AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 29 January 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 28



Kehadiran Haikal malam itu memang mengejutkannya.  Apa pula kisahnya kali ini, takkan nak beri amaran agar tidak mendekati Ain.  Eee… siapa dekat dengan siapa? Siapa terjah siapa?  Kalau Haikal ajak berlawan, dia sedia berperang.  Ingat si hitam ini tidak berani berpencak silat?  Tengok kakilah! Erk… sudah tentulah telapak kakinya terang sedikit dari kulitnya.  Rose membawa  segelas teh ais yang dipesan oleh Haikal.  Seram sejuk pula berhadapan dengan Haikal, bukan takut dengan Haikal tetapi takut dengan tunangan Haikal yang macam singa lapar itu.  Agaknya Haikal lupa bagi makan, Rose tersenyum sendiri.  Kebetulan pengunjung tidak ramai di restoran, almaklumlah pertengahan bulan.  Masing-masing berjimat cermat sementara menunggu hujung bulan.
             Maznah bersedia menjaga kaunter sementara dia berbual dengan Haikal. Baik betul hati majikannya.  Susah nak dapat majikan sebaik  Maznah.  Biarlah dia bekerja di situ sahaja, selagi diperlukan.  Manalah tahu masin mulut Maznah dia mampu menjadi rakan kongsi, amboi! Tingginya angan-angan. Banyak duit kau, Rose, bisik hati kecilnya sendiri.
            “Awak nak makan apa? Takkan nak minum saja?” tanya Rose setelah meletakkan teh ais yang dipesan oleh Haikal.
            “Tak apa, saya dah makan.  Cuma, nak berbual dengan awak saja,”  terang Haikal dengan wajah manis.  Lebih manis daripada gula-gula Hudson yang sering dimakan oleh Rose, walaupun ada pahitnya tetap dia suka. 
            “Kenapa tiba-tiba cari saya? Ain suruh ya?” Rose duduk menghadap  Haikal.  Sebelum itu dia sempat memandang kiri dan kanan. Manalah tahu tiba-tiba muncul Ain dengan parang ke, pisau ke, lebih takut kalau dia bawa M16, mahu berkecai tubuhnya yang cantik menawan ini, omel Rose dalam hati.
            “Tak perlu takut, Ain tak ada,” beritahu Haikal.  Dia menyengih.
            “Macam tau saja saya cari tunang awak yang macam singa tu!”  Rose mendengus kasar.
            “Saya datang nak minta maaf bagi pihak dia.  Harap awak tak berasa hati,”  jelas Haikal.  Dia tidak mahu mereka tinggal sekampung tetapi bagaikan orang asing bila di luar.  Padahal sekolah sama, satu kelas lagi. 
            “Kenapa pula awak yang datang minta maaf?  Sah-sah tunang awak tu yang serang saya?  Dialah yang salah!”  Rose memandang ke arah lain. Dahulu mereka amat rapat, begitu akrab, bagaikan aur dengan tebing.  Kenapa perlu berubah? Kenapa perlu berpisah? Adakah hati Haikal tidak lagi sudi berkawan dan menjadikan  dia sahabat sejati sehingga ke akhir hayat.
            “Awak sendiri tahukan sikap Ain.  Jangan haraplah dia akan tunduk pada awak.”  Haikal mencuri pandang wajah polos Rose.  Simpati menggunung tinggi.
            “Kenapa dia benci sangat dengan saya? tak fahamlah!”  Semakin difikir, semakin dia tidak memahami apa yang berlaku.  Kenapa harus cemburu kepada dirinya yang bak Dayang Senandung itu.  Sekurang-kurangnya nak cemburu pun dengan Dayang Senandung, ada juga logiknya, sebab bertukar jadi pelakon Saadiah yang cantik menawan, tubuh bak kerengga, ini… dia, Rose tapi tidaklah secantik pelakon itu.  Lihatlah tubunya, kulitnya, langsung tidak menawan. Tiada ertinya nak cemburu buta dengan dirinya.  Kalaulah dia secantik Erra Fazira atau Neelofa. Hah! Baharulah boleh nak cemburu.
            “Harap awak bersabar ya,” pujuk Haikal.
            “Awak pula kenapa datang cari saya? Kitakan dah lama tak jadi kawan?” Macam budak-budak pula, sekejap kawan, sekejap tidak.  Apa kes?  Rose menjeling tajam. Kalau mata dia  ada laser sudah lama dia laserkan Haikal.  Biar terbakar, biar putih mata Ain tidak berlaki. 
            “Nak minta maaf juga!”  luah Haikal.
            “Besar sangat ke kesalahan awak pada saya?”  Rose memandang ke arah lain sekali lagi, tidak sanggup menghadap muka atau bertentang mata dengan Haikal Sakitnya di sini nun jauh di lubuk hati yang paling dalam.  Haikal buat dia macam sampah sahaja, kalau tak suka buang, kalau suka, kutip balik.  Hey! Dia pun ada maruah tau! Bebelnya dalam hati.
            “Awak rasa?” Haikal memandang wajah yang sentiasa menunduk dan kadangkala memandang ke arah lain, langsung tidak mahu bertentang mata  dengannya.
            “Saya tak pernah makan orang, tak tahu rasanya macam mana,” jawab Rose selamba.
            Toing!  Haikal menyengih. Nak tergelak pun ada, namun ditahannya semahu mungkin.
            “Awak masih marah saya?”  Haikal sengaja ingin menguji hati sahabatnya itu.  Masih  berertikah persahabatan mereka selama ini.  
            “Kenapa saya nak marah awak?” Kali ini Rose memberanikan diri memandang wajah Haikal.  Mata bertentang mata, lidah kelu untuk berkata.
            “Yalah, saya menyepi dan tinggalkan awak sendirian, tanpa berita, tanpa khabar, alih-alih balik saya bertunang dengan Ain, musuh tradisi awak tu,”  ulas Haikal dengan mata redup menikam sukma.  Hoi! Tiada cinta antara kami okey, sekadar rasa sayang seorang sahabat kepada sahabatnya.  Dia sudah menganggap Haikal sebahagian daripada keluarganya.  Nak dianggap abang, mereka sebaya, adik lagilah tidak sesuai. 
            “Ada saya kisah?”  Rose mencebik.
            “Saya kisah!”  jawab Haikal dengan mata penuh mengharap, agar hubungan mereka kembali bertaut.
            “Tunang awak kisah, kan?  Awak tak takut ke dia serang awak dengan mesin gun?” 
            “Nak takut apanya? Saya pakai penangkis kapal terbang.” Haikal tersenyum.
            “Konon!”  Rose mencebik.  Belakang beranilah.  Kalau berdepan, mahu Haikal lari berbatu-batu dikejar Ain.
            “Eh, awak ingat saya takut dengan Ain ke? Tolong sikit! Saya malas nak cari gaduh saja,”  jelas Haikal.  Apa kes, nak takut dengan perempuan.  Dia bukan lelaki dayus.  Dia ada maruah diri.  Dia malas nak bertekak dan bertegang urat dengan Ain, nanti lain jadinya.  Ain seorang perempuan yang manja, manis tetapi agak pendendam.    Terlajak sudah bercinta, terpaksalah dia meneruskannya.
            “Yalah tu! Kononnya, tak takut. Sekali Ain sergah, menggigil kaki tangan,” sindir Rose.
            “Jangan nak sindir saya pula ya?  Awak ingat saya lelaki dayus? Tak ada maruah dan harga diri?  Tengok kakilah!” Haikal tidak mahu kalah.
            Rose menunduk, sambil melihat kaki Haikal yang berkasut.
            “Mana nampak?”  kata Rose dengan wajah selambanya.
            Haikal menggeleng.  Sahabatnya itu tetap kelakar sama seperti dahulu, walaupun mulutnya agak laser dan garang orangnya.  Memang sesuailah jadi seteru Ain.  Nasib baiklah tidak duduk sekampung, kalau tidak hari-hari berperang dan berparang agaknya.
            “Perumpamaanlah!”  Haikal menepuk meja.
            Rose tetap serius seperti tadi.  Langsung tidak tersenyum. 
            “Awak kerja kat sini dah lama ke?” Haikal menukar topik.
            “Baru saja, kenapa? Ada berita lain yang sampai kat awak ke?”  soal Rose, sudah pastilah Ain memberitahu bahawa dia menjadi rakan kongsi restoran ini.  Perempuan itu bukan boleh tengok dia senang, ada sahaja yang buat dia sakit hati.  Kenapalah ada manusia sebusuk itu hatinya, tidak boleh tengok orang lain gembira atau senang.  Ada sahaja cara nak memusnahkannya.  Kalau Ain main kasar, dia tidak teragak-agak main kasar juga.  Mana boleh tahan, asyik kena buli, bukan baru sekarang, tetapi sejak sekolah.  Ingat dia anak patung agaknya.  Atau tunggul yang tidak bernyawa.  Tolong sikitlah, dia manusia, ada kaki dan tangan. Kalau nak rasa penampar sulong atau tendangan padunya, dipersilakanlah.
            “Taklah, bukan ke sebelum ini awak kerja sebagai seorang setiausaha, itukan dulu cita-cita awak, kenapa tiba-tiba tukar profesion pula?” tegur Haikal dan dia  ingin tahu sangat. Apa masalah sahabatnya itu.
            “Memang saya cuba melawan arus, Haikal.  Saya nak jadi setiausaha, sebab saya nak buktikan orang tak cantik pun boleh bekerja sebagai setiausaha.  Boleh  bekerja dengan baik.  Saya lupa bahawa manusia suka sesuatu yang indah dan sedap mata memandang. Kalau sudah hari-hari bos saya tengok muka saya asyik terkejut saja, mana dia boleh tahan.  Akhirnya selepas setahun, kontrak saya pun ditamatkan.  Tidak tahu nak buat apa, saya kerjalah di sini.  Majikan saya pun baik.  Suka pula saya bekerja dengan orang ramai seperti ini.  Taklah sunyi sangat, walaupun orang pandang saya berkali-kali,”  cerita Rose jujur. 
            “Kasihan kat awak, kan?”  Haikal mengeluh. Malang sungguh nasib sahabatnya itu. Kalaulah Rose memilih bidang lain, taklah ada sikap prejudis terhadapnya.
            “Tak payah nak simpati!  Baru sekarang awak nak simpati? Waktu Ain ganyang saya, awak siap marah saya lagi! Apa hal?  Hari ni datang nak simpatilah, nak berkawan baliklah, awak tersalah makan ubat, ya?” sergah Rose. Dia tidak suka orang simpati atau kasihan terhadap dirinya. Sejak kecil sampai sekarang sudah terbiasa dikotak-katikkan.  Ada dia kisah?  Dia tetap boleh hidup pun.
            “Saya tahu salah saya, saya ketepikan perasaan awak.  Kita berdamailah? Ya?” pujuk Haikal dan masih mengharap.
            “Tengkorak awak!  bertahun-tahun awak putuskan hubungan dengan saya!  Awak pergi bertunang dengan hantu raya tu! Awak datang ke rumah saya, serang saya! Hari ini awak datang jumpa saya, ajak berdamai? Hey… buruk-buruk saya, saya tetap ada perasaan tau! Ada hati! Walaupun hati saya ni berderai, berkecai oleh sebab sikap awak! tapi saya bersabar saja.  Awak ingat saya ni manusia buta hati ke apa?” herdik Rose.  Agak tinggi nada suara Rose sehingga mampu didengari oleh pelanggan restoran itu. 
            “Syyy!” Haikal memandang kiri kanan, berasa malu diri menjadi perhatian.  Apalah perempuan ini, kalau  nak mengamuk pun tengok tempatlah, bukan main lepas sahaja, macam peluru tak bermata.  Silap tembak kena batang hidung sendirilah nampaknya.
            “Apa syyy?”  kata Rose, tangan sudah di pinggang. Dia mencekak pinggang, matanya membulat memandang wajah Haikal. Rasa nak ditelan-telan lelaki itu hidup-hidup. Ini baharu nak makan orang!
            “Awak ni kenapa?  Kenapa nak marah-marah! Saya datang nak berdamai tau.” Haikal menjeling.
            “Tak payah nak menjeling kat saya, awak tu bukannya perempuan! Apa hal?  Kena cucuk hidung dengan Ain sudah hilang kejantanan awak?”  bebel Rose.  Bila lagi dia nak marah lelaki itu, yang telah begitu lama menyakitkan hatinya. Inilah masanya dia memuntahkan peluru mesin gun sepuas hati.   Biar Haikal tahu siapa dirinya. Jangan senang sahaja nak permainkan persahabatan mereka.  Sahabat itu tinggi nilainya.  Mana boleh main sebut sahaja.  Lepas itu ikut suka pula nak putuskan! Putus tunang atau bercerai bolehlah. Sahabat mana ada putus-memutus. 
            “Amboi mulut!” Haikal mendengus.  Memang salah dia.  Rose berhak marahkan dirinya. Dia patut terima.   Biarlah Roseyaimah nak membebel atau marah padanya sehingga keluar anak tekak sekalipun, dia redha. Selayaknya dia menerima kata-kata nista daripada mulut sahabatnya itu.
            “Pergilah balik Haikal, saya ada kerja lagi ni.  Tak payahlah awak bersusah payah cari saya atau ingin berkawan dengan saya semula.  Hidup saya dah cukup bahagia.  Saya tak mahu ada masalah dengan tunang awak tu.  Cukup-cukuplah hidupnya hanya tahu buat masalah dengan saya.  Saya tak nak menyusahkan  dan buat awak serba salah.  Pergilah balik!” halau Rose. Kalaulah Ain tahu, Haikal datang ke mari, mahu diamuknya.  Dia tidak mahu menambah garam dalam luka di hati Ain.  Biarlah perempuan itu terus membencinya.  Malas nak fikirkan lagi.
            “Saya cuma nak minta kemaafan daripada awak, Rose.  Maafkan saya dan terimalah saya kembali sebagai sahabat awak. Sama seperti zaman persekolahan kita dulu,” rayu Haikal tidak mahu putus asa. 
            “Biarlah saya fikirkan dulu.  Tak boleh bagi jawapan segera.”  Rose tidak mahu bagi muka dengan Haikal. Lelaki itu sudah menyakitkan hatinya.  Cukup, cukup sudah, cukup sampai di sini saja, dia bernyanyi dalam hati. Kalau hatinya terbuka untuk menerima Haikal, dia akan menerima dengan hati terbuka, tetapi yang pasti bukan sekarang.  Hatinya masih bernanah luka.  Tambah parah bila Haikal bertunang dan bakal mengahwini Ain.  Dia tidak boleh menghalang, mungkin sudah jodoh mereka.
            “Saya tagih jawapan awak! Erk… saya bayar duit air dulu,” kata Haikal sambil bangun dari tempat duduknya.
            “Tak apa, saya belanja.” Rose  mengangguk.
            “Terima kasih, saya tunggu jawapan daripada awak,” ucap Haikal sebelum melangkah pergi.
            Rose memandang langkah Haikal sehingga hilang daripada pandangannya.  Dia mengeluh dalam hati.  Dia kembali membersihkan meja yang digunakannya tadi dan Haikal. Ada ruangkah untuk dia dan Haikal bersahabat semula. Biarlah masa menentukannya.

No comments:

Post a Comment