AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 11 February 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 33



Ain memegang pipinya yang masih terasa panasnya. Air matanya mengalir laju, remuk redam hatinya. Hancur berderai, berkecai.  Sampai hati Haikal, sanggup naik tangan ke mukanya.  Dia ke rumah Haikal tadi, tapi ternampak lelaki itu sudah pun memandu keluar keretanya.  Ain mengekori kereta Haikal sehinggalah sampai ke restoran itu.  Dia telefon Haikal untuk ajak keluar, tetapi lelaki itu menolak, mengatakan penat dan letih.  Hatinya bagaikan dicucuk sembilu melihat Haikal keluar juga.  Bertambah geram dan sakit hati bila tunangnya itu mencari Rose, gadis hitam legam itu. 

            Dengan hati yang sedang mendidih, dia terus menerpa dan mengherdik Haikal.  Akhirnya satu tamparan singgah di pipinya.  Selama dia berkawan dengan Haikal belum pernah lagi lelaki bersikap seperti itu. Memang sengaja cari pasal dengannya.  Perempuan hitam itu sukalah, Haikal sudah mendekatinya kembali. Ain mendengus kasar.  Dia memandang ke arah restoran itu dengan hati yang sebal.  Haikal pula, macam tidak ada perempuan lain yang nak di jadikan kawan. Masih berlambak lagi kawan sekolah mereka yang cun, cantik dan menarik  untuk dijadikan teman berbicara atau sahabat sekalipun. Ini tidak, budak hitam legam itu juga yang dicari. Kalau perempuan lain, dia tidak sakit hati sangat. Kalau si hitam itu memanglah, boleh terbakar seluruh tubuhnya.

            Adakah Haikal tidak lagi menyayanginya?  Apakah rasa benci sudah bercambah di hati tunangnya itu.  Sampai hati Haikal.  Sekian lama menyulam kasih sehingga bertunang dan tidak lagi mereka bakal diijabkabulkan, takkanlah semudah itu Haikal melupakan semuanya.  Kalau bolehlah, selepas bernikah ingin sahaja dia berpindah bersama Haikal ke luar negara. Biar tidak lagi berjumpa dengan perempuan hitam itu. Ini tidak, kalau  balik Hari Raya pasti jumpa di masjid. Merekakan sekampung.  Memang memedihkan sungguh, keluh Ain dalam hati.  Dia masih tidak berganjak. Sengaja menunggu selama mana Haikal akan berada di restoran itu.  Biarpun hatinya sedang terluka parah dengan perbuatan lelaki itu sebentar tadi.  Namun, tidak langsung mengubah rasa cinta yang melingkar di hati.  Bagaikan sudah tertanam cerucuknya kukuh dan ketebalan simennya tidak mampu dipecahkan hatta oleh jentolak berkuasa tinggi.

            Menahan rasa, menahan tekanan yang tinggi dalam hati. Dia tidak akan membiarkan Rose merampas kebahagiaannya. Dia tidak akan membiarkan perempuan itu menang dalam semua perkara.  Cukuplah dia kalah waktu di zaman sekolah dahulu.  Tidak di saat dan ketika ini.   

            Hampir sejam dia menunggu.  Air matanya juga sudah kering.  Baki yang ada sudah dilap sehingga bersih.  Cuma, hatinya yang sakit masih tidak berkurang.  Haikal masih tidak berganjak keluar dari restoran itu. Masih lagi duduk bersantai seorang diri.  Rose tidak pula kelihatan kelibatnya.  Ain terintai-intai dari dalam keretanya. Dia akan menunggu Haikal di situ. Perang, peranglah! Dia peduli apa. 

            Sejam lagi berlalu, Haikal kelihatan sudah menapak menuju ke keretanya.  Ain melangkah keluar dan mengekori langkah Haikal.  Tanpa disedari oleh lelaki itu.  Semakin lama dia semakin menghampiri Haikal.

            “Awak!” panggil Ain, berdiri betul-betul di belakang Haikal.

            Haikal menoleh. Dahinya berkerut.  Tidak balik lagi rupanya perempuan ini?  Kata Haikal dalam hati.

            “Awak nak apa lagi?” tanya Haikal tanpa memandang wajah Ain yang berdiri kaku di hadapannya.  

            “Maafkan saya.”  Ain mengendur.  Bukan bermakna kalah. Cuma, tidak mahu memanjangkan lagi sengketa  antara mereka terus berpanjangan.  Biarlah dia mengalah.  

            “Bukan pada saya awak harus meminta maaf.  Seperti yang saya cakap sebelum ini.  Kalau awak boleh berbaik dengan Rose, ikhlas dan jujur berkawan dengannya, barulah saya  akan menerima awak semula,” jelas Haikal tanpa rasa bersalah menyakiti hati Ain.  Dia benar-benar inginkan seorang isteri yang berhati mulia. Itu keputusannya.

            “Balik, balik perempuan itu?  Balik,balik perempuan hitam itu juga yang awak suruh saya kawan!  Tak ada orang lain ke?” kata Ain sedikit meninggi.  Haikal sengaja menguji kesabarannya.

            “Itu sahaja syarat saya, bukan susah pun. Kalau awak bersihkan hati awak tu, mudah saja awak ikut kehendak saya.  Susah ke?” Haikal mengangkat kening.

            “Awak tak sayangkan saya lagi ya?”  tanya Ain dengan mata berkaca.  Rasa sebak terus menyinggah, membenam ke sangkar hati.

            “Kerana terlalu sayanglah, saya mahu awak berubah,” luah Haikal.

            “Awak!” panggil Ain sekali lagi. Mati lidahnya untuk berkata apa-apa.  Haikal sudah tekad nampaknya.  Dia terus memusing tubuhnya dan melangkah pergi. 

            Haikal hanya memandang sepi. Langsung tidak berfikir untuk memujuk Ain.

***
            Ain mengambil cuti kecemasan, dia perlu pulang ke kampung.  Dia perlu meluahkan perasaan yang sedang berbuku di hati.  Haikal memang sudah melampau.  Haikal lupa segala janji manisnya selama mereka berkawan.  Lelaki itu sudah kena sampuk agaknya.  Sanggup mengenepikan dirinya demi perempuan bertubuh hitam itu.  Melampau! Jeritnya dalam hati.

            Mak Limah terdiam seketika.  Budak-budak ini memang serius bergaduh nampaknya.  Kalau tidak takkan Ain balik tergesa-gesa siap ajak ke rumah Haikal pula itu.  Apalah nak jadi, agaknya.  Benarlah kata orang, waktu bertunang banyak dugaannya.  Dia mengeluh. Kalau dia tahu nak jadi seperti ini, baiklah dia nikahkan terus. Tidaklah sakit  hati dan matanya ketika ini. Wajah Ain yang pucat lesi.  Macam orang tidak cukup rehat dan tidur sahaja.

            “Kenapa Ain?” tanya Hajah Mona dengan penuh kehairanan.  Tidak ada ribut dan taufan, Ain memulangkan semua barang hantaran yang diberi waktu bertunang dahulu.  Apa yang telah terjadi?  Haikal tidak pula ada cakap apa-apa?  Semakin bingung jadinya.  

            “Ain nak putuskan pertunangan dengan Haikal!” kata Ain, wajahnya serius menikam wajah Hajah Mona.  

            “Tapi kenapa?”  soal Hajah Mona.

            “Haikal dah tak sayangkan saya lagi, buat apa saya bersama dengan lelaki yang sanggup naik tangan ke muka saya?” luah Ain. Tidak mahu berselindung lagi.  Biarpun baharu sekali sahaja Haikal berbuat demikian.    Hatinya sedang sakit, amat sakit. Bagaikan barah di jiwanya.

            “Mak cik tanyalah kat Haikal.” Malas nak mengulas panjang lebar.  Nanti, yang nampak bersalah adalah dirinya.  Baiklah dia mendiamkan diri dan memutuskan sahaja tali pertunangan  dengan Haikal.

            “Ain, jangan macam ni, Masih ada ruang untuk kita berbincang.  Mak cik suruh Haikal balik segera.  Kita bincang sama-sama ya?” pujuk Hajah Mona.

            “Nak pujuk apa lagi Mona?  Dah terang-terang anak kau dah pandai naik tangan ke muka anak aku!”  sampuk Mak Limah setelah mendiamkan diri seketika.

            “Budak-budak ni Kak Milah, kena kita bimbing mereka.  Ini mesti ikut perasaan. Tak nak berbincang elok-elok.  Ain, sabarlah ya.  Biar mak cik selesaikan hal ini dengan Haikal.  Mungkin… mungkin ada sebab yang menyebabkan Haikal menampar Ain.” Hajah Mona mengeluh berat.  Majlis perkahwinan semakin hampir, anak-anak pula buat perangai.  

            “Aku tak nak cakap banyak. Aku ikut saja cakap Ain. Kalau dia dah tak nak, aku boleh buat apa?”  Mak Limah memandang  wajah muram anak perempuannya.  Hiba pula hatinya.

            Ain menunduk, siapa yang nak putus tunang? Dia sengaja berbuat demikian untuk mengertak Haikal. Nak tengok apa tindakan tunangnya itu.  Dia tidak akan membiarkan dirinya diperlakukan sedemikian rupa.   Dia ingin menguji sejauh mana kasih Haikal terhadap dirinya berbanding dengan perempuan hitam legam itu.

            “Kau cakap dengan anak kau, jangan buat main-main dengan anak dara orang.  Kami pun ada maruah tau!”  marah Mak Limah.  

            “Baiklah Kak Limah.   Bawalah balik barang-barang hantaran ni.  Akak dan Ain buat saya takut aje.” Hajah Mona memandang wajah kedua beranak itu.  Serius sahaja sejak tadi.  Adakah mereka serius untuk memutuskan tali pertunangan yang telah pun terjalin?

            “Takut atau tidak, semuanya terserah pada Haikal. Kalau dia masih nak teruskan hubungan ini, pandai-pandailah dia pujuk Ain balik. Kalau tidak, nampaknya tidak ada jodohlah kita nak berbesan Mona,”  luah Mak Limah dengan wajah cemberutnya.

            “Ain bukan apa mak cik. Ain pun ada maruah dan harga diri.  Kalau Haikal sanggup buat Ain macam ni, nanti dah kahwin entah apa yang akan dia lakukan lagi.”

            “Haikal tidak pernah macam ni?  Mak cik pun hairan?”  Hajah Mona bagaikan tidak percaya dengan apa yang terjadi.  Haikal bukan seorang yang mudah memukul perempuan. Belum pernah dan tidak pernah sekalipun.  Kenapa pula dia tergamak naik tangan  terhadap Ain? Semakin difikir,semakin  dalam masalah yang sedang dihadapi.

            Ain dan Mak Limah pulang dengan harapan Hajah Mona dapat menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi.  Ain sengaja menggunakan bakal mertuanya itu. Dia tahu Haikal akan mendengar nasihat dan kata-kata emaknya.  Dia tidak perlu  menyusahkan diri pergi menyerang Haikal lagi.  Senyuman puas terukir di bibirnya.  Apa sahaja yang bakal berlaku, dia sudah bersedia dari segi mental dan fizikal.  Haikal, kenapa awak berubah? Bisik hati kecil Ain sebelum memandu keretanya berlalu meninggalkan perkarangan rumah Haikal.

No comments:

Post a Comment