AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 4 February 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS- BAB 30



Hujung minggu keempat Haikal sengaja pulang ke kampung tanpa memberitahu Ain.  Sengaja dia menjauhkan diri daripada gadis itu.  Dia ingin tunangannya itu muhasabah diri.  Biar gadis itu tahu perbuatannya  terhadap Rose adalah salah.  Lagipun dia sudah berjanji ingin menyambung kembali persahabatannya dengan Rose yang telah lama terputus.  Dia tidak peduli dengan amaran Ain.  Lelaki yang bermaruah tidak akan tunduk dengan ugutan seorang perempuan, apa pula kata keluarganya nanti, usah jadi lembu yang dicucuk hidung, hina dina jadinya.
            “Kenapa kau balik sorang? Kenapa tak ajak Ain balik kampung sekali?  Semalam Mak Limah ada tanya, mungkin sebab ternampak kereta kau di laman rumah agaknya,” tegur  Hajah Mona. Matanya tidak lepas daripada memandang wajah muram Haikal. 
            “Malaslah mak, biar dia dengan halnya,” luah Haikal.
            Bertambah berkerut dahi Hajah Mona. “Lain macam saja bunyinya, kau bergaduh dengan Ain ke? Darah orang bertunang ni manis, kalau ada masalah, kenalah bawa berbincang, jangan ikut nafsu, nanti menyesal,”  nasihat Hajah Mona. Apalah nak jadi dengan budak-budak muda hari ini, buat apa sahaja suka ikut perasaan. 
            “Sakit hati dengan sikap dia mak, kenapalah dia benci sangat dengan si Rose tu?  Haikal pun tak faham?  Perkara yang berlaku waktu di sekolah dulu tu, dibawa sampai sekarang! Mana saya tak marah!  Langsung tak nak berubah.  Puas saya pujuk, masih macam tu juga,”  cerita Haikal. Dia tidak permah menyembunyikan apa sahaja perkara tentang kehidupannya daripada pengetahuan emak dan ayahnya. 
            “Laa… mereka masih bergaduh lagi ke?”  Hajah Mona tersenyum.  Nampak sangat tidak matang bakal menantunya itu.  Rose pula anak kawan baiknya, Hanum.  Walaupun gadis itu hitam, tapi hatinya baik.  Cuma mulutnya sahaja agak laser dan suka cakap lepas. 
            “Ya… mak.  Pening kepala saya ni. Takkanlah saya nak biarkan Ain membuli Rose lagi.  Saya dah ambil keputusan, kalau Ain tidak mahu berubah, saya sanggup putuskan pertunangan kami,” jelas  Haikal tegas.  Dia sudah penat dan malas nak menasihati Ain. Tunangnya itu sudah melampau. 
            “Hish, janganlah sampai macam tu?  Malu keluarga Ain nanti.” Hajah Mona kurang setuju dengan tindakan Haikal. Rasa terburu-buru pula.  Apa pula kata orang kampung. Nanti dia juga yang malu. Apa pula kata suaminya nanti.  Budak-budak ini, sengaja nak cari nahas.
            “Haikal macam mana? Tak tahu malu?  Dapat bakal isteri kaki pendendam, kuat cemburu, busuk hati, pendengki! Ain tak layak jadi ibu pada anak-anak Haikal nanti, mak.  Haikal tak mahu anak-anak Haikal mewarisi hati dan sikap seperti Ain,”  terang Haikal akan tindakannya itu.  Dia inginkan isterinya yang cantik, tetapi biarlah juga cantik budi pekertinya. Ain punya kecantikan tetapi tidak punya budi pekerti yang tinggi.
            “Nanti dah kahwin Haikal didiklah dia.  Mungkin waktu dia kecil, dia sudah terdidik dengan hal seperti itu?”  Hajah Mona mengusap belakang anak lelakinya.  Dia kenal sangat dengan Mak Limah. Malah orang kampung pun tahu sikap dan perangai bakal besannnya itu.  Bila Haikal ingin meminang Ain, dia berat hati sebenarnya. Kalau anak lelakinya sudah suka dan mereka saling mencintai, apakan dayanya nak menolak keinginan anaknya itu.  Sebagai orang tua, dia hanya mampu mendoakan sahaja kebahagian mereka.
            “Kalau boleh dididik.  Kalau sama saja dengan Mak Limah?  Macam mana?”  ujar Haikal dengan wajah cemberutnya.
            “Kenalah bersabar, itulah ujian namanya. Uji ketahanan fizikal dan mental anak mak ni,” usik Hajah Mona.
            “Entahlah mak… susah nak cakap!” Haikal mengeluh kesal.
            “Apa pun Haikal nak lakukan, jangan sakiti perasaan orang lain.  Tak baik.  Takut-takut nanti perasaan dan hati kita pula disakiti.  Tarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak.  Haikal kena bijak menangani masalah ni.  Mak yakin Ain boleh jadi isteri yang baik kalau kena cara didiknya,” nasihat Hajah Mona.
            “Nantilah mak, Haikal fikir-fikirkan.”  Haikal memandang keluar rumah.  Hatinya berasa sedikit tenang setelah meluahkan apa sahaja yang ada di lubuk hatinya.  Tentang Ain akan cuba diatasi dengan segera.  Tentang Rose, dia masih lagi menunggu jawapan daripada gadis itu.  Harap-harap Rose masih sudi berkawan dan bersahabat dengannya sama seperti dahulu. Kata-kata orang diletak ke tepi.  Dia sudah tidak peduli lagi.  Orang boleh sahaja bercakap, sebab ada mulut.  Haikal mengeluh keras.
            Petang itu laman rumahnya riuh-rendah dengan suara bakal emak mertuanya bertanyakan Ain.  Kenapalah Mak Limah membebel banyak sangat, detik hati kecil Haikal.  Dia menjawab pertanyaan dan persoalan yang dilontarkan oleh bakal mertuanya itu dengan teliti. Takut salah cakap, nanti satu kampung tahu cerita. Erk… tak baik buruk sangka, kan?  Itu bakal emak mertuanya, macam emak sendiri juga. 
            “Kenapa kau tak ajak Ain balik, Haikal? Kau bergaduh dengan anak Mak Limah ke?” tanya Mak Limah dengan wajah mengharapkan jawapan jujur daripada bakal menantunya itu.
            “Ada kerja sikit kat bandar tu Mak Limah, itu sebab tak ajak Ain,” jawab Haikal tidak jujur. Kalau dia cakap, dia bergaduh dengan Ain pasti timbul masalah pula.  Biarlah hanya dia dan keluarganya sahaja yang tahu cerita sebenar.
            Hajah Mona menjeling sahaja ke arah Haikal yang duduk di pangkin depan rumah.  Waktu-waktu petang bersantai di situ amat menenangkan, sambil melihat anak-anak  jiran sekampung bermain dan berkejaran.
            “Ya ke?  Ain puas telefon kamu, tapi tak angkat?  Dia suruh pesan kat kamu, tolong telefon dia balik,” pesan Mak Limah.
            “Yalah, nanti saya telefon.” Haikal mengeluh.  Mesti sudah mengadu dengan emaknya.  Mulut orang perempuan, bukan boleh simpan apa-apa.  Habis semua perkara nak diceritakan kepada ahli keluarga, suku-sakat, kalau boleh sekampung tahu, lagi bagus.  Haikal  membebel dalam hati. Sudah macam perempuan pula dirinya, asyik membebel sendiri. 
            “Tentang majlis perkahwinan kita nanti macam mana?  Mak Limah nak buat kat dewan, mudah kerja.  Tak bersepah rumah.  Malas nak kemas,”  cadang Mak Limah.  Alang-alang sudah berjumpa bakal menantu, baiklah bincang apa yang perlu.
            “Saya buat di rumah ni saja Kak Limah.”  Hajah Mona tersenyum.  Bakal besannya ada duit, bolehlah nak buat di mana sahaja. Maklumlah mewarisi harta peninggalan arwah orang tuanya.  Tidak habis makan tujuh keturunan. 
            “Tak kisahlah.  Yang penting majlis tu sama hebat dengan majlis perkahwinan artis-artis kat Malaysia ni,” cerita Mak Limah lagi. Sudah terbayang di ruangan matanya majlis yang gah  di kampung itu.
            “Jangan membazir sangat Kak Limah, buat biasa-biasa saja sudahlah.  Artis tu ada orang sponsor, kita  pula, sendiri keluar duit,”  nasihat Hajah Mona.  Bakal besannya ini memang suka menunjuk-nunjukkan kekayaannya. Orang kampung memang tahu sangat perangai   Mak Limah yang suka menayang apa sahaja barang yang baharu di beli, lebih-lebih lagi jika orang kampung ada yang tidak mampu.  Pening, pening dapat bakal besan seperti ini. 
            “Anak aku sorang saja Mona,biarlah.  Bukan ada anak lain yang aku kena buat  kenduri lagi.  Kau pun sama.  Sekali saja buat kenduri. Buatlah besar-besaran.”
            “Selepas kahwin banyak lagi nak pakai duit Mak Limah. Takkan nak habiskan?  Lainlah Mak Limah, dapat duit depan belakang.”  Haikal mencebik.  Senang sahaja suruh orang buat kenduri besar-besaran, ingat ada bank sendiri ke?  Ingat main cop sahaja duit yang ada.   Kalau layan bakal mak mertuanya.  Satu hari satu malam tidak habis.   Haikal mengeluh. 
            “Ala, takkanlah kau tak ada duit simpanan Haikal?  Kahwin sekali sahaja tau seumur hidup,” kata Mak Limah.
            “Eh… silap tu Mak Limah. Orang lelaki kahwin empat kali, mana pula sekali?  Kahwin sekali tu hanya perempuan,” gurau Haikal, sempat dia menyengih ke arah emaknya yang sudah menjegilkan mata.
            “Hah?  Kau nak kahwin sampai empat ke?  Kau jangan main gila Haikal!  Keturunan Mak Limah tak ada lagi yang hidup berkongsi suami.  Kau jangan nak madukan anak Mak Limah ya. Siaplah Mak Limah kerjakan kau!”  Mak Limah menyinsing lengan baju kurungnya.  Dia sudah bersiap sedia untuk menyerang Haikal.  Kalau itulah yang dilakukan Haikal, dia tidak akan berdiam diri. Pantang anaknya di madukan. 
            “Haikal gurau saja kak, jangan ambil serius,”  tegur  Hajah Mona. Geram pula hatinya melihat sikap  Haikal yang mengusik bakal besannya.   Memanglah dia dan arwah suaminya ada menyimpan duit untuk Haikal.  Tetapi tidaklah buat bermewah sangat.  Seadanyalah.
            “Gurau benda macam tu, aku tak suka!  kau jangan ingat kau lelaki, kau boleh kahwin banyak Haikal!  Mak Limah takkan biarkan kau sakitkan hati Ain.  Dia saja anak Mak Limah, tau!” pesanan tegas daripada Mak Limah.
            Haikal telan air liur sendiri. Wajah serius bakal mak mertuanya dipandang seketika.  Biar betul,  orang tua itu akan lakukan apa yang dia cakapkah? Alahai… habislah dia.  Kalau dia buli Ain, pasti Mak Limah akan masuk campur.  Pening, pening, bertambah pening.  Ada mak mertua lebih brutal daripada bakal isteri.

No comments:

Post a Comment