AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 15 February 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS- BAB 34



Haikal tidak berkutik ketika dibebelkan oleh emaknya dengan pandangan yang tajam menikam.  Bagaikan nak membunuh anak sendiri sahaja lagaknya.  Dia tidak berani melawan, itukan emaknya. Jangan jadi anak derhaka.  Marah emaknya pasti bersebab.  Cuma, sebabnya masih tidak jelas difikiran.
            “Apa  dah jadi ni Haikal?  Kau nak buat mak sakit jantung ke?  Dulu, bukan main lagi cintalah, sayanglah, kasihlah.  Bila dah bertunang, kenapa jadi macam ni?” bebel  Hajah Mona lantang.
            Tunang?  Sah…  Ain sudah datang mengadu.  Apalah punya teruk tunangnya itu. Masalah kecil itu pun nak datang mengadu, mengada-ngada betul, bebel Haikal dalam hati pula.
            “Kenapa mak?  Haikal tak fahamlah?” Memang dia tidak faham.  Maknya bercakap tanpa menerangkan duduk perkara.  Main terjah sahaja.  Langsung tidak ada mukadimah.  Baharu sahaja dia melangkah di anjung rumah, macam bedilan  senapang M16, tidak sempat dia nak menyorok selamatkan diri.  Ini benar-benar serius nak membunuh.  Boleh mati katak jadinya.
            “Tak faham?  Sejak tadi mak cakap, kau masih tak faham?”  herdik Hajah Mona.  Makin panas hatinya. Padanlah muka anaknya macam blur sahaja waktu dia bercakap. Rupanya tidak faham maksud kata-katanya.
            “Ain datang nak putuskan pertunangan, katanya Haikal lempang muka dia? Kenapa? Kenapa mudah sangat angkat tangan dan berani pukul perempuan? Dayus namanya!”  jerkah Hajah Mona, hilang sabarnya.  Mak Limah sudah canang satu kampung, anaknya kaki pukul.  Malu, malu… memang memalukan.  Mana dia nak letak muka, dia seorang guru tetapi anak jadi kaki pukul perempuan.  Walaupun tindakan Haikal hanya baru sekali. Mak Limah peduli apa.  Apa yang penting dia boleh bercerita.  Orang kampung pula pakat percaya.  Ditambah dengan kepulangan Ain dengan muka simpati.  Bertambah-tambahlah mereka percaya.
            “Ala, lempang sikit saja pun dah nak putuskan pertunangan!”  Haikal mengetap bibir. Kalau Ain ada di hadapannya, mahu sahaja dia cekik.  Biar tidak bernyawa.  Buat malu sahaja.
            “Sikit ke, banyak ke, tetap tak boleh! Faham!” marah Hajah Mona dengan muka bagaikan ibu singa kelaparan.  Kalau salah pertimbangan dibahamnya Haikal yang masih buat muka blur. 
            “Mak, cuba bertenang.  Dengarlah cerita anak bujang emak ini dulu. Jangan dengar sebelah pihak,” pinta Haikal.
            Hajah Mona mengeluh.  Dalam keadaan kacau bilau ini pun anaknya masih boleh berlagak selamba. 
            “Mak bukan apa Haikal.  Mak tak sukalah anak emak dituduh yang bukan-bukan.  Kita ada maruah dan harga diri, kalau sudah dicanang satu kampung, kita juga yang malu,”  kata Hajah Mona sedikit tenang.
            “Ain datang jumpa emak ke?” tanya  Haikal ingin tahu apa yang berlaku.  Sejak kejadian tempohari dia tidak lagi bertemu Ain atau tunangnya itu ada menelefonnya.  Sepi tanpa sebarang berita.  Dia pula terpaksa ambil cuti kecemasan setelah mendapat panggilan daripada emaknya. 
            “Datang dengan bawa barang hantaran sekali,” terang Hajah Mona, dia menyandarkan tubuhnya yang sedikit gempal di sofa, matanya masih  memandang tepat wajah anak bujanngya.
            “Hah?” Kali ini benar-benar menyentap jantungnya.  Dia hanya mengugut, bukanlah sampai nak memutuskan hubungan yang sudah terjalin.  Sampai nak putus tunang?  Ini sudah mencabar dirinya.  Ain ingat dia siapa?  Haikal menahan geram. 
            “Haikal nak buat apa?  Kenapa Haikal lempang dia?”  tanya Hajah Mona lagi.
            “Lempang?  Sebab dia kurang ajar sangat mak, memalukan orang lain sesuka hati. Macam manusia tak ada adab,” jelas Haikal, perlahan. 
            “Memalukan siapa?” Hajah Mona ingin tahu.
            “Dia masih lagi menghina dan mengganggu Rose mak.  Mula-mula  Haikal terikut juga rentaknya, tapi bila difikirkan semula, apalah salah Rose pada Ain? Kalau kerana kejadian waktu zaman sekolah kami dulu, takkanlah sampai sekarang masih nak simpan perasaan dendam itu lagi. Perkara sudah lepas pun.  Apa yang berlaku adalah kesilapan Ain juga sehingga dia dihukum buat kerja amal selama sebulan.  Siapa suruh dia curi kertas peperiksaan Rose, sehingga Rose dimarahi oleh cikgu kerana tidak hantar kertas peperiksaannya.  Disebabkan itulah mereka masih bermusuh sehingga kini.  Kecil saja sebabnya, tapi Ain masih tidak mahu membuang rasa marah dan dendam tu. Haikal cuma nasihatkan dia supaya berubah, jangan berdengki dengan Rose, dia tak layak pun nak cemburukan Rose.  Dia jauh lebih hebat daripada Rose.  Haikal juga suruh dia berbaik dengan Rose baharulah Haikal akan menerima dia sepenuhnya. Haikal lempang sebab dia menghina Rose di hadapan orang lain,” cerita  Haikal panjang  lebar.
            “Tak habis-habis lagi ke dendam di hati Ain?”  tanya Hajah Mona.
            “Pasal tak habislah jadi macam ni, mak!”  Haikal sendiri bingung nak menasihati Ain.  Keras betul hati Ain.  Bukan susah sangat nak lupakan kejadian yang berlaku.  Aduhai, kalau cakap dengan orang, pasti akan ada yang kata, tak logiklah. Takkan simpan dendam sampai ke mati?  Memanglah nampak tak logik, tapi ada yang begitu.  Kalau tidak percaya, cuba tanya kawan masing-masing, siapa yang mereka benci di kalangan rakan sekolah atau ada orang lain yang mereka tak mahu tengok dan jumpa.
            “Ya ALLAH, Rose tu baik budaknya. Kalau Haikal tak kisah dengan paras rupa, mahu saja mak jadikan menantu.  Mak Cik Hanum tukan kawan baik mak.” Hajah Mona tersenyum, marahnya sudah menurun ke suhu normal.
            “Apa mak?  Haikal tak salah dengarkan? Mak nak cucu mak jadi tahi cicak ke?” usik Haikal sambil tersenyum. 
            “Takkan tak nak kut?  Haikal sendiri dah kenal hati budi Rose.Warna kulitnya saja yang gelap, hatinya putih.” Masih lagi mengusik Haikal.
            “Mengarutlah mak tu!” Haikal mengeluh.
            “Pergilah pujuk Ain. Takkan Haikal nak perkara ini berlanjutan. Kalau  jadi apa-apa, mak tak tahulah macam mana bakal mertua Haikal yang tak jadi tu akan buat.  Baik fikir baik-baik,” nasihat Hajah Mona.  Dia tidak mahu anaknya menjadi mangsa fitnah.  Kalau benar tidak mengapa, mungkin anaknya ada berbuat salah.  Tetapi, jika perkara itu hanya mAinn mulut Mak Limah, kan ke haru jadinya.
            “Nantilah mak. Kalau dia dah ambil kata putus, Haikal boleh buat apa. Nak pujuk memujuk ni Haikal tak sukalah,” luah Haikal selamba.
            “Jangan macam tu Haikal.  Nanti hubungan yang tidak keruh bertambah berkeladak, siapa yang susah?”  Hajah Mona kecewa.  Nampak sangat Haikal tidak kisah dengan apa yang berlaku.
            “Yalah mak.  Mak suruh Haikal balik segera ni, semata-mata tentang hal ini ke?”
            “Yalah…”
            “Buang masa saja. Mak telefon pun dah cukup.”  Haikal mencebik.
            “Jangan buat naya dengan anak orang, tak baik. Kalau suka, cakap suka. Kalau sayang, cakap sayang. Jangan buat macam ni, tak baiklah!” nasihat  Hajah Mona masih tidak berhenti.
            “Tahulah Haikal selesaikan masalah Haikal mak.  Jangan bimbang ya.” Haikal melemparkan senyuman.  Kalau Ain masih berkeras. Dia juga boleh berbuat begitu.  Ingat dia tidak berani ke? Kalau nak putus, putuslah. Tidak payahlah mencanangkan satu kampung.  Nampak sangat nak cari publisiti murah.  Kalau artis tidak mengapa, mungkin yang kurang popular, boleh popular semula dengan cerita sensasi seperti itu. Ini tidak, sendiri buat hal, lepas itu bukan main lagi menuduh orang lain.  Haikal menahan geram. 
            Petang baru dia balik ke Kuala Lumpu, langsung dia tidak menjengah ke rumah bakal mertuanya. Biarlah mereka nak laporkan dalam suratkhabar sekalipun, masuk CNN, biar satu dunia tahu.  Dia tidak akan hairan atau hatinya terusik, sekurang-kurangnya popularlah dia.  Tidak perlu masuk pertandingan realiti  di media elektronik.  Dipopularkan secara tidak sengaja.  Tidak perlu kerja keras.  Haikal tersenyum sendiri. 
            Kereta dipandu cermat mengikut had laju yang telah ditetapkan.  Hatinya tersenyum sendiri memikirkan cadangan emaknya tadi.  Berkahwin dengan Rose? Kalau sudah jodoh nak dibuat apa.  Semakin difikirkan, semakin mengeletek hatinya.  Apa agaknya anggapan Rose jika tahu tentang cadangan emaknya tadi. Pasti sahabatnya itu akan tersenyum atau anggap dia gila.  Haikal ketawa sendiri.

No comments:

Post a Comment