 
            Malek mengetap bibir, dia terus menampar muka Salmah, terjelepok isterinya jatuh ke lantai.   Ternampak perut isterinya yang mula memboyot.
            “Kau mengandung? Anak siapa?” tanya Malek cuak. Dia menarik tangan Salmah, dikilasnya ke belakang, jeritan Salmah yang menahan sakit sedikit pun tidak menerbitkan rasa simpati di hatinya.
            “Anak siapa lagi?  Anak abanglah!” kata Salmah dengan linangan air mata.
            “Anak aku?” Malek mengerut dahi.
            “Abang tak balik baru sebulan, saya dah mengandung tujuh bulan!”  tempelak Salmah, geram, sedih dan marah, bergaul di hati.  Wajah mencuka Malek dipandang sekali imbas, dia menjeling tajam. Air mata diseka dengan hujung jari.
            Malek terdiam. Dia mendengus kasar.
            “Tak guna!” marah Malek.
            Salmah menggagahi bangun, tidak mampu melihat wajah menyinga Malek, menambah  sakit di hatinya.