AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 7 February 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 32




            Masa begitu cepat berlalu.  Sudah berbulan-bulan Rose bekerja di Restoran Selera Melayu.  Dia juga sudah semakin cekap melakukan tugas yang diberi terutama menguruskan perjalanan restoran itu.  Kak Maznah memberi kepercayaan kepadanya untuk  menguruskan restoran itu.  Tambahan  pula Rose berpelajaran tinggi berbanding pekerja lain.  Rose menerima penghormatan itu dengan hati yang terbuka.  Dia bersungguh-sungguh melakukan tanggungjawab yang diberi.  Tugas Kak Maznah pun semakin ringan sejak restoran itu telah mendapat pengganti tukang masak yang berhenti.  Kali ini Rose memberi cadangan agar, setiap tukang masak menulis kembali resepi yang mereka masak dan dijadikan SOP agar makanan yang terhidang tetap sama dan tidaklah berubah rasa ketika berubah tukang masak.  Kak Maznah suka dengan cadangannya itu. Akhirnya mereka guna pakai idea yang diberinya.  Rose tersenyum puas.
            Menu telah ditambah mengikut kepandaian tukang masak yang ada.  Kak Maznah datang hanya sebelah pagi dan sewaktu kedai nak ditutup. Kadangkala dia akan membantu sehari  suntuk kalau tiada masalah di luar, atau ada urusan yang perlu di selesaikan.  Dia pula sering pulang lewat malam memantau dan memastikan segala urusan di restoran itu berjalan lancar.  Memastikan pelanggan yang datang berpuas hati dengan layanan dan menu yang disediakan.  Bukan mudah rupanya menguruskan sebuah restoran.  Zaiton pula sekali-sekala datang menyinggah, menemaninya walaupun hanya duduk menghadap laptopnya sambil memesan makanan yang dia suka dan yang membayarkan adalah Rose, selagi sahabatnya itu sudi berada di sisi, dia relakan sahaja.  Rose tersenyum sendiri. Ada ketika ringan jugalah tangan Zaiton membantunya mengemas meja dan mengutip pinggan kotor bawa ke belakang restoran. Dia juga sempat belajar memasak daripada Kak Maznah dan tukang masak yang baharu itu. Manalah tahu satu hari nanti dia akan membuka restoran sendiri.
            “Rose!” sapa Haikal yang muncul hampir setiap minggu. 
            Rose mengeluh dan tersenyum bagi menyambut semula kehadiran sahabatnya itu. 
            “Nak minum apa-apa ke?” tanya Rose lembut, tidak lagi marah-marah.  Nampaknya Haikal ikhlas nak bersahabat dengannya semula.
            “Seperti biasa. Makan,  nasi goreng biasa, telur mata sebiji.” Pesan Haikal sambil menarik kerusi yang terletak di bahagian tepi  ruang kedai itu.  Kedai itu terletak di bangunan dua tingkat dan di  lot tepi, jadi bahagian tepi kedai juga diguna pakai.
            “Awak dari mana?” Setelah membuat pesanan makanan dan minuman untuk Haikal, dia duduk mengadap lelaki itu.
            “Dari rumah, bosan tinggal sorang-sorang, itu yang datang sini.  Awak tak kisahkan?”  Haikal memandang wajah Rose yang sentias tenang.
            “Nak kisah apanya?  Ini kedai makan, sesiapa pun boleh datang,”  jawab Rose. 
            “Majlis perkahwinan awak bila?” Rose ingin tahu, dia tengok Haikal bagaikan tidak peduli dengan majlis perkahwinannya yang semakin hampir, kalau tidak salah dua bulan lagi.
            “Tak lama lagilah,” jawab Haikal selamba.  Langsung tidak menunjukkan rasa teruja atau seronok memperkatakannya. 
            “Macam tak bahagia aje?”
            “Biasa aje.” Haikal menyengih.
            “Awak nak sembunyikan apa dari saya?”  Rose dapat rasakan ada yang tidak kena.  Sejak kejadian bertembung dengan Ain di restoran itu merisik tentang dirinya, perempuan itu tidak pernah datang lagi. 
            “Tak ada apalah.” Haikal mengelak untuk memperkatakannya.
            “Awak masih tak anggap saya sahabat awak ke? Berkongsi suka dan duka.” Rose memandang sayu wajah murah dan tidak bersemangat Haikal.
            “Bukan begitu. Cuma… saya  tidak mahu bebankan awak dengan masalah saya, itu aje,” luah Haikal dengan mata redup.
            Makanan dan minuman yang dipesan tiba, mereka berhenti bercakap seketika.
            “Awak bila nak balik kampung?  Sejak kerja sini, rasanya awak dah lama tak balik?” tegur Haikal.  Mak  Hanum ada juga mengadu dengannya, mereka hairan kenapa Rose lama tidak balik kampung, padahal bukannya jauh sangat.  Balik hari pun boleh. 
            “Sayakan baharu kerja, takkan nak ambil cuti pula?” 
            “Yalah, awak ada telefon mereka tak?”
            “Nanti saya telefonlah.” Rose akur, sudah lama dia tidak menghantar khabar berita kepada keluarganya di kampung.  Bukan merajuk tetapi kekangan kerja membuatkan dia terlupa, waktu teringat dia sedang bekerja. Bila lapang tidak pula otaknya nak mengingatkan apa yang harus dilakukan. 
            “Ooo… di sini awak melepak ya?”  jerkah seorang perempuan. 
            Rose menoleh. 
            Ain mencekak pinggang memandang tajam ke arahnya dan Haikal.
            “Bila saya ajak keluar, memanjang penat, letih, dah kenyang.  Tapi duduk kat sini boleh pula?” tengking Ain tanpa memperdulikan mata-mata yang memerhati.
            “Awak ni kenapa? Saya datang makan saja,” jawab Haikal. Dia mengeluh.  Permintaan yang dibuat langsung tidak berjawab, sudah berbulan-bulan. Bila ditanya, masih berfikir.  Itulah jawapan yang bermain di bibir Ain.  Penat menunggu,rimas menanti.
            “Makan? Yang perempuan hitam ni duduk menghadap awak, buat apa? Menggatal?”  marah Ain.
            “Malulah! Tak boleh ke awak bertenang dan berfikiran terbuka?” tegur Haikal geram.
            “Tahu malu?  Awak tak malu ke bersama perempuan hitam legam ni? Cuba tengok diri awak berbanding dia?” sindir Ain tidak henti-henti.
            Rose tidak mampu bertahan lagi. Perempuan ini memang nak kena cili agaknya. 
            “Boleh tak awak keluar?  Awak mengganggu pelanggan restoran ini menjamu selera,” halau Rose. Peduli apa dia.  Perempuan sengal macam ini harus diajar bersopan santun dan menghormati orang lain.
            “Haikal!” jerit Ain.
            Haikal tersentak, dia bingkas bangun dan terus menampar muka Ain.
            “Haikal?!” jerkah Rose. Dia tidak suka lelaki yang mudah naik tangan pada tubuh seorang perempuan.  Dalam situasi ini, keadaan masih boleh dikawal. Kalau sudah sampai naik tangan, pasti pergaduhan mereka akan berpanjangan.
            “Awak! Kau perempuan hitam! Aku takkan lepaskan kau!” Marah Ain dan berlalu meninggalkan restoran itu dengan perasaan marah menebal di hati.
            Keadaan dalam restoran sunyi sepi bagaikan dilanggar todak.  Semua mata tertumpu ke arah meja yang diduduki oleh Haikal dan  Rose.  Mereka saling bercakap sesama sendiri.  Keadaan tenang semula beberapa minit kemudian.
            “Apa awak buat ni? Kalau ya pun nak mengajar Ain, bukan ini caranya.  Cara awak salah. Sepatutnya awak berlembut dengan dia, bukan berkasar seperti ini.  Kalau terjadi apa-apa antara awak dan Ain, bagaimana?” 
            “Biarlah, malas nak fikir.”
            “Cakap senanglah, ini melibatkan keluarga, tahu tak?”
            “Awak nak saya buat apa?  Hubungan kami dah lama retak, sejak saya suruh dia berkawan dan berbaik dengan awak. itu syarat saya untuk kami berbaik semula.  Sampai sekarang tak ada jawapan.  Siapa yang tidak sakit hati?” tempelak Haikal.  Dia menyandar di kerusi. Keluhan berat di lepaskan. T-shirt yang disarung ke tubuhnya dibetulkan.  Rimas hidup dengan orang yang kuat cemburu ini.
            “Pergilah pujuk dia, janganlah bersikap keras seperti ni.  Kalau dia tak nak berkawan dengan saya, awak janganlah paksa.  Nanti orang tuduh saya penyebab hubungan awak berdua musnah.  Kalaulah Mak Limah tahu, habislah dia amuk keluarga saya,” nasihat Rose.
            “Biarlah, dia tengah berangin. Dah sejuk nanti saya pujuklah.  Saya makan dulu ya.”
            Bagaikan protes sahaja cara makan Haikal, suap, telan, suap, telan. Kalau tercekik tidakkah dia yang susah. Rose merenung resah wajah selamba Haikal. Seperti tiada apa yang berlaku sebentar tadi.
            Malam berlalu dengan kesuraman wajah masing-masing. Kehadiran Ain yang tiba-tiba mengubah perasaan masing-masing.    Hampir restoran tutup baharulah Haikal pulang ke rumahnya.  Dia banyak membisu dan melayan perasaan sendiri.   Rose sengaja tidak mahu mengganggu. Biarlah sahabatnya itu mencari ketenangan untuk diri sendiri.  Malam yang panjang terasa pendeknya lantaran hati yang terluka, kecewa dan hampa.  Selamat malam Haikal, bisik hati kecil Rose sebelum menutup mata. Esok adalah hari yang panjang untuk kembali bekerja.  Kejadian tadi masih terbayang di ruangan matanya.   Keadaan mampu mengubah manusia yang tenang menjadi sebaliknya. Kesabaran ada hadnya.

No comments:

Post a Comment