AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 4 March 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS- BAB 35



Zaiton mencebik, kawannya yang seorang ini memang sudah tidak betul agaknya.  Sejak bekerja di restoran itu, minatnya dalam bidang perniagaan makanan semakin berkobar-kobar. Kalau balik rumah ada sahaja yang dibebelkan.  Sebagai kawan yang tidak mahu dituduh tidak ambil tahu, terpaksalah menahan telinga mendengar angan-angan Mat Jenin kawannya itu.
            Berseri-seri wajah Rose menceritakan cadangannya. 
            “Kau dengar tak?” Rose menepuk peha Zaiton yang duduk di hadapannya.
            “Dengarlah!” jawab Zaiton.  Aduh, sakitnya telinga, bisik hati kecilnya.  Bukan dia tidak berminat nak dengar, masalahnya sebulan ini, itulah cerita yang diulang tayang oleh sahabatnya itu.  Rasanya sudah boleh hafal, kalau dibuat drama, rasa-rasanya dia boleh melontarkan skrip itu dengan mudah. 
            “Apa cadangan kau pula?”  Rose tersenyum gembira. 
            “Cadangan aku?  Aku mana minat berniaga. Makan bolehlah.  Kalau kau tanya makanan itu sedap atau tidak, bolehlah.  Kalau tanya cara nak menguruskan restoran, alamat seminggu buka, lepas tu tutuplah.”  Zaiton menyengih.
            “Kau ni, nama saja bekerja dengan syarikat korporat, bagilah cadangan!” jerkah Rose.
            “Janganlah marah kawan, aku mana minat berniaga.  Kalau kau nak berniaga, aku sokong sepenuhnya.”
            “Aku bukannya apa, kasihankan Kak Maznah tu, setiap bulan bekas suami dia akan minta 10k, kau ingat sikit ke?”
            “10k?  wah! Tak payah kerjalah kalau macam tu.  Aku pun nak!”  Zaiton teruja mendengarnya.  Ada  lagi lelaki sebegitu yang suka merampas titik peluh perempuan.
            “Itulah pasal, senang-senang saja kaut keuntungan untuk diri sendiri.  Dia ingat senang nak kumpulkan 10k?  kasihan aku kat Kak Maznah, suram saja mukanya setiap hari, tak ceria macam dulu.  Minggu depan kena pergi mahkamah.  Harap-harap masalah dia selesailah,”  luah Rose.
            “Susah juga ya, dah bercerai pun ada juga masalah!’ Zaiton mengeluh. Hairan dengan sikap manusia, suka ambil kesempatan ke atas orang lain.
            “Itulah, lelaki buta perut!”  Rose mengangkat bahu, bosan mendengar perangai manusia yang tiada hati dan perasaan. Kalau ikutkan hatinya yang tidak waras, mahu sahaja dia benamkan bekas suami majikannya ke dalam lombong terbiar.  Biar tidak bernyawa lagi. Senang sikit hidup, tidak menyusahkan orang lain.
            “Buta perut?  Apa tu? Tak pernah dengar pun?” Zaiton menggaru kepala.
            “Tak pernah dengar? Apalah kau ni Ton, bebal betul.”  Rose menggeleng.
            “Kau tahu ke maknanya?” tanya Zaiton ingin sangat mengetahui maknanya.  Kalau buta hati perut adalah.
            “Erk… aku pun tak tahu”  Rose ketawa. 
            Zaiton mencampak kusyen kecil ke arah sahabatnya.    Boleh pula Rose main-main dengannya.
            “Ton! Aku serius ni. Kalau Kak Maznah tidak cukup modal untuk buka restoran, apa kata kita melabur sama? Kau nak tak? Aku tahu kau ada duit banyak. Setiap bulan kau simpan duit bukan sikit-sikit.  Yalah, kau bukan ada tanggungan lagi.”
            “Melabur? Biar betul Roe? Kau serius ke ni?”  Zaiton mendekati Rose.
            “Aku dah fikir sejak beberapa hari yang lalu.  Kenapa aku tidak serius dalam bidang ni, sekurang-kurangnya tercapai juga impian aku nak buka restoran.  Dengan pengalaman Kak Maznah, aku pasti restoran kita akan maju, apa kata kau?”
            “Hish… nantilah aku fikirkan.  Cadangan spontan ni.”  Zaiton mengeluh.  Memanglah dia ada duit simpanan.  Duit yang disimpan untuk waktu terdesak.  Dia tiada orang tua, wang gajinya hanya untuk dirinya sendiri.  Abang-abang dan kakak-kakaknya sudah ada pendapatan sendiri, malah lebih besar daripadanya.  Mereka tidak pernah meminta, cuma berpesan agar dia menyimpan dan tidak boros berbelanja.
            “Jangan fikir lama sangat! Aku nak jawapan segera. Dalam masa yang sama aku nak buat kertas kerja, nak buat pinjaman bank, mana tahu modal yang ada tidak cukup,”  jelas Rose.
            “Kau dah habis fikir ke Rose?”  tanya Zaiton.  Dia tidak mahu sahabatnya itu kecewa lagi.  Bekerja dengan orang nampak mudah. Kalau sendiri jadi majikan takut pening kepala. Tidak pasal-pasal cepat tua sebelum waktunya. Ialah, masalah tidak pernah selesai.  Dahi berkerut, habis semua berkerut kerana memikirkan masalah yang dihadapi. Lama kelamaan berkedutlah kulit muka.
            “Bukan senang nak senanglah Ton!”  Rose menyengih.
            “Yalah… nak susah, senang.” Zaiton menyengih.
            “Aku ikut kau ke tempat kerja hari ni, bosanlah duduk rumah,” pinta Zaiton.
            “Boleh saja. Jomlah bersiap,” Rose bingkas berdiri dan masuk ke dalam biliknya untuk bersiap. Hari itu dia masuk tengahari sikit.  Dia akan bekerja sehingga restoran tutup. 
            “Okey bos!” Zaiton tersenyum riang.  Bolehlah dia belajar menguruskan restoran, manalah tahu akan jadi rakan kongsi pula. 
            Mereka bertolak setelah urusan rumah siap sepenuhnya. Hujung minggu yang panjang dan menyeronokkan buat mereka berdua.  Rose pula masih lagi memikirkan konsep restoran yang bakal dibuka nanti. Kertas kerja sudah mula disiapkan.  Tidak sabar rasanya nak membentangkan kertas kerja yang telah disiapkan nanti. Biar Kak Maznah teruja mendengar dan melihatnya.  Dia juga ingin mengejar kejayaan untuk dirinya sendiri.  Tdaik lagi mahu membuktikan kepada sesiapa. Kejadian yang lalu membuatkan dia lebih berhati-hati.
***
            Restoran Selera Melayu sentiasa kemas dan bersih, setiap masa dan waktu.  Para petugas sudah diamanahkan begitu, jangan ada sampah di bawah meja.  Bilik air di cuci dua jam sekali agar bersih dan tidak berbau.  Untuk keselesaan para pelanggan yang datang menjamu selera.  Di malam hari sebelum restoran tutup, ruang dapur di basuh dengan air panas dan sabun, biar sentiasa bersih dan tidak berminyak.    Rose dan Maznah akan memantau selalu.  Para pelanggan sudah selesa dengan suasana segar di restoran tersebut.  
            Para pelanggan pula semakin mengenali para pekerja yang ada  Konsep kekeluargaan diperkenalkan oleh Maznah bagi menarik hati pelanggan untuk datang lagi.  Setiap pelanggan yang datang dilayan dengan mesra, segala masalah diselesaikan dengan baik, kadang-kala hidangan lambat sampai,  Pihak pengurusan tidak akan membiarkan pelanggan marah, selalunya kemaafan akan melakar di bibir para petugas restoran itu.
            Hari berlalu dengan tenang dan mendamaikan.  Zaiton tidak kering tangan membantu.  Rose tersenyum melihat gelagat rakan baiknya itu bekerja sebagai pelayan restoran. Mereka berhenti rehat untuk solat dan makan sahaja.  Pelanggan pula tidak putus-putus datang menjamu selera di restoran itu.  Puas hati bekerja dengan orang ramai dan boleh memberi perkhidmatan yang terbaik kepada mereka. Pelanggan suka hati, majikan pun gembira, keuntungan berganda.  Tetapi, apa erti keuntungan berganda jika hasilnya dinikmati oleh orang lain seperri bekas suami majikannya itu.
            “Hai,” sapa Haikal yang muncul tiba-tiba.
            “Wa’alaikumsalam!” jawab Rose.
            “Alamak!  Salah ya?” Haikal menyengih. 
            “Tahu tak apa.”
            “Hai,”  sapa Zaiton dengan muka manis manja.
            “Erk…” Haikal terkebil-kebil memandang Zaiton yang tiba-tiba berada di sisi Rose, pekerja baharu agaknya?  Sebelum ini tidak pernah nampak pun.
            “Jangan nak menggatal, ini Haikal, tunang orang.” Rose menyiku lengan Zaiton. 
            “Baharu bertunang, belum jadi suami.  Lagipun ada kouta lagi tiga, kan, kan, kan?” gurau Zaiton.
            Haikal tersenyum.
            Rose mencebik.
            “Jangan nak mengada-ngada! Pergi buat kerja!” perintah Rose.
            “Hish, nak mengayat sikit pun tak boleh.”  Zaiton mencubit lengan Rose dan berlalu ke dapur.
            “Siapa tu?” tanya Haikal lalu duduk di kerusi berhadapan Rose.
            “Sahabat aku dan juga rakan serumah,”  jawab Rose.
            “Kerja kat sini juga ke?” Haikal meneliti menu yang diserah oleh Rose.
            “Taklah, dia setiausaha di tempat kerja lama, saja datang tolong saya, sebab bosan tinggal sorang diri kat rumah,” terang Rose.
            “Abang nak makan apa, minum apa?” tanya Zaiton. Matanya tepat memandang Haikal, di tangan bersedia sekeping kertas dan pencil di tangan sebelah lagi.
            “Teh ais dan nasi goreng kampung, telur mata sebiji,” jawab Haikal.
            “Mata ada dua bang, mana nak cari mata sebiji?”tanya Zaiton selamba.
            “Hah?” Haikal terpinga-pinga.
            Rose menjegilkan mata, buat lawak spontanlah pula kawannya ini.
            “Kau korek saja mata kau Ton!” kata Rose selamba.
            Pecah gelak Haikal melihat gelagat kedua sahabat itu. Boleh tahan kelakar juga.
            “Erk… salah ke saya cakap tadi?”  Zaiton mengangkat kening.
            “Tak salah, sengal saja bunyinya,” sampuk Rose.
            “Okey, tak boleh lama-lama, nanti ada orang telan saya hidup-hidup,” Zaiton berlalu sambil mengenyit mata.
            “Boleh tahan sahabat awak tu ya? Sama poyo macam awak juga,”  kata Haikal, ketawanya masih berbaki.
            “Tak payah nak poyokan saya ya.  Apa hal datang malam-malam ni? Tak marah ke tunang awak yang putih melepak tu?” soal Rose.
            “Saya nak jumpa awak, dah lama kita tak bersembang.”  Haikal tersenyum.  Banyak perkara mereka bincangkan bersama sehinggalah tentang cadangan ingin membuka restoran baharu untuk menggantikan restoran sedia ada.  Rose menerangkan sebab-sebabnya. 
            Haikal seperti berminat.  Mana tahu ini peluangnya untuk berubah menjadi ahli perniagaan pula, restoran adalah langkah pertamanya.  Dia akan fikirkan, duit simpanannya tidaklah banyak tetapi bolehlah juga untuk menambah modal tambahan. 

            Restoran tutup baharulah Haikal bergerak balik, seronok pula bersembang dengan Rose dan Zaiton yang amat mesra alam itu.  Sejak tadi hanya senyuman yang terukir di bibirnya.  Hilang segala masalah yang bersarang di kepala. 
            Rose tersenyum lega.  Dua orang pelabur sudah dicari, termasuk dia tiga orang semuanya. Hanya tunggu persetujuan majikannya sahaja lagi.  Dia tidak akan berputus asa. Hatinya sudah cukup menyampah melihat kelibat Azlan di restoran itu. Kadang-kadang datang bawa anak bini, main pesan sahaja, makan tentulah percuma, ingat  restoran tok nenek dia agaknya.  Mahu sahaja dia halau manusia tidak berhati perut itu.  Ada ketika bawa kawan penuh tiga empat meja, makan PERCUMA! Uhuhu… macam manalah majikannya boleh bersabar.  Siap lagi bercerita, ini restoran dia.  Eeee… memang dasar muka tembok, tidak tahu malu. 

No comments:

Post a Comment