AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 11 February 2017

CATATANKU - 10




             Kadang-kadang saya rindukan suasana di zaman 70 an – 90 an, waktu itu negara tidak pesat membangun seperti hari ini. Bangunan tinggi tidak sebanyak sekarang ini.  Saya membesar di Jalan Bangsar, cuba lihat sekarang ini, apa yang ada? Allah hai! Bangunan pencakar langit, tinggi melaung.  Perit mata melihatnya, setiap inci tanah yang ada, habis diterokainya.  Nampak sangat ketamakan manusia ada di situ.  Bangsar dikira pinggir bandar, begitu juga tempat saya bersekolah dan belajar di Kampung Kerinchi, Allah!  Tak terucap dengan kata-kata.  Habis semua kampung Melayu, yang tinggal hanya kenangan di hati kami penduduk asal di situ.


            Begitu juga dengan sikap masyarakat waktu zaman itu, penuh dengan adab dan sopan, biarpun ada yang kasar, bergaduh, mengumpat, mengata sampai tak ingat nak mati, namun tetap boleh hidup harmoni, kalau ada masalah tetap datang membantu.  Keluarga arwah abah saya penduduk asal di Bangsar itu, biarpun ada kampung sebelah, Kampung Haji Abdullah Hukum tetapi kampung tempat arwah abah tinggal adalah kampung yang dihuni oleh arwah datok saya sejak dia muda.  Nama kampung saya, Kampung Paya bersebelahan dan berjiran dengan Kampung Haji Abdullah Hukum, ramai penduduk asalnya tinggal di flat Sri Putra sekarang ini.  Di situlah jiran tetangga, sedara mara dan juga rakan sepermainan dan rakan sekolah saya tinggal. Sesekali ada kenduri kendara, pergilah juga bertemu mereka.  Kalau berjumpa riuh rendah jadinya. Malah mereka berbangga kerana ada juga anak jati kampung itu jadi penulis.


            Saya masih boleh membayangkan kawasan rumah serta kedudukan rumah saya di kawasan tersebut, biarpun tidak ada sekeping gambar pun untuk diabadikan kepada anak cucu saya, namun tetap tersemat kukuh di sanubari.  Kalau hendak ke kawasan kampung saya kena seberang rel keretapi, kadangkala terpaksa panjat gerabak keretapi kerana ia parkir melintang jalan tempat kami berulang alik menuju ke Kampung Paya.  


            Kerajaan tidak pernah mahu menaikkan taraf kampung tersebut sebagai kampung Melayu, selama berpuluh tahun, tetap kekal sebagai kampung setinggan, sehinggalah ia dirobohkan pada tahun 1984.  Tinggalkan Kampung Paya sebagai sejarah dalam hidup kami. Duduk di kawasan kampung, seluruh penduduk seperti sebuah keluarga, saling tegur menegur anak-anak kampung yang buat atau main yang bukan-bukan.

            “Atan! Kau main apa tu? Nanti mak cik bagitahu ayah kau!” 

            Ayat yang akan selalu kami jumpa. Jadi, kami tidak berani buat bukan-bukan dan main bukan-bukan.  Anak-anak orang lain yang tinggal di kampung itu akan dijaga dengan baik, diperhatikan, diberi nasihat jika buat jahat, ditegur, dihalau balik jika sudah mendekati senja.  Tiada siapa yang akan marah, jika anak mereka kena marah, tiada siapa akan bermasam muka jika anak-anak mereka ditegur buat sesuatu yang sumbang, kerana anak-anak orang juga anak-anak mereka, anak-anak kampung itu. 

            Hari ini, tidak lagi, ayat yang akan kita selalu jumpa;

            “Bang, anak jiran sebelah kita tukan…” cerita si isteri.

            “Jangan masuk campur hal orang, biarkan!  Nanti disembur oleh jiran kita tu, baru awak tahu! Jaga sahaja anak kita sendiri, anak orang biar lantak nak jadi apa,” kata suami.

            Inilah ayat yang akan kita jumpa.  Kita tidak lagi ada jiwa saksama, kita sudah hilang perasaan berkasih sayang antara kita, mahu jaga menjagai sesama kita. Mahu melihat elok dan baik sesama kita.  Anak orang, tetap anak orang, betul!  Tetapi jika salah, kenapa kita tidak boleh menegur?  Kadangkala, ada jiran tetangga yang ingin menegur tetapi sesetengah sikap orang kita akan keluar ayat ini;


            “Tak payah jaga tepi kain kami, anak kami, tahulah kami nak ajar! Awak tu jaga anak sendiri!” 


            Hati kita sudah tidak lagi mampu bersatu, kita jauh daripada rasa cinta sesama kita.  Kita berasa kita pandai, boleh hidup sendiri, tidak memerlukan orang lain.  Kalau dahulu, ada emak dan ayah pergi kerja, jiran tetangga sahaja yang menengok-nengokkan, tak perlu upah, tak perlu risau jika ke mana-mana, ada sahaja mata jiran tetangga yang memerhati anak-anak kita.


            Ya, zaman telah berubah, angin perubahan yang dikatakan moden, maju dan membangun, sehingga sikap kita juga menjadi seperti bangunan tinggi yang tersergam memacak di bumi, berdiri megah menghadap langit, keras, kasar dan tidak ada jiwa.  Mungkin hati kita juga sama naik  kerasnya seperti bangunan tinggi yang ada.


            Cuba fikir sejenak, tarik nafas, dan kenangkan zaman kanak-kanak kita.   Apa yang sering orang tua kita ingatkan, tegur, ajar dan didik.  Bukankah mereka mengajar kita pendidikan adab dan akhlak?  Cara berjalan di hadapan  orang tua, cara bercakap, cara meminta sesuatu. Cara masuk tandas, cara keluar tandas. Makan, minum.  Pernah tak kita dengar bidalan orang tua-tua dahulu, jangan makan tangan kiri, jangan makan sambil berdiri, jangan duduk atas bantal, jangan meniarap, jangan makan sambil bercakap. Banyak lagi yang tidak mungkin mampu saya senaraikan.  Itulah adab sebenarnya.  


            Cuma, kita tak ambil berat, kita ambil ringan.  Lama-lama terus padam dalam ingatan.  Anak-anak kita pula, tidak kita ajar semua itu.  Bagi kita semua itu hanya momokan orang tua-tua dahulu, sudah tidak penting lagi.  Tidak ada kelas, tidak berguna, orang tua-tua dulu mana ada sekolah.  Maka, hilanglah adab ditelan zaman, lahirlah generasi zaman sekarang yang sudah tidak lagi beradab.  Lihatlah sekeliling kita, lihatlah anak-anak kita, anak jiran-jiran kita, anak-anak murid kita, bagaimana sikap mereka?  Bagaimana adab mereka? Akhlak mereka?


            Ibu dan ayah yang baik akan mengajar adab dan akhlak kepada anak-anak mereka di RUMAH, bukan menyerahkannya ke sekolah dan membiarkan guru-guru yang ajar.  Segalanya bermula di rumah.  Rumah adalah tempat pendidikan yang paling baik dalam menentukan halatuju generasi di masa hadapan.  


            Jika seorang ketua keluarga sendiri tidak mampu mendidik dirinya menjadi manusia yang beragama, berilmu dan beradab, jangan mimpi kita mampu melahirkan generasi yang tinggi nilai-nilai murni.  Kita pula, semakin tinggi ilmu, semakin bijak, kaya, ada duit dan kedudukan, semakin sombong dan ego, pantang anak-anak kita didenda, ditegur oleh pihak sekolah, mulalah melenting, marah-marah, buat surat layang, masuk dalam FB, masuk dalam berita, saman pihak sekolah, saman cikgu.   Kita Viralkan semua perkara. Kita robek maruah bangsa sendiri terang-terangan.


            Allah! Sebelum DAJJAL sebenar lahir, kita sendiri telah bawa DAJJAL mata satu itu ke dalam rumah.  Teknologi adalah kehendak dan ilmu daripada Ilahi,  kita anggap yang datang dari barat itu adalah yang terbaik, canggih, bagus, moden, kita lupa dan mungkin tidak tahu, mereka ambil semua ilmu itu dari AL QURAN NUR KARIM… bacalah terjemahan, lihatlah, bagaimana ayat-ayat al-Quran menyebarkan ilmunya kepada alam, kepada manusia.  Orang-orang Yahudi, barat sudah tahu kelemahan kita,  Allah swt juga ada mengingatkan tindak tanduk mereka.  Tapi, kita terus memejamkan mata, dan mengatakan apa yang ada di dalam Al-Quran adalah ketinggalan zaman. Padahal, orang-orang Yahudi terlebih bijak daripada kita, ambil semuanya dan sajikan kepada kita ilmu yang bercanggah daripada al-Quran, sedihkan?  


            Segalanya atas izin Allah jua.  Biar sebiji batu yang bertaburan di jalan raya pasti Allah tahu, sehelai daun yang kering menyembah bumi, atas kehendak Allah juga.  Kenapa kita selalu beranggapan, hidup beragama adalah hidup ketinggalan zaman, satu yang haram, Allah beri banyak lagi yang dibolehkan.  Satu yang haram, Allah sajikan yang lebih banyak yang dibolehkan.  


            Kalau ikut agama, tidak boleh berpakaian seksi?  Boleh, pakailah di rumah, ketika  bersama suami, nak pakai baju jarang sampai nampak kulit pun boleh, siapa kata tidak boleh, tetapi hanya untuk SUAMI. Nak bersolek?  Boleh, pakailah apa sahaja di rumah, semuanya dibolehkan, nak melawa macam artis pun boleh, asalkan kita tahu untuk siapa dan untuk apa.  


            Islam juga tidak melarang kita kaum Hawa menuntut ilmu, pergilah belajar di mana sahaja, asalkan terjaga diri kita, terjaga maruah dan harga diri, bukan telanjangkan diri menjadi santapan kaum Adam yang sudah tentu lemah imannya.  Jika saling jaga menjagai, lelaki menjaga auratnya, perempuan juga menjaga auratnya. Lelaki Islam menjaga perempuan Islam kerana agamanya, sudah tentu aman damai dan tidak ada lagi lahirnya anak luar nikah di luar sana.  


            Kalau sudah tahu SYAITAN itu musuh kita, kenapa masih hendak mengikutinya?  Kalau sudah tahu iman kita itu rapuh, kenapa tidak meminta kepada Allah swt memperkukuhkannya?  Kalau sudah tahu tidak berilmu, kenapa tidak belajar sahaja? Bukan niat ingin menunjuk pandai, jauh sekali ingin mengajar, bukankah tanggungjawab kita di muka bumi Allah ini menjadi khalifah, saling ingat mengingati, takut terlupa, saling tegur menegur takut kita alpa.  Maaf jika ada yang tersinggung, niat hati saya baik, demi Allah, demi kasih sayang Rasulullah saw, tiada daya dan upaya saya mengubah hati-hati teman-teman semua, kecuali Allah swt. 


            Kembalilah kepada agama Islam yang suci, yang murni, ajarilah anak-anak kita agama yang mereka anuti, ajarlah adab dan akhlak kepada anak-anak kita, mudahkan kerja guru-guru di sekolah, semoga anak-anak kita menjadi generasi yang diharapkan oleh Rasulullah saw.  Wallahu’alam.

No comments:

Post a Comment