Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 12 Februari 2017

CATATANKU - 11



Saya menetap di Kedah selama lapan tahun.  Sewaktu hari pertama pindah ke sana, saya menangis mendayu-dayu, maklumlah tinggal  di tempat kita tiada saudara mara kecuali suami  yang ada keluarganya  di Perlis dan saudara mara di Kedah.  Saya   terpaksa berjauhan dengan kedua orang tua, ketika itu anak saya baru seorang.

Sebelum  berpindah, kami bertanya dengan ramai orang tentang sekolah anak dahulu, niat di hati hendak hantar sekolah agama. Syukur, ustazah yang mengajarnya mengaji, telah rujuk kepada kawan-kawannya, dan memberitahu tempat sekian-sekian ada sebuah  sekolah agama rendah. 
            Tempat kerja suami pula di Bandar Alor Setar, ketika itu suami bekerja dengan Amanah Saham Nasional Berhad di Alor Setar, jadi… rumah  atau tempat tinggal kami tentulah tidak boleh jauh dari kawasan tempat kerja.  Manalah nak cari?   Maka, kami memiinta pertolongan kawan-kawan sekerja suami, dan  Jalan Datuk Kumbar dicadangkan tempat sesuai untuk kami menetap, kebetulan ada sebuah sekolah rendah Islam di situ. Cantiklah!  Sesuai sangat.  Suami ambil cuti beberapa hari, dan kami  pulang ke kampungnya dengan menyewa sebuah  kereta, waktu itu kami belum ada kenderaan sendiri.  Terpaksalah keluar duit untuk menyewa  kereta bagi memudahkan pencarian rumah itu  nanti.

            Kami mula mencari di  kawasan Jalan Datok Kumbar, ada sebuah sekolah rendah Islam di kawasan itu, Sekolah Rendah Islam Alor Setar dibawah kelolaan ABIM.  Di situlah anak sulong saya bersekolah sehingga habis darjah 6.  Kami pula tinggal di sebuah taman baharu buka,  Taman Derga Jaya, lapan tahun saya berkampung di situ.  Dari sewa sehinggalah beli sendiri, rumah teres kos rendah, tiga bilik dengan harga RM27k, murah sangat-sangat, dalam tahun 1994, kalau tak salah.  Waktu itu anak sulong baru berusia enam tahun.  Beli atas tangan tuan tanah yang tanahnya diambil oleh pemaju, dia dapat 10 pintu, sebahagiannya dijual kepada orang lain, buat apa simpan banyak-banyak, kan?

            Sebelum membeli rumah sendiri kami menyewa di taman itu hampir dua tahun kalau tak salah, lot tepi, kawasan tepinya luas, boleh buat sebiji lagi rumah, dekat dengan tangki air besar. Jiran sebelah rumah, suaminya asal orang Melaka, tetapi sudah lama berkhidmat di Alor Setar dan berkahwin buat kali kedua setelah kematian isteri dengan orang Kedah juga, beli rumah di situ, maka terus menetap di Alor Setar.  Baik orangnya, merekalah suami isteri jiran yang kami kenal setelah pindah ke sana.  Hari pertama pindah, barang-barang tak banyak, banyak juga yang ditinggalkan kepada adik ipar yang menetap di rumah sewa kami di KL, kami bawa yang perlu sahaja, yang lain, beli semula seperti dapur, rak pinggan mangkuk dan almari dapur.  Pak Taib dan Kak Azizah, nama jiran kami itu.

 
            Pagi-pagi lagi, mereka sudah ajak kami ke pasar sari untuk cari barang-barang dapur, Allahu Akbar! Nikmatnya tinggal merantau apabila dikurniakan jiran yang baik sangat.  Waktu saya mengandungkan anak kedua, kedua suami isteri inilah yang bersusah payah menghantar lauk sekali sekala, maklumlah saya mabuk teruk, waktu dalam pantang, merekalah sibuk mencari daun-daun ubat untuk buat mandi dan mencari tukang urut untuk mengurut saya.  Jasa mereka tidak pernah kami lupa, kalau balik ke Kedah, pasti singgah rumah mereka jika berkesempatan.
            Hidup di tempat orang, jangan sombong diri, ikut rentak masyarakat sekeliling, selagi tidak menyalahi kehendak agama.  Sikap ramah tamah saya memudahkan saya bergaul dengan penduduk di kawasan taman tersebut.  Selama lapan tahun saya tinggal di situ, saya ada keluarga angkat, kawan baik, sahabat andai, rakan sekerja yang jika berkesempatan saya akan kunjungi dan lawati. 
            Orang utara ramah, mudah didekati, mudah tersenyum, pertama kali ke bandar Alor Setar, kami tiada kereta, tiada motosikal, maka, terpaksalah naik bas, setiap kali terjumpa atau mereka terpandang saya, pasti senyuman akan mereka lakarkan. Sampai saya beritahu suami, orang utara memang suka senyum ya?  Murah dengan senyuman.
            Bila berjauhan dengan keluarga, jiran tetanggalah yang menjadi saudara mara.  Begitulah yang saya rasa.  Dari kawasan taman yang  sunyi, hanya ada beberapa buah rumah, sampai semuanya penuh diduduki.  Saya cuba menyesuaikan diri dengan gaya bahasa dan budaya masyarakat setempat, masakan dan menu yang berbeza dari tempat asal saya.  Nasib baiklah tekak saya ni, mudah terima apa sahaja, untungnya jadi anak KL ni, bedal apa sahaja.  Kebetulan kahwin dengan orang utara, tidak susah untuk saya menguasai bahasa loghat sana.  Kalau bercakap utara, rasanya suami saya kalah. Sampaikan jiran di Kuala Lumpur ingat, saya ni orang utara, suami orang KL. 
            Kami beli rumah di kawasan itu, setelah melahirkan anak kedua, rezeki anak kedua. Selang sebuah rumah di kiri rumah kami, ada seorang jiran, sepasang suami isteri dan dua orang anak lelaki, seorang down syndrome, tapi kacak wajahnya, lasak jangan cakaplah, terpaksa emaknya kendong sepanjang masa, kalau dia dilepaskan, merata dia pergi.
            Saya ingin ceritakan tentang kawan saya Siti Mariam, itulah namanya, kami, jiran tetangga panggil Siti sahaja, dia dua tahun tua daripada saya.  Orangnya tinggi, kurus.  Di lorong taman tempat saya tinggal, ada beberapa lagi jiran selorong yang lain, ada yang dari Johor, dan Penang.  Yang ramai berasal dari Kedah. Kebanyakkan surirumah tangga, waktu itu saya belum lagi bekerja, maklumlah anak masih kecil.
            Mula-mula berkenalan, sembang biasa-biasa sahaja, masuk tahun kedua, sudah lain jadinya. Pagi-pagi lagi kami sudah berkumpul, setelah suami masing-masing pergi kerja, anak-anak pergi sekolah.  Apa lagi, berkelahlah kami awal pagi, buka tikar di hadapan anjung rumah, tengoklah giliran rumah siapa.  Kadang-kadang di kawasan rumah saya.  Tidak kiralah masak apapun, selalunya perancangan dibuat sehari sebelum perkelahan bermula sudah ditetapkan menu apa yang hendak dimasak. 
            Jangan ceritalah keseronokkannya, makan sedia, siang malam, kadangkala, dengan suami-suami sekali. Hidup berjiran, tidak boleh terlalu cerewet.  Siti Mariam adalah jiran yang paling rapat dengan saya.  Apa sahaja cerita tentang saya, saya akan cerita kepadanya, sehinggalah satu hari, ada seorang kawan, bercerita kepada saya tentang Siti Mariam yang menceritakan semula, apa yang saya ceritakan kepadanya.  Wah! Angin satu badan!  Pantang saya orang bermuka talam ni!  Saya takkan bertanya, saya takkan menyerang atau marah-marah, tindakan saya adalah MEMBISU, langsung tak bercakap dengan dia, kalau kami berkumpul seperti biasapun, saya takkan bercakap dengan dia, hampir seminggu, akhirnya…
            “Mah, hang marah kat  akukah?” tanya dia.
            Saya tengok muka dia, saya pandang dia lama. 
            “Hang ingat aku tak tau, hang cakap pasai aku kat Pah! Hang memang mulut cabui!” kata saya marah, benar-benar marah! Saya anggap dia seorang sahabat, kawan paling rapat, tiba-tiba tikam saya dari belakang! Takkah sakit hati jadinya.  Rasa nak bunuh dia waktu itu juga. 
            “Ala, aku minta maaflah! Aku bukan sengaja, kau taulah mulut aku, selalu terlepas cakap!” katanya memohon maaf. 
            Rupanya, dia tak boleh tak berkawan dengan saya.  Nak tergelak pun ada waktu dia merayu supaya saya berkawan dengan dia semula.   Yalah, orang sudah minta maaf, takkan kita tak nak maafkan, betul tak? Akhirnya kami berbaik semula. Tetapi ada syarat;
            “Hang cakap pasai aku kat sesiapa lagi! Putus teghui!” kata saya dengan nada tegas dan keras.
            “Baik! Baik! Aku janji!” jawab Siti Mariam sambil mengangkat kedua belah tangannya. 
            Sejak itu saya dan dia menjadi seperti saudara, dia banyak bantu saya menjaga anak kedua saya itu yang rajin merantau bermain di rumahnya.  Siti Mariam yang saya kenali, adalah seorang yang baik hati, tidak pandai keluarkan perkataan ‘TIDAK’ kalau ada yang meminta tolong daripadanya. 
            Mintalah nak pinjam apa sahaja, baik duit, atau motosikalnya.  Dia akan beri dengan senang hati, tidak pernah merunggut membantu orang lain, dia akan ke sana ke sini dengan motosikalnya.  Kawan-kawan di taman itu akan minta pertolongan dia kalau nak beli apa-apa barang di Pekan Jalan Datok Kumbar, dia dengan senang hati menerima dan melakukannya. Setelah anak kedua saya berusia lima  tahun, saya bekerja, Siti Mariamlah yang mengasuh, upah yang saya beri hanya RM70 sahaja, anak saya akan berada di rumahnya dari pukul 8.30 sampailah pukul 5.00 petang jika saya tiada urusan lain.
            Kalau anak saya bersekolah, dialah yang akan ambil di pejabat setelah saya bawa anak saya ke pejabat tempat saya bekerja. Dia melayan anak saya, seperti anaknya sendiri, makanan memang saya sudah siapkan, duit belanja harian juga saya beri, kot-kotlah anak saya nak makan apa-apa. 
            Dia pula mudah ditegur jika buat salah, mudah diajar, mudah diingatkan jangan buat yang bukan-bukan.  Itulah sahabat, namun… dalam baik-baik kami, dia segan untuk bercerita kepada saya, tentang suaminya yang sudah bernikah lagi.  Dia hanya mengadu dengan orang lain, dia malu dengan saya.  Apabila saya mendapat tahu, memang pedih telingalah dia mendengar bebelan saya.  Ambil kau! Siapa suruh rahsiakan?  Tapi, saya sayang dia. Sayang kerana sikap baik dan kejujurannya terhadap saya. Terlalu banyak kebaikan yang dia lakukan kepada saya sepanjang saya mengenali dia.  Jasanya tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.
            Bagi saya, tiada insan sebaik Siti Mariam yang saya kenali, apabila  memikirkan dia, saya akan teringatkan kawan saya di Puchong Permai, Ani namanya, perangai  mereka lebih kurang sahaja.  Saya pernah ingatkan dia, agar buat pemeriksaan pap smear, sebab kita sudah berkahwin dan melahirkan.  Dia menolak dengan pelbagai alasan.  Kali terakhir saya bertemu dengannya setelah saya berpindah semula ke Kuala Lumpur adalah ketika hari pertunangan anak sulong saya dengan orang Kedah, dia disahkan kanser pangkal rahim tahap 4.  Waktu itu dia berasa sudah pulih sepenuhnya.  Dia berjanji akan turut sama waktu anak saya bernikah nanti.
            “Mah, kalau aku dengar cakap hang, tentu aku tahu lebih awal, aku menghidap kanser,” katanya kepada saya.
            Gara-gara saya suruh dia buat pap smear setiap tahun, dia tak nak.
           “Itulah hang, degil, keras hati, pemalas!” jawab saya.  Dia terima sahaja cakap-cakap saya, itu sebab saya suka sangat berkawan dengannya. Hatinya yang baik, menerima sahaja kawannya yang mulut macam petir ini.  Namun, saya akur, itu semua ketentuan Ilahi, dia tidak tahu saya menangis dalam hati apabila dikhabarkan tentang penyakitnya, saya pura-pura kuat, agar hatinya tidak goyah.  Setiap kali teringatkan arwah, pasti air mata saya akan mengalir. Betapa istimewanya arwah kepada saya.
            “Hang jangan lupa jemput aku waktu kenduri anak hang nanti ya,” pesannya sebelum saya bertolak balik ke Kuala Lumpur.
            Hari kenduri semakin dekat, tidak henti-henti saya menelefon dia, puas mendial nombor yang diberi, satu pun panggilan saya tidak  berjawab.  Sehinggalah majlis selesai. Dia tetap tidak menjawab atau membalas  panggilan saya.  Kecil hati usah cakaplah, marahpun ada, hari itu dia yang beria-ia nak sangat saya jemput dia. Alih-alih tak dapat dihubungi. 
            Sebulan selepas kenduri, saya menerima panggilan daripada kakak angkat saya, mengatakan Siti Mariam telah kembali ke rahmatullah akibat kanser pangkal rahimnya yang dihadapi telah menyerang ke bahagian lain tubuhnya.  Allah! Sewaktu kenduri anak saya itu, dia terlantar sakit.  Tiada siapa yang memberitahu saya, kalau tidak sudah pasti saya menziarahinya.  Sepanjang malam saya menangis, mengenangkan insan sebaiknya yang pergi dahulu.  Semoga arwah ditempatkan bersama-sama orang yang beriman, diterima segala kebaikan yang pernah dicurahkan kepada jiran setaman dan kemulian hatinya yang tidak pernah berdendam dengan sesiapa.
            Itulah nilai seorang sahabat, boleh ditegur, boleh bergurau kasar, tidak ambil hati, bertolak ansur, ringan membantu, sayang kerana Allah. Bukan atas dasar mementingkan diri sendiri. Jangan sesekali menikam dari belakang orang yang menganggap kita sahabat mereka.  Jangan sesekali membuka aib orang yang pernah bercerita tentang kehidupan peribadinya kepada kita. Jangan khianati hubungan baik kita dengan orang yang menganggap kita sahabat. Biarpun tidak berkawan dengan orang yang tiba-tiba menjadi musuh kita, usahlah buka cerita tentang dirinya.  Kalau sudah tidak berkawan, tak apalah, simpanlah rahsia kawan kita itu diam-diam di hati. Usah pula kita baik sangat nak cerita kat orang.  Jadilah sahabat yang setia sehingga ke mati. Jika kita dikurniakan seorang sahabat yang sanggup berkongsi apa sahaja dengan kita, hargailah dia. Kerana kita tidak akan dipertemukan lagi dengan insan yang mampu menjadi sahabat kita ketika susah dan senang.
             Saya tetap dikelilingi oleh mereka yang baik-baik dan sudi menjadikan saya sahabat mereka. Saya hanya berani menegur mereka yang saya rasakan tidak akan berkecil hati dengan saya.  Saya tidak pandai berpura-pura berbaik dengan orang, kalau tak suka, tak sukalah!  Kalau saya sayang, saya akan sayang seperti saudara sedaging.  Semoga kita menjadi sahabat yang didambakan.

Al-Fatihah buat arwah Siti Mariam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan