AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 5 February 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 31



Bunyi ketukan di luar pintu rumah sewanya menganggu waktu rehatnya, ketika itu dia sedang menonton televisyen.  Siapa pula yang datang waktu-waktu begini. Nak kata teman serumah, mereka baru sahaja keluar. Dia yang malas nak ke mana-mana.  Kalau pergi ke restoran tempat Rose bekerja, takut pula sahabatnya itu marah-marah.  Biarlah Rose bertenang dahulu. Tunangnya pula sejak kelmarin menghantar mesej dan whatsapp, satu pun dia tidak membalasnya. Panggilan pun tidak bersambut.  Padankan muka, berlagak sangat,  Biar tunangnya itu merana sekejap.
            Daun pintu dibuka perlahan. Terpacul Ain berdiri memandangnya dengan senyuman manis terukir. 
            “Jom kita keluar, saya tak makan lagi. Baru sampai dari kampung,” ajak Ain.  Cuba berbaik, dan berlagak seolah-olah tiada apa yang berlaku antara mereka.
            “Malaslah, saya letih sangat. Nak berehat, esok nak kerja.” Haikal menolak.  Meluat pula tengok wajah plastik tunangnya itu. 
            “Awak ni kenapa? Dah benci sangat kat saya?  Saya mencemar duli pujuk awak, awak pula buat keras kepala!” leter Ain geram. 
            “Pergilah balik, awak ubah perangai awak tu dulu. Jangan asyik nak menang dan nak sindir orang saja.” Haikal mencebik.
            “Okey, okey…  saya mengalah.  Jom kita keluar.  Kita selesaikan masalah kita ni dulu,”  pujuk Ain masih tidak berputus asa.
            “Kan saya cakap tadi, saya malas.”  Haikal menolak kali kedua.
            Ain menggoyangkan pintu jeriji yang berkunci.
            “Awak sengaja nak sakitkan hati saya ke, apa?” marah Ain.  Boleh hilang sabar kalau macam ini. Dia penat-penat datang ke rumah Haikal. Ingatkan Haikal boleh makan pujuk. Rupanya rajuknya sampai ke hati.
            “Janganlah buat kecoh pula kat sini, nanti apa kata jiran tetangga saya.” Haikal kurang senang dengan gelagat Ain.
            “Kalau awak tak nak saya buat kecoh kat sini, baik keluar sekarang!” arah Ain.     
            Haikal mengeluh. Bukan boleh percaya dengan tunangnya itu.  Kalau dibuatnya dia menjerit  di hadapan rumahnya itu, haruslah Tok Iman datang sergah nanti. Sebelum kena bambu dengan jiran sebelah menyebelah. Baiklah dia mengalah. 
            “Kejap, saya bersiap!’  Haikal masuk ke dalam biliknya dan keluar semula lima minit kemudian.  Hanya menyarung t-shirt leher bulat dan berseluar track-suit sahaja.  Tidak ada hati nak berlawa malam ini. Seadanya sahaja.
            Haikal mengunci semula pintu rumahnya dan berjalan seiring dengan Ain yang laju langkahnya.
            “Kita nak makan di mana?” tanya Ain.  Pintu kereta Haikal sudah siap terbuka. 
            “Mana-mana sajalah, ikut awaklah!” jawab Haikal acuh tak acuh.
            “KFC sajalah!” kata Ain, meluat pula tengok perangai Haikal yang poyo itu.  Merajuk! Macam perempuan, menyampah! Bisik hati kecil Ain.
            Kereta di pandu meninggalkan kawasan apartment kos sederhana yang menjadi tempat Haikal berteduh di Kuala Lumpur itu.  Ain pula tinggal di Taman Tun Dr. Ismail bersama kawna-kawannya.    Haikal mencari restoran KFC yang paling dekat dengan rumahnya. 
            Mereka berhenti di kawasan rumah kedai yang terdapat di kawasan perumahan tempat tinggal Haikal.  Setelah memakirkan kereta dan menguncinya, mereka berjalan seiring menuju ke restoran KFC. Pelanggan tidak ramai. Haikal mencari tempat yang mengarah ke jalan.  Boleh pandang ke luar sekali-sekala. Tidaklah hanya mengadap muka Ain.
            Setelah membeli makanan Ain duduk menghadap Haikal. Snek plate KFC dibiarkan sahaja. Langsung tidak selera untuk menjamahnya.  Perutnya yang lapar jadi kenyang tengok muka cemberut Haikal.  Makin sakit hatinya.
            “Sampai bila kita nak macam ni?  Saya rindukan saat-saat kita waktu di UK, tak pernah bergaduh.  Awak ikut saja kehendak saya.  Awak tak marah-marah. Awak tak tengking atau herdik saya.  Tapi beberapa minggu ni, awak berubah sangat-sangat. Kenapa Haikal?  Awak dah bencikan saya ke?” tanya Ain perlahan.  Takkanlah dia nak meninggikan suara di dalam restoran itu. Buat malu sahaja kalau diketahui oleh para pelanggan yang ada.
            “Awak tanya diri awak sendiri?  Saya yang berubah atau awak?’ tempelak Haikal dengan muka masam mencuka.
            “Kan saya dah datang pujuk awak ni, takkan masih marah kat saya?” soal Ain geram, suaranya perlahan tetapi sedikit tegas.
            “Saya cari awak sampai kat kampung.  Sampai sana, awak dah balik. Saya cari pula awak di rumah, tak cukup lagi ke?”  tanya Ain.  Mukanya merah menyala menahan rasa marah.
            “Saya nak awak berbaik dengan Rose, boleh awak lakukan?”  Haikal mengangkat kening.
            “Apa?  Awak gila ya?”  Ain menggeleng laju. Mana mungkin dia lakukan hal tersebut. Haikal pun tahu, tidak mungkin dia berbaik dengan   perempuan hitam itu.  Hish… takkan! Ain tidak setuju.
            “Kalau awak nak kita berbaik, awak kena berbaik dulu dengan Rose, itu permintaan saya.  Buang perasaan cemburu, iri hati dan dengki awak terhadap dia, boleh?”  Haikal tersenyum sinis.
            Lama Ain mendiamkan diri, tidak berkutik. Berbagai rasa bermain di benaknya.  Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia angkat kaki sekarang juga. Kalau dia masih belum ada apa-apa perasaan terhadap lelaki itu, dia tidak akan menunggu lagi.   Permintaan yang Haikal sendiri tahu sukar untuk dipenuhi.   Terasa sakit seluruh tubuhnya.  Terlalu geram seluruh jiwa raganya. Kalau gunung berapi sudah tentu meletus.  Nasib baik dia manusia.
            “Macam mana? Takkan lama sangat berfikir?”  soal Haikal, masih menunggu jawapan daripada tunangnya itu.
            “Awak sengaja nak kenakan saya? Awak memang sengaja nak sakitkan hati saya?”  Ain mengetap bibir.  Rasa nak ditumbuk muka Haikal ketika itu juga. Biar pengsan dan sedar esok hari. Biar Haikal tidak ingat apa-apa dan lupa segalanya.  Tidak ingat siapa Rose, tidak memaksa seperti tadi.  Tidak kenakan syarat pada hubungan mereka.  Semua ini bakal menjahanamkan hubungan baik mereka selama ini.  Malah mereka sudah pun ada ikatan, takkan Haikal terlupa? Dahi Ain berkerut.
            “Saya nak seorang isteri yang berhati luhur Ain, tapi awak tak ada itu semua.  Saya tak nak anak-anak saya bersikap seperti awak.  Takkan  awak nak anak-anak awak nanti mewarisi sikap buruk awak tu?” kata Haikal berterus-terang.  Dia perlu tegas dengan tunangnya itu. Kalau mahu berubah, dia boleh bertolak ansur, kalau tidak dia rela hubungan mereka putus sahaja. 
            “Awak?”  Ain tidak sangka Haikal akan berkata begitu.  Kenapa berubah setelah mereka bertunang? Kenapa baharu sekarang nampak perangai dirinya? Kenapa tidak dahulu lagi?  Rasanya dia tidak banyak berubah.
            “Macam mana?”  tanya Haikal lagi.
            “Biar saya fikirkan dulu.” Ain menunduk.  Rasa nak meraung ketika itu juga.  Kenapa ada sengketa sedangkan hari bahagia mereka semakin hampir.  Dia tidak mahu memanjangkan perang dingin itu lagi.
            “Berapa lama?” Haikal tidak mahu mengalah.
            “Sehingga saya sedia dengan jawapannya,” jawab Ain tenang.  Wajah Haikal yang tidak bermusim senyum itu dipandang sekali imbas. Sudah berubah orang tersayang. Semakin remuk hatinya.  Semakin membara marahnya terhadap Rose, semakin menebal dendamnya.  Kenapa perempuan hitam itu perlu ada antara dia dan Haikal?

No comments:

Post a Comment