AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 17 March 2017

CATATANKU 12

Salam Jumaat, hari yang penuh keberkahan, penuh rahmat. Apa khabar adik-adik penulis yang berbakat besar? Semoga hari-hari mendatang memberi kegembiraan dan idea berkarya seperti air sungai yang mengalir deras.

Hari ini akak nak bercerita sedikit buat renungan, pandangan dan sama-sama kita fikirkan.
Rezeki! Semua orang tahu rezeki itu datangnya daripada Allah swt. Allah memberi, pemurah kepada semua hamba-hambaNya, tidak kira beriman, pendosa, kafir atau Islam.

Rezeki kita sebagai penulis pun datangnya daripada Allah swt. Idea pun daripada Allah swt. Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki, menarik balik rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

Ramai tahu, ramai perasan, dunia penerbitan buku hari ini sedang meniti hari-hari yang penuh kesukaran, ramai penulis, rumah penerbitan sudah mula mengeluh akan kelembapan jualan produk yang dihasilkan.

Ada penulis yang mengeluh, pendapatan mereka tidak lagi seperti dulu. Bagi kita penulis yang baru berjinak-jinak menghasilkan sebuah dua buku tidak begitu terasa kerana berasakan dapat royalti ribuan ringgit sudah terasa besar. Tetapi bagi penulis lama yang punya ramai peminat dan penggemar mereka benar-benar terasa.

Kenapa ini berlaku? Adakah memang kerana ekonomi sedang gawat? Kenapa berlaku kegawatan? Kenapa? Kenapa?

Allah! Akak bukan hendak menunjuk pandai, jika itulah yang adik-adik rasakan. Cuba perhatikan sekeliling kita, apa yang kita nampak? Apa yang kita lihat?

Adik-adik semua, bukankah rezeki itu daripada Allah? Allah hendak apa daripada kita? Kejamkah Allah menarik balik pemberiannya jika kita melakukan perkara yang baik sesama kita?

Allah nak tengok sahajakah segala perbuatan mungkar kita? Allah nak beri jugakah rezeki yang melimpah ruah sedangkan ada segelintir kita menulis perkara yang bukan-bukan dan ajarkan kepada hamba-hambaNya?

Ingat! Musibah melanda bukan hanya kepada yang membuat kemungkaran tetapi juga kepada mereka yang berbuat baik!

Allah tidak pernah MENIPU! Janji Allah pasti! Jika kita bersyukur, Allah gandakan lagi pemberiaannya. Jika kita kufur, tunggulah pembalasanNya.

Jangan kata, setiap perbuatan kawan-kawan kita yang jadi syaitan dalam dunia penulisan hari ini tidak terkesan kepada kita. Jangan salahkan orang lain atau ekonomi ketika rezeki kita Allah tarik sebab kemungkaran sedang berlegar sekeliling kita dan kita tidak ambil kisah pun.

Pandang dengan mata hati, lihat dengan jiwa yang bersih, tenang dan fikirkan sejenak setiap kata -kata akak ini. Kita semua sayang akan minat kita, kita punya impian untuk menjadi penulis, tapi kenapa kita biarkan dunia penulisan ini dicemari syaitan-syaitan yang tidak takutkan Allah?
Kita semua akan kembali menghadap Allah dengan membawa bersama dosa dan pahala kita. Kita akan bertemu Allah dengan membawa bersama bakat dan hasil penulisan kita. Tidak malukah kita ketika bertemu Allah membawa bersama hasil penulisan kita sedangkan idea kita menulis juga adalah milik Allah.

Allah tarik sikit sahaja, semua orang sudah mengelabah, di sana sini para penerbit berhati-hati menerbitkan buku. Para penulis mengeluh buku jualan mereka tidak lagi laris macam dulu. Para pembaca semakin tawar hati untuk membeli buku dan membaca kerana kita semua hanya memikirkan kekayaan di dunia, bukan kekayaan untuk akhirat.

Apa yang kita tulis tidak lagi ada jiwa untuk mengajar dan mendidik seperti penulis-penulis dahulu, hari ini kita menulis untuk menjadi kaya.

Allah tidak akan biarkan kita menjadi manusia yang merosakkan hamba-hambaNya. Tidak mustahil kita hanya ada impian dan angan-angan sahaja. Inilah jadinya jika dalam hati segelintir kita tiada Allah dan hanya ada dunia.

Fikir-fikirkanlah... jika kita sayangkan dunia penulisan, penerbitan buku, cegahlah kejatuhannya sebelum parah! Bagaimana? Tepuk dada tanya hati, akak pasti ramai tahu akan jawapannya.
Selamat berjaya mengubah dunia!

No comments:

Post a Comment